Thursday, December 27, 2007

NASIHAT AWAL TAHUN

Orang kata;
Masa muda ini mesti digunakan sebaiknya takut menyesal di hari tua.
Kata hati;
Dunia sudah terbalik, yang muda berlagak tua dan yang tua bercita nak kembali muda. Apa kes……

Orang kata;
Cubalah bersikap baik kerana ia akan dibalas dengan kebaikan. Bila kita disukai, orang lain pun akan layan kita dengan baik.
Kata hati;
Kebanyakkan kita lebih suka menerima dari memberi, mana boleh jadi…….

Orang kata;
Kaum tua perlu dihormati kaum muda perlu dikasihi, barulah hidup aman sentosa.
Kata hati;
Susah sekarang nak jumpa tapi tak mustahil ada yang masih bersikap camtu. Mungkin payah jumpa…

Orang kata;
Hidup ini hanya sementara tidak berkekalan lama, kena perbanyakkan bekalan untuk kehidupan di sana.
Kata hati;
Kita sering tertipu dengan keindahan sementara hatta dalam urusan duniawi sekalipun. Sampai bila…..

Orang kata;
Itu ini begitu begini macamtu macamni. Yang nak melaksanakan tak nampak langsung bayang.
Kata hati;
Cakap memanglah mudah, siapa yang tolong buat?....

Orang kata;
Tahun baru mesti berazam baru, perbaharui semangat.
Kata hati;
Azam yang lama pun masih tenggelam punca, nak buat azam baru jauh panggang dari api. Tapi tak salah berazam baru dan tak salah juga meneruskan azam lama.

SELAMAT TAHUN BARU
SEMOGA KEREDHAAN ALLAH SENTIASA BERSAMA KITA DI DALAM NIKMAT KEBAHAGIAN HIDUP YANG SEDANG DAN BAKAL KITA KECAPI

Monday, December 17, 2007

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Seawal pagi hari raya, kelihatan sebuah keluarga (suami, isteri dan seorang budak kecil) sedang bersiap untuk pergi bersolat. Namun karenah anak di pagi itu memeriahkan suasana.
Adik (sambil merengek) : Ibu, kenapa pagi ni kita semua kena bangun awal. Kan hari ni masih lagi cuti sekolah?.... nak kena mandi plak tu. Mengantuklah…..
Ibu : Adik dah lupake…. Hari ni kan hari raya haji. Jadi pagi ni kita kena bangun awal, mandi, pakai baju lawa-lawa pastu kita pergi ke masjid untuk sembahyang sunat hari raya.
Adik : Yang orang panggil hari raya korban tu yea…..
Ibu : Hah….. pandai anak ibu.
Adik : Ibu, kenapa dorang panggil hari raya korban yea?.... macam tak best je pun nama tu.
Ibu: Adik…..mana boleh kira best ke tak best. Adik nak tahu tak kenapa dinamakan hari raya korban?.....
Adik : Nak….nak….. (sambil memegang kain tuala ia mendekati ibunya)
Ibu : Sebab nak mengingati kisah Nabi Ibrahim as yang berkorban menyembelih anaknya demi mengikut arahan Allah swt yang ingin menguji imannya. Kisah anaknya Nabi Ismail as yang sanggup membiarkan dirinya dikorbankan demi membantu ayahnya melaksanakan suruhan Allah swt. Kisahnya isterinya Siti Hajar yang merelakan anaknya dijadikan korban demi membantu suaminya menyempurnakan arahan Allah swt.
Adik : Oo…. barulah adik faham. Lepas ni adik bolehlah cerita kat kawan-kawan.
Ibu : Kalau dah faham, adik kenalah pergi mandi. Korbankan sikit masa tidur tu. Tiru macam Nabi Ibrahim as.
Adik : Alah….. macam tulah pulak.
(berlalu ke bilik air sambil menghentakkan kaki)

Hijrah itu dituntut, pengorbanan itu perlu.
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Wednesday, December 12, 2007

APA SUDAH JADI?....

Hati sedikit terkilan saat membaca beberapa berita yang mengisahkan perjalanan politik tanahair kita kini. Semacam Negara kita sudah lagi tidak berpijak ke atas Dasar Demokrasi yang sentiasa dicanang oleh si pemimpin, sudah tidak mengambil peduli terhadap hak kebebasan rakyat seperti yang termaktub di dalam perlembagaan. Malah lebih dari itu lagi, penanaman pemahaman yang diberikan di peringkat sekolah rendah dan menengah mengenai sistem politik tanahair, dasar kepimpinan Malaysia di atas paksi keadilan, jaminan pemeliharaan keamanan dan kedaulatan, semuanya itu seolah hikayat purba semata.
“Pesta penangkapan” (seperti yang diistilahkan oleh sebilangan pemikir politik tanahair) yang dilakukan oleh pihak PDRM seminggu ini mengambarkan hakikatnya. Bukan sedikit yang ditahan dan bukan jenis orang ceroi yang ditangkapnya walaupun ada sebilangan orang awam yang terlibat, malah ia membabitkan barisan kepimpinan di pihak parti alternatif.
Penangkapan tanpa sebab (penangkapan rambang) yang dilakukan itu jelas menyalahi prinsip PDRM yang didokong seperti yang difahami lantas meletakkan peranan anggota polis hanya untuk pihak pemerintah sahaja bukan di pihak yang diperintah. Atau adakah masyarakat sendiri yang salah dalam menafsir prinsip yang diwar-warkan itu?.... mungkin perlu penjelasan semula.
Namun apa yang terjadi ini sebenarnya bukanlah satu benda baru dan bukan juga satu perkara yang mustahil berlaku. Sudah sekian lama ia terjadi, malah seringkali berulang-ulang kejadian seumpama ini. Bagi kita “alah bias tegal biasa”. Apatah lagi jika kita sendiri memahami perkataan Ibnu Khaldun - tokoh pemikir muslim di dalam bidang kemasyarakatan dan politik - di dalam Muqadimahnya menyebut “ sesuatu kerajaan itu terbina di atas dua dasar, 1. Penguasaan ketenteraan 2. Penguasaan pemilikan harta”. Rasanya kata-kata tersebut oleh dijadikan sandaran.
Bukan niat cermin menidakkan khidmat anggota polis selama ini yang sewajarnya dihargai, cuma hati kecil ini sentiasa tertanya-tanya bilakah khidmat sebegitu akan diteruskan lagi.

Tuesday, December 4, 2007


ULASAN BUKU

“Membeza-bezakan agama itu termasuk dalam pemikiran ortodok. Agama itu hanyalah sebahagian daripada pemikiran seseorang. Semua agama itu baik dan setiap bangsa mempunyai agama asli yang timbul daripada bangsa itu sendiri. Kajilah agama asli itu kemudian kita serasikan semua kebudayaan nenek moyang kita yang murni itu dan inilah kewajipan bagi setiap pemuda”-perkataan salah seorang pemimpin Freemasonry.
“Arak dan nyanyian merupakan dua unsur yang mampu menghancurkan umat Muhammad dengan berkesan berbanding seribu laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik”-perkataan salah seorang pemimpin Imperialis.
“Wahai bangasa Indonesia, khasnya kepada intelektual, janganlah kamu diracuni ideologi asing baik berupa Komunisme, Kapitalisme mahupun apa yang dinamakan ideologi Islam”-perkataan salah seorang anggota Freemasonry Indonesia bernama Drs. Suharjo.

Ketiga-tiga ucapan ini dipetik dari kandungan buku “Gerakan Freemasonry, Orientalisme, Kristianisasi -Musuh Dalam Menghancurkan Islam”. Satu buku yang cukup wajar dibaca oleh mereka-mereka yang mempunyai walau secebis impian untuk melihat Islam kembali berdaulat.


Disamping memperkenalkan kepada kita ketiga-tiga gerakan ini, matlamat penubuhan dan cabang gerakan yang dinaunginya, penulis juga ( Nik Azran Muhamed & Mohd Mahadi Hj. Isa ) memuatkan di dalam kajian mereka yang cukup bernilai ini percaturan-percaturan asas yang dimainkan oleh gerakan ini demi matlamat yang digariskan iaitulah menguasai dunia Islam, menghancurkannya kemudian menggantikannya dengan ideologi ciptaan mereka.

Dengan gaya bahasa yang cukup mudah difahami, penulis turut membentangkan kepada kita rentetan peristiwa di seluruh dunia yang didalangi oleh gerakan-gerakan ini demi matlamat yang satu berdasarkan fakta-fakta sejarah yang didatangkan seterusnya menyingkap rahsia penubuhan dan perancangan jahat mereka yang telah, sedang dan akan dijalankan.
Satu bahan kajian ilmiah yang seharusnya kita miliki, sekurang-kurangnya dijadikan bahan bacaan harian. Tidak rugi memilikinya dan tidak jemu membacanya kerana saya telah mencuba.



Catitan:
Untuk kali ini dan akan datang, cermin akan tampalkan di bahagian tepi ruang pondok ini protokol-protokol yahudi (24 protokol) yang dijadikan sebagai asas perlembagaan bagi gerakan pemusnah tatasusila dan keharmonian umat sejagat ini. Semoga kita tidak mudah terleka !!.....

Tuesday, November 27, 2007


PERASAAN ANDA

Apa perasaan anda jika pada suatu hari tiba-tiba salah seorang jiran anda datang ke rumah dan memberitahu adiknya telah dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas kerana terbau asap masakan yang merembas keluar dari tingkap-tingkap dapur rumah kita lalu menyalahkan kita atas perkara tersebut ?...... Pelik, marah, kasihan atau anda terus terpinga-pinga dengan beranggapan itu hanya rekaan kotor dia semata-mata. Bercampur aduk semua perasaan yang timbul.

Hei......ini bukanlah cerita yang direka mahupun cerita lawak jenaka yang akan digelakkan oleh semua pembaca. Ini adalah cerita pelik tapi benar terjadi dan diri sendiri melaluinya. Memang bila diingat-ingat kembali macam tak logiklah pula seolah-olah jiran itu sengaja cari pasal dengan membangkitkan masalah lalu menyalahkan kita, tapi bila diteliti sedalamnya dengan mengambil kira semua faktor mungkin kata-kata dia ada benarnya. Kenapa ?.......

Memang kalau setakat masak nasi sahaja tiada bau yang akan keluar, kalau ada pun tidaklah sampai menyengat hidung. Cuba bayangkan kalau kita tumis sambal belacan, fuh...... aromanya cukup-cukup sempoi. Hidung kita orang melayu yang jadi pengamal makan belacan pun tak tahan. Terbersin-bersin. Itu hidung melayu. Bagaimana pula dengan hidung jiran-jiran di sini hidung orang arab ?...... Bau belacan itu sendiri pun mereka tidak boleh tahan apatah lagi aromanya waktu ditumis dan jauh sekali untuk memakannya.

Kekadang nak tergelak pun ada tapi jauh di lubuk hati sana timbul juga rasa simpati. Bukanlah kita nak pekenakan mereka dengan memasak belacan, yealah.....kekadang rindu juga masakan melayu.

Sunday, November 18, 2007

KUNINGKU DAN KUNING KITA

Hari itu satu lagi sejarah tercatat. Sejarah perjuangan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan buat tanahair mereka. Rentetan daripada beberapa peristiwa yang mencemar keadilan seperti yang dijanji, hari itu mereka merancang meluah apa yang terbuku di jiwa. Bersama rakan-rakan yang memahami, mereka cuba menyedarkan rakyat Malaysia lain tentang kepincangan pemerintahan yang berlaku. Bukan untuk memberontak cuma ingin menyelak apa yang tersurat lalu memberi alternatif terbaik. Berbekalkan semangat patriotik yang tertanam, mereka tekad melakukan disamping memahami ujian yang bakal dihadapi.

Kuning..........kuning...........kuning........

Mereka bukanlah kesatuan pemandu teksi yang melakukan mogok menuntut agar tambang teksi dinaikkan dengan alasan kos sara hidup semakin tinggi. Mereka juga bukanlah pemuda pemudi yang sudah terkesan dengan budaya kuning ciptaan pihak barat lalu menuntut hak kebebasan untuk menzahirkannya dalam kehidupan seharian. Mereka itu adalah pendekar rakyat. Keadilan, kesaksamaan, kebebasan, hak-hak rakyat Malaysia, itulah yang diperjuangkan. Mereka ini dari segenap lapisan masyarakat Malaysia yang sudah mual melihat karenah sebahagian pemimpin mereka yang hanya manis mulut dengan janji dan kata-kata kosong. Jiwa mereka sudah tidak tenang melihat permainan politik yang dicanang berlapikkan sistem demokrasi. Hanya nama yang tinggal, isinya diganyang habis-habisan oleh si pemimpin.

Kuning...........kuning...........kuning.........

Ya......... warna kuning menjadi saksi. Sememangnya ia warna pudar tapi, pudar bukan sekadar pudar....... pudar ini ada keramatnya. Pudar inilah yang akan menyahkan kezaliman pemimpin tehadap rakyatnya. Pudar inilah yang akan mengembalikan apa yang disebut sebagai keadilan sistem demokrasi yang dimengerti oleh kita semua. Pudar yang akan menyinar di celah kesamaran.

Thursday, November 8, 2007

PILIHANRAYA KITA

Bahang pilihanraya semakin terasa. Semua pihak samada di pihak kerajaan, di pihak pembangkang mahupun calon bebas dilihat sudah mempersiapkan jentera pilihanraya masing-masing. Penjagaan di kawasan masing-masing diperketat agar penceroboh tidak terlepas pandang. Isu-isu yang dianggap unsur boleh menjatuhkan lawan mereka dimainkan. Berbagai cara dibuat bagi menarik hati pengundi. Yang sebelum ini kaki hanya lekat di rumah dan di pejabat, dipaksa turun meredah lumpur dan bendang menunjukkan keikhlasan sebagai pimpinan berjiwa rakyat. Di waktu ini, sesiapa sahaja yang tersilap langkah pasti jatuh tersungkur.
Di pihak rakyat pula, mereka dihidangkan dengan isu-isu yang sebelum ini mereka jahil tentangnya. Seolah-olah isu ini timbul hanya di waktu tertentu sahaja seperti di waktu ini. Isu kebajikan rakyat, masalah pendidikan, rumah setinggan hinggalah melibatkan peribadi pemimpin semuanya dimediakan. Puncanya gara-gara pilihanraya. Kerana pilihanraya yang masih menunggu diumumkan tarikhnya. Kerana proses penukaran pemimpin. Kerana mahukan penambahbaikan dalam kepimpinan negara. Natijahnya kebaikan negara juga yang difikirkan.
Inilah situasi negara kita sekarang. Situasi yang menarik hati sebahagian rakyat Malaysia untuk terus mengikuti perkembangan politik tanahair. Siapa akan naik?.....siapa pula akan jatuh?.......pilihanraya ini jadi penentunya.
Terlajak cakaplah pula....bukanlah hajat menkonklusi situasi persediaan pilihanraya di negara sana. Cuma bila membaca akhbar di laman-laman web, hanya itu isunya. Semuanya kerana satu tujuan, memperkasa jentera pilihanraya.
Di sini juga tidak kurang rancaknya, sedang menunggu hari pertukaran pemimpin. Bukanlah sehebat apa yang berlaku di Malaysia sana, di sini hanya pertukaran di peringkat pemimpin persatuan pelajar cuma. Yea.....walaupun sekadar di peringkat persatuan pelajar, tapi itu juga perlu diambil kira agar kepimpinan itu tidak diletakkan kepada orang yang bukan ahlinya. Teruk natijahnya nanti kalau berlaku.
Itulah sedikit catatan perkembangan persatuan pelajar di sini. Hari sabtu ini akan berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan seiring dengan pertukaran barisan pimpinan lama kepada barisan pimpinan baru. Sabtu ini adalah saksinya. Para mahasiwa di sini adalah penentunya. Siapakah pula yang akan mengemudi tampuk pimpinan persatuan pelajar untuk sesi akan datang?......Bagaimana pula bentuk pengemudian mereka?.....Apakah pula dasar dan matlamat yang bakal diterjemahkan untuk kebajikan bersama?........Semuanya menunggu sabtu yang bakal menjelma.
Bagi cermin, semoga mahasiswa mahasiswi di sini bijak memilih demi kesatuan, kebajikan dan kebahagiaan bersama seiring dengan kemudahan dalam menambah ilmu pengetahuan di Timur tengah ini.

Monday, October 22, 2007

BERKONGSI CERITA

Memang banyak cerita yang ingin dipapar buat kongsian bersama. Dari mula habis puasa, berhari raya sehinggalah ke hari ini. Satu persatu kalau boleh tanpa tertinggal sedikit pun. Cuma sekarang masa cukup mencemburui. Ke sana ke sini meligan masa. Kekadang sampai tak terkejar. Jadi, ambil keputusan paparkan beberapa sedutan aje. Selamat membaca dan berkongsi cerita.

1. Pindah rumah

Di malaysia, kebiasaannya seminggu sebelum berhari raya semua persediaan sudah dibuat. Dengan kuih rayanya, pakaian melayu, kain langsir dan alatan perumahan. Hanya menunggu fajar syawal menjelma aje. Berlainan dengan cermin pada tahun ini. Terpaksa pindah rumah pada 27 ramadhan lalu. 3 hari lagi nak beraya. Faham-faham ajelah. Memang berteraburlah ceritanya. Setakat nak datang beraya, ahlan wasahlan. Cuma boleh hidang kacang dengan air gas. Kesiankan, dahlah beraya di perantauan. Nasib.....nasib......
(terima kasih kat banggugar, bayu, hakim dan kengkawan lain yang sudi tolong pindah rumah).

2. Sibuk selepas raya

Sekarang cermin sibuk menyiapkan draf laporan tahunan persatuan pelajar di sini sebagai persediaan untuk mesyuarat agung tahunan tidak lama lagi. Banyak helaian dan banyak mukasuratnya. Ditambah dengan pengajian di kuliah yang sudah bermula. Memang sedikit kelam-kabut. Biasalah pertama kali. Sebelum ini, draf itupun cermin tak tau apa maksudnya. Sekarang, bolehlah kalau setakat nak bercerita apa itu draf dan apa itu laporan tahunan. Kan itu pengalaman namanya.
Nasib baik ada orang yang membantu. Kalau tidak, lintang pukang juga buat kerja sorang-sorang. Yealah.....kalau cermin tak tahu dia tolong buat dan kalau dia tahu pula cermin tolong buat. Tapi.....kalau dua-dua tak tahu, meloponglah jawabnya.

*Ada sikit makluman buat siapa yang tak tahu lagi, Persatuan Pelajar Malaysia Syria akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 10/11 ni. Harap-harap berjalan dengan jayanya.

