Friday, May 14, 2010

PENGHARGAAN BUAT MEREKA...

Mereka mengingatkan ;

“Apabila kamu belajar, belajarlah seolah-olah kamu akan mengajar selepas itu. Belajar bukan setakat berjaya di dalam peperiksaan. Malah belajar itu ialah kita memahami pelajaran lalu berusaha dan berjaya memberi kefahaman kepada orang lain sebagaimana kita faham. Itu baru namanya belajar. Dan itulah juga tanggungjawab orang yang belajar.



Kalaulah kamu tahu …… belajar bukan sekadar dengar, tahu lalu menghafal sesuatu bab seterusnya berharap moga-moga tajuk itu akan masuk periksa. Jauhilah perbuatan ini kerana itulah punca yang akan menatijahkan golongan kurang ajar”.

Mereka berpesan ;

“ Sentiasalah pastikan kamu ada sebatang pen dan sehelai kertas ke mana sahaja kamu pergi. Lebih elok lagi, jika ada kamera. Kerana kita tak tahu di mana, bila dan apakah bentuk ilmu serta pengalaman yang bakal kita perolehi sepanjang kehidupan. Amat rugilah saat kita mengalami dan mengadapinya, kita tiada sebarang benda untuk mencatit dan merakamkannya.

Dengan kesedaran bahawa (kebijaksanaan itu adalah barang kehilangan orang mukminالحكمة ضالة المؤمن - ), maka kita akan merasa pentingnya 3 benda tersebut. Maka apabila kita diberi kesempatan temui dan alami saat tersebut, kita mampu mencatit dan merakamnya lalu menjadikannya sebagai satu perkara yang boleh kita ambil pengajaran daripadanya selepas itu. Untuk kenangan pun boleh juga. Apalagi untuk difikirkan…….. Jika tidak, saat itu akan berlalu begitu sahaja. Sia-sia…… Seorang khalifahkan perlu memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang ada ?.



Mereka menegur ;

Kamu ni memang tak tahu menulis dengan tulisan jawi ke?... (soalan tapi lebih kepada teguran – aku faham). Kamu dahla pelajar syariah. Sepatutnya kamulah yang bertanggungjawab mengangkat tulisan tersebut. Nak harapkan mereka lain, sudah tentu tidak. Kerana bidang mereka tak memerlukan tulisan tersebut. Kalau bukan kamu, siapa lagi…..

3 perkara yang dinasihati ini sehingga kini masih diingati. Insya Allah akan terus diingati. Ibarat sebuah hadiah berharga (hadiah kehidupan).

Pembina generasi ulama’, itulah mereka. Tidak jemu menasihati, tidak bosan membimbing, tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Harapan serta cita-cita yang tinggi menggunung. Mahu melihat Islam kembali didaulatkan.

Seribu penghargaan buat mereka. Tanpa mereka, siapalah aku…..

Berkata Dr. Yusuf Qardhawi :

“Pendidikan yang mencetak manusia menjadi cerdas dan cerdik pemikirannya tetapi tidak mampu membuatkan air matanya mengalir dan hatinya khusyuk lagi tawadhuk adalah pendidikan yang tidak berjaya”.

Monday, May 3, 2010

TULISLAH......

Jemariku pantas mencoret sesuatu. Bergerak dari kanan ke kiri. Habis satu helaian, pindah ke helaian kertas berikutnya. Dari satu huruf, disusun menjadi satu perkataan lalu diolah bertukar menjadi satu ayat yang menarik dibaca. Himpunan ayat tadi aku susun menjadi sebuah tulisan yang difahami isi dan kandungannya. Mungkin difahami…..

Menulis memang mudah. Kerna dari kecil kita diberi peluang menulis. Di buku, di dinding rumah, atas meja kelas, ruang bilik air. Tulis apa sahaja walaupun tak faham, yang penting ada huruf atau pun nombor. Aktiviti yang mencorak perkembangan hidup si kecil.



Tapi…. menulis sesuatu yang mampu difahami cukup rumit. Apatah lagi jika ingin mempengaruhi pembaca melalui penulisan. Ingin menyampai sesuatu fikrah tentang sesuatu perkara. Berbentuk ulasan mahupun kritikan. Sokongan atau bangkangan. Tidak semudah disangka. Hanya mereka yang menguasai seni penulisan sahaja mampu melakukannya. Banyak aspek yang perlu diambil kira.

Teringat dulu-dulu kata seorang kawan “nak tengok seseorang itu hebat, tengok pada dua perkara : dia mampu mengolah ayat dan dia mampu mengukir kata (iaitu menguasai teknik penulisan dan seni percakapan). Kerana bukan semua yang pandai bercakap, pandai menulis. Begitulah sebaliknya.

Alhamdulillah…… Alhamdulillah…….

Banyak hasil tulisan kini yang kurang kualitinya. Ini penulis kata, bukan aku yang kata. Sekadar mempersembahkan tulisan yang hambar, tiada unsur pengajaran dan amat jauh dari sumber maklumat. Lebih teruk jika tulisan itu hanya bertujuan menghentam sana-sini, orang itu salah orang ini salah, bila ditanya siapa yang betul, dia pun tak tahu. Dia puas hati…..

Dia lupa bahawa penulisan ini ada tatacaranya tersendiri. Bukan boleh semberono menulis. Ada etika yang perlu dipatuhi. Banyak nama baik penulis lain yang perlu dihormati. Jangan kerana sikap segelintir, majoriti kita tak minat menulis. Kata mereka, hindar diri dari syubhat. Menjawablah nanti…….