PERASAAN ANDA
Apa perasaan anda jika pada suatu hari tiba-tiba salah seorang jiran anda datang ke rumah dan memberitahu adiknya telah dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas kerana terbau asap masakan yang merembas keluar dari tingkap-tingkap dapur rumah kita lalu menyalahkan kita atas perkara tersebut ?...... Pelik, marah, kasihan atau anda terus terpinga-pinga dengan beranggapan itu hanya rekaan kotor dia semata-mata. Bercampur aduk semua perasaan yang timbul.
Hei......ini bukanlah cerita yang direka mahupun cerita lawak jenaka yang akan digelakkan oleh semua pembaca. Ini adalah cerita pelik tapi benar terjadi dan diri sendiri melaluinya. Memang bila diingat-ingat kembali macam tak logiklah pula seolah-olah jiran itu sengaja cari pasal dengan membangkitkan masalah lalu menyalahkan kita, tapi bila diteliti sedalamnya dengan mengambil kira semua faktor mungkin kata-kata dia ada benarnya. Kenapa ?.......
Memang kalau setakat masak nasi sahaja tiada bau yang akan keluar, kalau ada pun tidaklah sampai menyengat hidung. Cuba bayangkan kalau kita tumis sambal belacan, fuh...... aromanya cukup-cukup sempoi. Hidung kita orang melayu yang jadi pengamal makan belacan pun tak tahan. Terbersin-bersin. Itu hidung melayu. Bagaimana pula dengan hidung jiran-jiran di sini hidung orang arab ?...... Bau belacan itu sendiri pun mereka tidak boleh tahan apatah lagi aromanya waktu ditumis dan jauh sekali untuk memakannya.
Kekadang nak tergelak pun ada tapi jauh di lubuk hati sana timbul juga rasa simpati. Bukanlah kita nak pekenakan mereka dengan memasak belacan, yealah.....kekadang rindu juga masakan melayu.