Friday, January 15, 2010

PERLUKAH BERPUTUS ASA

“Ana dah give up la dengan jawatan ni” keluh seorang pelajar petang tadi. Aku ambil perhatian lalu berpaling melihat air mukanya. Ternyata gaya yang dipenuhi tekanan dipamerkan. Terdetik terus di hati “kalaulah diikutkan rasa, nescaya aku dah lama berputus asa”. “Tapi, kenapa aku boleh bertahan?…..”. Inilah persoalan yang ingin ku terjemahkan agar mampu dicontohi pelajar itu. Mungkin juga oleh mereka lain yang sensitive perhatiannya.

Lalu aku berusaha mencari jawapan persoalan itu.

“Mengapa aku boleh terus bertahan walau putus asa menyerang kiri dan kanan ?..”

Aku tidak berminat bercerita tentang apa itu putus asa kerana kita semua memahaminya dan pernah mengalaminya. Perasaan itu terkadang lebih menggambarkan daripada perkataan. Tak terucap oleh mulut.

Tapi apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap kita menghadapinya, memikirkan apa puncanya lalu bertindak mengatasinya agar penyakit itu tidak terus menjadi tembok antara kita dan kejayaan. Langkah itu perlu agar kita tidak tertipu lalu terawang-awangan di dalam perangkap khayalan yang kita bina sendiri.

Aku membelek diari hidupku, lalu menyimpulkan punca penyakit itu ke dalam beberapa perkara.

Matlamat yang bercabang – bila itu kita nak dan ini juga kita nak kejar, maka akan jadilah yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Hanya keletihan yang bakal kita perolehi.

Tiada sistematik kerja – bukankah lebih baik jika kita buat satu demi satu. Boleh dilaksanakan banyak sekaligus, tapi perlulah dinilai kemampuan diri. Malah mana satu yang lebih penting pun perlu diraikan juga. Tiada pertindihan kerja, teratur dan mengikut aturan kerja yang kita tetapkan sendiri, itu lebih menyenangkan.

Kawalan emosi dan perasaan – ini penting kerana ia melibatkan tingkah laku kita malah kekadang memberi kesan terhadap keputusan yang telah kita azamkan. Perlu diingatkan bahawa elemen manusia itu bukan dari jasmani sahaja, malah melibatkan emosi, rohani dan intelektual. Fikirkanlah….. mana satu yang lebih kerap kita beri tumpuan ?...

Sokongan yang tidak padu – sama ada dari keluarga, kengkawan atau guru-guru. Fitrah manusia tidak boleh hidup berseorangan. Perlukan pendamping. Bukan bermakna manusia itu tidak boleh berpijak dengan kaki sendiri, cuma orang di sekeliling itu sebagai faktor penerus untuk dia terus berdiri.

Kurang pergantungan kepada Allah swt - punca ini cukup perlu diberi perhatian khususnya bagi kita orang islam yang mempercayai bahawa Allahlah pemilik tunggal alam ini. Jika komputer kita mengalami kerosakan kita boleh memberi kepercayaan kepada tauke kedai komputer untuk membaikinya, mengapa di waktu kita menghadapi masalah dalam kehidupan kita tidak kembali kepada zat yang mencipta alam ini ?... Itulah kekhilafan kita yang kurang disedari.

Bukankah ada sabdaan nabi saw yang bermaksud :

“ Peliharalah Allah nescaya kamu akan mendapatiNya di hadapan kamu, ingatilah Allah di waktu senang nescaya kamu akan diingati di waktu susah, ketahuilah sesungguhnya kejayaan itu bersama kesabaran, kegembiraan itu bersama kesulitan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan”.

No comments: