Wednesday, February 27, 2008

PERKARA PELIK


Jikalaulah ada orang bertanya apakah perkara pelik yang kamu tahu sepanjang minggu ini, tentu saya akan menjawab "ada seorang nenek akan bertanding di PRU 12 sebagai calon bebas". Itu setakat yang saya tahu, yang tak tahu mungkin banyak lagi. Tetapi cukuplah yang ini, itupun sudah memadai untuk menabalkannya sebagai tempat pertama dalam ranking 10 perkara pelik yang saya tahu. Saya ulang sekali lagi yang saya tahu.

Memang banyak perkara berlaku sepanjang minggu ini khususnya berita-berita politik tanahair. Isu presiden PAS yang tidak membalas sapaan orang, Mat Sabu mengoyak memorandum, cakap besar MB Terengganu, lagak budak nakal UMNO, penyelewengan sepanjang tempoh berkempen, rayuan MB Kelantan, kebangkitan rakyat dan banyak lagi yang tak tersenarai.

Namun perkara itu bagi saya adalah perkara biasa dalam politik. Isu-isu sebegini tidak lebih untuk menjatuhkan pihak lawan semata sekaligus berkempen. Tiada salahnya di sisi sistem demokrasi berparlimen tajaan pemerintah Islam Hadhari. Semua itu boleh kita masukkan dalam kategori masing-masing lalu dinilai mana yang sebenarnya bukan menerima bulat-bulat. Ada yang berbentuk realiti, pembohongan, fitnah, hujah, manipulasi berita dan hakikat. Pandai-pandailah kita mengkategorikannya.

Hakikatnya, semua itu tidak mampu menandingi kepelikan perkara pertama tadi. Seorang nenek bertanding sebagai calon bebas…….

Munasabahkah?.......berbaloikah?........

Waktu ikut kursus kewartawanan dulu saya masih ingat antara perkara yang ditekankan bagi penulisan sesuatu berita mestilah isinya sensasi ataupun ianya jarang berlaku. Seorang nenek menyara cucunya, seorang nenek pergi mengundi. Itu cerita biasa dan tiada peliknya. Tapi bila seorang nenek masuk bertanding, itu rasanya cerita baru dan payah berlaku. Jadi mungkin bagi wartawan, perkara ini adalah satu peluang emas untuk melariskan berita mereka.

Masih bertanya sendirian, adakah ini apa yang dinamakan sebahagian daripada kancah politik?... ataupun ia berkait dengan strategi pilihanraya sesebuah parti bagi memecah undi parti lawan?.... ataupun juga sekadar menjual nama meng 'glamour' kan diri?.....

Pelbagai soalan dan andaian. Masih menunggu kalau-kalau ada jawapan dari mereka yang berada di tanahair yang mampu menjelaskan perkara pelik ini.

Sunday, February 24, 2008

SESI JAWAB TAG

Alah……kena tag la pulak. Dahlah tak reti nak jawab, camne yea. Pikir punya pikir, jawab ajelah mana yang patut. Nanti merajuk pulak hakim dirani yang mentag saya. Apa-apa pun, inilah coretannya…..


Azam tahun 2008/ 1429.

Kalau 3 tahun lepas mungkin soalan ini sesuai untuk saya kerana pada waktu itu saya beranggapan keazaman itu perlu diperbaharui setiap tahun, tetapi hari ini ia telah berbeda. Bukan setiap tahun malah setiap hari, setiap pagi di kala terjaga dari tidur. Sebagai kesyukuran dan tidak mensia-siakan nikmat nyawa yang dinikmati. Jadi azam saya akan berubah setiap hari cuma motto hidup tetap sama "hidup ibarat lapangan merealiti impian, biarkan ianya nyata, syurga Allah nyalaan impian buatku".

Kenangan pahit yang tak boleh di lupa sepanjang tahun 2007.

