Friday, December 18, 2009

NATIJAHNYA.... 1 PERUBAHAN

Aku suka berkongsi ilmu atau apa sahaja pengetahuan yang ada, walau sedikit. Kerana dengan perkongsian itu, aku yakin ilmuku akan terus bercambah. Melalui sesi mengajar, bersembang kosong atau bertukar pendapat. Nescaya di sana akan ada perkara baru yang diketahui.
Mereka kata - berkongsi perlukan cara. Bukan sembarangan perkongsian. Takut nanti orang lain bosan menerima. Ingat…. bukan semua perkara boleh dikongsikan, etika dan peringkat hidup perlu diraikan juga.


Aku pentingkan disiplin dan suka berdamping dengan orang yang punya disiplin diri. Itulah juga sebenarnya ciri utama seorang khalifah Allah di muka bumi ini. Kesedaran inilah yang menjadi pedoman.
Mereka kata – orang yang tidak sedar akan membenci dan terus menolak bulat-bulat. Perlukah kita meletakkan diri di tempat kebencian orang ?... Bukankah bertolak-ansur itu penting ?....


Aku perlukan teman. Tak kira usia, tak kira nama. Bersama mereka, hidup ini aku rasakan cukup bahagia. Penuh dengan warna-warni yang menghibur. Ntahla…. siapa teman siapa musuh masih menjadi persoalan.
Mereka kata – bukan semua orang akan berasa senang dengan sikap kita. Tak sedikit yang bosan dan meluat. Siapa tahu….. ? Kekadang kita perlu memilih juga agar warna-warni itu menjadi lebih bermakna.


Aku rasa orang di sekeliling boleh menerima sikap dan cara aku berinteraksi. Mungkin kerana aku sentiasa cuba untuk memahami diri mereka. Memberi satu penghormatan kepada mereka, akhirnya kita nanti dihormati.
Mereka kata – itu engkau rasa…. Mereka rasa ?.. Perlu juga diambil kira. Jangan syok sendiri kerana kita hidup bermasyarakat. Perlukan sikap menerima dan memberi.


Aku lebih suka jika aku ditegur atas ketaksiran yang dilakukan. Bagiku teguran itu satu pemangkin semangat. Tanda mereka sayang dan ingin aku berjaya. Insya Allah, aku akan cuba berlapang dada.
Mereka kata – cakap memang senang. Hakikatnya, engkau selalu cepat melenting. Bukan takut orang nak menegur, cuma mereka hendak engkau sedar sendiri. Biar tahu di mana bumi dipijak.

Natijahnya, 1 perubahan diperlukan. 1 transformasi diri bakal dilaksanakan demi diri sendiri, kehidupan ini yang bakal dilalui serta orang di sekeliling yang memerhati dan mendampingi.