Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN.... CINTAKU

Alhamdulillah, ramadhan tiba disambut hati penuh kegirangan. Peluang ini diberikanNya kepada kita buat kali yang seterusnya. Menandakan kita masih lagi di dalam rahmat dan kenikmatanNya.

Bagi yang merinduinya, kini kita sudah bertemu sesudah setahun berpisah. Untuk melampiaskan kerinduan, pastinya kita mula memikirkan cara terbaik untuk bersama dengan yang dirindu ini. Tapi bagi yang tiada kaitan, ia sekadar hari-hari yang berlalu pergi.

Sebagaimana seseorang yang sedang kemaruk rindu, berapa banyak idea yang diperah untuk menzahirkan kerinduannya buat teristimewa, buku-buku berkaitan percintaan berapa kali dikhatamnya, itu belum termasuk lagi cara bergaya, cara berpakaian dan penampilan serta cara berkomunikasi. Dengan satu tujuan, menunjukkan betapa rasa rindunya terhadap insan tersebut.

Tapi percaya atau tidak bahawa semua itu tidak akan berjaya, hanya akan mensia-siakan masa, meletihkan tubuh badan, mengharap sesuatu yang tidak kesampaian jika dia tidak terlebih dahulu memahami bagaimana menghayati erti cinta kepada manusia.

Memahami dengan sebenarnya prinsip dan falsafah hubungan kemanusiaan akan banyak membantu dia. Itupun kalau dia betul-betul memahami dan ingin mengkaji duduk sebenar perkara itu. Tapi… tidak ramai yang akan mengkaji dan memahaminya kerana berasa itu perkara enteng.

Saja sebut pasal ini kerana ramai daripada kita menyatakan kegembiraan dengan kehadiran ramadhan. Sekadar dari mulut, namun tak ramai yang mampu malah ada juga yang tidak tahu cara terbaik untuk menzahirkannya. Di sini tak timbul masalah ingin menunjuk atau sebagainya.

Yang penting selepas kita memahami prinsip ramadhan itu, dengan sendirinya kita akan cuba memahami bentuk tingkah laku bagaimana yang diperlukan sepanjang ramadhan lalu kita akan cuba mempraktikkannya sebagai tanda cinta dan rindu terhadap bulan mulia itu.

“Kalaulah mereka tahu bahawa ramadhan itu adalah kembali kepada fitrah semulajadi manusia…..”

Wednesday, August 19, 2009

Monday, August 17, 2009

ISLAM MEREKA

Aku sudah lama menunggu. Menanti seseorang untuk berkata begitu. “Islam adalah Islam”. Itu prinsip yang rasanya tok guru pegang tatkala berkata “Islam umno tidak akan membawa ahlinya ke mana-mana”.

Itu bukan serangan peribadi. Silap besar kalau mereka fikirkan sebegitu. Bukan juga meraih simpati bagi pilihanraya kecil permatang pasir. Itu adalah hakikat dan itu juga adalah kebenaran. Apatah lagi ia keluar dari mulut seorang yang bergelar tok guru. Bukan bangsa Melayu sahaja yang memanggilnya “tok guru”, turut serta bangsa India dan Cina. Membuktikan ilmunya dan dirinya dihormati dan disegani.

Perkataan ini memang aku tunggu. Jelas lagi sarahah. Tiada kesamaran. Yang tidak faham, mungkin sengaja membutakan pendengarannya. Memang mereka macam tu. Buta, pekak dan tuli terhadap kebenaran.

Mengikut sejarah Malaysia, mereka ini akan cepat faham dan terus melenting bila ada kes yang menyentuh tembolok mereka. Tapi kalau setakat mengocak air muka atau menjatuhkan maruah diri mereka, kes itu mereka akan tolak tepi. Buat tak layan walau pedih telinga. Seolah tiada apa yang berlaku.

Sekurang-kurangnya mereka tidak sampai ke peringkat orang yang faham, mengaku faham, lalu berhujah melawan kebenaran. Ibarat benang basah yang ingin ditegakkan. Kail panjang sejengkal, lautan hendak diduga. Mana masuk akal. Hanya mereka yang akan mengangguk mengatakan boleh. Siapa….. orang umno. Kononnya Islam mereka adalah Islam tulen.

Siapa mereka yang hendak melawan, berhujah mencari alasan kuno yang terbantut di dalam akal fikiran mereka ?..... pemimpin tertinggi umno?... ketua pemuda, puteri umno?..... Aku bosan melihat sikap mereka yang penuh kemunafikan.

Islam itu rahmat, Islam itu kasih sayang. Adakah kerana ini mereka menghulurkan bantuan di saat pilihanraya hampir tiba kononnya ingin menunjukkan keperihatinan mereka, rasa kasih mereka terhadap masyarakat miskin?...

Umat Islam berpegang dengan janji. Berapa banyak sesi “janji yang ditabur belum dikota” telah dilakukan mereka dan direkod di dalam sejarah kehidupan rakyat Malaysia?... Hanya orang buta sejarah sahaja yang akan terus menyokong.

Islam itu islam. Perintah adalah perintah, larangan adalah larangan. Itupun mereka belum faham sepenuhnya walau sijil PHd di genggaman. Takkanlah aku boleh pejamkan mata tatkala rasuah bermain di depan mata, judi dijadikan sumber ekonomi Negara, halal dan haram menjadi permainan dan dolak-dalih mereka. Islamkah mereka ?.... ya, Islam dengan cara mereka.

Wahai orang umno, terimalah hakikat. Kebenaran itu adalah kebenaran.
Perkataan tuan guru bukan satu hukuman yang tersesa-gesa. Tetapi telah melalui tempoh panjang yang akhirnya wajar untuk diungkapkan. Mungkin cara lembut dah tak boleh. Peluang telah lama diberi untuk bertaubat. Mungkin peluang ada, cuma tidak diambil sepenuhnya.

Ingat…. Ucapan itu bukan kerana dengki atau bermusuh. Tapi kerana Islam itu rahmat. Inginkan kesejahteraan dunia akhirat dinikmati oleh semua. Cuma perlukan kesedaran.

Wednesday, August 5, 2009

AKU ADALAH AKU

Aku bukanlah seorang pelajar yang cemerlang akademik. Tidur, bermain, tak faham apatah lagi untuk memberi faham kepada orang lain. Itu antara tabiat aku yang aku tahu.

Melanggar disiplin adalah antara hobi aku. Guru marah, benci, menyampah, itu semua aku tolak tepi. Yang penting aku suka. Dimarahi, didenda, alah bisa tegal biasa.



Ramai rakan-rakan yang menjauhkan diri, peduli apa. Aku pun ada kengkawan sendiri. Punya hobi yang satu. Mungkin tak cerdik, tiada disipin, tak tahu berkawan menjadi puncanya.

Sekolah seakan tempat paksaan. Itu fikir aku. Dunia aku adalah pagi pergi sekolah, petang pulang ke rumah. Belajar, nak faham, itu jauh sama sekali. Hanya mengumpul member di sana menjadi rakan sembang.

Di sebalik pagar sekolah, dunia luar sentiasa melambai godaannya. Menggamit hati untuk join sekaki. Ponteng sekolah….. takpe, yang penting jangan sampai di buang sekolah. Nanti payah….

Kalau jadi kes, ibu bapa berleter panjang. Habis semua perkataan terkeluar. Aku setia mendengar. Telingaku sudah lali menerimanya. Ibarat air yang dituang ke daun keladi.



Tapi… itu semua cerita dulu. Menjadi sejarah. Mencipta diari kehidupan. Lembaran pengalaman yang terkadang mencuit hati. Membuat aku tersenyum bila ia diingati semula.

Hari ini, aku adalah aku. Jauh berbeza dari yang dulu. Walau tidak sehebat mana, aku masih berbangga kerana aku adalah aku. Aku yakin peluang membaiki diri masih terbuka luas untuk diredahi. Hanya menanti langkah penjejaknya.

Merasa rendah diri, tidak sekali-kali. Hendak berbangga diri, aku tahu latar belakangku. Siapa aku dan apa kelayakan aku. Yang penting kini aku lebih mengerti bahawa tugasku kelak lebih menambah erti. Itupun jika aku terus menyedari.