"Don't worry be happy". Ini kata-kata yang selalu saya pegang. Mungkin kenangan pahit itu ada, cuma saya tidak berapa ambil kisah. Biarkan pahit itu datang, kita olah menjadi manis lalu dengan sendirinya akan terbentuklah kebahagian.

Pengajaran dari tahun 2007.

Terlalu banyak dan boleh dikatakan secara puratanya ada pengajaran pada setiap hari. Yang utama, perlu meraikan jiwa manusia apabila kita bermuamalah sesama manusia.
"redha manusia itu adalah puncak yang tidak mungkin kita capai".

Pencapaian paling bermakna pada 2007

Dari sudut pengajian, alhmadulillah walaupun sibuk berorganisasi namun pelajaran tidak terabai. Masih mampu menapak melangkah ke peringkat seterusnya pada sesi ini.
Dari sudut pengalaman, diberi peluang mengiringi wartawan stesen tv arab Qatar ke Malaysia untuk buat liputan Kejohanan Bola Sepak Piala Asia bulan 7 lalu selama sebulan.

Kalau ada gambar menarik sila paparkan kat di sini.
Keseronokan bermain salji tidak melupakan mereka
tanggungjawab seorang hamba
jadi seperti biasa, saya akan memperpanjangkan tag ni kepada............. (kita tengok saper yang kena) :
1. tintahati
2. soalhati
3. izzahulfah
4. butaseni
5. maksu
6. indahsakura

Wednesday, February 13, 2008

HAPPY VALENTINE


Mereka bercakap atas nama fitrah manusia. Melabelkan diri mereka sebagai orang yang memperjuangkan sifat semulajadi manusia. Sifat azali yang terus berada di dalam diri insan. Mustahil untuk dinafikannya. Cinta…… kasih sayang……. mahabbah…. dan perkataan lain yang seerti dengannya.

Namun, sebenarnya mereka tertipu dengan dakyah mereka sendiri. Terlalu mengumumkan makna cinta, makna kasih sayang sehingga meliputi perkara yang tidak sepatutnya langsung membawa diri terjerumus ke dalam tipu helah dunia.
Happy valentine, satu lagi unsur yang mencemar akidah bagi mereka yang sedar. Satu lagi bentuk helah dalam menyesatkan umat Islam. Umum mengetahui hari tersebut merupakan hari peringatan terhadap seorang paderi kristian dan perjuangannya dalam menyebarluaskan pengaruh kristian di bumi Andalus. Lalu hari itu diketengahkan kepada masyarakat dunia. Maka berduyun-duyunlah manusia menyambutnya khususnya bagi mereka yang bercinta. Terlupa mereka seketika jurang pemisah antara kristian dan Islam.

Rasulullah s.a.w dalam satu hadisnya pernah bertegas : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dalam lingkungan kaum tersebut."

Cinta dan kasih sayang, Islam tidak pernah menghalang malah menganjurkannya. Islam itu sendiri datang sebagai rahmat kepada sekalian manusia. Tetapi Islam membentangkan gaya tersendiri dalam menyahut fitrah manusia itu.

Sabda nabi saw bermaksud:
"barangsiapa yang tidak mengasihi mereka yang kecil dan tidak menghormati mereka yang tua, maka dia bukan dari golongan kami (umat Islam)"

"tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri"

"tidak beriman seseorang itu sehingga aku menjadi orang yang paling ia kasihi daripada orang tuanya, anak-anaknya dan manusia sekaliannya".

Bagi yang bercinta, Islam meletakkan garis panduan untuk diaplikasikan sejajar dengan kehendak manusia. Bukan mengongkong, tetapi lebih kepada menyalurkannya ke arah makna dan maksud sebenar. Maka disyariatkan hukum pertunangan, perkahwinan dan ditambah dengan adab-adab pergaulan serta berkasih sayang.

Sedarlah, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana sebahagian kecil, kita semua menanggung akibatnya. Berilah faham kepada mereka yang masih tersalah faham itu. Sesungguhnya agama Islam itu adalah agama nasihat menasihati.

Sunday, February 10, 2008

BILA LAGI


Malam tadi angin yang bertiup dari tanah semenanjung mengkhabarkan pilihanraya Malaysia semakin hampir. Angin yang melalui tanah arab itu bukan lagi sepoi-sepoi bahasa, tetapi angin yang kencang tiupannya. Ia juga turut bertiup di benua lain serata dunia mencari rakyat Malaysia agar mereka tidak terlepas khabar ini. Khabar pilihanraya…..khabar pemilihan rakyat Malaysia.

Yea, pilihanraya semakin hampir. Ciri istimewa sistem demokrasi ini amat ditunggu semua untuk melempiaskan hak yang masih berbaki setelah kebanyakkan hak-hak keistimewaan warganegara Malaysia dicuri dan dikhianati.

Walaupun begitu, penentuan harinya masih menjadi teka-teki Perdana Menteri untuk rakyatnya. Memang menyeksakan kerana ia satu penantian. Menanti-nanti bilakah harinya, bilakah tarikhnya. Dalam pada itu, sebenarnya ia dianggap sebahagian pihak sebagai satu taujihat. Merangsang kita agar sentiasa berwaspada dan bersedia. Menggerakkan semua kekuatan dengan satu perancangan teliti, bukanlah melatah hingga menzahirkan kelemahan. lalu membawa kekalahan. Biar dia dengan teka-tekinya, yang penting kita dah bersedia menyusun cara untuk menjawab teka-teki tersebut. Sejarah itu adalah pengalaman dan panduan kita.

Semua kita menunggu dan mengikuti khabarnya. Baik di dalam Negara mahupun yang bertaburan di pelusuk dunia kerana kita sedar itu adalah hari penentuan. Penentu berapakah pula harga minyak akan mencacak naik, begitu juga roti canai dan cucur di tepi jalan, tak lupa yuran sekolah, kebajikan rakyat, kebebasan media, keistimewaan bumiputra, dasar luar Negara dan lain-lain yang terlalu banyak kalau hendak disentuh. Nasihat cermin janganlah kita kali ini tersalah langkah lagi.

Bagi yang sudah mula bergerak untuk merealitikan impian rakyat, terima kasih dan syabas diucapkan. Teruskan usaha mulia kalian, kami di luar akan sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan kesejahteraan. Mereka yang masih terlena, sedarlah!!!... hari sudah pun siang. Masa untuk mengkotakan kata sudah lama bermula. Jangan sampai anda merasa rugi bila tiket sudah dibeli, tapi anda tertinggal keretapi.

Sunday, February 3, 2008

PILIHAN KITA

Pernah suatu hari cermin bertanya sendiri jikalau musim pilihanraya nanti cermin ditakdirkan berada di Malaysia, agak-agaknya apakah parti politik yang akan dipilih?.

Renung-renung, fikir-fikir…..

Lalu cermin katakan kepada diri pilihlah parti apa saja yang bertanding dengan syarat bersandarkan kepada 10 natijah di bawah ini.

1. Berlakunya perubahan yang menjamin bukan menggadai masa depan
2. Perundangan Islam dapat didaulatkan
3. Malaysia tidak terus berada dalam kelompok Negara dunia ketiga yang berada di kelas ketiga
4. Barisan kepimpinan Negara yang cukup relevan mendepani massa
5. Dapat mengecapi hak-hak sebagai seorang rakyat Malaysia
6. Hasil mahsul Negara terpelihara dan dinikmati oleh semua (samada yang terdapat di dataran terbentang mahupun di dasar lautan)
7. Demokrasi dipraktikkkan sepenuhnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan
8. Isu perkauman tidak dimainkan malah dibentuk ikut acuan perpaduan
9. Malaysia menjadi negara contoh dan panduan kepada rakyat dunia
10 Hati setiap kita terasa puas dan bahagia
Belajarlah menjadi rakyat yang cerdik dengan memilih pemimpin yang bersifat cerdik.