Monday, October 22, 2007

BERKONGSI CERITA

Memang banyak cerita yang ingin dipapar buat kongsian bersama. Dari mula habis puasa, berhari raya sehinggalah ke hari ini. Satu persatu kalau boleh tanpa tertinggal sedikit pun. Cuma sekarang masa cukup mencemburui. Ke sana ke sini meligan masa. Kekadang sampai tak terkejar. Jadi, ambil keputusan paparkan beberapa sedutan aje. Selamat membaca dan berkongsi cerita.

1. Pindah rumah

Di malaysia, kebiasaannya seminggu sebelum berhari raya semua persediaan sudah dibuat. Dengan kuih rayanya, pakaian melayu, kain langsir dan alatan perumahan. Hanya menunggu fajar syawal menjelma aje. Berlainan dengan cermin pada tahun ini. Terpaksa pindah rumah pada 27 ramadhan lalu. 3 hari lagi nak beraya. Faham-faham ajelah. Memang berteraburlah ceritanya. Setakat nak datang beraya, ahlan wasahlan. Cuma boleh hidang kacang dengan air gas. Kesiankan, dahlah beraya di perantauan. Nasib.....nasib......
(terima kasih kat banggugar, bayu, hakim dan kengkawan lain yang sudi tolong pindah rumah).

2. Sibuk selepas raya

Sekarang cermin sibuk menyiapkan draf laporan tahunan persatuan pelajar di sini sebagai persediaan untuk mesyuarat agung tahunan tidak lama lagi. Banyak helaian dan banyak mukasuratnya. Ditambah dengan pengajian di kuliah yang sudah bermula. Memang sedikit kelam-kabut. Biasalah pertama kali. Sebelum ini, draf itupun cermin tak tau apa maksudnya. Sekarang, bolehlah kalau setakat nak bercerita apa itu draf dan apa itu laporan tahunan. Kan itu pengalaman namanya.
Nasib baik ada orang yang membantu. Kalau tidak, lintang pukang juga buat kerja sorang-sorang. Yealah.....kalau cermin tak tahu dia tolong buat dan kalau dia tahu pula cermin tolong buat. Tapi.....kalau dua-dua tak tahu, meloponglah jawabnya.

*Ada sikit makluman buat siapa yang tak tahu lagi, Persatuan Pelajar Malaysia Syria akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 10/11 ni. Harap-harap berjalan dengan jayanya.

3. Umur semakin meningkat

Minggu lepas, umur cermin meningkat setakah lagi. Sedar tak sedar zaman terus berputar dan masa terus berlalu. Begitu cepat tanpa menunggu kita. Takut-takut kita tertelan dengan gelombang putaran masa tersebut. Hemm.....dah semakin meningkat remaja rupanya. Perangai tetap tidak berubah. Bila yea nak berubah selari dengan tuanya usia. Mungkin perlu orang lain yang tolong menyedarkan cermin.
Di saat umur yang semakin meningkat terfikir sendiri, sehingga ke saat ini apa yea kerja atau amalan yang telah cermin sumbang buat umat Islam, buat kemajuan ummah serta kecemerlangan Islam itu sendiri?....masih terus berfikir. Moga-moga usia ini mampu meledakkan semangat jiwa dalam meletakkan Islam itu di tempat yang semulianya.

Friday, October 12, 2007

CERMIN TERIMA KAD RAYA





Alhamdulillah.....
Ada juga yang masih mengingati diri cermin di saat kegembiraan syawal ini.
Terubat hati walaupun rendang dan ketupat tidak dapat dijamah.

Satu-satunya kad yang diterima tahun ni. Ala...lebih baik dari tahun lepas, tak dapat langsung. Bersyukur........


#kad raya yang dihantar oleh adik bongsu cermin.

Sunday, October 7, 2007

DETIK TERAKHIR…..

Hari-hari yang masih berbaki ini sedikit menggetarkan jiwa. Mengundang pelbagai perasaan yang meresah. Rasa suka, duka dan kecewa, cemburu, takut saling bertukar ganti. Rasanya jika tidak dihadapi secara saksama, akan mengundang episod malang yang lebih berat pula. Semuanya ini gara-gara detik terakhir yang sukar dihalang kehadirannya.
Detik-detik terakhir sebelum tenggelamnya mentari bulan ramadhan. Detik-detik terakhir sebelum terbitnya fajar syawal. Detik-detik inilah yang menjadi dalang puncanya. Menjadikan jiwa tidak keruan. Apatah lagi ketika mana tiada jaminan kita nanti mampu menemuinya pada sesi hadapan. Cukup menyeksa jiwa. Melambung tinggi perasaan yang tersedia bergolak.
Suka kerna mampu mengecapi nikmat ramadhan hingga ke akhirnya. Duka dan kecewa mengenangkan kecuaian diri dalam merebut sebanyaknya peluang nikmat ramadhan yang diberi. Cemburu bila melihat diri ketinggalan jauh berbanding manusia lain dalam rekod prestasi beribadah dan takut kalau-kalau usaha sebulan ini tidak diterima, lebih teruk lagi jika ramadhan untuk sesi hadapan tidak lagi dinikmati.
Namun, apalah gunanya menyalahkan detik terakhir ini kerana sememangnya ia akan datang dan pergi. Sepantas kitaran masa kerana ia sebahagian diri masa. Itulah realiti yang perlu dihadapi. Mana mungkin lari dari realiti kerana ia adalah kehidupan kita. Detik-detik terakhir…….kini diri telah bersedia menanti.


Teman-teman semaya,

Dikesempatan yang tersedia ini, ingin rasanya cermin memohon kemaafan setulusnya dari kalian jika terlanjur kata, terkasar bahasa dan tersilap bicara sejak mula bersua kerana cermin sedar semuanya itu jarang sekali dapat dihindari.
Salam lebaran juga dihulurkan sebagai pengganti diri buat yang mengenali. Sesungguhnya syawal kali ini mengundang kerinduan yang sukar ditafsir. Waa…waaa……nak balik!!!!.....


SALAM KEMAAFAN DAN SALAM LEBARAN DARI DIRI DI PERANTAUAN