3. Umur semakin meningkat

Minggu lepas, umur cermin meningkat setakah lagi. Sedar tak sedar zaman terus berputar dan masa terus berlalu. Begitu cepat tanpa menunggu kita. Takut-takut kita tertelan dengan gelombang putaran masa tersebut. Hemm.....dah semakin meningkat remaja rupanya. Perangai tetap tidak berubah. Bila yea nak berubah selari dengan tuanya usia. Mungkin perlu orang lain yang tolong menyedarkan cermin.
Di saat umur yang semakin meningkat terfikir sendiri, sehingga ke saat ini apa yea kerja atau amalan yang telah cermin sumbang buat umat Islam, buat kemajuan ummah serta kecemerlangan Islam itu sendiri?....masih terus berfikir. Moga-moga usia ini mampu meledakkan semangat jiwa dalam meletakkan Islam itu di tempat yang semulianya.

Friday, October 12, 2007

CERMIN TERIMA KAD RAYA





Alhamdulillah.....
Ada juga yang masih mengingati diri cermin di saat kegembiraan syawal ini.
Terubat hati walaupun rendang dan ketupat tidak dapat dijamah.

Satu-satunya kad yang diterima tahun ni. Ala...lebih baik dari tahun lepas, tak dapat langsung. Bersyukur........


#kad raya yang dihantar oleh adik bongsu cermin.

Sunday, October 7, 2007

DETIK TERAKHIR…..

Hari-hari yang masih berbaki ini sedikit menggetarkan jiwa. Mengundang pelbagai perasaan yang meresah. Rasa suka, duka dan kecewa, cemburu, takut saling bertukar ganti. Rasanya jika tidak dihadapi secara saksama, akan mengundang episod malang yang lebih berat pula. Semuanya ini gara-gara detik terakhir yang sukar dihalang kehadirannya.
Detik-detik terakhir sebelum tenggelamnya mentari bulan ramadhan. Detik-detik terakhir sebelum terbitnya fajar syawal. Detik-detik inilah yang menjadi dalang puncanya. Menjadikan jiwa tidak keruan. Apatah lagi ketika mana tiada jaminan kita nanti mampu menemuinya pada sesi hadapan. Cukup menyeksa jiwa. Melambung tinggi perasaan yang tersedia bergolak.
Suka kerna mampu mengecapi nikmat ramadhan hingga ke akhirnya. Duka dan kecewa mengenangkan kecuaian diri dalam merebut sebanyaknya peluang nikmat ramadhan yang diberi. Cemburu bila melihat diri ketinggalan jauh berbanding manusia lain dalam rekod prestasi beribadah dan takut kalau-kalau usaha sebulan ini tidak diterima, lebih teruk lagi jika ramadhan untuk sesi hadapan tidak lagi dinikmati.
Namun, apalah gunanya menyalahkan detik terakhir ini kerana sememangnya ia akan datang dan pergi. Sepantas kitaran masa kerana ia sebahagian diri masa. Itulah realiti yang perlu dihadapi. Mana mungkin lari dari realiti kerana ia adalah kehidupan kita. Detik-detik terakhir…….kini diri telah bersedia menanti.


Teman-teman semaya,

Dikesempatan yang tersedia ini, ingin rasanya cermin memohon kemaafan setulusnya dari kalian jika terlanjur kata, terkasar bahasa dan tersilap bicara sejak mula bersua kerana cermin sedar semuanya itu jarang sekali dapat dihindari.
Salam lebaran juga dihulurkan sebagai pengganti diri buat yang mengenali. Sesungguhnya syawal kali ini mengundang kerinduan yang sukar ditafsir. Waa…waaa……nak balik!!!!.....


SALAM KEMAAFAN DAN SALAM LEBARAN DARI DIRI DI PERANTAUAN

Friday, September 28, 2007

MINGGU PERTAMAKU

Minggu lepas adalah minggu pertama sesi pengajian 07/08. Minggu permulaan bagi cermin berada di tahap seterusnya dalam rangkaian tahap pengajian di peringkat ijazah setelah berjaya meredahi gelombang sukatan pembelajaran dalam ujian peperiksaan penggal lalu. Alhamdulillah…….walaupun di sana masih berbaki 3 mata pelajaran yang perlu diulang semula.
Minggu itu dilalui dengan begitu sukar kerana terpaksa mengikat diri semula dengan jadual kuliah setelah hampir 2 bulan sebelum ini bercuti panjang di musim panas. Kaki ini terasa berat melangkah di pagi hari menjejak laman pusat pengajian. Seolah rantai yang membelenggu dan mengikat kemas di tiang rumah tidak mahu berpisah dengan kaki tuannya.
Ditambah pula bulan puasa sebegini. Ingin saja memerap di rumah melayani karenah perut berbunyi, melelapkan mata dan merehatkan badan yang sentiasa minta direhatkan. Mungkin itu saja yang terbaik untuk dilakukan seawal musim pengajian ini.
Namun orang kata permulaan itu adalah segalanya. Hebat langkahan pertamanya, maka hebat jugalah nanti natijahnya. Tapi, kalau awal-awal lagi dah ceroi, tiada semangat, mandom aje, alamatnya tersungkurlah nanti di balik impian yang dibina. Sia-sia…..
Mungkin benar pepatah arab yang berbunyi “jika di awal semangatnya bergelora, maka di akhir juga semangatnya akan bergelora”. Insya Allah, itulah yang akan cermin cuba amalkan dan semangat itulah juga yang akan disemai buat penjana kemajuan diri.


p/s ( selagi mana ujian datang dan bertimpa-timpa ke atas diri kita, selagi itulah sebenarnya diri kita dimuliakan jika kita mampu menghadapinya )

Monday, September 17, 2007

CELOTEH RAMADHAN

Salam Keampunan ……………..Salam Kerahmatan …………………
Salam Ramadhan ……………… Salam Kehidupan ……………………
Buat semua rakan maya

Ramadhan telah menjengah, menghampar selaut kelebihan buat orang pilihan. Alhamdulillah……….kitalah orang pilihan itu. Terpilih buat kesekelian kalinya. Terpilih hanya kerana nyawa dikandung badan, kerana iman masih bergantungan di hati.

Kerana berkelayakanlah, saban tahun kita bergelar siswazah madrasah ramadhan. Setiap tahun tanpa melepaskan peluang. Sayangnya………. Kita tetap orang yang sama. Ego semakin menebal, dengki menjadi makanan hati, seolah mazmumah mencorak peribadi. Dimana kita sebagai keluaran madrasah ramadhan ?............ Hanya empunya diri mengerti.

Seawal ini, sedikit penelitian perlu demi kemajuan diri. Biar langkah kemas hingga ke akhirnya. Tidak tersasar, jauh sekali berulang silap. Merombak keperibadian diri sejajar didikan ramadhan yang diterima.

“Ramadhan sama natijah berbeza”, seharusnya menjadi visi kita. Kitalah keluaran madrasah ramadhan dan kitalah juga penerus didikan tersebut melangkaui bulan-bulan seterusnya. Biar ia membukti benarnya kita ini orang pilihan bukan omongan kosong semata.


#ramadhan sama natijah berbeza adalah tema program Ihya Ramadhan yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di sini.

Saturday, September 8, 2007

WARNA-WARNI MALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 50 DI SYRIA

Pemotongan kek 50 tahun oleh Dato' Duta dan Pengarah JPM


Persembahan Anak Perak dan Kelantan

Persembahan Anak Kedah

Persembahan Wakil Kedutaan


Persembahan Anak Pantai Timur


Persembahan Anak Selangor




Antara Para Hadirin

# SALAM MERDEKA BUAT SEMUA RAKAN MAYA

Saturday, September 1, 2007

ANTI MONYET…

Bahasanya mudah
Terus meniti di bibir manusia
Budak sekolah pun mampu faham
Apatah lagi yang terpelajar
Yea……
Aku mengangguk
Pak angguk turut mengangguk

Tapi……
Monyetkah aku?.
Hanya kerana pondok buruk ini?.
Aku terasa,
Semua rakan maya terasa,
Patutkah sebegini…..
Aku mula menggeleng
Namun pak angguk terus mengangguk

Yang baik dikata penjenayah
Si pengkhianat terus dijulang
Mana buktinya?.....
Tulisan ini menjadi saksi
Hanya kerana membenarkan yang benar
Hanya kerana menidakkan yang salah
Hanya kerana mahukan keadilan
Kali ini aku mengangguk
Pak angguk pula menggeleng

Bilakah ia akan berakhir……
Berdekad, berabad atau berkurun?.
Mungkin kiamat sahaja penentunya
Aku mengangguk
Pak angguk juga turut mengangguk


#Luahan hati tatkala membaca petikan persamaan antara blogger dengan monyet dari salah satu akhbar tempatan.

Monday, August 27, 2007

RASA HATI
Sejak dua minggu kebelakangan ini, terasa cukup malas untuk menulis di pondok biru ini. Tangan semacam kaku dan kekok untuk menari di atas papan keyboard yang sememangnya telah tersedia menanti . Rasa canggung itu juga membawa kesan kepada jiwa yang sememangnya meminati dunia penulisan. Sebelum ini, perasaan sebegini tidak pernah langsung menjelma. Kalaupun ada, mungkin hanya sehari dua. Tetapi sekarang hampir 2 minggu ia berterusan.
Puas juga mencari di mana sebabnya. Kalaulah kata tiada topic untuk ditulis, mustahil. Banyak perkara yang berlaku disekeliling dan banyak juga tajuk dan peristiwa yang boleh diterjemahkan dalam bentuk tulisan untuk dikongsi. Bebanan tanggungjawab, tak juga. Boleh kata sekarang jadual harian telah pun tersusun. Hanya perlu berjalan dan berlari atas susunan tersebut sahaja.
Buntu kepala mencari jawapan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja menjerit melepaskan buku di hati. Agar perasaan berbelit di jiwa ini akan turut tercampak keluar lalu terlerai. Biar perjalanan diri kembali melangkah di atas roda kehidupan yang diimpi. Mengatur semaian benih dengan penuh saksama.
Hingga ke hari ini, rasa itu masih tetap ada. Terfikir juga bilakah ia akan berakhir.

Monday, August 13, 2007


CERITA DAHULU KALA

Dulu, sewaktu darjah tiga cikgu suruh setiap murid beri satu perkataan untuk buat sebaris ayat.
Contoh:

Saya……

Saya akan…….

Saya akan pergi………

Saya akan pergi ke sekolah……….

(begitulah seterusnya)

Naik darjah enam pula, cikgu suruh setiap orang buat satu karangan tidak melebihi 100 patah perkataan. Yang penting mengikut tajuk yang diberi.
Contoh tajuk:
Kampungku damai, rumahku syurgaku, aku seorang pelajar.

Hasilnya kini selepas beberapa peringkat pengajian yang dilaluinya, murid tersebut sudah pun boleh mengarang apa jua tajuk yang dia ingini dan dalam bentuk berbagai. Komentar, cadangan, ulasan, kertas kerja dan apa sahaja……..

Bersama pengalaman lepas, seharusnya pulalah menjadi tugas dia kini untuk menjadikan anak murid, anak sendiri, anak saudara, anak angkat dan segala macam anak yang berada di sekelilingnya melangkah berdikit-dikit menuju ke tempat yang dia berada kini sekurang-kurangnya. Mahir dalam bidang yang ingin diceburi, bukan hanya sekadar impian malah dibuktikan dengan kenyataan.

Itu baru salah satu bidang yang didatangkan, bagaimana pula dengan bidang-bidang yang lain?....... Bolehlah pakat-pakat kita kiaskannya. Pasti ada persamaan pada natijahnya.

Jadi, pastinya ada benarlah kata-kata Uncle Ben Parker kepada Peter yang berbunyi:
“The Great Power Come With Great Responsibility”

Saturday, August 4, 2007

BEZA ANTARA DUA

Hampir sebulan di Malaysia, kini cermin telah kembali semula ke Syria meneruskan sisa perjuangan hidup yang masih berbaki di sini. Rindu yang menggamit hati terasa terubat saat kaki menjejakkan kaki di bumi anbiya’ ini. Walaupun bahang panas menebar ke seluruh tubuh dan sedikit rimas, namun inilah duniaku. Negara yang telah kuanggap sebagai tanahair sendiri. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Memang, jikalau dibandingkan cuaca di Malaysia cukup berbeza. Dengan hujan yang turun setiap hari melembabkan suasana. Diiring pula angin yang bertiup sepoi menyejukkan tubuh.
Namun bagi diri yang sedang mencari makna kehidupan, kedua suasana tersebut tiada bezanya. Malah bagi mereka yang benar-benar memahami apa itu kehidupan akan menghargai setiap apa yang belaku dan berusaha menyesuaikan dirinya dalam apa jua keadaan yang ia hadapi. Dan itulah juga impian yang cuba cermin semaikan dalam diri.
Sebulan bekerja dengan media tv arab tersebut sedikit memberi kesan kepada diri. Terasa malas membungkam diri untuk menyambung kembali rutin hidup yang terhenti sejak sebulan itu. Ntahlah apa nak jadi……..Natijahnya kini bertimbun kerja yang terbelangkalai. Jadual hidup pula agak berserabut. Habis semua lintang pukang. Tak menentu jadinya.
Mungkin perlu ambil masa juga rasanya untuk mengatur kembali semuanya. Mudah-mudahan berjaya.

