Monday, July 16, 2007

SATU PENGALAMAN

Sehingga kini, hampir 10 hari sudah menjejakkan kaki di bumi Malaysia setelah 3 tahun meninggalkannya. Dan baru malam ni berpeluang balik ke rumah sendiri, itupun memandangkan esok tiada aktiviti, kalau pun ada hanya di sebelah petang. Kena pandailah mencuri masa.
Nasib baiklah keluarga memahami, lagipun dah berjumpa dengan anak kesayangan mereka kat hotel pada hari pertama lagi, jadi tak berapa terkilan sangatlah. Alhamdulillah malam ni ada rezeki balik ke rumah. Kosonglah seketika bilik kat hotel sana.
Letih?.....memanglah.....nama pun bekerja. Ke sana ke sini, lebih- lebih lagi bekerja dengan wartawan, semua tempat yang terbabit terpaksa pergi. Dengan cuaca khatulistiwa yang lama tidak dirasa, terasa semacam sedikit menganggu. Mungkin untuk permulaan sebelum badan ini terbiasa dengannya.
Kira ini sebagai pengalaman barulah walaupun bekerja di negara sendiri dan untuk seketika cuma. Dari sudut cara bekerja, cara bermuamalat, menyelesaikan pengurusan yang berkaitan, semuanya itu baru diceburi. Walau apa pun itulah dia kehidupan. Dan itulah juga kehidupan yang ingin ku sampaikan ertinya saat bicara salam dihulurkan.

Friday, July 6, 2007

GARA-GARA PIALA ASIA

Gara-gara kejohanan Piala Asia yang bakal menjelma sedikit hari lagi, kini terdampar seketika di Qatar sebelum meneruskan perjalanan kerja ke Malaysia. Boring.....memang tak terkata, hampir 48 jam sudah terperap kat hotel ni, tak keluar ke mana. Menunggu confirm tiket dari sini ke Malaysia. Satu penyeksaan.
Rakan-rakan lain semuanya sudah memulakan kerja, taklah terbuang sangat waktu walaupun letih tu ada. Sekurang-kurangnya rasa puas dengan kerja tersebut. Keluar pagi balik tengahari, keluar petang balik malam. Cermin tetap di hotel dari pagi hingga ke malam.
Tempat ni pula jauh dari bandar ataupun pasaraya. Kalau tidak, bolehla merayau-rayau di sana. Ah..........nak buat apa pula lepas ni. Takkan nak sambung tidur lagi. Mata ni rasanya sudah tidak mampu ditutup.
Cuaca di sini pula panas berbanding negara Syria. Ditambah pula dengan debu yang beterbangan. Memberatkan lagi hati untuk keluar meronda-ronda. Memang kemudahan disediakan. Tapi..............ibarat bagaimana yang mampu menggambarkan keadaan ini.
Doa2kan ajelah yea hati ini tenang dalam bekerja.

p/s:
buat cik iman dan sdr. gugar, pasal tag tu nanti jawab. Bila ke Syria nanti. Sabar..........

Monday, July 2, 2007

RESAH BULAN JUN

Gelisah hati yang sebelum ini berkocak sudah semakin tenang. Nafas kelegaan yang dulu tersekat dicelah himpitan sudah mampu dilepaskan kini. Nafas itu dihembus sepuas-puasnya tanda kepuasan hati. Senyuman di bibir terlirik menjawab keriangan jiwa. Diri terasa berbangga dengan kemampuan sendiri tanpa dilupa itu hanya keupayaan sementara.
Walaupun masih berbaki 2 pelajaran dalam seminggu ini, kepuasan menjawab soalan beberapa pelajaran yang terdahulu terzahir sudah. Tanpa dapat dibendung. Mungkin itu anugerah Yang Esa buat pemujuk jiwa yang sedikit tertekan dengan karenah sepanjang sebulan ini. Banyak perkara yang dihadapi dari luaran mahupun dalaman. Rasa malas, bosan, tertekan ataupun usikan dari rakan-rakan sedikit sebanyak mengganggu penumpuan diri. Namun alhamdulillah, semuanya ini mampu dilalui. Natijahnya, garisan penamat itu hampir dilangkaui menamatkan keresahan bulan jun ini.
Peratus keputusan pelajaran yang terdahulu walaupun belum diketahui, diri ini yakin bahawa yang dilakukan itu adalah yang terbaik. Pastinya keputusannya juga adalah yang terbaik selaras dengan usaha yang dikorbankan. Apapun, diri tidak mengeluh jika yang berlaku sebaliknya kerana itulah ia bukti setakat mana kesungguhan ditunjukkan. Jikalau kurang baik, maka kesungguhan yang lebih jitu perlu diusahakan.
Resah bulan jun walaupun sudah hampir berakhir, tidak bermakna keresahan bulan lain tidak bertandang. Ada....... terpulang kepada diri sendiri melayannya. Perkara itu sememangnya diakui. Cuma berlainan bentuk dan caranya.
Buat akhirnya, resah bulan jun itu telah berjaya dilalui dengan natijahnya yang masih di dalam penantian diri. Dalam perkiraan sendiri, moga-moga usaha yang dicurah menghasilkan natijah yag ceria.

Saturday, June 9, 2007

TAHNIAH BUAT PM

Selaku anak jati negara Malaysia merangkap salah seorang rakyatnya yang berjiwa besar, terasa sedikit rugi andai kesempatan yang ada ini walaupun lewat tidak diambil untuk berada bersama mereka yang lain mengucapkan “Selamat Hari Perkahwinan” buat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Jeanne Abdullah(mungkin sekarang bergelar Datin Seri).
Juga ucapan tahniah buat Dato’ Seri di atas keputusannya memilih teman hidup disisi yang rasanya cukup tepat disamping sedikit sebanyak mengubat duka pemergian Datin Seri Hendon, ianya boleh juga dianggap sebagai bahan bakar bagi mengembalikan semula gahnya peranan jawatan Perdana Menteri itu ke tempat asal dan selayaknya.
Walaupun hati ini sebenarnya sedikit terguris dengan pendirian beliau yang sebenarnya mewakili keseluruhan rakyat Malaysia terhadap beberapa permasalahan antarabangsa, itu tidak termasuk dengan tindakan beliau menangani kes-kes dalaman Negara yang dipandang ada sedikit kecelaruan dan tidak bersesuaian, namun itu semua itu tidak menganjakkan diri dan hati untuk bersama rakyat Malaysia lain berkongsi kegembiraan hari ini. Semoga hari ini ada hikmahnya, gembiranya beliau hari ini moga-moga mendatangkan seribu kegembiraan buat rakyat Malaysia kelak.
Isteri itu bagai tongkat si buta, penenang jiwa pendamping setia. Harapan hati akhirnya semoga Jeanne Abdullah (datin seri) dapat memainkan peranannya mendokong teraju pemerintahan Dato’ Seri sebagai orang nombor satu Negara agar lebih disegani dan dihormati pada masa akan dating, menjadi penyerlah kepada inspirasi sebenar Dato' Seri sekaligus mengembalikan kecemerlangan Malaysia sebagai salah sebuah negara berdaulat di persada dunia.

Thursday, June 7, 2007

TENTANG AIR….

Bila malam mula menjengahkan diri, air di pili mula mengecil, makin mengecil dan kemudiannya terus terputus. Terpaksalah di waktu malam bergantung harap dengan air di tangki. Harap-harap banyak boleh bertahan sehingga ke pagi.
Begitulah perihal rumah sewa cermin sekarang. Mungkin ini disebabkan proses pencatuan air yang dilakukan oleh kerajaan sini bagi memastikan semua rakyatnya mendapat air bersih setiap hari. Maklumlah sekarang adalah musim panas dan purata penurunan hujan amat sedikit sekali bahkan kadang-kadang hampir tiada.
Aduh………..setakat merungut sahaja tidak jadi. Selepas ini, perlulah sentiasa beringat tentang nikmat air dan kepentingannya.

Teringat satu kisah bagaimana seorang ahli ilmu memperingatkan rajanya tentang sekejapnya nikmat di dunia ini dengan menggunakan perumpamaan air.

Ahli ilmu : Cuba tuanku bayangkan, tuanku seorang diri dalam keadaan kehausan yang amat sangat berada di tengah-tengah padang pasir yang terbentang luas. Tidak tahu mana hujungnya dan mana pangkalnya. Tanpa ada sebarang bekalan makanan dan minuman. Jikalaulah pada waktu itu seorang rakyat tuanku datang dengan separuh air di dalam botol untuk diberikan dengan syarat pertukarannya setengah daripada harta benda tuanku, adakah tuanku akan menerimanya?.....

Raja : Sudah pasti beta akan menerima.

Ahli ilmu : Bagaimana pula jikalaulah setelah itu tuanku terasa ingin membuang air kecil tetapi tidak dapat melakukannya akibat sesuatu perkara dan datang rakyat tuanku itu sekali lagi menawarkan bantuan menyelesaikan masalah tuanku dengan syarat pertukarannya sebahagian baki harta milik tuanku, adakah tuanku akan menerimanya?.

Raja : Bagi beta kesihatan lebih diutamakan dalam mentadbir. Tawaran itu beta akan terimanya.

Ahli ilmu : Begitulah sebenarnya perumpamaan nikmat dunia ini. Dengan beberapa detik sahaja, ia boleh berpindah tangan, malah boleh hilang daripada penguasaan kita. Jadi, atas sebab apakah yang boleh tuanku berbangga dengan perkara yang seberapa detik itu?.

Fikir-fikirkanlah………