Saat Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan kenaikan peratus kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, ramai dari kita tersenyum gembira. Tidak kurang yang menghembus nafas kelegaan tanda berpuas hati dengan sistem pendidikan di Malaysia. Ada yang mula mendabik dada mengatakan “itulah pelajar yang dulu aku ajar”. Ada juga yang mengusap perut sambil bergumam, “tidak rugi perut ini mengandungkan anak itu”. Melompat kegembiraan menjadi hiasan suasana pentas alam waktu itu.
Meraikan kecemerlangan. Merayakan kejayaan.
Inilah kita. Realiti rakyat Malaysia.
Aku tidak mengatakan kita tidak boleh berjaya. Apatah lagi untuk mengatakan tidak boleh bagi kita meraikan kejayaan. Kerana aku bukanlah dari golongan orang menafikan fitrah kejadian seorang manusia yang inginkan kejayaan dalam segala urusannya.
Cuma, terasa ingin mengajak semua merenung semula hakikat kejayaan tersebut. Apakah erti sebenar sebuah kejayaan?.. Tanyalah diri, pasti akan ketemu jawapan sejujur hati.
Ramai dari kita hari ini yang mana kejayaannya dibina atas tapak pengetahuan. Hanya sekadar tahu. Satu tapak kejayaan yang bersifat rapuh. Tidak cukup ampuh kerana ‘tahu’ hanyalah aras asas bagi sesebuah ilmu.
Pengetahuan tentang kepentingan menjaga kebersihan tidaklah menjadikan seseorang itu akan betul-betul menjaga dan menitikberatkan kebersihan. Pengetahuan mengenai keadilan hukum Islam tidak memungkinkan seseorang itu memperjuangkan hukum tersebut dan melaksanakannya jika ia mempunyai kuasa. Dan masyarakat yang tahu tentang bahayanya penzinaan, kekadang pengetahuan itu tidak mampu menyekat dan mengekang nafsu mereka untuk terjebak dalam situasi itu.
Kerana ‘tahu’ adalah asas yang cukup rapuh bagi sesuatu kejayaan.
Jadi, apakah resepi lain yang boleh diadun sama mengukuh asas kejayaan ?.
Daripada tidak tahu kepada tahu. ‘Tahu’ adalah proses pertama dalam aktiviti akal. Tetapi dengan tahu, masih belum memadai kerana proses itu perlu diteruskan untuk sampai ke tahap yang sepatutnya dimiliki oleh akal. Tahap-tahap yang seterusnya itu akan boleh diterokai sekiranya akal telah sampai ke tahap ‘faham’.
TAHU kepada FAHAM.
Maka tidak hairanlah apabila ramai anak didik kita yang belajar dari awal pagi hingga ke lewat petang, namun apabila ditanya apakah kamu faham apa yang kamu belajar ?, ramainya akan jawab “isyh…. banyaklah yang tak faham”.
Ingat, tahu adalah natijah penerimaan. Tetapi faham adalah natijah daripada proses yang panjang. Bukan sekadar menerima maklumat atau apa sahaja ilmu yang diberi, malah berusaha menilai, membandingkan maklumat itu dengan maklumat terdahulu, lalu mengeluarkan hasil maklumat yang diperolehi berdasarkan penilaian dan kefahaman yang dimilki dalam suatu bentuk pemahaman yang melebihi tahap ‘tahu’.
Betullah kata orang, tahu tidak semestinya menandakan seseorang itu faham. Tetapi bila mereka faham, pasti mereka terlebih dahulu mengetahui.
Kenapa pula perlu kepada faham ?... Adakah tidak cukup dengan hanya tahu ?...