Friday, July 27, 2007

MALAYSIA DENGAN ANGKA 50

Hampir sebulan lagi Negara kita akan menyambut ulang tahunnya yang ke 50. Dengan usia setua itu, seharusnya Malaysia sudah cukup matang menongkah arus perdana dalam memartabatkan diri. Malah cukup mampu menghadapi segala macam cabaran mendatang di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa samada ianya menyentuh isu politik, kemasyarakatan, sukan, pendidikan atau yang selainnya.
Dalam entri kali ini, cermin suka berkongsi kata dalam membicarakan beberapa isu yang sedikit sebanyak mencalarkan sifat kematangan Negara di usia 50 an dan dalam masa yang sama tidak menafikan bahawa kesemuanya ini boleh dianggap suatu proses bagi meningkatkan kecemerlangan yang sedia ada.

1. Prestasi skuad bola sepak kebangsaan.

Dengan rekod perlawanan tanpa menang dan tanpa seri yang ditunjukkan dalam pesta Piala Asia baru ini mendedahkan segalanya. Siapakah yang bersalah?...... Jurulatihkah yang kurang berpengalaman dalam merencana taktik, atau bentuk pengurusan FAM yang pincang sedang prasarana setaraf dunia, atau pemain sendiri yang menjadi puncanya?.....
Kini, peminat sukan ini mahukan perubahan agar setanding dengan pasukan Negara lain atau sekurang-kurangnya berdiri sama tinggi dengan skuad kebangsaan di era 70 an dulu.

2. Penderaan murid oleh guru.

Berdarah di telapak tangan, dilibas di bahagian belakang, dirotan di betis, berendam di dalam aliran air kotor dan di tuduh hamil. Inilah sebahagian dari bentuk penderaan yang dilaporkan. Kenapa ia terjadi sedang murid itu adalah amanah yang perlu dibentuk peribadinya, sedang guru adalah pencetus kepada kegemilangan anak bangsa?....
Wajar rasanya sistem pendidikan Islam yang diyakini keberkesanannya sejak berkurun lama dipraktikkan kembali secara total tanpa dipecahbelahkan. Kerna ini melibatkan generasi kita, pemangkin serta penerus kecemerlangan Negara.

3. Hempasan helikopter nuri.

Hampir 40 tahun ia telah digunakan dan kini khidmatnya mula dipertikaikan. Bukan tiada bersebab bahkan sejumlah korban manusia menjadi saksinya. Ini membabitkan sistem pertahanan Negara kita malah melibatkan nyawa-nyawa mereka yang kemungkinannya mempunyai pertalian darah dengan kita.
Berbelanja lebih sedikit tidak mengapa asal keselamatan terjaga, diri kita mahupun Negara tercinta.

4. Hiburan

Kini, ia seolah-olah makanan rohani harian sebilangan besar masyarakat Malaysia. Lebih dari itu lagi, ada sebilangan kecil kita menganggapnya melebihi segalanya atau yang diistilahkan sebagai hedonisme. Apa nak jadi dengan pemangkin kegemilangan Negara jika begini ceritanya?......
Tidak berlalu satu hari di Malaysia tanpa ada rancangan hiburan yang diketengahkan. Pelbagai bentuk dan gayanya. Dari rancangan televisyen yang berbentuk pertandingan, gosip sensasi sesama artis hinggalah ke muka-muka akhbar. Fikir…..fikir……..apalah nanti natijahnya.

Monday, July 16, 2007

SATU PENGALAMAN

Sehingga kini, hampir 10 hari sudah menjejakkan kaki di bumi Malaysia setelah 3 tahun meninggalkannya. Dan baru malam ni berpeluang balik ke rumah sendiri, itupun memandangkan esok tiada aktiviti, kalau pun ada hanya di sebelah petang. Kena pandailah mencuri masa.
Nasib baiklah keluarga memahami, lagipun dah berjumpa dengan anak kesayangan mereka kat hotel pada hari pertama lagi, jadi tak berapa terkilan sangatlah. Alhamdulillah malam ni ada rezeki balik ke rumah. Kosonglah seketika bilik kat hotel sana.
Letih?.....memanglah.....nama pun bekerja. Ke sana ke sini, lebih- lebih lagi bekerja dengan wartawan, semua tempat yang terbabit terpaksa pergi. Dengan cuaca khatulistiwa yang lama tidak dirasa, terasa semacam sedikit menganggu. Mungkin untuk permulaan sebelum badan ini terbiasa dengannya.
Kira ini sebagai pengalaman barulah walaupun bekerja di negara sendiri dan untuk seketika cuma. Dari sudut cara bekerja, cara bermuamalat, menyelesaikan pengurusan yang berkaitan, semuanya itu baru diceburi. Walau apa pun itulah dia kehidupan. Dan itulah juga kehidupan yang ingin ku sampaikan ertinya saat bicara salam dihulurkan.

Friday, July 6, 2007

GARA-GARA PIALA ASIA

Gara-gara kejohanan Piala Asia yang bakal menjelma sedikit hari lagi, kini terdampar seketika di Qatar sebelum meneruskan perjalanan kerja ke Malaysia. Boring.....memang tak terkata, hampir 48 jam sudah terperap kat hotel ni, tak keluar ke mana. Menunggu confirm tiket dari sini ke Malaysia. Satu penyeksaan.
Rakan-rakan lain semuanya sudah memulakan kerja, taklah terbuang sangat waktu walaupun letih tu ada. Sekurang-kurangnya rasa puas dengan kerja tersebut. Keluar pagi balik tengahari, keluar petang balik malam. Cermin tetap di hotel dari pagi hingga ke malam.
Tempat ni pula jauh dari bandar ataupun pasaraya. Kalau tidak, bolehla merayau-rayau di sana. Ah..........nak buat apa pula lepas ni. Takkan nak sambung tidur lagi. Mata ni rasanya sudah tidak mampu ditutup.
Cuaca di sini pula panas berbanding negara Syria. Ditambah pula dengan debu yang beterbangan. Memberatkan lagi hati untuk keluar meronda-ronda. Memang kemudahan disediakan. Tapi..............ibarat bagaimana yang mampu menggambarkan keadaan ini.
Doa2kan ajelah yea hati ini tenang dalam bekerja.

p/s:
buat cik iman dan sdr. gugar, pasal tag tu nanti jawab. Bila ke Syria nanti. Sabar..........

