Friday, January 23, 2009

SIJIL KEMATIAN

Selalunya jika kita mengikuti sesuatu program atau kursus, kita akan diberikan sijil penghargaan atau sijil penyertaan selepas kita mengikutinya dengan jaya. Namun berlainan sekali dengan kursus yang diikuti cermin hari minggu lepas, kerana bukan sijil penghargaan atau penyertaan yang dapat tetapi "sijil kematian".

Pelik kan?....
Kenapa pula "sijil kematian" dan ada apa pada nama?...

Bukanlah kerana diri telah menghembuskan nafas terakhirnya ( kalau tidak tak tertulislah entry ini ), tetapi kerana apa yang ada pada sijil tersebut. Lebih kurangnya sijil peringatan kepada umur yang sedang dinikmati. Cuba perhatikan gambar di bawah…


Bahagian depan,


Tertulis dengan nama sendiri berbinkan nama ibu ( macam nama waktu ditalqinkan ).

Kertas empat segi tertulis "jawatanku". Ini adalah senarai penting 12 jawatan kehidupan yang sedang dan akan dipertanggungjawabkan. Daripada seorang khalifah Allah sehinggalah kepada sebagai seorang pengguna jalan raya.

Riben putih itu pula jumlah umur yang masih berbaki ( mengambil sempena umur nabi Muhammad saw 63 tahun)

Kertas kecil itu di bawah dilatari gambar perkuburan bersama tertulis jumlah umur yang berbaki.

Sedikit kain perca berwarna putih mengingatkan kain putih yang bakal menyelubungi diri saat dikebumikan nanti.

Bahagian belakang

Kertas berbentuk hati yang diwarnai hitam dengan arang melambangkan hati kita yang sering dicalit dosa. Semakin lama semakin menggelapkan hati.

Riben putih ini pula adalah jumlah umur yang telah berbaki.
( setelah dipotong dari panjang riben di bahagian depan )

Kesimpulannya, sijil ini cukup simbolik. Sesuai dengan program yang telah dilalui.

Berkata imam al-ghazali

"orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati".

Friday, January 9, 2009

APABILA DUNIA MENGHIJAB

Kesegaran udara pagi yang dihirup dengan ketenangan suasana hari ini mewajibkan kita untuk terus mengucap syukur ke hadratNya. Dengan nikmat yang melimpah ruah, berbekalkan iman dan islam kita masih berpeluang menghargainya dengan perbuatan amal ibadah sepanjang hari yang dilaksanakan tanda penghargaan kita di atas segala nikmat diberi seperti yang dituntut. Ini kerana bukan semua umat manusia merasai nikmat tersebut.

Hari ini, saudara kita di palestin sana terus dirundung ujian. Sudah 15 belas hari mereka berpagikan ledakan bom dan kehingaran bunyi senjata bersimpang siur. Esak tangis kesedihan memenuhi ruang hidup harian meratap kematian, kecederaan tubuh dan kesakitan menanggung derita. Harapan mereka masih menggunung. Inginkan keamanan dan Negara merdeka.

Israel terus berani melaksanakan aktiviti kebinatangan mereka dalam usaha mencapai matlamat Israel raya. Walaupun ramai pihak sudah berusaha campur tangan menghentikannya, bagi mereka itu hanya gangguan picisan terhadap matlamat mereka. Kekejaman itu adalah sifat mereka kerana matlamat menghalalkan cara. Berpandukan motto itu, kebenaran dirasakan berada di pihak mereka.

Siapa yang berani menghalang?... Tiada langsung kedengaran laungan pengganas yang dilabelkan kepada mereka. Kerana mereka adalah benar.

Arab Saudi terus bertindak sebagai pemerhati, mencontohi rakan sekutunya Amerika syarikat. Setelah desakan demi desakan disuarakan, akhirnya mereka memutuskan untuk tidak menghentikan jualan minyak mentah kepada Negara Israel. Mereka beranggapan minyak adalah minyak dan ia tidak boleh disifatkan sebagai senjata. Minyak adalah sumber pendapatan bagi menjana kepentingan ekonomi mereka. Agar ekonomi Negara mereka tidak lumpuh, minyak perlu perlu terus dijual kepada Negara yang berminat. Itu tanggapan mereka.

