Thursday, June 25, 2009

JALAN BERLUBANG



Dalam perjalanan ke sekolah pagi semalam, terserempak lagi dengan kes kemalangan jalanraya. Habis hancur remuk bahagian belakang kereta proton saga tu. Seolah-olah macam tiada bonet pun kereta itu. Yang melanggarnya dari arah belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda. Setakat risik-risik cerita, tiada kematian yang dikhabarkan. Alhamdulillah…..

Mengikut andaian cermin, mungkin pacuan empat roda itu memecut laju. Lalu melanggar bahagian belakang kereta proton tersebut yang tetiba brek mengejut. Jalan pula menuruni bukit. Itu sekadar andaian. Kemungkinan itu boleh terjadi melihatkan kepada kedudukan kereta dan keadaannya. Tak terniat la pula untuk berhenti bertanya “bagaimana?..... apa cerita?.....” kerana mengejar masa.

Itupun hati sedikit seram sejuk. Nasib baik tak berlaku depan mata, kalau tak fobia jugak la nak menggunakan jalanraya pagi tu. (telefon pengetua minta cutila jawapannya……). Itu satu hal. Sambil meneruskan perjalanan pagi tu, diri bertanya sendirian. “Lepas ni kemalangan jenis apa pula yang akan dilihat. Lebih teruk lagikah atau sebaliknya?....”

Bukan meminta, cuma mempersoalkan. Seolah-olah jaminan keselamatan bagi pengguna jalanraya semacam tiada. Tadi kes kereta langgar kereta. Camne pula kalau kes kereta langgar motor ke…… tu yang dok risau ni. Malah sejak mendai pengguna jalanraya ni, boleh kata purata sebulan sekali pasti akan terlihat kes kemalangan. Paling teruk setakat ni kes bila motor dihimpit sebuah lori besar di lebuhraya lalu mengakibatkan kematian si penunggang motor tersebut. Ngerinya…… (dahla cermin hanya penunggang sang kapcai).

Siapa yang patut dituding jari?...... bukan menyalahkan, cuma mempersoalkan.Bagi cermin, setakat yang ada dalam kepala lani ada beberapa faktor yang menyumbang (kes kemalangan )……



1. Sikap pemandu
Paling sakit hati bila ada rakan jalanan kita ( penunggang @ pemandu) yang berlagak seolah-olah dialah juara jalanan atau orang panggil sekarang mat rempit. Supp ke sana, supp ke sini. Semua celah dia nak menyelit. Tak taula cikgu mana yang ajar dia.
Habis semua peraturan jalan dia rempuh. Dari lampu isyarat hingga ke garisan kuning. Selagi itu namanya peraturan jalan, dia akan buat tidak kisah. Dahla macam tu, dia tak kisah aje. Semacam tiada rasa bersalah. Lebih hebat lagi bila dia rasa bangga dengan kebolehannya melanggar peraturan jalanraya.
Jika yang buat itu penunggang motor, penunggang lain dan pemandu kereta lain akan memaki. Kalau yang buat itu pemandu kereta, penunggang pula akan memaki hamun. Saling salah menyalahkan.
Selalunya bila melihat pemanduan yang laju, cermin akan berkata dengan nada positif "isteri dia nak bersalin kot”..”ke dia nak ke tandas rasanya”. Tapi kalau dengan nada negatif “ nak mati, matilah sorang-sorang. Dok ajak orang lain apasal…”.

2. Kerosakan kenderaan
Tetiba aje enjin mati atau brek tak berfungsi atau tayar kekurangan angin akibat pancit dan sebagainya. Fenomena ini berlaku. Lalu dengan kawalan yang kurang cekap mengakibatkan kemalangan. Samada ia diakibatkan oleh pemandu sendiri yang tidak memeriksa terlebih dahulu kenderaanya sebelum digunakan atau melibatkan faktor alam semulajadi. Yang pasti, kebanyakan kes berpunca dari fenomena ini. Sudah secermat mungkin dibawanya kenderaan itu lagak seorang pemandu yang berhemah, tetapi kerana punca yang tak dijangka terbabit juga dengan kemalangan. Pemeriksaan itu perlu, kemahiran juga diperlukan.