Monday, July 2, 2007

RESAH BULAN JUN

Gelisah hati yang sebelum ini berkocak sudah semakin tenang. Nafas kelegaan yang dulu tersekat dicelah himpitan sudah mampu dilepaskan kini. Nafas itu dihembus sepuas-puasnya tanda kepuasan hati. Senyuman di bibir terlirik menjawab keriangan jiwa. Diri terasa berbangga dengan kemampuan sendiri tanpa dilupa itu hanya keupayaan sementara.
Walaupun masih berbaki 2 pelajaran dalam seminggu ini, kepuasan menjawab soalan beberapa pelajaran yang terdahulu terzahir sudah. Tanpa dapat dibendung. Mungkin itu anugerah Yang Esa buat pemujuk jiwa yang sedikit tertekan dengan karenah sepanjang sebulan ini. Banyak perkara yang dihadapi dari luaran mahupun dalaman. Rasa malas, bosan, tertekan ataupun usikan dari rakan-rakan sedikit sebanyak mengganggu penumpuan diri. Namun alhamdulillah, semuanya ini mampu dilalui. Natijahnya, garisan penamat itu hampir dilangkaui menamatkan keresahan bulan jun ini.
Peratus keputusan pelajaran yang terdahulu walaupun belum diketahui, diri ini yakin bahawa yang dilakukan itu adalah yang terbaik. Pastinya keputusannya juga adalah yang terbaik selaras dengan usaha yang dikorbankan. Apapun, diri tidak mengeluh jika yang berlaku sebaliknya kerana itulah ia bukti setakat mana kesungguhan ditunjukkan. Jikalau kurang baik, maka kesungguhan yang lebih jitu perlu diusahakan.
Resah bulan jun walaupun sudah hampir berakhir, tidak bermakna keresahan bulan lain tidak bertandang. Ada....... terpulang kepada diri sendiri melayannya. Perkara itu sememangnya diakui. Cuma berlainan bentuk dan caranya.
Buat akhirnya, resah bulan jun itu telah berjaya dilalui dengan natijahnya yang masih di dalam penantian diri. Dalam perkiraan sendiri, moga-moga usaha yang dicurah menghasilkan natijah yag ceria.

Saturday, June 9, 2007

TAHNIAH BUAT PM

Selaku anak jati negara Malaysia merangkap salah seorang rakyatnya yang berjiwa besar, terasa sedikit rugi andai kesempatan yang ada ini walaupun lewat tidak diambil untuk berada bersama mereka yang lain mengucapkan “Selamat Hari Perkahwinan” buat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Jeanne Abdullah(mungkin sekarang bergelar Datin Seri).
Juga ucapan tahniah buat Dato’ Seri di atas keputusannya memilih teman hidup disisi yang rasanya cukup tepat disamping sedikit sebanyak mengubat duka pemergian Datin Seri Hendon, ianya boleh juga dianggap sebagai bahan bakar bagi mengembalikan semula gahnya peranan jawatan Perdana Menteri itu ke tempat asal dan selayaknya.
Walaupun hati ini sebenarnya sedikit terguris dengan pendirian beliau yang sebenarnya mewakili keseluruhan rakyat Malaysia terhadap beberapa permasalahan antarabangsa, itu tidak termasuk dengan tindakan beliau menangani kes-kes dalaman Negara yang dipandang ada sedikit kecelaruan dan tidak bersesuaian, namun itu semua itu tidak menganjakkan diri dan hati untuk bersama rakyat Malaysia lain berkongsi kegembiraan hari ini. Semoga hari ini ada hikmahnya, gembiranya beliau hari ini moga-moga mendatangkan seribu kegembiraan buat rakyat Malaysia kelak.
Isteri itu bagai tongkat si buta, penenang jiwa pendamping setia. Harapan hati akhirnya semoga Jeanne Abdullah (datin seri) dapat memainkan peranannya mendokong teraju pemerintahan Dato’ Seri sebagai orang nombor satu Negara agar lebih disegani dan dihormati pada masa akan dating, menjadi penyerlah kepada inspirasi sebenar Dato' Seri sekaligus mengembalikan kecemerlangan Malaysia sebagai salah sebuah negara berdaulat di persada dunia.

Thursday, June 7, 2007

TENTANG AIR….

Bila malam mula menjengahkan diri, air di pili mula mengecil, makin mengecil dan kemudiannya terus terputus. Terpaksalah di waktu malam bergantung harap dengan air di tangki. Harap-harap banyak boleh bertahan sehingga ke pagi.
Begitulah perihal rumah sewa cermin sekarang. Mungkin ini disebabkan proses pencatuan air yang dilakukan oleh kerajaan sini bagi memastikan semua rakyatnya mendapat air bersih setiap hari. Maklumlah sekarang adalah musim panas dan purata penurunan hujan amat sedikit sekali bahkan kadang-kadang hampir tiada.
Aduh………..setakat merungut sahaja tidak jadi. Selepas ini, perlulah sentiasa beringat tentang nikmat air dan kepentingannya.

Teringat satu kisah bagaimana seorang ahli ilmu memperingatkan rajanya tentang sekejapnya nikmat di dunia ini dengan menggunakan perumpamaan air.

Ahli ilmu : Cuba tuanku bayangkan, tuanku seorang diri dalam keadaan kehausan yang amat sangat berada di tengah-tengah padang pasir yang terbentang luas. Tidak tahu mana hujungnya dan mana pangkalnya. Tanpa ada sebarang bekalan makanan dan minuman. Jikalaulah pada waktu itu seorang rakyat tuanku datang dengan separuh air di dalam botol untuk diberikan dengan syarat pertukarannya setengah daripada harta benda tuanku, adakah tuanku akan menerimanya?.....

Raja : Sudah pasti beta akan menerima.

Ahli ilmu : Bagaimana pula jikalaulah setelah itu tuanku terasa ingin membuang air kecil tetapi tidak dapat melakukannya akibat sesuatu perkara dan datang rakyat tuanku itu sekali lagi menawarkan bantuan menyelesaikan masalah tuanku dengan syarat pertukarannya sebahagian baki harta milik tuanku, adakah tuanku akan menerimanya?.

Raja : Bagi beta kesihatan lebih diutamakan dalam mentadbir. Tawaran itu beta akan terimanya.

