Sunday, April 27, 2008

HARI INI

Hari ini ahad 27 april 2008 bersamaan 20 rabiul akhir 1429, fajar hadir menyingkap kegelapan malam menghasilkan pagi yang penuh bermakna. Pagi ini pagi kesyukuran dengan seribu keberkatan. Pagi ini adalah sebuah kurniaan seperti pagi-pagi yang lalu dan yang akan berlalu buat penilai dan pemikirnya.

Di luar sana, hari ini adanya kelahiran dan ada juga kematian. Bagi yang sedang menyambut kelahiran sesiapa atau yang menyambut hari kelahirannya, cermin mengucapkan sama selamat hari lahir semoga usia terus dilimpahi keberkatan. Namun bagi mereka yang dirundung malang, takziah diucapkan. Kesabaran itu hiasan orang mukmin. Berbanggalah kita sebagai orang yang beriman.

Begitulah pusingan dunia. Amat sesuailah kita menisbahkan kehidupan ini dengan roda yang sifatnya berputar. Berputar membentuk ragam kehidupan. Bertukar ganti atas dan bawah selari dengan pertukaran malam dan siang. Tangis, gembira, bahagia dan kecewa begitu juga. Datang dan pergi seiring musim-musim tahunan. Sentiasa berputar selagi umurnya masih berbaki.

Manusia seharusnya mengambil iktibar. Bukan semua yang ada berkekalan. Hari ini ada yang dilahirkan dan ada juga yang dijemput ke hadrat ilahi. Kita….. alhamdulillah masih diberi peluang. Hakikatnya berada di alam pertengahan ini (antara kelahiran dan kematian) sebenarnya satu tanggungjawab buat kita.

Di samping menjadi contoh kepada orang yang lebih muda, kita juga perlu menjadikan sejarah orang terdahulu sebagai contoh. Yang baru lahir kitalah bertanggungjawab membentuknya dan memandu mereka sejajar dengan panduan dan pedoman yang kita kutip lalu dirumuskan daripada orang telah mendahului kita. Itulah orang pertengahan, di hulu perlu diberi perhatian di hilir pun sama.

Ringkasnya, selagi kita sedar tanggungjawab yang terbeban di pundak kita selagi itulah kita tidak akan sekali bersikap lalai terhadapnya.

Satu riwayat daripada Ibnu Umar ra ada menyebut:

"Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu ini orang asing atau orang yang hanya menumpang lalu".

Tuesday, April 15, 2008

KASIH SAYANG MEREKA

Waktu kecil dulu ibu selalu pesan jangan jadi seperti lalang, ke kiri ke kanan mengikut hembusan angin. Tidak pernah tetap di satu tempat. Hidup perlu ada pendirian. Jangan mudah mengikut arus. Abah pula hanya diam mengangguk.

Kalau waktu bergaduh dengan adik atau abang, sambil marah ibu akan berkata "kalau dah tak boleh duduk dengan orang, pergi tinggal kat hutan sana. Takde orang nak kacau". Abah hanya memerhati dan sesekali berkata "biarlah…..budak lagi".

Bila kita minta belikan alat tulis baru ibu cakap "elok lagi pensil tu, kan boleh guna lagi buat apa minta beli yang baru" (walaupun pensil tu sudah tahap kontot). Abah sekali lagi diam. Sehari kemudian, abah pulang dari kerja dengan pensil yang baru.

Saat kita melawan cakap, ibu akan mencapai rotan. Lalu berbiratlah badan lepas itu. Kata abah "hah…..lawanlah lagi cakap ibu, nanti kalau tak dapat cium bau syurga jangan menyesal" (nada menyindir).

Sekarang bila sudah jauh di rantau orang, ibu selalu bertanya "bila nak abis mengaji?.... tahun ni tak balike?".....Abah pula kata kalau ada peluang sambung mengaji, teruskan mengaji sementara umur masih muda.

Dua gaya berlainan dengan satu tujuan. Ingin melihat anak mereka menjadi manusia. Itulah orang tua kita. Kasih sayang mereka belum tentu terbalas. Namun kita yakin bahawa hanya kasih sayanglah yang mampu membalas kasih sayang mereka.

Sabda Nabi saw:
"berbuat baiklah kepada ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".

Monday, April 7, 2008

ANTARA KITA DAN SUU PHEA

Membaca Suu Phea seolah kita membaca selembar harapan saudara mara kita. Menghayati jalan ceritanya seperti kita sedang berhadapan dengan situasi sebenar. Situasi yang dihadapi oleh Suu Phea, seorang gadis Myanmar yang mempertaruhkan kehidupannya demi masa depan anak bangsa. Berjuang menegakkan apa yang ia panggil sebagai demokrasi. Keadilan hak milik semua. Yea….itu cita-citanya. Itulah harapan yang terkandung dibenaknya.

Mereka saudara kita. Satu rumpun melayu. Mungkin juga satu agama. Malah punya harapan yang sama. Mahu melihat semua rakyat mendapat persamaan hak. Itulah watak Suu Phea yang digambarkan. Di sana juga terselit watak Suu Kyi di atas landasan yang sama. Memperjuangkan keadilan sosial.

Novel karangan Abu Hasan Morad ini ada realitinya. Mana mungkin kita lupa beberapa bulan yang lalu saat rakyat Myanmar turun beramai-ramai berdemontrasi menuntut demokrasi dari pihak junta tentera. Seluruh akhbar merakamkan peristiwa tersebut. Diketuai para sami, mereka berhimpun menzahirkan sebuah harapan. Sehingga kini harapan tersebut masih terawang-awangan.

Dunia menjadi saksi bahawa di belakang tabir sana ada pihak yang beraksi menyekat harapan tersebut. "Suu Kyi dihalang kembali aktif politik". Tajuk akhbar ini menjadi buktinya. Malah mereka mengaburi umum dengan penamaan semata "pelah ke arah demokrasi", demi satu matlamat mengekalkan penguasaan junta tentera di parlimen seterusnya menafikan bibit-bibit kewujudan demokrasi di bumi Myanmar.

Semuanya itu akan berkuatkuasa apabila draf perlembagaan terbaru Myanmar dikemukakan kepada umum. 25 peratus kerusi Parlimen perlu diperuntukkan kepada tentera, melarang Suu Kyi daripada dilantik sebagai Presiden atau Ahli Parlimen kerana berkahwin dengan rakyat asing, memberi kelulusan kepada tentera untuk mengambil alih kerajaan. Semuanya ini adalah bukti nyata.

Sedangkan haiwan pun akan mempertahankan kelompoknya dari gangguan luar, kenapa tidak manusia?.... Terlalu mengikut hawa nafsu tanpa berfikir adakah ianya sesuai dengan lunas-lunas kemanusiaan atau kerana manusia berakallah, mereka cuba mencipta jurang pemisah demi kepentingan diri. Mungkin juga kerana tiada pedoman agama yang memandu.

Antara Suu Phea, Suu Kyi, junta tentera, demokrasi dan bumi Myanmar sering bersatu mencipta sebuah kehidupan dengan watak pelbagai. Demokrasi itu matlamat utama.

Alhamdulillah, kita di Malaysia sedikit beruntung dengan adanya sistem demokrasi yang walaupun sedikit pincang. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada apa yang menimpa Suu Phea dan Myanmar. Namun perbandingan itu belum cukup sempurna. Sebaiknya kita membandingkan Malaysia dengan Negara-negara dunia yang lebih baik pengamalan sistem demokrasinya.

Tuesday, April 1, 2008

TEMANKU BAJU SEJUK


Cuaca di sini malam tadi seolah baru hendak masuk musim sejuk. Walaupun sebenarnya musim sejuk sudah pun hampir ke penghujungnya (yealah…..sekarang dah bulan 4). Dengan angin yang sekali sekala kencang tiupannya terasa mencucuk hingga ke tulang sumsum. Bukan baru malam tadi, tapi sejak beberapa hari lepas. Cuma malam tadi terasa benar kesejukannya.
Alhamdulillah, cuaca dan tiupan angin itu tidak menghalang cermin dari menghadiri mesyuarat "berdiri" malam tadi. Ikutkan hati memang hendak mengunci diri di rumah sahaja, tapi memandangkan tanggungjawab itu adalah satu tanggungjawab terpaksa juga menggagahkan diri. Baju sejuk yang sudah disimpan dalam kotak dikeluarkan kembali sebagai teman meredahi angin malam. "aku masih memerlukan khidmatmu wahai baju sejukku".
Yea, memang malam tadi bukan seperti malam-malam musim panas. Orang kata itu penangan terakhir musim sejuk. Tak tahulah….. kalau betul pun, jangan sampai menggugat keimanan kita kepada Yang Esa. Dia yang maha pencipta dan dia jugalah maha pentadbir segalanya.
Oleh kerana cermin bukanlah pakar kaji cuaca ataupun pakar astronomi, malah bidang yang sedang diceburi pun bukan dalam medan tersebut terpaksalah untuk malam-malam seterusnya kalau bercadang ingin keluar malam perlu pastikan baju sejuk tidak tertinggal. Baju sejuk adalah teman idealku........