Monday, December 8, 2008

NTAHLAH.....


Ini bukanlah kesan darah akibat kemalangan jalanraya di lebuhraya utara-selatan, bukan juga kecedaraan dari runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, jauh sekali melibatkan kes-kes vandalisme yang menghantui remaja.

Ini hanyalah sebahagian daripada kesan percikan darah lembu yang dikorbankan pagi semalam. Campuran darah dari tubuh lima ekor lembu yang ditumbangkan.Terasa panasnya saat ia memancut keluar dari leher yang disembelih.

Sedih bila terkenangkan darah umat Islam yang kini murah nilainya di mata mereka penjajah edisi moden. Bilakah kita akan sedar sedang tiap tahun slogan pengorbanan kita bersama laungkan?....

Friday, December 5, 2008

NILAILAH DENGAN SEWAJARNYA

Apabila sebuah bola ditekan ke dalam air, maka dengan sendirinya ia akan melantun ke atas melawan arah. Semakin kuat ia ditekan, semakin kuat pulalah lantunannya. Ini kerana kuasa lantunan itu bergantung kepada kekuatan tekanan yang dihadapi.

Begitulah ketika kita cuba memahami beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini, kita akan dapati bahawa punca yang mendorong dan natijah yang terhasil adalah sama sahaja dengan apa yang berlaku kepada sebiji bola di atas tadi. Kerana tekanan yang dihadapi, maka berbagai peristiwa di luar jangkaan yang berlaku.

Himpunan bersih misalannya, siapa yang menyangka bahawa rakyat Malaysia pada suatu hari nanti akan berkumpul seramai itu untuk menyatakan rasa ketidakpuashatian terhadap isu-isu masyarakat yang tidak diambil peduli oleh pihak pimpinan lalu mendesak agar ianya diberi perhatian. Melihat kepada sebab-sebab pendorong, tidak mustahil ianya boleh berlaku sekali lagi. Malah mungkin lebih hebat gayanya jika pengurusan berbentuk alai balai diteruskan.

Itu satu contoh terdekat dalam lingkungan hidup kita.

Bagaimana pula dengan apa yang berlaku di perairan Teluk Eden bilamana sebuah kumpulan rakyat Somalia menyerang dan menawan sebuah kapal tangki milik kerajaan Arab Saudi?. Dalam tempoh 16 minit, kapal yang bernama Sirius Star mampu ditawan mereka. Lalu dicananglah di kalangan media bahawa mereka ini kumpulan lanun yang membahayakan laluan perairan antarabangsa dan mengancam keselamatan sejagat. Kita semua menerimanya sebagai sebuah maklumat. Tapi adakah tepat maklumat tersebut?.... Kenapa pihak media tidak melaporkan sebab pendorong kepada kegiatan mereka itu?... Seolah-olah mereka ini sahaja bersalah, dihukum mati pun tidak mengapa. Sedang lanun darat yang merompak hasil bumi mereka, mengacau-bilaukan sistem pentadbiran Negara, membiarkan mereka merempat di tanah sendiri tidak didakwa, hak kemanusian mereka dipermainkan oleh pihak penjajah, jadi adakah kegiatan lanun darat ini dimaafkan?... Apa lagi yang mampu mereka lakukan selain bertindak di atas tekanan yang diberi.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Mumbai, India. Ketika dua hotel di sana, Hotel Taj Mahal dan Hotel Oberoi ditawan oleh mereka yang digelar sebagai pengganas pada 26 november yang lalu. Siapa pula sangka ini akan berlaku?... Kegiatan pengganas?... Apa yang mereka dapat sedangkan tempat itu bukanlah kawasan strategik untuk ditawan dan dikuasai. Bukan pejabat pentadbiran kerajaan atau kem tentera atau bank dunia. Jangan lupa satu perkara telah berhasil. Meluahkan perasaan yang telah lama terpendam. Mungkin kita kurang teliti dalam berita ini apabila kita tidak cuba mencari sebab kepada berlakunya peristiwa ini. Tapi insya Allah sedikit hari lagi kita akan mengetahuinya bagaimana mereka seramai 240 000 orang muslim telah dipaksa oleh puak hindu, dibantu oleh kuasa ketenteraan memeluk agama hindu sebelum dibenarkan kembali ke kampung halaman mereka sendiri. Ini berlaku di wilayah Gujarat dan diceritakan sendiri oleh mereka di dalam akhbar tempatan. Ini baru satu kawasan. Tidak mustahil ianya boleh berlaku di banyak tempat lagi. Maklumat yang cuba tidak diketengahkan oleh golongan media.

