Wednesday, February 13, 2008

HAPPY VALENTINE


Mereka bercakap atas nama fitrah manusia. Melabelkan diri mereka sebagai orang yang memperjuangkan sifat semulajadi manusia. Sifat azali yang terus berada di dalam diri insan. Mustahil untuk dinafikannya. Cinta…… kasih sayang……. mahabbah…. dan perkataan lain yang seerti dengannya.

Namun, sebenarnya mereka tertipu dengan dakyah mereka sendiri. Terlalu mengumumkan makna cinta, makna kasih sayang sehingga meliputi perkara yang tidak sepatutnya langsung membawa diri terjerumus ke dalam tipu helah dunia.
Happy valentine, satu lagi unsur yang mencemar akidah bagi mereka yang sedar. Satu lagi bentuk helah dalam menyesatkan umat Islam. Umum mengetahui hari tersebut merupakan hari peringatan terhadap seorang paderi kristian dan perjuangannya dalam menyebarluaskan pengaruh kristian di bumi Andalus. Lalu hari itu diketengahkan kepada masyarakat dunia. Maka berduyun-duyunlah manusia menyambutnya khususnya bagi mereka yang bercinta. Terlupa mereka seketika jurang pemisah antara kristian dan Islam.

Rasulullah s.a.w dalam satu hadisnya pernah bertegas : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dalam lingkungan kaum tersebut."

Cinta dan kasih sayang, Islam tidak pernah menghalang malah menganjurkannya. Islam itu sendiri datang sebagai rahmat kepada sekalian manusia. Tetapi Islam membentangkan gaya tersendiri dalam menyahut fitrah manusia itu.

Sabda nabi saw bermaksud:
"barangsiapa yang tidak mengasihi mereka yang kecil dan tidak menghormati mereka yang tua, maka dia bukan dari golongan kami (umat Islam)"

"tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri"

"tidak beriman seseorang itu sehingga aku menjadi orang yang paling ia kasihi daripada orang tuanya, anak-anaknya dan manusia sekaliannya".

Bagi yang bercinta, Islam meletakkan garis panduan untuk diaplikasikan sejajar dengan kehendak manusia. Bukan mengongkong, tetapi lebih kepada menyalurkannya ke arah makna dan maksud sebenar. Maka disyariatkan hukum pertunangan, perkahwinan dan ditambah dengan adab-adab pergaulan serta berkasih sayang.

Sedarlah, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana sebahagian kecil, kita semua menanggung akibatnya. Berilah faham kepada mereka yang masih tersalah faham itu. Sesungguhnya agama Islam itu adalah agama nasihat menasihati.

Sunday, February 10, 2008

BILA LAGI


Malam tadi angin yang bertiup dari tanah semenanjung mengkhabarkan pilihanraya Malaysia semakin hampir. Angin yang melalui tanah arab itu bukan lagi sepoi-sepoi bahasa, tetapi angin yang kencang tiupannya. Ia juga turut bertiup di benua lain serata dunia mencari rakyat Malaysia agar mereka tidak terlepas khabar ini. Khabar pilihanraya…..khabar pemilihan rakyat Malaysia.

Yea, pilihanraya semakin hampir. Ciri istimewa sistem demokrasi ini amat ditunggu semua untuk melempiaskan hak yang masih berbaki setelah kebanyakkan hak-hak keistimewaan warganegara Malaysia dicuri dan dikhianati.

Walaupun begitu, penentuan harinya masih menjadi teka-teki Perdana Menteri untuk rakyatnya. Memang menyeksakan kerana ia satu penantian. Menanti-nanti bilakah harinya, bilakah tarikhnya. Dalam pada itu, sebenarnya ia dianggap sebahagian pihak sebagai satu taujihat. Merangsang kita agar sentiasa berwaspada dan bersedia. Menggerakkan semua kekuatan dengan satu perancangan teliti, bukanlah melatah hingga menzahirkan kelemahan. lalu membawa kekalahan. Biar dia dengan teka-tekinya, yang penting kita dah bersedia menyusun cara untuk menjawab teka-teki tersebut. Sejarah itu adalah pengalaman dan panduan kita.

Semua kita menunggu dan mengikuti khabarnya. Baik di dalam Negara mahupun yang bertaburan di pelusuk dunia kerana kita sedar itu adalah hari penentuan. Penentu berapakah pula harga minyak akan mencacak naik, begitu juga roti canai dan cucur di tepi jalan, tak lupa yuran sekolah, kebajikan rakyat, kebebasan media, keistimewaan bumiputra, dasar luar Negara dan lain-lain yang terlalu banyak kalau hendak disentuh. Nasihat cermin janganlah kita kali ini tersalah langkah lagi.

