Monday, October 27, 2008

ANTARA GULA DAN GARAM


Antara gula dan garam, apakah pilihan kita?... Dalam menjawab persoalan ini, pada perkiraan cermin ramai dari kita pastinya akan memilih gula. Dan tidak sedikit juga yang menjadikan garam sebagai pilihan mereka. Kedua-dua pihak akan berusaha mendatangkan pelbagai alasan dan hujah konkrit bagi mempertahankan pilihan mereka. Pilihan mereka adalah tetap pilihan mereka.

Namun hakikatnya, gula dan garam kedua-duanya itu ada kepentingan tersendiri. Rasa gula tidak sama langsung dengan rasa garam dan begitulah sebaliknya. Jadi persoalan di atas tidak wajar ditanya kerana gula dan garam tetap pilihan kita. Yang sepatutnya "antara gula dan garam, manakah yang akan didahulukan atau manakah yang akan dilebihkan?...".

Tentu sahaja mereka yang ditanya tidak akan menjawab secara sembarangan. Terlebih dahulu melihat kepada keadaan semasa dan perihal diri. Maknanya pemilihan antara gula dan garam adalah tertakluk kepada pindaan. Tiada pilihan yang tetap. Kedua-duanya akan dipilih. Contohnya dalam masakan, jika kari yang dimasak telah terlebih masin, maka pada waktu itu gulalah pilihan kita bukannya garam lagi. Begitu juga jika sebelum itu terlajak meletakkan gula, maka garam pula yang akan dipilih. Kepentingan kedua-duanya itu dalam pemilihan adalah berdasarkan keadaan yang menuntut. Bukan pilihan mutlak. Yang penting kita dahulukan, yang lebih penting lagi perlu kita dahulukan.

Tanpa mengenepikan salah satu dari keduanya, kita boleh katakan antara gula dan garam saling lengkap-melengkapi. Sesuatu masakan secara khusus tidak akan terasa lazatnya jika salah satu dari keduanya itu kita ketepikan atau terlupa meletakkannya. Malah, kemahiran mengadun gula dan garam dalam peringkat akhir sesuatu masakan adalah penentu kepada kelazatan dan kesedapan sesuatu masakan. Tanyalah chef masakan kalau tidak percaya.

Natijahnya, begitulah kehidupan kita hari ini. Bagi kita, apa sahaja yang berada disekeliling kita semuanya dirasa penting. Bahkan jikalau terdaya, kita akan berusaha mencapai dan melakukan kesemuanya. Ingat …JIKALAU TERDAYA. Oleh kerana tidak terdayalah, kita perlu sedar dan berusaha mencapai apa yang benar-benar penting dalam hala tuju kehidupan kita tanpa mengenepikan terus apa yang dirasa penting. Manalah tahu jika ada peluang dan daya nanti.

Pilihan berdasarkan keadaan dan kemampuan bukan bersandarkan perasaan yang mendesak. Kerana tamak dan halobalah, ada segelintir manusia yang cuba merebut kesemuanya. Dipandangan matanya, di sana penting di sini juga penting. Akhirnya yang dikejar yang tak dapat dikendong berciciran. Jangan menjadi seperti anjing yang inginkan tulang kedua, terlepas tulang yang berada di mulutnya.

Alangkah indahnya kehidupan ini jika kita sentiasa bersikap sederhana. Semuanya mudah dirasa dan dicapai. Tanpa kita leka dengan setiap kepentingan yang kita ada dan kita ingin capai.

Thursday, October 9, 2008

DEBAT KEDUA


"Debat kedua peluang bagi Mc Cain". Begitulah antara tajuk utama yang cermin baca dalam ruangan berita luar Negara kelmarin. Sehingga kini, proses berkempen untuk pemilihan bakal presiden as terus mewarnai negara tersebut. Hari ini, bentuk kempen itu diperluaskan. Bukan sekadar gantung poster, melobi di akhbar-akhbar atau berceramah di hadapan penyokong sendiri. Debat menjadi pilihan.

Selain kemahiran mengurus dan mentadbir, wawasan dan cita-cita, sifat individu, gaya percakapan dan penyampaian hujah juga antara faktor yang membantu dalam pemilihan seseorang itu menjadi pemimpin. Itu adalah perihal dunia manusia hari ini. Siapa yang mampu meyakinkan hati orang ramai, itu yang akan dipilih. Siapa yang bernas hujahnya, tepat kata-katanya, itu yang akan menjadi idola dan role model.

Bukan cermin nak bandingkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh mereka dengan negara kita di Malaysia. Cuma kalau ada kesempatan, cuba kengkawan teliti ayat al-quran di bawah ini dan sesuaikan dengan keadaan dan situasi tersebut.

أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن النحل 125

Setiap kita disuruh dengan tiga perkara 1. berhikmah 2. peringatan yang baik 3. berhujjah dengan sebaik-baik cara.

Islam tidak hanya mengkhususkan faktor-faktor itu kepada sesiapa dari kalangan kita yang bakal menjadi pemimpin, tetapi ia menyeliputi semua umat islam. Kerana setiap mereka itu adalah pemimpin bukan bakal pemimpin. Bahkan setiap dari mereka telah dituntut untuk menyeru manusia ke jalan yang benar iaitulah agama islam.

Jikalaulah Barrack Obama boleh memukau pandangan para penyokongnya dan masyarakat amerika dengan gaya pidatonya, lontaran ideanya lalu menarik mereka untuk mengundinya sebagai Presiden Amerika untuk sesi pemilihan akan datang, kenapa para pendakwah islam hari ini tidak meniru bentuk tersebut?. Memukau rakyat dunia untuk menerima islam dan menghayati kebenarannya. Bukankah islam terlebih dahulu mengajar kita kaedah tersebut?.

Thursday, September 25, 2008

RAMADHAN & KITA


RAMADHAN kini semakin menghampiri hari-hari kemuncaknya. Fasa ketiga yang sedang dilalui hari ini adalah justifikasi kepada fasa pertama dan kedua yang telah kita harungi bersama. Tidak salah kita katakan ia ibarat satu silsilah yang berhubung kait dan saling menterjemahkan antara satu sama lain.

Perkataan madrasah (sekolah) cukup sinonim dengan ramadhan, tuntas menggambarkan kepada kita bahawa bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan ini adalah sebuah manhaj pendidikan cemerlang yang disediakan buat kita yang terpilih. Siapakah kita itu?... Mereka-mereka yang dipanjangkan umur dan diberi peluang menikmati keindahan beramal ibadah di dalam bulan ramadhan. Ini cukup dimengerti dan difahami. Madrasah ramadhan untuk orang-orang pilihan.

Perlu diingatkan, sesuatu madrasah atau sesuatu tempat pengajian itu dikira terbaik apabila ia menawarkan suatu bentuk pendidikan yang cemerlang, mampu membentuk peribadi bersesuaian dengan misi dan visi penubuhannya. Bukan itu sahaja, malah kita juga akan menilai dari generasi keluaran tempat pengajian tersebut. Adakah mereka betul-betul cemerlang seiring dengan bentuk pendidikan yang ditawarkan ataupun tidak ?...

Begitulah jua apabila kita menisbahkan tempat pengajian, pusat pendidikan atau madrasah kepada bulan ramadhan. Maka, apabila kita telah mengiktiraf ramadhan ini sebagai sebuah manhaj pendidikan, kita perlu persoalkan atas dasar apa kita menyatakan sebegitu ?... Wajar rasanya persoalan ini dijawab dengan satu persoalan lain, siapa yang berani tampil mempertikaikan keberkesanan pendidikan madrasah ramadhan ?... Kalau pun ada, realiti hari ini akan dengan sendirinya menafikan hujah-hujah pertikaian yang bakal dikemukakan. Itu dari satu sudut. Kita mengakui kecemerlangan manhaj pendidikan madrasah ramadhan.