Cermin tidak katakan cara mereka itu betul. Salah tetap salah kerana ada lagi jalan terbaik. Tetapi berapa ramai dari kita yang mengetahui di sebalik apa yang berlaku. Jangan sesekali kita diperbodohkan oleh maklumat semasa.
salam aidiladha buat semua teman. semoga falsafah pengorbanan itu dapat kita hayati bersama demi kelangsungan hidup yang cemerlang.

Friday, November 28, 2008

CERITA HUJAN


dari petang membawa ke malam...


Cuaca pagi ini cerah dan kadang kala diselubungi awan hitam. Petang pula hujan lebat diselangi kilat yang saling bersahutan menghasilkan dentuman. Hujan….. mungkin ke waktu ni tintahati sedang berkhayal menggali idea untuk menyambung ceritanya "bila hujan". Ntahlah…. sekadar meneka.

Teringat satu cerita humor yang ada kaitan dengan hujan.

Satu petang ketika hujan turun mencurah-curah, abu nawas termenung di jendela rumahnya memerhati gelagat manusia di luar yang bertempiaran mencari tempat berlindung. Dia lalu menegur seorang yang berteduh di anjung rumahnya.

Abu nawas : kenapa tuan hamba lari dari rahmat, atau…. adakah tuan hamba orang
yang suka kepada azab ?....

orang 1 : amboi…. tak sayang mulut nampak. Hamba cuma berlindung
sementara dari hujan lebat ini. Salahkah perbuatan itu?..

Abu nawas : bukankah hujan itu rahmat ?...


Pada hari yang lain, ketika abu nawas sedang kalut mencari tempat untuk berteduh dari hujan, dia ditegur oleh orang yang pernah menumpang teduh di anjung rumahnya.

Orang 1 : jangan kalut….. bukankah hujan itu rahmat ?.... apasal tuan hamba
nak cari tempat berteduh. (nada menyindir)

Abu nawas : hamba bukan lari dari rahmat, tapi hamba cuba agar tidak terpijak
rahmat. Nanti dikatakan kurang ajar dengan Sang Pencipta. (sambil
berlalu )

Monday, October 27, 2008

ANTARA GULA DAN GARAM


Antara gula dan garam, apakah pilihan kita?... Dalam menjawab persoalan ini, pada perkiraan cermin ramai dari kita pastinya akan memilih gula. Dan tidak sedikit juga yang menjadikan garam sebagai pilihan mereka. Kedua-dua pihak akan berusaha mendatangkan pelbagai alasan dan hujah konkrit bagi mempertahankan pilihan mereka. Pilihan mereka adalah tetap pilihan mereka.

Namun hakikatnya, gula dan garam kedua-duanya itu ada kepentingan tersendiri. Rasa gula tidak sama langsung dengan rasa garam dan begitulah sebaliknya. Jadi persoalan di atas tidak wajar ditanya kerana gula dan garam tetap pilihan kita. Yang sepatutnya "antara gula dan garam, manakah yang akan didahulukan atau manakah yang akan dilebihkan?...".

Tentu sahaja mereka yang ditanya tidak akan menjawab secara sembarangan. Terlebih dahulu melihat kepada keadaan semasa dan perihal diri. Maknanya pemilihan antara gula dan garam adalah tertakluk kepada pindaan. Tiada pilihan yang tetap. Kedua-duanya akan dipilih. Contohnya dalam masakan, jika kari yang dimasak telah terlebih masin, maka pada waktu itu gulalah pilihan kita bukannya garam lagi. Begitu juga jika sebelum itu terlajak meletakkan gula, maka garam pula yang akan dipilih. Kepentingan kedua-duanya itu dalam pemilihan adalah berdasarkan keadaan yang menuntut. Bukan pilihan mutlak. Yang penting kita dahulukan, yang lebih penting lagi perlu kita dahulukan.

