Sunday, March 15, 2009

SIAPA SANGKA...

Tugasku semakin sukar.

Itulah yang dirasai diri dan mungkin kebanyakkan mereka yang baru juga merasainya. Ia bukan mudah. Bukan semudah memetik jari atau sekadar meluah idea. Ia lebih kepada perlaksanaan. Memang.... status sebagai seorang pendidik memerlukan lebih dari satu pengorbanan. Perasaan yang amat berlainan sejak mula memasuki bidang ini.


Bukan sekadar mengajar, peranannya tidak terhenti di dalam kelas semata, malah bukan juga di dalam kawasan pagar sekolah, tanggungjawab mereka - golongan pendidik- melepasi had yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia. Itupun jika ini betul-betul difahami mereka. Ini kerana tanggungjawab yang terpikul di pundak itu cukup berpengaruh dan memberi kesan terhadap pembangunan sumber manusia dan pembangunan negara.

Sengaja cermin berkongsi perkara ini bagi meluah rasa. Kekadang masyarakat kita tidak mengerti dan fahami lalu menyalahkan bulat-bulat para pendidik jika anak mereka tidak berjaya. Para pendidik itu memerlukan sokongan semua. Ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Kita sentiasa mengharap semata-mata dari mereka sedang mereka ini juga manusia juga. Seperti seorang pelajar yang memerlukan pedoman, dorongan dan sokongan walaupun mereka sudah bertaraf profesional.

Ini kerana mereka adalah pendidik, mereka juga pendamping, sahabat, tempat berkongsi masalah, rakan meluah rasa hati. Seolah-olah watak yang bakal terbentuk dari diri seorang murid itu sebenarnya telah terpamer dalam jiwa para pendidik. Yang penting mereka mahukan sokongan semua.

Wednesday, February 25, 2009

TAHUKAH KITA?....

Apabila cikgu memberitahu " minggu depan akan ada ujian bulanan, jadi harap semua murid dapat bersedia", maka murid mengangguk. Sambil mengangguk, mereka mula memikirkan bagaimana bentuk soalan yang akan ditanya, bab mana yang masuk, bentuk jawapan yang perlu. Di samping bertanya kawan kalau-kalau ada nota yang diberi cikgu.
Itu zaman persekolahan dulu dan kita semua rasanya pernah mengalaminya. Yang rajin akan mula menelaah pelajaran yang lalu, ada juga yang main"tembak" aje, pilih-pilih tajuk yang kemungkinan akan ditanya, tak kurang yang baca sekali lalu sambil berdoa agar soalan yang ditanya nanti mudah. Itu gelagat mereka yang bernama murid.
Sebenarnya tak ramai yang tahu bila musim ujian atau peperiksaan menjelang, bukan sahaja murid-murid sibuk dengan buku dan tekaannya, guru-guru pun begitu juga. Cuma sibuknya sedikit berlainan dan mereka lebih bersedia.
Terdahulu mereka akan mengulangkaji juga fasal-fasal dan topik yang telah mereka ajarkan agar soalan yang dibentuk nanti tak lari dari apa yang mereka telah ajar ( ini lebih melibatkan ujian bulanan). Mereka juga perlu melihat dan meneliti bentuk-bentuk soalan yang lepas dan menilai tahap kesesuaian terhadap bentuk pengajaran mereka. Hanya memilih bentuk-bentuk yang diperlukan sahaja.
Setiap soalan diletakkan skala markah yang sesuai. Ini pun sebenarnya dah mula memeningkan. Bukan saja-saja reka soalan. Markah perlu sesuai dengan nilai markah yang ditetapkan. Kalau tidak, nampak tak seimbang. Memang susahkan..... pelajar hanya menerima dan menjawab. Ini tak kira lagi dengan perasaan simpati guru itu lagi. Sesuai ke soalan ni?.... boleh ke mereka menjawab?..... tak payah sangat ke?..... kekadang emosi menganggu penumpuan.
Pelajar hanya tahu mereka ada ujian, tetapi mereka tidak tahu sebenarnya guru juga mengenakan ujian ke atas diri mereka sendiri.
( ini sebelum, bagaimana pula selepas?... )

Friday, February 13, 2009

MESYUARAT.....


" ada mesyuarat ke tak?, tadi beritahu jam 2 petang, ni dah nak masuk 2.45 dah.... "
" baru ada seorang, itupun pihak tuan rumah "
" macam manalah nak didik anak murid "


Kepentingan masa sering diperingatkan kepada manusia. Tambahan lagi bagi pelajar diperingkat sekolah sama ada menengah ataupun rendah. Setiap kali perhimpunan pelajar, pasti itu menjadi modal. Namun biarlah berbuih mulut guru itu sekalipun tatkala bercakap mengenai masa, tetapi jika tidak disemai rasa sedar terhadap kepentingannya tak guna juga. Bagaimana bentuk penyemaian tersebut?.... Tidak perlu berbelanja besar mengadakan kursus motivasi, menganjurkan pertandingan tepati masa atau mengecat di sepanjang dinding sekolah kempen tepati masa.

Yang paling penting sebenarnya terjemahan perbuatan dari golongan pendidik itu sendiri. Sayangnya.... perkara ini tidak berlaku. Para pendidik mungkin kurang sedar bahawa bila mereka bercakap sesuatu perkara, murid akan melihat dan memerhati. Mungkin juga mereka perlu diingatkan bahawa mereka itu role model kepada anak murid mereka secara khususnya. Punca masalah ini berlaku apabila mereka sering bertindak menasihati tetapi tidak dinasihati. Akibatnya nanti akan wujud rasa tiada penghormatan murid kepada pendidik lalu menumbuh masalah demi masalah.