Saban tahun kita terpilih untuk memasuki madrasah ramadhan. Jika umur kita hari ini 21 tahun, maknanya sudah 9 tahun (bermula dari umur baligh 12 tahun) kita diberi peluang dididik dengan sukatan pendidikannya. Jika benarlah sukatannya itu kita katakan cemerlang, kenapa setelah 9 tahun kita dididik, kita masih lagi belum berubah menjadi peribadi muslim yang cemerlang ?... Keadaan kita masih ditakah lama, tiada menepati kehendak misi dan visi pendidikan itu sendiri. Mengapa yea ?...

Dalam hal ini kita tidak boleh mempertikaikan sukatan pendidikan ramadhan kerana ia telah diatur dengan sukatan pelajaran yang terbaik. Kita tidak boleh menyalahkan seseorang tokoh pemikir yang telah mengatur suatu perjalanan program ilmu yang cemerlang hanya semata-mata kita tidak tergolong dalam keluaran mereka yang cemerlang. Apatah lagi apabila yang mengaturnya adalah zat Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Kembalilah kepada diri sendiri, adakah selama ini kita benar-benar bergelar seorang penuntut madrasah ramadhan ?... Setakat mana kita menekuni setiap mata pelajaran yang disampaikan ?... Adakah usaha yang kita alirkan selari dengan misi dan visi penubuhan madrasah ramadhan ini dalam memebentuk peribadi cemerlang ?... Adakah kita boleh digelar generasi keluaran madrasah ramadhan ?... janganlah lantang menyebut madrasah ramadhan, ramadhan memberi kita banyak pelajaran jika kita sendiri lupa bahawa kita sebenarnya adalah pelajar madrasah ramadhan, terikat dengan sistem dan manhaj pendidikan yang sedang kita ikuti.

Sunday, August 17, 2008

SEDIH BILA MENGENANGKAN


Takkan dorang tak terfikir untuk atur perkara ini bagi elok?, untuk kemudahan bersama juga bukan kepentingan sendiri, tanya hati suatu petang ketika sedang duduk-duduk di tangga Masjidil Haram dengan niat i'tikaf. Sambil mata masih tak terlepas pandang salah satu bucu binaan kaabah yang menjadi tumpuan itu. Dalam banyak urusan duniawi dorang boleh berfikir untuk cari jalan penyelesaian, inikan pula melibatkan perkara ibadah takkan tak jumpa cara. Lagipun masalah ini dah lama bukan timbul baru-baru ini. Sedikit masa aje perlu untuk fikir dan cari jalan penyelesaian. Kan dorang berkhidmat untuk tanah haram ini. Beberapa persoalan yang semakin ligat berlegar di benak fikiran saat mata masih memandang panorama ibadah yang terbentang di hadapan.

Memang mencium hajar aswad itu perkara sunat. Sunat bagi mereka yang berkemampuan. Yang tak mampu dianjurkan melambaikan tangan ke arah batu tersebut lalu dikucup tangan itu. Malah seringkali kita diingatkan agar tidak menjadikan ibadah sunat itu bertukar menjadi perkara haram. Hanya semata ingin mengucup hajar aswad, kita menyakiti orang lain. Berebut, tingkah-meningkah, tolak-menolak, malah kadangkala tindan-menindan. Yang sakit diri kita, yang sakit saudara seIslam kita sedang ia hanya perkara sunat. Yea, perkara sunat. Yang haram perlu didahulukan. Tapi bolehkah kita nafikan keinginan yang wujud pada diri setiap orang untuk mendapatkan keberkatan mengucup batu yang telah pun sebelum ini dikucup oleh nabi kita Muhammad saw, para sahabat baginda, para tabien, para wali Allah dan orang-orang soleh. Keinginan itu jugalah sebenarnya sedang menebal dalam diri cermin. Ikutkan hati dan setelah congak kemampuan diri, ingin saja turun berebut bersama.

Itu baru dibicarakan tentang hajar aswad. Belum lagi di hijr ismail, di rukun yamani dan juga di raudhah. Semuanya menjadi tempat rebutan bagi mereka yang tahu kelebihannya. Tak termasuk lagi berdoa di multazam dan memegang pintu kaabah.

