Sunday, November 29, 2009

BERHATI-HATILAH DENGAN DOA ORANG DIZALIMI

Setiap orang berhak mengeluarkan pendapat. Setiap orang boleh bercakap atas apa yang mereka fikirkan. Malah setiap orang mempunyai hak untuk mengulas sesuatu perkara itu mengikut corak pemikiran, ilmu pengetahuan dan cedokan pengalamannya. Kerana setiap orang menikmati hak kebebasan itu.

Namun perlu disedari, daripada semua yang diutarakan itu tidak semuanya betul. Tidak semuanya boleh kita anggukkan sahaja. Kekadang yang dikeluarkan itu hanya sekadar pendapat peribadi. Tidak berlandaskan kepada pengetahuan yang tepat atau situasi yang betul. Maka ia boleh dipertikaikan. Kecualilah jika sesuatu perkara itu diulas oleh seseorang yang mempunyai kelayakan dan kemahiran di dalam perkara itu, maka perkataannya itu harus dipertimbangkan.

Dalam bidang perubatan, sudah pasti kata-kata doktor menjadi pegangan. Dalam kes perundangan, nescaya peguam yang akan menjadi rujukan. Dalam hal pembinaan rumah, idea seorang arkitek akan diberi perhatian. Kenapa di dalam isu agama, para ulama’ tidak diberi keutamaan?... Adakah semua orang boleh bercakap soal agama tanpa merujuk kepada orang yang berkelayakan dan berpengetahuan dalam bidang tersebut?... Kenapa yang jadi sebegini?...

Berkenaan isu doa tuan guru, ada rakan-rakan bertanya minta pendapat. Bagi penulis perkara itu tiada masalah. Malah tuan guru bijak menggunakan haknya pada waktu yang sesuai. Kenapa dan bagaimana?...



Doa bukan sekadar permintaan dan pengharapan. Doa bagi orang mukmin itu adalah senjata. Dan sifat bagi senjata itu adalah memusnahkan. Maka tidak hairanlah ketika tuan guru dalam situasi ingin mempertahankan haknya dan hak rakyatnya, beliau mengatakan akan berdoa. Menggunakan senjata untuk mempertahankan maruah dan hak, adakah itu dikira tidak betul ?... Adakah pihak polis akan menangkap mangsa rompakan selepas membelasah perompak kerana memecah masuk rumahnya?... Inilah keadaan yang sedang berlaku.

Tuan guru baru menyatakan hasrat hati untuk berdoa memusnahkan masa depan. Belum lagi melakukannya. Kenapa beliau diserang seolah-olah sudah buat apa yang dihasratkan tadi?.... Islam tidak akan mengambil kira niat jahat seseorang sehinggalah ia melakukannya (itupun kalaulah hasrat tuan guru itu berunsur jahat). Jadi, kenapa sibuk-sibuk mereka serang sana sini tanpa mempedulikan panduan agama ?.... Adakah mereka memekakkan telinga ketika tuan guru berkata beliau telah berdoa supaya Allah membukakan hati ketua negara dengan memulangkan haknya dan hak rakyatnya ?... Kenapa itu tidak diambil kisah ?...

Kita sekarang jangan terbelenggu dengan fakta yang diputarbelitkan. Perlu kita mengetahui dalam keadaan sekarang siapakah yang zalim dan siapakah yang dizalimi. Zalim bukan sekadar membunuh atau mencederakan orang lain, tetapi menafikan hak sahaja sudah dikira zalim.

Ingat, doa orang yang dizalimi itu tiada penghalang antaranya dengan Sang Pencipta. Berhati-hatilah…….