Aksi arab Saudi tidaklah sehebat dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan mesir. Selain menutup pintu sempadan bagi menghalang kemasukan pelarian palestin, mereka turut menawar diri bekerjasama dengan ketenteraan amerika bagi mengesan laluan bawah tanah yang digunakan oleh pihak hamas sekaligus meletup dan memusnahkannya. Ini secara tidak langsung membantu Israel mengekang penentangan hamas terhadap mereka. Mesir tidak menyedari atau buat-buat tidak sedrar. Kata mereka ini adalah bertujuan menghalang jenayah penyeludupan sentaja yang melibatkan rakyat mereka.

Di tengah kegawatan peperangan yang meletus, tok arab sekali lagi mengejutkan dunia dengan pendirian mereka. Berita pemilikan kelab bola sepak liga inggeris – Manchester city – oleh sheikh mansour zayed al nahyan menjadi antara cerita bualan. Dengan kuasa wang yang dimiliki, jutawan abu dhabi itu sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar membeli dan memiliki kelab tersebut sedang rakan sebangsa mereka terkial-kial mencari tempat perlindungan, merintih mengharap belas kemanusiaan masyarakat dunia. Dengan nilai harta RM 78 bilion, ranking pertama menjadi kedudukannya dalam senarai hartawan yang memiliki kelab bola sepak.

Jika sukan menjadi pujaan hati si arab tadi, berbeza pula halnya di tanah air. Sebahagian kita terus terleka dengan budaya hedonisme. Walaupun penentangan masyarakat kita telah dizahirkan sejak beberapa hari lalu, pemimpin parti-parti politik dan badan bukan kerajaan dengan sikap anti israelnya, dengan jumlah kutipan tabung gaza yang mencecah RM 350 ribu, mari kita bertanya berapa ramai anak malaysia benar-benar menghayati isu kemanusiaan itu?... 40% atau 60% atau 80%?...

Kajian oleh the Nielsen company menunjukkan bahawa Negara Malaysia menduduki kelompok 10 negara teratas daripada 52 buah Negara dalam statistik rakyat yang paling ramai melayari internet untuk hiburan secara langsung. Dalam ceraian yang dibuat, Malaysia berada di tangga ke-7 (memainkan kandungan hiburan dari internet), di tangga ke-9 (memuat turun kandungan hiburan tersebut) dan di tangga ke-3 (rakyatnya menghabiskan masa selama 20 jam seminggu untuk kedua-dua proses tadi).

Hasilnya bila hiburan menyamari nilai-nilai kemanusiaan, tunggulah nanti akan terhijablah pula fitrah diri seorang manusia dengan kebendaan dunia.

Friday, January 2, 2009

AKTIVITI P&P


Ramai daripada kita melalui sistem pendidikan telah berhasil menempa nama namun tidak ramai yang bersedia untuk turut sama terus menerokai bidang pendidikan sedang ia mampu diperkembangkan tahap peningkatannya. Ramai yang telah berjaya mengatur kehidupan diri hasil dari pendidikan yang diterima, tetapi masih ramai yang kurang berminat dan terus sepi dalam menambahbaik sistem pendidikan yang sedia ada.

Buktinya, berapa ramai tenaga pengajar berpengalaman yang tersenarai membentuk keperibadian pewaris Negara, berapa ramai ibu bapa yang menyalahkan barisan pendidik dalam satu-satu kes yang melibatkan keluarga mereka dan berapa banyakkah sokongan yang telah disumbangkan sebagai pemangkin usaha mereka baik moral mahu pun berbentuk kewangan ?..

Bukanlah meminta agar semua beralih ke bidang pendidikan kerana setiap bidang itu memainkan peranan dalam pembangunan manusia yang merangkumi setiap segi. Bukanlah menyuruh semua kita menjawat jawatan pendidik kerana setiap kita berlainan minat dan kemahiran. Cukuplah sekadar menyumbang sokongan moral kepada mereka. Dari merekalah kita, anak-anak kita, generasi manusia mengenal hidup dunia.

Sekadar belajar memang ada payahnya, tetapi tidak sesukar untuk belajar, mengajar dan memahamkan orang lain. Itulah tugas mereka. Sebelum ini mereka menerima dan mendapat pelajaran, hari ini mereka pula perlu berhempas pulas mengajar dan menduduki tempat yang pernah diduduki oleh guru mereka.

Hendak memastikan setiap anak murid mampu menerima apa yang diajarkan bukanlah satu tugas mudah. Tapi, itulah proses pembelajaran. Apa yang dipanggil kini sebagai aktiviti P&P ( pengajaran & pembelajaran ).

Itulah tugas dan peranan si lilin dalam mengorbankan dirinya demi anak bangsa.

Penulis kini bergelar pendidik. Tugas berat menanti untuk ditanggung.
Sememangnya sukar untuk memanusiakan manusia.