Friday, May 14, 2010

PENGHARGAAN BUAT MEREKA...

Mereka mengingatkan ;

“Apabila kamu belajar, belajarlah seolah-olah kamu akan mengajar selepas itu. Belajar bukan setakat berjaya di dalam peperiksaan. Malah belajar itu ialah kita memahami pelajaran lalu berusaha dan berjaya memberi kefahaman kepada orang lain sebagaimana kita faham. Itu baru namanya belajar. Dan itulah juga tanggungjawab orang yang belajar.



Kalaulah kamu tahu …… belajar bukan sekadar dengar, tahu lalu menghafal sesuatu bab seterusnya berharap moga-moga tajuk itu akan masuk periksa. Jauhilah perbuatan ini kerana itulah punca yang akan menatijahkan golongan kurang ajar”.

Mereka berpesan ;

“ Sentiasalah pastikan kamu ada sebatang pen dan sehelai kertas ke mana sahaja kamu pergi. Lebih elok lagi, jika ada kamera. Kerana kita tak tahu di mana, bila dan apakah bentuk ilmu serta pengalaman yang bakal kita perolehi sepanjang kehidupan. Amat rugilah saat kita mengalami dan mengadapinya, kita tiada sebarang benda untuk mencatit dan merakamkannya.

Dengan kesedaran bahawa (kebijaksanaan itu adalah barang kehilangan orang mukminالحكمة ضالة المؤمن - ), maka kita akan merasa pentingnya 3 benda tersebut. Maka apabila kita diberi kesempatan temui dan alami saat tersebut, kita mampu mencatit dan merakamnya lalu menjadikannya sebagai satu perkara yang boleh kita ambil pengajaran daripadanya selepas itu. Untuk kenangan pun boleh juga. Apalagi untuk difikirkan…….. Jika tidak, saat itu akan berlalu begitu sahaja. Sia-sia…… Seorang khalifahkan perlu memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang ada ?.



Mereka menegur ;

Kamu ni memang tak tahu menulis dengan tulisan jawi ke?... (soalan tapi lebih kepada teguran – aku faham). Kamu dahla pelajar syariah. Sepatutnya kamulah yang bertanggungjawab mengangkat tulisan tersebut. Nak harapkan mereka lain, sudah tentu tidak. Kerana bidang mereka tak memerlukan tulisan tersebut. Kalau bukan kamu, siapa lagi…..

3 perkara yang dinasihati ini sehingga kini masih diingati. Insya Allah akan terus diingati. Ibarat sebuah hadiah berharga (hadiah kehidupan).

Pembina generasi ulama’, itulah mereka. Tidak jemu menasihati, tidak bosan membimbing, tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Harapan serta cita-cita yang tinggi menggunung. Mahu melihat Islam kembali didaulatkan.

Seribu penghargaan buat mereka. Tanpa mereka, siapalah aku…..

Berkata Dr. Yusuf Qardhawi :

“Pendidikan yang mencetak manusia menjadi cerdas dan cerdik pemikirannya tetapi tidak mampu membuatkan air matanya mengalir dan hatinya khusyuk lagi tawadhuk adalah pendidikan yang tidak berjaya”.

No comments: