Thursday, September 25, 2008

RAMADHAN & KITA


RAMADHAN kini semakin menghampiri hari-hari kemuncaknya. Fasa ketiga yang sedang dilalui hari ini adalah justifikasi kepada fasa pertama dan kedua yang telah kita harungi bersama. Tidak salah kita katakan ia ibarat satu silsilah yang berhubung kait dan saling menterjemahkan antara satu sama lain.

Perkataan madrasah (sekolah) cukup sinonim dengan ramadhan, tuntas menggambarkan kepada kita bahawa bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan ini adalah sebuah manhaj pendidikan cemerlang yang disediakan buat kita yang terpilih. Siapakah kita itu?... Mereka-mereka yang dipanjangkan umur dan diberi peluang menikmati keindahan beramal ibadah di dalam bulan ramadhan. Ini cukup dimengerti dan difahami. Madrasah ramadhan untuk orang-orang pilihan.

Perlu diingatkan, sesuatu madrasah atau sesuatu tempat pengajian itu dikira terbaik apabila ia menawarkan suatu bentuk pendidikan yang cemerlang, mampu membentuk peribadi bersesuaian dengan misi dan visi penubuhannya. Bukan itu sahaja, malah kita juga akan menilai dari generasi keluaran tempat pengajian tersebut. Adakah mereka betul-betul cemerlang seiring dengan bentuk pendidikan yang ditawarkan ataupun tidak ?...

Begitulah jua apabila kita menisbahkan tempat pengajian, pusat pendidikan atau madrasah kepada bulan ramadhan. Maka, apabila kita telah mengiktiraf ramadhan ini sebagai sebuah manhaj pendidikan, kita perlu persoalkan atas dasar apa kita menyatakan sebegitu ?... Wajar rasanya persoalan ini dijawab dengan satu persoalan lain, siapa yang berani tampil mempertikaikan keberkesanan pendidikan madrasah ramadhan ?... Kalau pun ada, realiti hari ini akan dengan sendirinya menafikan hujah-hujah pertikaian yang bakal dikemukakan. Itu dari satu sudut. Kita mengakui kecemerlangan manhaj pendidikan madrasah ramadhan.

Saban tahun kita terpilih untuk memasuki madrasah ramadhan. Jika umur kita hari ini 21 tahun, maknanya sudah 9 tahun (bermula dari umur baligh 12 tahun) kita diberi peluang dididik dengan sukatan pendidikannya. Jika benarlah sukatannya itu kita katakan cemerlang, kenapa setelah 9 tahun kita dididik, kita masih lagi belum berubah menjadi peribadi muslim yang cemerlang ?... Keadaan kita masih ditakah lama, tiada menepati kehendak misi dan visi pendidikan itu sendiri. Mengapa yea ?...

Dalam hal ini kita tidak boleh mempertikaikan sukatan pendidikan ramadhan kerana ia telah diatur dengan sukatan pelajaran yang terbaik. Kita tidak boleh menyalahkan seseorang tokoh pemikir yang telah mengatur suatu perjalanan program ilmu yang cemerlang hanya semata-mata kita tidak tergolong dalam keluaran mereka yang cemerlang. Apatah lagi apabila yang mengaturnya adalah zat Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Kembalilah kepada diri sendiri, adakah selama ini kita benar-benar bergelar seorang penuntut madrasah ramadhan ?... Setakat mana kita menekuni setiap mata pelajaran yang disampaikan ?... Adakah usaha yang kita alirkan selari dengan misi dan visi penubuhan madrasah ramadhan ini dalam memebentuk peribadi cemerlang ?... Adakah kita boleh digelar generasi keluaran madrasah ramadhan ?... janganlah lantang menyebut madrasah ramadhan, ramadhan memberi kita banyak pelajaran jika kita sendiri lupa bahawa kita sebenarnya adalah pelajar madrasah ramadhan, terikat dengan sistem dan manhaj pendidikan yang sedang kita ikuti.

6 comments:

CikguZue said...

salam,
peringatan dan muhasabah buat diri kita yg selalu lupa. Syukran.

CerminDiri said...

salam kehidupan,

sememangnya kita perlu selalu diperingatkan. bukan melayu shj mudah lupa...semua umat manusia.

Bunga Rampai said...

Salam Aidilfitri :)

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

tintaHati said...

Tidak terlalu awal dan lewat utk mengucapkan Salam aidilfitri. Maaf zahir batin.

BaYu SenJa said...

Selamat Hari Lebaran.
minal A'idiin wal Faizin..
Kullu Am wa Antum bi Khair.
Maaf Zahir dan Batin.

Ainin Naufal said...

Salam Syawal. Masih belum terlewat lagi rasanya. :)