Sunday, April 19, 2009

BERSETUJULAH DENGAN DIA

Seperti yang tersiar semalam saat majlis ramah mesra bersama penduduk Pekan, telah berucaplah Perdana Menteri kita YAB Dato Seri Haji Mohd Najib dengan katanya

" rakyat kita hari ini telah semakin bijak disebabkan dasar-dasar yang telah kita ( kerajaan BN ) tetapkan "

Anda rasanya telah mendengar kata-kata ini kerana ia telah diulang siar beberapa kali di televisyen dan anda juga memahaminya. Adakah anda bersetuju dengan kenyataan ini ?...
Hakikatnya, saya termasuk salah seorang rakyat Malaysia yang cukup bersetuju dan terharu dengan kenyataan pemimpin saya ini di atas jasa baik yang telah ditaburkan.

Jangan cepat melatah dan jangan juga cepat menghukum. mari sebelum itu kita hayati bersama apa yang dimaksudkan kebijakkan itu.

1. Bahasa Melayu
Semakin ia dipinggirkan oleh kerajaan, semakin kita sedar akan kepentingannya. Tanpa tekanan itu (dasar-dasar tersebut), rasanya tak ramai akan sedar kedudukan sebuah bahasa ibunda kepada bangsanya. Hari ini ramai yang mula memperjuangkannya semula tanpa meletakkan tanggungjawab itu seperti sebelum ini semata-mata ke atas pundak ahli bahasa.

2. Konsep Pengasingan Kuasa
Bagi pelajar-pelajar aliran undang-undang, ia bukan satu benda yang asing. Namun bagi rakyat Malaysia yang lain seperti kami, kami baru tahu rupanya Malaysia antara negara yang mengamalkan konsep ini. ( kuasa legislatif, kuasa eksekutif, kuasa kehakiman). Jikalau tanpa dasar mereka (kerajaan BN) yang sekarang ini bermain-main dengan konsep pengasingan tersebut seperti di Perak, nescaya kami akan terus buta huruf tentangnya.

3. Ketuanan Melayu
Selama ini hanya terdengar slogan perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira kaum sehingga telinga lali mendengarnya tetapi perhatian tidak diberi. Tapi dengan laungan-laungan ketuanan melayu yang kedengaran kini (dasar-dasar tersebut), barulah kami mampu bezakan antara dua, mana satu yang paling utama.

4. Kepentingan Kertas Undi
Peratus mereka yang keluar mengundi semakin meningkat. Protes di jalanan akan ditangkap. Peluang di media perjelas kebenaran terus dipinggir. Jadi kita semakin sedar akan kepentingan kertas undi. Jika tidak ada penangkapan atau peminggiran (dasar-dasar itu), kita akan terus bersikap harap-mengharap dalam mengundi. Hari ini kita semkain bijak.

5. One Malaysia
Dengan slogan baru yang dianggap mereka pembersih imej diri itu, kita semakin yakin siapakah di kalangan kita sebenarnya yang bermain dengan isu perkauman. Jadi, kita akan terus merangka dan merancang agar tidak terjebak dalam isu tersebut kerana keyakina tadi. Apakah yang mendorong kita?.... Tak lain tak bukan tentulah dasar-dasar tersebut.

6. Kebenaran Islam
Sebuah agama yang menyebar kasih sayang di kalangan umat manusia. Dulu diragui dan ditakuti, kini diyakini dan dihayati hatta di kalangan orang bukan muslim. Faktor pembantu tentulah dari dasar-dasar mereka yang selama ini menganggap agama Islam itu bahan permainan bagi mencapai matlamat.

KITA SEMAKIN SEDAR

Dari apa yang saya senaraikan, tentu kengkawan akan berkata " betul jugak". Semua itu berlaku tanpa kita sedari. Tanpa dasar-dasar mereka, kita akan terus seperti katak di bawah tempurung. jahil tentang situasi negara sendiri. Kini kita semkain bijak. Jadi, bersetujulah dengan perkataan pemimpin kita itu.

Saturday, April 4, 2009

SEORANG PENDERHAKA


Bukan aku ingin derhaka. Tidak terniat langsung untuk menjadi penderhaka. Kerna aku tahu derhaka itu seburuk-buruk perangai. Derhaka itu perkara dikeji. Manusia akan lari dari kita jika kita seorang penderhaka. Dituduh sebagai penderhaka sahaja sudah mengundang kebencian dan kemarahan orang, ini pula bila benar-benar menjadi seorang penderhaka.

Derhaka membawa maksud tidak mentaati perintah. Penderhaka adalah seorang yang tidak mendengar perintah pemimpinnya dan ia menunjukkan sikap melawan. Itu derhaka. Yea…. aku bukan seorang penderhaka. Tidak mahu menjadi kebencian manusia. Bukan sahaja keluarga sisihkan, sanak saudara dan masyarakat sekeliling juga akan memulau.

Memang aku tidak mahu menjadi seorang penderhaka tapi hari ini aku terdesak. Didesak dengan suasana.

Siapa yang ingin bersifat negatif ?.... sudah pasti tiada. Minta sangat dijauhkan. Pantang malaikat empat puluh empat. Itu kata orang tua. Memang nak jauh sangat dari perkara macam ni. Siapa mahu…….

Hari ini…… aku ulang, hari ini…… ramai sudah yang memperlihatkan kederhakaannya. Hari ini juga aku bersama mereka. Menjadi seorang penderhaka yang ingkar arahan ketua. Diri tidak mahu tapi hati mendesak. Diri tidak mahu tapi keadaan memaksa.

Kerana aku tahu pemimpinku hari ini perlu diderhakai. Perlu dilawan perintahnya. Bukan sekadar suka-suka. Tak terpengaruh langsung dengan sikap orang lain. Ini pendirian aku. Walau tubuh mengiyakannya dek kuasa yang tiada, hati tetap menderhakai.

Siapa pemimpinku?........ ia seorang yang patut diderhakai. Siapa pemimpinku ?....... ia telah menimbulkan perasaan benci dalam diri. Siapa pemimpinku ?.................. ia menjadi bahan kebencian bagi mereka yang berpendirian seperti aku.

Bukan suka-suka dan sekadar berseronok. Ada sebabnya. Ada pointnya. Keadaan semasa telah membuktikannya. Ia telah mewujudkan satu fenomena baru dalam pemikiran manusia walaupun hakikatnya telah lama diperkenalkan.

" tiada sebarang ketaatan terhadap makhluk di dalam melakukan kemaksiatan terhadap sang pencipta "

Sunday, March 15, 2009

SIAPA SANGKA...

Tugasku semakin sukar.

Itulah yang dirasai diri dan mungkin kebanyakkan mereka yang baru juga merasainya. Ia bukan mudah. Bukan semudah memetik jari atau sekadar meluah idea. Ia lebih kepada perlaksanaan. Memang.... status sebagai seorang pendidik memerlukan lebih dari satu pengorbanan. Perasaan yang amat berlainan sejak mula memasuki bidang ini.


Bukan sekadar mengajar, peranannya tidak terhenti di dalam kelas semata, malah bukan juga di dalam kawasan pagar sekolah, tanggungjawab mereka - golongan pendidik- melepasi had yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia. Itupun jika ini betul-betul difahami mereka. Ini kerana tanggungjawab yang terpikul di pundak itu cukup berpengaruh dan memberi kesan terhadap pembangunan sumber manusia dan pembangunan negara.

Sengaja cermin berkongsi perkara ini bagi meluah rasa. Kekadang masyarakat kita tidak mengerti dan fahami lalu menyalahkan bulat-bulat para pendidik jika anak mereka tidak berjaya. Para pendidik itu memerlukan sokongan semua. Ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Kita sentiasa mengharap semata-mata dari mereka sedang mereka ini juga manusia juga. Seperti seorang pelajar yang memerlukan pedoman, dorongan dan sokongan walaupun mereka sudah bertaraf profesional.

Ini kerana mereka adalah pendidik, mereka juga pendamping, sahabat, tempat berkongsi masalah, rakan meluah rasa hati. Seolah-olah watak yang bakal terbentuk dari diri seorang murid itu sebenarnya telah terpamer dalam jiwa para pendidik. Yang penting mereka mahukan sokongan semua.

Wednesday, February 25, 2009

TAHUKAH KITA?....

Apabila cikgu memberitahu " minggu depan akan ada ujian bulanan, jadi harap semua murid dapat bersedia", maka murid mengangguk. Sambil mengangguk, mereka mula memikirkan bagaimana bentuk soalan yang akan ditanya, bab mana yang masuk, bentuk jawapan yang perlu. Di samping bertanya kawan kalau-kalau ada nota yang diberi cikgu.
Itu zaman persekolahan dulu dan kita semua rasanya pernah mengalaminya. Yang rajin akan mula menelaah pelajaran yang lalu, ada juga yang main"tembak" aje, pilih-pilih tajuk yang kemungkinan akan ditanya, tak kurang yang baca sekali lalu sambil berdoa agar soalan yang ditanya nanti mudah. Itu gelagat mereka yang bernama murid.
Sebenarnya tak ramai yang tahu bila musim ujian atau peperiksaan menjelang, bukan sahaja murid-murid sibuk dengan buku dan tekaannya, guru-guru pun begitu juga. Cuma sibuknya sedikit berlainan dan mereka lebih bersedia.
Terdahulu mereka akan mengulangkaji juga fasal-fasal dan topik yang telah mereka ajarkan agar soalan yang dibentuk nanti tak lari dari apa yang mereka telah ajar ( ini lebih melibatkan ujian bulanan). Mereka juga perlu melihat dan meneliti bentuk-bentuk soalan yang lepas dan menilai tahap kesesuaian terhadap bentuk pengajaran mereka. Hanya memilih bentuk-bentuk yang diperlukan sahaja.
Setiap soalan diletakkan skala markah yang sesuai. Ini pun sebenarnya dah mula memeningkan. Bukan saja-saja reka soalan. Markah perlu sesuai dengan nilai markah yang ditetapkan. Kalau tidak, nampak tak seimbang. Memang susahkan..... pelajar hanya menerima dan menjawab. Ini tak kira lagi dengan perasaan simpati guru itu lagi. Sesuai ke soalan ni?.... boleh ke mereka menjawab?..... tak payah sangat ke?..... kekadang emosi menganggu penumpuan.
Pelajar hanya tahu mereka ada ujian, tetapi mereka tidak tahu sebenarnya guru juga mengenakan ujian ke atas diri mereka sendiri.
( ini sebelum, bagaimana pula selepas?... )

Friday, February 13, 2009

MESYUARAT.....


" ada mesyuarat ke tak?, tadi beritahu jam 2 petang, ni dah nak masuk 2.45 dah.... "
" baru ada seorang, itupun pihak tuan rumah "
" macam manalah nak didik anak murid "


Kepentingan masa sering diperingatkan kepada manusia. Tambahan lagi bagi pelajar diperingkat sekolah sama ada menengah ataupun rendah. Setiap kali perhimpunan pelajar, pasti itu menjadi modal. Namun biarlah berbuih mulut guru itu sekalipun tatkala bercakap mengenai masa, tetapi jika tidak disemai rasa sedar terhadap kepentingannya tak guna juga. Bagaimana bentuk penyemaian tersebut?.... Tidak perlu berbelanja besar mengadakan kursus motivasi, menganjurkan pertandingan tepati masa atau mengecat di sepanjang dinding sekolah kempen tepati masa.

Yang paling penting sebenarnya terjemahan perbuatan dari golongan pendidik itu sendiri. Sayangnya.... perkara ini tidak berlaku. Para pendidik mungkin kurang sedar bahawa bila mereka bercakap sesuatu perkara, murid akan melihat dan memerhati. Mungkin juga mereka perlu diingatkan bahawa mereka itu role model kepada anak murid mereka secara khususnya. Punca masalah ini berlaku apabila mereka sering bertindak menasihati tetapi tidak dinasihati. Akibatnya nanti akan wujud rasa tiada penghormatan murid kepada pendidik lalu menumbuh masalah demi masalah.


Berbalik kepada cerita, nama pun mesyuarat tentulah penting. ini pula mesyuarat peringkat MSSD ( kejohanan bola sepak peringkat zon ). yang datang semuanya guru-guru senior. Jurulatih dan pengurus pasukan. Jadi bila diambil kira semua itu, rasanya masa tiada masalah. Jauh sangkaan dari sasaran. Kalau tak, tak bermulalah mesyuarat jam 2.45 petang. Silapnya di mana?.... tengoklah kembali kepada punca masalah.


Betullah kata pepatah,
Bila guru kencing berlari, anak murid kencing berlari.