Wednesday, May 28, 2008

ANGAN-ANGAN MAT JENIN

Cerita tentang angan-angan mat jenin hampir semua masyarakat melayu mengetahui dan pernah mendengarnya. Di setiap lapisan masyarakat samada mereka yang baru mengenal alam sekolah sehinggalah ke golongan veteran. Kisah ini telah diriwayatkan turun temurun dari generasi ke generasi seterusnya dan mungkin tidak akan dinoktah selagi keturunan melayu tidak pupus. Cerita melayu klasik ini cukup menarik untuk dijadikan teladan manusia. Positif atau negatif, terpulang pada penilai dan cara seseorang itu berfikir.

Salahkah kita berangan-angan?.... Jikalaulah ia satu kesalahan, dimanakah titik salahnya?.... Apa bezanya pula antara angan-angan dengan impian, cita-cita, khayalan, fantasi, imaginasi dan hasrat?...

Entry kali ini suka ingin mengajak kengkawan berkongsi beberapa patah perkataan yang telah dilontarkan oleh bekas pengacara tv terkenal saat beliau mengulas tentang cerita mat jenin khususnya dan pemahaman sebenar angan-angan secara amnya agar ada manfaat yang boleh kita kutip darinya bersama.


Aziz Desa – Semangat Mat Jenin ( UM 26/2/2000 )

Tidak ada salahnya saya bersemangat mat jenin. Bahkan saya yakin ramai di Malaysia ini yang ada semangat mat jenin dalam diri mereka. Cuma mereka mungkin malu untuk mengungkapkan atau tidak sedar kelebihan semangat itu dalam diri masing-masing.

Tanyalah kepada Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Samsudin Abdul Kadir, Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Mustafa Kamal dan ramai lagi usahawan melayu yang tersohor di Negara ini, apakah mereka ini pernah berangan-angan sebelum mencapai kejayaan atau mahu menghasilkan sesuatu yang cemerlang.
Bahkan saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan Tan Sri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun) adalah antara orang yang ada angan-angan untuk melihat bangsa, agama dan tanah airnya berada pada satu tahap yang cukup hebat.

Saya sendiri berjaya menjadi antara pengacara popular tv suatu ketika dulu hingga dikagumi kerana mencipta angan-angan untuk menyayingi populariti yang ada pada pengacara Mahadzir Lokman dan Ahmad Tarmizi. Angan-angan saya tidak kosong iaitu berwawasan, ada usaha dan didokong rasa kasih serta tunduk kepada kekuasaan allah, alhamdulillah saya berjaya.

Sebenarnya angan-angan yang ada dalam diri saya dan tokoh-tokoh yang saya sebutkan tadi adalah sama seperti angan-angan mat jenin yang acap kali dipandang serong segelintir masyarakat kita. Hinakah mat jenin yang memasang angan-angan untuk menjual kelapa dan kemudian mahu berurus niaga agar dapat membeli ayam, itik, kambing, kerbau, gajah dan kemudian mahu memiliki puteri raja?...

(bersambung……..(','))


Pepatah melayu Indonesia ada menyebut :

Mati belanda kerana pangkat, mati cina kerana kaya, mati keling kerana makan, mati melayu kerana angan-angan.

Sunday, May 18, 2008

PEPERIKSAAN

Jika anda berkesempatan bertandang ke Syria dalam minggu ini atau minggu-minggu akan datang dalam bulan mei dan bulan jun, nescaya anda akan dapat merasakan kerancakan dan kesibukan pelajar-pelajar Malaysia di sini dalam menuntut ilmu. Lalu anda akan sifatkan mereka ini dengan sifat-sifat terpuji seperti rajin, bersungguh, tidak lupa tanggungjawab, harapan Negara, pandai bahagi masa dan sebagainya.

Ke mana sahaja mereka pergi, di tangan pasti ada sebuah kitab atau lebih. Itu tandanya mereka rajin membaca bila ada masa terluang dan di mana sahaja. Seolah kitab itu adalah teman mereka. Kalau tiada kitab pun, pasti anda akan menjumpai nota ringkasan dalam poket baju atau seluar mereka.

Siang membaca, tengahari mengulangkaji bersama rakan, malam menghafal. Itulah nanti yang anda dapat rumuskan. Aktiviti ini bukan sahaja dilakukan oleh pelajar wanita (mahasiswi), malah turut dilakukan oleh pelajar lelaki (mahasiswa) sesama mereka. Umumnya kesemua mereka yang bernama pelajar di sini dan datang untuk menuntut ilmu akan anda lihat sebegitu. Lebih-lebih lagi jika anda pergi ke masjid-masjid yang dibuka selain pada waktu solat (masjid Abu Nur misalannya), di sana anda akan temui kelompok-kelompok kecil pelajar Malaysia yang sedang mengulangkaji pelajaran. Tidak kurang yang duduk membaca dan menghafal seorang diri.