Bagi yang sudah mula bergerak untuk merealitikan impian rakyat, terima kasih dan syabas diucapkan. Teruskan usaha mulia kalian, kami di luar akan sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan kesejahteraan. Mereka yang masih terlena, sedarlah!!!... hari sudah pun siang. Masa untuk mengkotakan kata sudah lama bermula. Jangan sampai anda merasa rugi bila tiket sudah dibeli, tapi anda tertinggal keretapi.

Sunday, February 3, 2008

PILIHAN KITA

Pernah suatu hari cermin bertanya sendiri jikalau musim pilihanraya nanti cermin ditakdirkan berada di Malaysia, agak-agaknya apakah parti politik yang akan dipilih?.

Renung-renung, fikir-fikir…..

Lalu cermin katakan kepada diri pilihlah parti apa saja yang bertanding dengan syarat bersandarkan kepada 10 natijah di bawah ini.

1. Berlakunya perubahan yang menjamin bukan menggadai masa depan
2. Perundangan Islam dapat didaulatkan
3. Malaysia tidak terus berada dalam kelompok Negara dunia ketiga yang berada di kelas ketiga
4. Barisan kepimpinan Negara yang cukup relevan mendepani massa
5. Dapat mengecapi hak-hak sebagai seorang rakyat Malaysia
6. Hasil mahsul Negara terpelihara dan dinikmati oleh semua (samada yang terdapat di dataran terbentang mahupun di dasar lautan)
7. Demokrasi dipraktikkkan sepenuhnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan
8. Isu perkauman tidak dimainkan malah dibentuk ikut acuan perpaduan
9. Malaysia menjadi negara contoh dan panduan kepada rakyat dunia
10 Hati setiap kita terasa puas dan bahagia
Belajarlah menjadi rakyat yang cerdik dengan memilih pemimpin yang bersifat cerdik.

Thursday, January 24, 2008

BERSANGKA BAIKLAH

Suatu hari sedang kita berjalan di tengah kota, tiba-tiba kita disapa oleh seorang pemuda yang segak penampilannya berseluar slack, berbaju kemeja lengan panjang yang dimasukkan ke dalam serta berkasut hitam.

"Adik, pukul berapa yea sekarang?"dia bertanya dan tersenyum.
"Baru pukul tiga petang bang" dengan senang hatinya kita menjawab.Gembira kerana menolong orang.

Namun sebelum dia beredar kita sempat melihat apa yang terselit di celah tali pinggangnya, sebuah telefon bimbit (Nokia N73) dan sebuah jam tangan berjenama Rolex tersembunyi di sebalik lengan bajunya.

Kita tertanya-tanya, hati berbolak-balik antara hendak bersangka baik atau berburuk sangka. Lalu kita tersenyum sendirian mengenangkan itulah ragam manusia. Teringat pesan guru "bersangka baiklah selagi ada ruang untuk berbaik sangka, jika tiada maka minimakanlah sangkaan buruk kita terhadapnya".

Firman Allah swt bermaksud :
Wahai orang-orang beriman, jauhilah diri kamu dari banyak berprasangka, sesungguhnya sesetengah prasangka itu adanya dosa. –hujurat:12

Saidina Omar al-Khattab pernah berkata:
Janganlah kamu berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari mulut saudara kamu (sesama muslim) kecuali sangkaan yang baik.


catitan:
2 hari lepas salji turun di Bandar Dimasyq. Hampir 5 jam tanpa henti. Walaupun tidaklah selebat apa yang turun di kutub utara sana, Cermin tetap menahan kesejukan. Bertemankan alat pemanas, cuba-cuba nak rangka cerita macam tintahati buat waktu hujan turun, tak berjaya kerana otak turut beku.

Wednesday, January 16, 2008

FIKIR vs RENUNG


“Aduh… banyak lagi ke yang nak kena baca ?.” keluh diri sambil mata melihat timbunan buku yang berada di atas meja. Tersusun elok mengikut aturan tanda tidak pernah terusik. Jari turut membilang helaian muka surat buku di depan mata yang masih berbaki untuk dibaca. “1,2,3….50…...150 muka surat, ni baru satu madah, belum lagi madah-madah yang lain” getus hati semacam tak puas hati. Kalaulah……