Monday, October 22, 2007

BERKONGSI CERITA

Memang banyak cerita yang ingin dipapar buat kongsian bersama. Dari mula habis puasa, berhari raya sehinggalah ke hari ini. Satu persatu kalau boleh tanpa tertinggal sedikit pun. Cuma sekarang masa cukup mencemburui. Ke sana ke sini meligan masa. Kekadang sampai tak terkejar. Jadi, ambil keputusan paparkan beberapa sedutan aje. Selamat membaca dan berkongsi cerita.

1. Pindah rumah

Di malaysia, kebiasaannya seminggu sebelum berhari raya semua persediaan sudah dibuat. Dengan kuih rayanya, pakaian melayu, kain langsir dan alatan perumahan. Hanya menunggu fajar syawal menjelma aje. Berlainan dengan cermin pada tahun ini. Terpaksa pindah rumah pada 27 ramadhan lalu. 3 hari lagi nak beraya. Faham-faham ajelah. Memang berteraburlah ceritanya. Setakat nak datang beraya, ahlan wasahlan. Cuma boleh hidang kacang dengan air gas. Kesiankan, dahlah beraya di perantauan. Nasib.....nasib......
(terima kasih kat banggugar, bayu, hakim dan kengkawan lain yang sudi tolong pindah rumah).

2. Sibuk selepas raya

Sekarang cermin sibuk menyiapkan draf laporan tahunan persatuan pelajar di sini sebagai persediaan untuk mesyuarat agung tahunan tidak lama lagi. Banyak helaian dan banyak mukasuratnya. Ditambah dengan pengajian di kuliah yang sudah bermula. Memang sedikit kelam-kabut. Biasalah pertama kali. Sebelum ini, draf itupun cermin tak tau apa maksudnya. Sekarang, bolehlah kalau setakat nak bercerita apa itu draf dan apa itu laporan tahunan. Kan itu pengalaman namanya.
Nasib baik ada orang yang membantu. Kalau tidak, lintang pukang juga buat kerja sorang-sorang. Yealah.....kalau cermin tak tahu dia tolong buat dan kalau dia tahu pula cermin tolong buat. Tapi.....kalau dua-dua tak tahu, meloponglah jawabnya.

*Ada sikit makluman buat siapa yang tak tahu lagi, Persatuan Pelajar Malaysia Syria akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 10/11 ni. Harap-harap berjalan dengan jayanya.

3. Umur semakin meningkat

Minggu lepas, umur cermin meningkat setakah lagi. Sedar tak sedar zaman terus berputar dan masa terus berlalu. Begitu cepat tanpa menunggu kita. Takut-takut kita tertelan dengan gelombang putaran masa tersebut. Hemm.....dah semakin meningkat remaja rupanya. Perangai tetap tidak berubah. Bila yea nak berubah selari dengan tuanya usia. Mungkin perlu orang lain yang tolong menyedarkan cermin.
Di saat umur yang semakin meningkat terfikir sendiri, sehingga ke saat ini apa yea kerja atau amalan yang telah cermin sumbang buat umat Islam, buat kemajuan ummah serta kecemerlangan Islam itu sendiri?....masih terus berfikir. Moga-moga usia ini mampu meledakkan semangat jiwa dalam meletakkan Islam itu di tempat yang semulianya.

Friday, October 12, 2007

CERMIN TERIMA KAD RAYA





Alhamdulillah.....
Ada juga yang masih mengingati diri cermin di saat kegembiraan syawal ini.
Terubat hati walaupun rendang dan ketupat tidak dapat dijamah.

Satu-satunya kad yang diterima tahun ni. Ala...lebih baik dari tahun lepas, tak dapat langsung. Bersyukur........


#kad raya yang dihantar oleh adik bongsu cermin.

Sunday, October 7, 2007

DETIK TERAKHIR…..

Hari-hari yang masih berbaki ini sedikit menggetarkan jiwa. Mengundang pelbagai perasaan yang meresah. Rasa suka, duka dan kecewa, cemburu, takut saling bertukar ganti. Rasanya jika tidak dihadapi secara saksama, akan mengundang episod malang yang lebih berat pula. Semuanya ini gara-gara detik terakhir yang sukar dihalang kehadirannya.
Detik-detik terakhir sebelum tenggelamnya mentari bulan ramadhan. Detik-detik terakhir sebelum terbitnya fajar syawal. Detik-detik inilah yang menjadi dalang puncanya. Menjadikan jiwa tidak keruan. Apatah lagi ketika mana tiada jaminan kita nanti mampu menemuinya pada sesi hadapan. Cukup menyeksa jiwa. Melambung tinggi perasaan yang tersedia bergolak.
Suka kerna mampu mengecapi nikmat ramadhan hingga ke akhirnya. Duka dan kecewa mengenangkan kecuaian diri dalam merebut sebanyaknya peluang nikmat ramadhan yang diberi. Cemburu bila melihat diri ketinggalan jauh berbanding manusia lain dalam rekod prestasi beribadah dan takut kalau-kalau usaha sebulan ini tidak diterima, lebih teruk lagi jika ramadhan untuk sesi hadapan tidak lagi dinikmati.
Namun, apalah gunanya menyalahkan detik terakhir ini kerana sememangnya ia akan datang dan pergi. Sepantas kitaran masa kerana ia sebahagian diri masa. Itulah realiti yang perlu dihadapi. Mana mungkin lari dari realiti kerana ia adalah kehidupan kita. Detik-detik terakhir…….kini diri telah bersedia menanti.


Teman-teman semaya,

Dikesempatan yang tersedia ini, ingin rasanya cermin memohon kemaafan setulusnya dari kalian jika terlanjur kata, terkasar bahasa dan tersilap bicara sejak mula bersua kerana cermin sedar semuanya itu jarang sekali dapat dihindari.
Salam lebaran juga dihulurkan sebagai pengganti diri buat yang mengenali. Sesungguhnya syawal kali ini mengundang kerinduan yang sukar ditafsir. Waa…waaa……nak balik!!!!.....


SALAM KEMAAFAN DAN SALAM LEBARAN DARI DIRI DI PERANTAUAN

Friday, September 28, 2007

MINGGU PERTAMAKU

Minggu lepas adalah minggu pertama sesi pengajian 07/08. Minggu permulaan bagi cermin berada di tahap seterusnya dalam rangkaian tahap pengajian di peringkat ijazah setelah berjaya meredahi gelombang sukatan pembelajaran dalam ujian peperiksaan penggal lalu. Alhamdulillah…….walaupun di sana masih berbaki 3 mata pelajaran yang perlu diulang semula.
Minggu itu dilalui dengan begitu sukar kerana terpaksa mengikat diri semula dengan jadual kuliah setelah hampir 2 bulan sebelum ini bercuti panjang di musim panas. Kaki ini terasa berat melangkah di pagi hari menjejak laman pusat pengajian. Seolah rantai yang membelenggu dan mengikat kemas di tiang rumah tidak mahu berpisah dengan kaki tuannya.
Ditambah pula bulan puasa sebegini. Ingin saja memerap di rumah melayani karenah perut berbunyi, melelapkan mata dan merehatkan badan yang sentiasa minta direhatkan. Mungkin itu saja yang terbaik untuk dilakukan seawal musim pengajian ini.
Namun orang kata permulaan itu adalah segalanya. Hebat langkahan pertamanya, maka hebat jugalah nanti natijahnya. Tapi, kalau awal-awal lagi dah ceroi, tiada semangat, mandom aje, alamatnya tersungkurlah nanti di balik impian yang dibina. Sia-sia…..
Mungkin benar pepatah arab yang berbunyi “jika di awal semangatnya bergelora, maka di akhir juga semangatnya akan bergelora”. Insya Allah, itulah yang akan cermin cuba amalkan dan semangat itulah juga yang akan disemai buat penjana kemajuan diri.


p/s ( selagi mana ujian datang dan bertimpa-timpa ke atas diri kita, selagi itulah sebenarnya diri kita dimuliakan jika kita mampu menghadapinya )

Monday, September 17, 2007

CELOTEH RAMADHAN

Salam Keampunan ……………..Salam Kerahmatan …………………
Salam Ramadhan ……………… Salam Kehidupan ……………………
Buat semua rakan maya

Ramadhan telah menjengah, menghampar selaut kelebihan buat orang pilihan. Alhamdulillah……….kitalah orang pilihan itu. Terpilih buat kesekelian kalinya. Terpilih hanya kerana nyawa dikandung badan, kerana iman masih bergantungan di hati.

Kerana berkelayakanlah, saban tahun kita bergelar siswazah madrasah ramadhan. Setiap tahun tanpa melepaskan peluang. Sayangnya………. Kita tetap orang yang sama. Ego semakin menebal, dengki menjadi makanan hati, seolah mazmumah mencorak peribadi. Dimana kita sebagai keluaran madrasah ramadhan ?............ Hanya empunya diri mengerti.

Seawal ini, sedikit penelitian perlu demi kemajuan diri. Biar langkah kemas hingga ke akhirnya. Tidak tersasar, jauh sekali berulang silap. Merombak keperibadian diri sejajar didikan ramadhan yang diterima.

“Ramadhan sama natijah berbeza”, seharusnya menjadi visi kita. Kitalah keluaran madrasah ramadhan dan kitalah juga penerus didikan tersebut melangkaui bulan-bulan seterusnya. Biar ia membukti benarnya kita ini orang pilihan bukan omongan kosong semata.


#ramadhan sama natijah berbeza adalah tema program Ihya Ramadhan yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di sini.