Friday, January 9, 2009

APABILA DUNIA MENGHIJAB

Kesegaran udara pagi yang dihirup dengan ketenangan suasana hari ini mewajibkan kita untuk terus mengucap syukur ke hadratNya. Dengan nikmat yang melimpah ruah, berbekalkan iman dan islam kita masih berpeluang menghargainya dengan perbuatan amal ibadah sepanjang hari yang dilaksanakan tanda penghargaan kita di atas segala nikmat diberi seperti yang dituntut. Ini kerana bukan semua umat manusia merasai nikmat tersebut.

Hari ini, saudara kita di palestin sana terus dirundung ujian. Sudah 15 belas hari mereka berpagikan ledakan bom dan kehingaran bunyi senjata bersimpang siur. Esak tangis kesedihan memenuhi ruang hidup harian meratap kematian, kecederaan tubuh dan kesakitan menanggung derita. Harapan mereka masih menggunung. Inginkan keamanan dan Negara merdeka.

Israel terus berani melaksanakan aktiviti kebinatangan mereka dalam usaha mencapai matlamat Israel raya. Walaupun ramai pihak sudah berusaha campur tangan menghentikannya, bagi mereka itu hanya gangguan picisan terhadap matlamat mereka. Kekejaman itu adalah sifat mereka kerana matlamat menghalalkan cara. Berpandukan motto itu, kebenaran dirasakan berada di pihak mereka.

Siapa yang berani menghalang?... Tiada langsung kedengaran laungan pengganas yang dilabelkan kepada mereka. Kerana mereka adalah benar.

Arab Saudi terus bertindak sebagai pemerhati, mencontohi rakan sekutunya Amerika syarikat. Setelah desakan demi desakan disuarakan, akhirnya mereka memutuskan untuk tidak menghentikan jualan minyak mentah kepada Negara Israel. Mereka beranggapan minyak adalah minyak dan ia tidak boleh disifatkan sebagai senjata. Minyak adalah sumber pendapatan bagi menjana kepentingan ekonomi mereka. Agar ekonomi Negara mereka tidak lumpuh, minyak perlu perlu terus dijual kepada Negara yang berminat. Itu tanggapan mereka.

Aksi arab Saudi tidaklah sehebat dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan mesir. Selain menutup pintu sempadan bagi menghalang kemasukan pelarian palestin, mereka turut menawar diri bekerjasama dengan ketenteraan amerika bagi mengesan laluan bawah tanah yang digunakan oleh pihak hamas sekaligus meletup dan memusnahkannya. Ini secara tidak langsung membantu Israel mengekang penentangan hamas terhadap mereka. Mesir tidak menyedari atau buat-buat tidak sedrar. Kata mereka ini adalah bertujuan menghalang jenayah penyeludupan sentaja yang melibatkan rakyat mereka.

Di tengah kegawatan peperangan yang meletus, tok arab sekali lagi mengejutkan dunia dengan pendirian mereka. Berita pemilikan kelab bola sepak liga inggeris – Manchester city – oleh sheikh mansour zayed al nahyan menjadi antara cerita bualan. Dengan kuasa wang yang dimiliki, jutawan abu dhabi itu sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar membeli dan memiliki kelab tersebut sedang rakan sebangsa mereka terkial-kial mencari tempat perlindungan, merintih mengharap belas kemanusiaan masyarakat dunia. Dengan nilai harta RM 78 bilion, ranking pertama menjadi kedudukannya dalam senarai hartawan yang memiliki kelab bola sepak.

Jika sukan menjadi pujaan hati si arab tadi, berbeza pula halnya di tanah air. Sebahagian kita terus terleka dengan budaya hedonisme. Walaupun penentangan masyarakat kita telah dizahirkan sejak beberapa hari lalu, pemimpin parti-parti politik dan badan bukan kerajaan dengan sikap anti israelnya, dengan jumlah kutipan tabung gaza yang mencecah RM 350 ribu, mari kita bertanya berapa ramai anak malaysia benar-benar menghayati isu kemanusiaan itu?... 40% atau 60% atau 80%?...

Kajian oleh the Nielsen company menunjukkan bahawa Negara Malaysia menduduki kelompok 10 negara teratas daripada 52 buah Negara dalam statistik rakyat yang paling ramai melayari internet untuk hiburan secara langsung. Dalam ceraian yang dibuat, Malaysia berada di tangga ke-7 (memainkan kandungan hiburan dari internet), di tangga ke-9 (memuat turun kandungan hiburan tersebut) dan di tangga ke-3 (rakyatnya menghabiskan masa selama 20 jam seminggu untuk kedua-dua proses tadi).

Hasilnya bila hiburan menyamari nilai-nilai kemanusiaan, tunggulah nanti akan terhijablah pula fitrah diri seorang manusia dengan kebendaan dunia.