3. Jalanraya berlubang
Siapa kata tiada kes kemalangan yang berpunca dari jalan yang rosak, berlubang dan tidak rata?... rasanya kebanyakkan pengguna jalanraya akan bersetuju dengan faktor ini. Akibat mengelak dari lubang di hadapan atau lecak di tengah jalan, hilang kawalan lalu termasuk ke lorong orang, akhirnya mengakibatkan kemalangan.

Siapa susah?... kami juga yang terima padahnya. Tanggungjawab siapa?.... sendiri makan sendirilah yang rasa kenyangnya.

Akhirnya, renung-renung dan fikir-fikirlah.

Wednesday, June 17, 2009

RENUNGILAH...


" Jenayah kita yang terbesar ialah bahawa kita tidak m
unafik atas apa yang kita yakini di dalam islam. Kita bersungguh-sungguh berusaha untuk mengatur semua urusan masyarakat kita sehingga kita mahu membawa mereka ke arah ajaran-ajaran islam yang lurus. Apabila kita mengakui bahawa islam adalah agama kita, dengan sendirinya akan membimbing kita masuk ke dalam seluruh pandangan hidup kita moral, perlakuan, keyakinan atau ideologi, etika dan pendidikan. Semua pengaruh rasuah mesti dihapuskan dari kehidupan individu dan seluruh Negara kita. Kita tidak mahu adanya kompromi terhadap masalah-masalah prinsip. Kita diharuskan melaksanakan setiap sesuatu yang telah kita nyatakan. Sepastinya hal sebegini tidak menyenangkan mereka yang ingin menipu atas nama islam. Padahal seluruh dasar politiknya amat bertentangan dengan tuntutan-tuntutan islam di dalam seluruh aspek kehidupan dan berterusan mereka berpura-pura atas nama islam sehingga Negara ini akan tetap berada pada mereka melalui tipu helah mereka.

Jenayah kita seterusnya ialah bahawa kita sedang berikhtiar untuk melahirkan manusia berperibadi kuat dan juga boleh dipercayai. Kita menerima orang masuk ke golongan kita setelah orang itu terlebih dahulu sudah diteliti dan siapa pun yang bergabung di dalam jamiat melakukan hal sedemikian. Ia dipertimbangkan dengan matang terlebih dahulu dan apabila ini selesai ia akan hanya mengikuti jalan islam yang lurus itu sahaja. Ia tidak akan dibiarkan menyatakan keyakinannya sekadar pernyataan lisan sahaja, tetapi ia harus melakukan perkara yang sesuai dengan apa yang pernah dinyatakannya sehingga menimbulkan perubahan sikap dan tingkah laku. Penindasan dan penganiayaan yang dilakukan ke atas mereka tidak akan mengubah sedikit pun keyakinan mereka. Secara terbuka mereka akan menyatakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Kepada mereka, penjara adalah tempat yang tidak perlu ditakuti. Kepada mereka ia hanya dianggap sebagai tempat latihan membina moral dan kerohanian".

( Maududi )

Monday, May 4, 2009

BELAJARLAH SEBELUM TERLAMBAT

belajar itu sebahagian kehidupan. mengajar pula adalah proses kehidupan. antara keduanya sebenarnya tiada beza. kedua-duanya memang sudah termaktub di dalam perjalanan hidup manusia. cuma siapakah yang benar-benar mengerti kepentingan keduanya itu dalam kehidupannya.

ramai dari kita yang belajar atau terlibat secara langsung dalam dunia pembelajaran. di peringkat rendah, peringkat menengah atau pun peringkat pengajian tinggi. soal dia dipaksa oleh keluarga atau terpaksa itu adalah persoalan kedua. yang penting dia belajar. tapi tidak ramai yang benar-benar menyediakan dirinya untuk diajar. tidak ramai. hanya segelintir.