Ahli ilmu : Begitulah sebenarnya perumpamaan nikmat dunia ini. Dengan beberapa detik sahaja, ia boleh berpindah tangan, malah boleh hilang daripada penguasaan kita. Jadi, atas sebab apakah yang boleh tuanku berbangga dengan perkara yang seberapa detik itu?.

Fikir-fikirkanlah………

Tuesday, May 29, 2007

PAKLONG BAGI CUTI

Cadangnya memang tak nak masuk hingga habis periksa nanti, tapi dah "paklong" bagi cuti seminggu atas "kegembiraannya", maka minggu depan barulah mula kertas pertama, ada jugalah peluang untuk jengah2 alam maya ini.

Siapa itu paklong?......
-istilah yang cukup intim bagi pelajar Malaysia di sini.
-bukan berwarganegara Malaysia, apatah lagi untuk menjadi ahli bersekutu.
-namanya cukup disanjungi bahkan kekadang ditakuti.
-baru sahaja mendapat janji taat setia daripada orang bawahannya.

"Paklong" istilah bagi nama Presiden Republik Arab Syria ( Basyar Al-Asad).

Kenapa "paklong"?.........
Nantilah cerita lain.

Friday, May 25, 2007

KERANA DIA......

22 mei, selasa

Bertanya hati:
Perlukah perkara ini diberitahu?.......
Atau….. lebih baik diamkan sahaja.
Rasa macam tak patutlah pula.
Isyhh!!.....cammana ni.

25 mei, semalam

Hati masih ragu-ragu.
Tiada lagi keputusan yang pasti.
Perlu kuatkan semangat untuk memilih.

26 mei, hari ini

Demi dia
Hati telah tekad
Perkara ini perlu juga diberitahu.

Kawan-kawan, akak abang,
Seperti juga yang lain, hari ini cermin ingin memohon keuzuran buat seketika
Untuk memberikan peluang kepada watak sebagai seorang pelajar mengambil tempat
Mungkin blog ini akan bersawang
Sehingga tanggungjawab yang sedia ada ini diselesaikan.

Mohon doa dari semua
Agar peperiksaan yang akan dilalui ini berakhir dengan jayanya
Bukan sekadar dengan peratus markah yang tinggi
Bahkan dengan ilmu yang mampu diamalkan
Buat dikongsi bersama.

Wednesday, May 16, 2007

warna-warni kehidupan












tak kira bangsa dan peringkat umur

ramai mampu menikmati warna2 nya











namun......

sedikit sangat yang merenung keajaibannya
apalagi berfikir tentang perjalanan kehidupan











sedang.....

jalan ke arah itu cukup bercambah

banyak cara dan cabang yang boleh dilalui












mungkin terpedaya dengan si laknat ini

terus tenggelam dalam janji2 manisnya












natijahnya......

kita perlu berusaha membuktikan

kita sememangnya layak dilantik sebagai khalifah

bukan hanya omong kosong semata....

Tuesday, May 8, 2007


bersama ahli baru dalam keluarga tanpa diri cermin



SELAMAT PENGANTIN BARU

Rasanya belum terlambat untuk cermin mengucapkan “Selamat Pengantin Baru Semoga Kekal Bahagia Dunia Akhirat” buat adik yang disayangi biarpun kenangan itu telah berlalu hampir 7 bulan lepas. Sememangnya bait kata ini telah pun diucapkan sewaktu menelefonnya pada pagi sebelum akad nikah, namun hati merasakan masih lagi tidak lengkap selagi ianya tidak diabadikan untuk secebis kenangan di dalam pondok web sendiri.
Bagi cermin dan mungkin juga bagi ahli keluarga, saat itu pasti manis dan menarik kerana itulah saat kami menerima kehadiran orang luar sebagai ahli keluarga baru.Walaupun tika itu cermin tiada di tanahair untuk menyertai sekali kemeriahan perkahwinan tersebut (waktu itu sibuk menghadapi peperiksaan awal penggal), diri berasa cukup gembira dan turut menumpang bahagia dicelah kesedihan yang payah dinafikan kewujudannya.
Yealah…..banyak sebab untuk cermin berasa sangat bahagia. Pasti sahaja sukar untuk dilupakan. Ditanam menjadi memori hidup.
Itulah kali pertama salah seorang daripada adik beradik cermin berkahwin.
Yang berkahwin pula adalah adik perempuan.
Dia lebih dahulu daripada keempat-empat abang dia dalam meneroka alam perkahwinan.
Lebih dari itu lagi, cermin tidak berpeluang meraikannya bersama pada hari tersebut.
Everything is okay, suara hati membisik. Yang penting sekarang mereka berdua bahagia. Pastinya itulah sahaja impian seorang abang yang dikejauhan. Akhirnya tedetik juga di hati, mungkin berkat perkahwinan mereka nanti sedikit sebanyak memberi tempias kepada abang-abangnya yang masih teruna lagi. Mungkin………….

Catatan: sehingga sekarang masih belum mampu mengingati nama adik ipar. Kesiannya……

Saturday, April 28, 2007


HATI TINGGAL DI LUAR

Di sebuah rumah ( selepas solat magrib ).

Makcik : Tambahlah lagi nasi tu. Memang makcik masak untuk korang makan. Kan letih angkat barang tadi.

Si A : Eh…dah kenyanglah makcik. Takde ruang nak sumbat dah…

Si B : Makcik, dia tak boleh makan banyak-banyak. Nanti kecil hati isteri dia kat rumah.

Kakak : Apa kena mengena pulak?.....Kan dia kat sini, isteri dia pula kat rumah sana.

Si B : Camni kak, dia kena simpan gak ruang kosong untuk makan malam dengan isteri dia nanti. Takut balik sekejap lagi dia kata dah kenyang, tak ke isteri dia kecil hati. Letih-letih masak, abang dia pulak tak nak makan bersama. Tak gitu?....

Makcik : Kesian kat ‘A’ kena kutuk. Terasa hati dia.

Si A : Biasalah tu makcik (sambil buat muka “seposen”).

Si C (menyampuk) : Alah…..makcik. Setakat kata mengata ni dah biasa dah makcik. Nak masuk rumah tadi pun, masing-masing dah pakat tinggalkan hati kat luar. Jadi, takdelah orang yang terasa hati malam ni.

Si B : Yea tak yea makcik, dah masing-masing takde hati. Nak terasa macam mana pulak.

Makcik : La……orang macam korang pun ada gak. (dengan nada hairan).


Nota kaki: seorang mukmin itu adalah mereka yang sentiasa menjaga saudaranya daripada kejahatan lidahnya.