Tak salah rasanya kalau cermin katakan seolah wujud hukum rimba di sana. Yang kuat akan berhasil merebutnya, yang lemah hanya sekadar melihat. Sedangkan semua umat manusia ingin mengucupnya. Dari segi fizikal, apalah sangat bangsa dari benua Asia jika hendak dibandingkan dengan bangsa Arab, Parsi, Eropah dan sebahagian bangsa lain yang punya susuk tubuh besar dan tegap.

Kan elok jika diatur dan didisiplinkan perkara ini. Setiap orang perlu ikut aturan. Bertambah kuat lagi bila ianya diwartakan oleh kerajaan Arab Saudi sendiri. Tak kira sesiapa pun mereka, kuatke mereka, lemahke mereka, perlu ikut aturan ini. Semua boleh dapat. Mesti ada caranya untuk selesaikan masalah ini. Takkan selamanya umat Islam perlu berebut untuk cium batu itu.

Atau…. Sengaja perkara ini tidak difikirkan oleh mereka. Ditinggalkan kepada jemaah sendiri untuk selesaikannya. Dianggap perkara ini enteng dan tak perlu beban kepala otak untuk fikirkannya.

Satu kalam berbunyi ;

Kebenaran yang tidak mempunyai disiplin atau aturan akan dikalahkan oleh kebatilan yang mempunyai disiplin.

Saturday, July 19, 2008

ISLAM DAN MUALLAF


Selepas dikaji dan diteliti, islam itu sememangnya agama rahmat. Mesej yang dibawa dan yang diajarkan oleh agama itu jelas iaitulah membawa serta menganjur kepada kebahagiaan dan kesejahteraan ummat manusia. Kebahagian di dunia mahupun di akhirat. Itu perkataan mereka. Golongan yang telah memeluk islam selepas beberapa marhalah kajian yang mereka lakukan.
Golongan ini lazimnya amat berpegang teguh dengan tuntutan islam. Ini kerana mereka bukanlah memeluk islam atas dasar nasab dan keturunan, tetapi setelah mereka menemui di dalam ajaran islam itu apa yang memuaskan hati mereka. Malah mereka telah melalui tempoh yang panjang dan beberapa peringkat hidup sebelum mengiyakan islam sebagai agama mereka.
Tanyalah rakan-rakan muallaf di sekeliling anda dan berkongsilah pengalaman dengan mereka, nescaya anda akan mendapat satu natijah yang amat teliti dan kekadang ianya tidak pernah terlintas di benak fikiran kita. Beberapa konsep dan pembawaan islam yang cukup bernilai. Dengan kajian yang dilakukan dan hasil yang ditemui inilah dikira menjadi penyebab untuk mereka sama-sama teguh dalam menyebarkan islam dan mempertahankannya.
Realiti yang ada memperlihatkan golongan ini kebanyakkan mereka dan kebiasaannya cukup memahami kehendak dan ajaran islam. Jarang sekali kita mendengar mereka ini akan kembali berpaling tadah atau murtad selepas pengucapan dua kalimah syahadah yang dilakukan. Rahsianya kembali kepada penilaian dan hasil penerokaan mereka.
Wajar sebenarnya bagi kita berkongsi hasil natijah ini bagi memperkuatkan lagi keyakinan kita bahawa islam itu adalah agama kebenaran. Bukan sekadar agama ikutan dan keturunan. Bukankah hikmah itu harta kehilangan orang muslim, maka di mana sahaja mereka temui mereka perlu mengutipnya.
Alangkah ruginya kita bila orang luar sibuk menilai dan memuji konsep ajaran islam, kita orang muslim hanya memandang endah tak endah terhadapnya. Cukup rugi. Tiada kerugian yang lebih besar daripada kerugian ini kerana ia melibatkan kehidupan kita. Kehidupan masa ini dan kehidupan di akhirat kelak.

Ambillah pengajaran dan telitilah dengan fikiran terbuka.
nota- sebentar lagi cermin akan bertolak menunaikan ibadah umrah. Alhamdulillah tercapai juga impian ini. Doa-doakanlah agar dipermudahkan segala urusan di sana nanti.