Tuesday, November 27, 2007


PERASAAN ANDA

Apa perasaan anda jika pada suatu hari tiba-tiba salah seorang jiran anda datang ke rumah dan memberitahu adiknya telah dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas kerana terbau asap masakan yang merembas keluar dari tingkap-tingkap dapur rumah kita lalu menyalahkan kita atas perkara tersebut ?...... Pelik, marah, kasihan atau anda terus terpinga-pinga dengan beranggapan itu hanya rekaan kotor dia semata-mata. Bercampur aduk semua perasaan yang timbul.

Hei......ini bukanlah cerita yang direka mahupun cerita lawak jenaka yang akan digelakkan oleh semua pembaca. Ini adalah cerita pelik tapi benar terjadi dan diri sendiri melaluinya. Memang bila diingat-ingat kembali macam tak logiklah pula seolah-olah jiran itu sengaja cari pasal dengan membangkitkan masalah lalu menyalahkan kita, tapi bila diteliti sedalamnya dengan mengambil kira semua faktor mungkin kata-kata dia ada benarnya. Kenapa ?.......

Memang kalau setakat masak nasi sahaja tiada bau yang akan keluar, kalau ada pun tidaklah sampai menyengat hidung. Cuba bayangkan kalau kita tumis sambal belacan, fuh...... aromanya cukup-cukup sempoi. Hidung kita orang melayu yang jadi pengamal makan belacan pun tak tahan. Terbersin-bersin. Itu hidung melayu. Bagaimana pula dengan hidung jiran-jiran di sini hidung orang arab ?...... Bau belacan itu sendiri pun mereka tidak boleh tahan apatah lagi aromanya waktu ditumis dan jauh sekali untuk memakannya.

Kekadang nak tergelak pun ada tapi jauh di lubuk hati sana timbul juga rasa simpati. Bukanlah kita nak pekenakan mereka dengan memasak belacan, yealah.....kekadang rindu juga masakan melayu.

Sunday, November 18, 2007

KUNINGKU DAN KUNING KITA

Hari itu satu lagi sejarah tercatat. Sejarah perjuangan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan buat tanahair mereka. Rentetan daripada beberapa peristiwa yang mencemar keadilan seperti yang dijanji, hari itu mereka merancang meluah apa yang terbuku di jiwa. Bersama rakan-rakan yang memahami, mereka cuba menyedarkan rakyat Malaysia lain tentang kepincangan pemerintahan yang berlaku. Bukan untuk memberontak cuma ingin menyelak apa yang tersurat lalu memberi alternatif terbaik. Berbekalkan semangat patriotik yang tertanam, mereka tekad melakukan disamping memahami ujian yang bakal dihadapi.

Kuning..........kuning...........kuning........

Mereka bukanlah kesatuan pemandu teksi yang melakukan mogok menuntut agar tambang teksi dinaikkan dengan alasan kos sara hidup semakin tinggi. Mereka juga bukanlah pemuda pemudi yang sudah terkesan dengan budaya kuning ciptaan pihak barat lalu menuntut hak kebebasan untuk menzahirkannya dalam kehidupan seharian. Mereka itu adalah pendekar rakyat. Keadilan, kesaksamaan, kebebasan, hak-hak rakyat Malaysia, itulah yang diperjuangkan. Mereka ini dari segenap lapisan masyarakat Malaysia yang sudah mual melihat karenah sebahagian pemimpin mereka yang hanya manis mulut dengan janji dan kata-kata kosong. Jiwa mereka sudah tidak tenang melihat permainan politik yang dicanang berlapikkan sistem demokrasi. Hanya nama yang tinggal, isinya diganyang habis-habisan oleh si pemimpin.

Kuning...........kuning...........kuning.........

Ya......... warna kuning menjadi saksi. Sememangnya ia warna pudar tapi, pudar bukan sekadar pudar....... pudar ini ada keramatnya. Pudar inilah yang akan menyahkan kezaliman pemimpin tehadap rakyatnya. Pudar inilah yang akan mengembalikan apa yang disebut sebagai keadilan sistem demokrasi yang dimengerti oleh kita semua. Pudar yang akan menyinar di celah kesamaran.

Thursday, November 8, 2007

PILIHANRAYA KITA

Bahang pilihanraya semakin terasa. Semua pihak samada di pihak kerajaan, di pihak pembangkang mahupun calon bebas dilihat sudah mempersiapkan jentera pilihanraya masing-masing. Penjagaan di kawasan masing-masing diperketat agar penceroboh tidak terlepas pandang. Isu-isu yang dianggap unsur boleh menjatuhkan lawan mereka dimainkan. Berbagai cara dibuat bagi menarik hati pengundi. Yang sebelum ini kaki hanya lekat di rumah dan di pejabat, dipaksa turun meredah lumpur dan bendang menunjukkan keikhlasan sebagai pimpinan berjiwa rakyat. Di waktu ini, sesiapa sahaja yang tersilap langkah pasti jatuh tersungkur.
Di pihak rakyat pula, mereka dihidangkan dengan isu-isu yang sebelum ini mereka jahil tentangnya. Seolah-olah isu ini timbul hanya di waktu tertentu sahaja seperti di waktu ini. Isu kebajikan rakyat, masalah pendidikan, rumah setinggan hinggalah melibatkan peribadi pemimpin semuanya dimediakan. Puncanya gara-gara pilihanraya. Kerana pilihanraya yang masih menunggu diumumkan tarikhnya. Kerana proses penukaran pemimpin. Kerana mahukan penambahbaikan dalam kepimpinan negara. Natijahnya kebaikan negara juga yang difikirkan.
Inilah situasi negara kita sekarang. Situasi yang menarik hati sebahagian rakyat Malaysia untuk terus mengikuti perkembangan politik tanahair. Siapa akan naik?.....siapa pula akan jatuh?.......pilihanraya ini jadi penentunya.
Terlajak cakaplah pula....bukanlah hajat menkonklusi situasi persediaan pilihanraya di negara sana. Cuma bila membaca akhbar di laman-laman web, hanya itu isunya. Semuanya kerana satu tujuan, memperkasa jentera pilihanraya.
Di sini juga tidak kurang rancaknya, sedang menunggu hari pertukaran pemimpin. Bukanlah sehebat apa yang berlaku di Malaysia sana, di sini hanya pertukaran di peringkat pemimpin persatuan pelajar cuma. Yea.....walaupun sekadar di peringkat persatuan pelajar, tapi itu juga perlu diambil kira agar kepimpinan itu tidak diletakkan kepada orang yang bukan ahlinya. Teruk natijahnya nanti kalau berlaku.
Itulah sedikit catatan perkembangan persatuan pelajar di sini. Hari sabtu ini akan berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan seiring dengan pertukaran barisan pimpinan lama kepada barisan pimpinan baru. Sabtu ini adalah saksinya. Para mahasiwa di sini adalah penentunya. Siapakah pula yang akan mengemudi tampuk pimpinan persatuan pelajar untuk sesi akan datang?......Bagaimana pula bentuk pengemudian mereka?.....Apakah pula dasar dan matlamat yang bakal diterjemahkan untuk kebajikan bersama?........Semuanya menunggu sabtu yang bakal menjelma.
Bagi cermin, semoga mahasiswa mahasiswi di sini bijak memilih demi kesatuan, kebajikan dan kebahagiaan bersama seiring dengan kemudahan dalam menambah ilmu pengetahuan di Timur tengah ini.