bagaimana menyediakan diri untuk diajar?....
tidak payah, cukup dengan beberapa perkataan iaitulah bersedia menerima apa yang tiada di dalam dirinya lalu memahaminya seolah-oleh akan menyampaikannya. itu sahaja. ini tidak menyentuh soal formal atau tidak corak pembelajaran kerana sudah dikatakan tadi belajar itu sebahagian kehidupan. selagi kita hidup kita akan terus belajar.

malangnya kita sekarang menganggap belajar hanya di sekolah, perlu kepada guru mengajar, tertumpu kepada sesuatu subjek, lalu secara langsung kita telah mengecilkan skop pembelajaran itu sendiri. tanpa kita sedari apa yang sedang kita lakukan ini juga sebenarnya dalam proses pembelajaran. di sekolah, di rumah, di pandangan orang, dalam keadaan bersendirian, atau di mana sahaja selagi kita hidup kita terikat dengan proses pembelajaran.

natijahnya ramai dari kita yang tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di sekeliling hidupnya kerana ia telah beranggapan itu bukan satu pembelajaran. pemahaman sebegini cukup merbahaya kepada kita tidak kira yang tua atau muda.

bagaimana negara akan mampu melahirkan generasi pencetus kegemilangan jika dalam bab ini sahaja mereka tidak mampu memahami dengan sebaiknya?. ini bukan melibatkan persoalan politik atau perniagaan. ini adalah persoalan asas kepada pengertian pembelajaran itu sendiri. macam yang dikatakan tadi, memang ramai dari kita yang terlibat dengan dunia pembelajaran. tetapi apabila kurang pemahaman tentang erti pembelajaran, akan terbinalah pelajar-pelajar yang belum bersedia menyediakan dirinya untuk diajar.

Sunday, April 19, 2009

BERSETUJULAH DENGAN DIA

Seperti yang tersiar semalam saat majlis ramah mesra bersama penduduk Pekan, telah berucaplah Perdana Menteri kita YAB Dato Seri Haji Mohd Najib dengan katanya

" rakyat kita hari ini telah semakin bijak disebabkan dasar-dasar yang telah kita ( kerajaan BN ) tetapkan "

Anda rasanya telah mendengar kata-kata ini kerana ia telah diulang siar beberapa kali di televisyen dan anda juga memahaminya. Adakah anda bersetuju dengan kenyataan ini ?...
Hakikatnya, saya termasuk salah seorang rakyat Malaysia yang cukup bersetuju dan terharu dengan kenyataan pemimpin saya ini di atas jasa baik yang telah ditaburkan.

Jangan cepat melatah dan jangan juga cepat menghukum. mari sebelum itu kita hayati bersama apa yang dimaksudkan kebijakkan itu.

1. Bahasa Melayu
Semakin ia dipinggirkan oleh kerajaan, semakin kita sedar akan kepentingannya. Tanpa tekanan itu (dasar-dasar tersebut), rasanya tak ramai akan sedar kedudukan sebuah bahasa ibunda kepada bangsanya. Hari ini ramai yang mula memperjuangkannya semula tanpa meletakkan tanggungjawab itu seperti sebelum ini semata-mata ke atas pundak ahli bahasa.

2. Konsep Pengasingan Kuasa
Bagi pelajar-pelajar aliran undang-undang, ia bukan satu benda yang asing. Namun bagi rakyat Malaysia yang lain seperti kami, kami baru tahu rupanya Malaysia antara negara yang mengamalkan konsep ini. ( kuasa legislatif, kuasa eksekutif, kuasa kehakiman). Jikalau tanpa dasar mereka (kerajaan BN) yang sekarang ini bermain-main dengan konsep pengasingan tersebut seperti di Perak, nescaya kami akan terus buta huruf tentangnya.

3. Ketuanan Melayu
Selama ini hanya terdengar slogan perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira kaum sehingga telinga lali mendengarnya tetapi perhatian tidak diberi. Tapi dengan laungan-laungan ketuanan melayu yang kedengaran kini (dasar-dasar tersebut), barulah kami mampu bezakan antara dua, mana satu yang paling utama.