Tanpa mengenepikan salah satu dari keduanya, kita boleh katakan antara gula dan garam saling lengkap-melengkapi. Sesuatu masakan secara khusus tidak akan terasa lazatnya jika salah satu dari keduanya itu kita ketepikan atau terlupa meletakkannya. Malah, kemahiran mengadun gula dan garam dalam peringkat akhir sesuatu masakan adalah penentu kepada kelazatan dan kesedapan sesuatu masakan. Tanyalah chef masakan kalau tidak percaya.

Natijahnya, begitulah kehidupan kita hari ini. Bagi kita, apa sahaja yang berada disekeliling kita semuanya dirasa penting. Bahkan jikalau terdaya, kita akan berusaha mencapai dan melakukan kesemuanya. Ingat …JIKALAU TERDAYA. Oleh kerana tidak terdayalah, kita perlu sedar dan berusaha mencapai apa yang benar-benar penting dalam hala tuju kehidupan kita tanpa mengenepikan terus apa yang dirasa penting. Manalah tahu jika ada peluang dan daya nanti.

Pilihan berdasarkan keadaan dan kemampuan bukan bersandarkan perasaan yang mendesak. Kerana tamak dan halobalah, ada segelintir manusia yang cuba merebut kesemuanya. Dipandangan matanya, di sana penting di sini juga penting. Akhirnya yang dikejar yang tak dapat dikendong berciciran. Jangan menjadi seperti anjing yang inginkan tulang kedua, terlepas tulang yang berada di mulutnya.

Alangkah indahnya kehidupan ini jika kita sentiasa bersikap sederhana. Semuanya mudah dirasa dan dicapai. Tanpa kita leka dengan setiap kepentingan yang kita ada dan kita ingin capai.

Thursday, October 9, 2008

DEBAT KEDUA


"Debat kedua peluang bagi Mc Cain". Begitulah antara tajuk utama yang cermin baca dalam ruangan berita luar Negara kelmarin. Sehingga kini, proses berkempen untuk pemilihan bakal presiden as terus mewarnai negara tersebut. Hari ini, bentuk kempen itu diperluaskan. Bukan sekadar gantung poster, melobi di akhbar-akhbar atau berceramah di hadapan penyokong sendiri. Debat menjadi pilihan.

Selain kemahiran mengurus dan mentadbir, wawasan dan cita-cita, sifat individu, gaya percakapan dan penyampaian hujah juga antara faktor yang membantu dalam pemilihan seseorang itu menjadi pemimpin. Itu adalah perihal dunia manusia hari ini. Siapa yang mampu meyakinkan hati orang ramai, itu yang akan dipilih. Siapa yang bernas hujahnya, tepat kata-katanya, itu yang akan menjadi idola dan role model.

Bukan cermin nak bandingkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh mereka dengan negara kita di Malaysia. Cuma kalau ada kesempatan, cuba kengkawan teliti ayat al-quran di bawah ini dan sesuaikan dengan keadaan dan situasi tersebut.

أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن النحل 125

Setiap kita disuruh dengan tiga perkara 1. berhikmah 2. peringatan yang baik 3. berhujjah dengan sebaik-baik cara.

Islam tidak hanya mengkhususkan faktor-faktor itu kepada sesiapa dari kalangan kita yang bakal menjadi pemimpin, tetapi ia menyeliputi semua umat islam. Kerana setiap mereka itu adalah pemimpin bukan bakal pemimpin. Bahkan setiap dari mereka telah dituntut untuk menyeru manusia ke jalan yang benar iaitulah agama islam.

Jikalaulah Barrack Obama boleh memukau pandangan para penyokongnya dan masyarakat amerika dengan gaya pidatonya, lontaran ideanya lalu menarik mereka untuk mengundinya sebagai Presiden Amerika untuk sesi pemilihan akan datang, kenapa para pendakwah islam hari ini tidak meniru bentuk tersebut?. Memukau rakyat dunia untuk menerima islam dan menghayati kebenarannya. Bukankah islam terlebih dahulu mengajar kita kaedah tersebut?.