Untuk menguatkan lagi kata-kata ini, jika anda berjumpa pelajar Malaysia yang sedang berjalan tanyalah mereka ke mana mahu pergi. Kebanyakannya akan menjawab "pergi rumah kawan baca buku" @ "ada study group". Dari situ tanggapan anda akan membenarkan kata-kata ini.

Sikap mereka ini sewajarnya dipuji dan dijadikan teladan. Semua ini demi memajukan diri sendiri. Mereka tahu kedatangan mereka ke sini untuk belajar, mereka sedar di pundak mereka terpikul harapan ibubapa dan tanggungjawab Negara "pemuda harapan Negara dan bangsa", malah mereka juga tidak lupa bahawa mereka sekarang dalam Musim Peperiksaan.

Sunday, May 11, 2008

ADUHAI NEGERIKU....

ADUHAI NEGERIKU….

Mendengar ucapan Dr. Hasan Ali baru-baru ini hati membenarkannya. Kepala seringkali juga mengangguk tanda bersetuju dengan apa yang diutarakan. Tempoh sepanjang penayangan video klip itu dirasakan sekejap sahaja berlalu walaupun sebenarnya memakan masa lebih dari 25 minit. Bukan secara langsung….tak mengapa, yang penting fikrah pihak pimpinan itu sampai kepada kita dan difahami.

Proses pembodohan, istilah yang cukup menarik hati. Boleh dikatakan itulah inti ucapan beliau sepanjang tempoh tersebut. Bila tarikh mulanya, siapa pengasas, bagaimana bentuk perlaksanaan, dimanakah tapak penubuhannya tak perlulah lagi diulas berkajang. Yang berlalu biarkan berlalu. Malah Islam menganjurkan kemaafan atas apa yang telah berlaku. Yang penting kita hari ini. Bagaimanakah sikap dan tanggungjawab kita memanipulasi proses tersebut demi kemajuan masa depan, bukan sekadar mengutuk, mengkeji dan dalam masa yang sama kita terkesan dengan rentak yang telah dikuburkan itu.

Pengukuhan institusi masjid, salah satu bentuk perancangan yang diberitakan akan diusahakan. Secara peribadi, diri menyokong penuh usaha yang bakal dilaksanakan itu. Malah jikalaulah perkara itu nanti akan melibatkan pelbagai peringkat masyarakat pun, diri tetap bersetuju kerana memang sebegitulah corak perlaksanaannya. Tempat penyatuan hati dan kepercayaan lalu diterjemahkan ke dalam bentuk perkataan dan perbuatan, itulah yang cuba digambarkan olah Rasulullah swt saat baginda membina masjid Quba setibanya baginda di tanah Madinah al-Munawwarah. Tentu kita masih ingat sejarah itu. Apa salahnya kita mengulangi kembali sejarah tersebut di bumi Darul Ehsan.

Berbeza pendapat dalam urusan dunia tak mengapa, bercanggah prinsip dalam soal politik biarkan dulu, bergaduh sana sini atas urusan peribadi jangan kisah sangat. Insyaallah bila urusan akhirat selesai, perkara pokok di dalam agama didahulukan, prinsip kemasyarakatan dan jamaah diutamakan, bila hati terikat antara satu sama lain, maka semua permasalahan sebentar tadi mampu diharung dengan senang. Ingat…. sejarah telah membuktikannya.

Bukan persoalan siapa kita untuk merealisasikan perkara itu. Tidak wajar juga mempersoalkan bagaimana nanti bentuk perlaksanaannya dan kesannya kepada mereka yang bukan muslim. Mereka pihak pimpinan yang telah pun kita berikan mandat untuk mengatur yang terbaik, jadi tahulah mereka menguruskannya. Cuma kembali kepada kita bersediakah bersama menyingsing lengan baju memberikan kerjasama dalam hal itu?....

Kalian lebih mengetahui letak duduk perkara yang bakal dan sedang dilaksanakan ini. Moga-moga tanggapan baik selama ini terhadap rakyat selangor khususnya tidak meleset.

Sunday, May 4, 2008

1,2,3,4

Satu….
Kasih nan abadi tiada tandingi
Dia yang satu
Dua….
Sayang berpanjangan membawa ke syurga
Kasihnya ibu
Tiga….
Lapar dan dahaga rela berpayahan
Setianya ayah
Empat….
Mudah kau ketemu berhati selalu
Beza antara kasih dan kekasih

Ibu….
Ku ingat dahulu menyisir rambutku
Kemas selalu
Ayah….
Menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa

Sayang….
Dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang
Itu bidalan harus kau renungkan

Andai kau beroleh bahagia
Ingatlah itu bukan selamanya
Andai kau dalam sengsara
Ingat itu bukan untuk selamanya
Hidup ini sementara….