4. Kepentingan Kertas Undi
Peratus mereka yang keluar mengundi semakin meningkat. Protes di jalanan akan ditangkap. Peluang di media perjelas kebenaran terus dipinggir. Jadi kita semakin sedar akan kepentingan kertas undi. Jika tidak ada penangkapan atau peminggiran (dasar-dasar itu), kita akan terus bersikap harap-mengharap dalam mengundi. Hari ini kita semkain bijak.

5. One Malaysia
Dengan slogan baru yang dianggap mereka pembersih imej diri itu, kita semakin yakin siapakah di kalangan kita sebenarnya yang bermain dengan isu perkauman. Jadi, kita akan terus merangka dan merancang agar tidak terjebak dalam isu tersebut kerana keyakina tadi. Apakah yang mendorong kita?.... Tak lain tak bukan tentulah dasar-dasar tersebut.

6. Kebenaran Islam
Sebuah agama yang menyebar kasih sayang di kalangan umat manusia. Dulu diragui dan ditakuti, kini diyakini dan dihayati hatta di kalangan orang bukan muslim. Faktor pembantu tentulah dari dasar-dasar mereka yang selama ini menganggap agama Islam itu bahan permainan bagi mencapai matlamat.

KITA SEMAKIN SEDAR

Dari apa yang saya senaraikan, tentu kengkawan akan berkata " betul jugak". Semua itu berlaku tanpa kita sedari. Tanpa dasar-dasar mereka, kita akan terus seperti katak di bawah tempurung. jahil tentang situasi negara sendiri. Kini kita semkain bijak. Jadi, bersetujulah dengan perkataan pemimpin kita itu.

Saturday, April 4, 2009

SEORANG PENDERHAKA


Bukan aku ingin derhaka. Tidak terniat langsung untuk menjadi penderhaka. Kerna aku tahu derhaka itu seburuk-buruk perangai. Derhaka itu perkara dikeji. Manusia akan lari dari kita jika kita seorang penderhaka. Dituduh sebagai penderhaka sahaja sudah mengundang kebencian dan kemarahan orang, ini pula bila benar-benar menjadi seorang penderhaka.

Derhaka membawa maksud tidak mentaati perintah. Penderhaka adalah seorang yang tidak mendengar perintah pemimpinnya dan ia menunjukkan sikap melawan. Itu derhaka. Yea…. aku bukan seorang penderhaka. Tidak mahu menjadi kebencian manusia. Bukan sahaja keluarga sisihkan, sanak saudara dan masyarakat sekeliling juga akan memulau.

Memang aku tidak mahu menjadi seorang penderhaka tapi hari ini aku terdesak. Didesak dengan suasana.

Siapa yang ingin bersifat negatif ?.... sudah pasti tiada. Minta sangat dijauhkan. Pantang malaikat empat puluh empat. Itu kata orang tua. Memang nak jauh sangat dari perkara macam ni. Siapa mahu…….

Hari ini…… aku ulang, hari ini…… ramai sudah yang memperlihatkan kederhakaannya. Hari ini juga aku bersama mereka. Menjadi seorang penderhaka yang ingkar arahan ketua. Diri tidak mahu tapi hati mendesak. Diri tidak mahu tapi keadaan memaksa.

Kerana aku tahu pemimpinku hari ini perlu diderhakai. Perlu dilawan perintahnya. Bukan sekadar suka-suka. Tak terpengaruh langsung dengan sikap orang lain. Ini pendirian aku. Walau tubuh mengiyakannya dek kuasa yang tiada, hati tetap menderhakai.

Siapa pemimpinku?........ ia seorang yang patut diderhakai. Siapa pemimpinku ?....... ia telah menimbulkan perasaan benci dalam diri. Siapa pemimpinku ?.................. ia menjadi bahan kebencian bagi mereka yang berpendirian seperti aku.

Bukan suka-suka dan sekadar berseronok. Ada sebabnya. Ada pointnya. Keadaan semasa telah membuktikannya. Ia telah mewujudkan satu fenomena baru dalam pemikiran manusia walaupun hakikatnya telah lama diperkenalkan.

" tiada sebarang ketaatan terhadap makhluk di dalam melakukan kemaksiatan terhadap sang pencipta "