Berbalik kepada cerita, nama pun mesyuarat tentulah penting. ini pula mesyuarat peringkat MSSD ( kejohanan bola sepak peringkat zon ). yang datang semuanya guru-guru senior. Jurulatih dan pengurus pasukan. Jadi bila diambil kira semua itu, rasanya masa tiada masalah. Jauh sangkaan dari sasaran. Kalau tak, tak bermulalah mesyuarat jam 2.45 petang. Silapnya di mana?.... tengoklah kembali kepada punca masalah.


Betullah kata pepatah,
Bila guru kencing berlari, anak murid kencing berlari.

Monday, February 2, 2009

KEINDAHAN BERSAMAMU

Memang, itu adalah program yang sedikit pelik. Tujuan atau objektif yang telah digariskan biasa sahaja, cuma pengisian dan slot yang diketengahkan selama perjalanan program 2 hari 1 malam tersebut di luar jangkaan. Walaupun sebelum ini kerap juga ikut dan buat program motivasi untuk remaja, tetapi apa yang disusun untuk kami terasa kesannya.
Dengan objektif lebih kepada membentuk penegasan sebagai hamba Allah, umat nabi Muhammad saw, pendidik ummah, rakan sekerja, anak, individu yang terlibat secara langsung dengan masyarakat, program ini telah disertai oleh semua tenaga pengajar Sri Al-Amin Bangi. Menengah mahupun rendah.
Antara slot menarik adalah slot detik kematian. Daripada slot itulah terhasilnya sijil kematian ini. Awalnya setiap kami disuruh menyenaraikan 20 jawatan penting yang sedang disandang kini. Kemudian diminta memilih 12 daripadanya yang perlu sangat diberi perhatian pada tika itu. Maka terhasillah kertas kecil dengan tajuk "jawatanku".
Reben diberikan kemudiannya dengan panjang incinya mengikut kiraan umur nabi Muhammad saw. Lalu dipotong panjang umur kita yang telah berlalu dan hanya diberi pegang baki reben yang melambangkan umur yang berbaki. Untuk kita renungi apakah yang telah kita penuhi dalam tempoh kehidupan yang berlalu dan apakah dengan umur yang berbaki itu kita mampu melaksanakan segala jawatan yang dipertanggungjawabkan kepada kita?...
Selesai itu terus diberi sekeping kertas berbentuk hati bersama sekerat kecil arang. Dengan sejujur hatinya mewarnai "hati" itu dengan titik-titik hitam arang ibarat kita mewarnai hati kita tiap hari dengan dosa-dosa kecil yang akhirnya menggelapkan hati sendiri. Insaf rasanya saat menitikkan titik hitam itu atas hati kita. Mula mengenang kehidupan lalu yang dilalui sia-sia.
Tidak cukup dengan itu, setiap kami diberikan sepotong kecil lilin. Dinyalakan api di sumbunya dan diletakkan di telapak tangan. Bagi kita merasai betapa panasnya nyalaan api sekecil itu. Baru sekecil itu, apatah lagi jikalau sifat api neraka yang marak menyala.
Memang program Keindahan Bersamamu itu membawa satu keindahan hati.
(minggu depan akan berkongsi pula slot berbentuk simulasi kematian)

Friday, January 23, 2009

SIJIL KEMATIAN

Selalunya jika kita mengikuti sesuatu program atau kursus, kita akan diberikan sijil penghargaan atau sijil penyertaan selepas kita mengikutinya dengan jaya. Namun berlainan sekali dengan kursus yang diikuti cermin hari minggu lepas, kerana bukan sijil penghargaan atau penyertaan yang dapat tetapi "sijil kematian".

Pelik kan?....
Kenapa pula "sijil kematian" dan ada apa pada nama?...

Bukanlah kerana diri telah menghembuskan nafas terakhirnya ( kalau tidak tak tertulislah entry ini ), tetapi kerana apa yang ada pada sijil tersebut. Lebih kurangnya sijil peringatan kepada umur yang sedang dinikmati. Cuba perhatikan gambar di bawah…


Bahagian depan,


Tertulis dengan nama sendiri berbinkan nama ibu ( macam nama waktu ditalqinkan ).

Kertas empat segi tertulis "jawatanku". Ini adalah senarai penting 12 jawatan kehidupan yang sedang dan akan dipertanggungjawabkan. Daripada seorang khalifah Allah sehinggalah kepada sebagai seorang pengguna jalan raya.

Riben putih itu pula jumlah umur yang masih berbaki ( mengambil sempena umur nabi Muhammad saw 63 tahun)

Kertas kecil itu di bawah dilatari gambar perkuburan bersama tertulis jumlah umur yang berbaki.

Sedikit kain perca berwarna putih mengingatkan kain putih yang bakal menyelubungi diri saat dikebumikan nanti.

Bahagian belakang

Kertas berbentuk hati yang diwarnai hitam dengan arang melambangkan hati kita yang sering dicalit dosa. Semakin lama semakin menggelapkan hati.

Riben putih ini pula adalah jumlah umur yang telah berbaki.
( setelah dipotong dari panjang riben di bahagian depan )

Kesimpulannya, sijil ini cukup simbolik. Sesuai dengan program yang telah dilalui.

Berkata imam al-ghazali

"orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati".