Monday, June 7, 2010

DETIK KEJATUHAN KHALIFAH ISLAM TERAKHIR


Peristiwa Pemecatan Khalifah Islam Terakhir Sultan Abdul Hamid
( 1876 - 1909 )

Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.

Emmanuel Carasso - seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi - wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah serta Arnavut Esat Toptani - wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.

“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa.

Tiada simpati di wajah mereka.“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya. Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.

“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.
“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

“Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.

“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.

Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah.

“Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim serta puteri baginda yang seorang lagi. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian malam itu.
“Bawa adik-adik kamu ke dalam”, Sultan Abdul Hamid mengarahkan Amir Abdul Rahim membawa adik beradiknya ke dalam bilik.

“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma seperkara yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak - anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai bapa perlu menyekolahkan mereka”, Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Baginda sudah tahu yang tiada gunanya untuk keputusan yang dibawa oleh rombongan itu dibantah.

Itulah kerisauan terakhir baginda. Mengenangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan adalah jumlah yang besar.

Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat-empat lelaki pengkhianat Ummah itu. Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.

Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.

“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku diangkat penuh kelegaan” kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.

Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.

“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.

Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali. Dalam suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas kerusi kereta api sambil dipicit oleh anaknya Fatimah.

“Sabarlah anakku, Ummah tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini”, baginda mengusap wajahnya dengan linangan air mata.

Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana dilarang daripada dibuka. Hari demi hari adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga.

Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.

Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.
“Maafkan patik, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal”, doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid berbisik ke telinga baginda.

Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asma baginda semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Renungan Sultan Abdul Hamid menghancurkan hati doktor tersebut. Bagaimana seorang khalifah umat ini harus menemui ajalnya di tangan beliau.

“Ampunkan aku ya Allah. Tiada upaya bagi hamba-Mu yang lemah ini”, seorang doktor sudah hilang upaya.

Baginda Sultan Abdul Hamid II telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kurungan di Istana Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi oleh seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, apakah harga kebodohan mereka membiarkan Khilafah Othmaniyyah dilumpuhkan selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu.

Friday, May 14, 2010

PENGHARGAAN BUAT MEREKA...

Mereka mengingatkan ;

“Apabila kamu belajar, belajarlah seolah-olah kamu akan mengajar selepas itu. Belajar bukan setakat berjaya di dalam peperiksaan. Malah belajar itu ialah kita memahami pelajaran lalu berusaha dan berjaya memberi kefahaman kepada orang lain sebagaimana kita faham. Itu baru namanya belajar. Dan itulah juga tanggungjawab orang yang belajar.



Kalaulah kamu tahu …… belajar bukan sekadar dengar, tahu lalu menghafal sesuatu bab seterusnya berharap moga-moga tajuk itu akan masuk periksa. Jauhilah perbuatan ini kerana itulah punca yang akan menatijahkan golongan kurang ajar”.

Mereka berpesan ;

“ Sentiasalah pastikan kamu ada sebatang pen dan sehelai kertas ke mana sahaja kamu pergi. Lebih elok lagi, jika ada kamera. Kerana kita tak tahu di mana, bila dan apakah bentuk ilmu serta pengalaman yang bakal kita perolehi sepanjang kehidupan. Amat rugilah saat kita mengalami dan mengadapinya, kita tiada sebarang benda untuk mencatit dan merakamkannya.

Dengan kesedaran bahawa (kebijaksanaan itu adalah barang kehilangan orang mukminالحكمة ضالة المؤمن - ), maka kita akan merasa pentingnya 3 benda tersebut. Maka apabila kita diberi kesempatan temui dan alami saat tersebut, kita mampu mencatit dan merakamnya lalu menjadikannya sebagai satu perkara yang boleh kita ambil pengajaran daripadanya selepas itu. Untuk kenangan pun boleh juga. Apalagi untuk difikirkan…….. Jika tidak, saat itu akan berlalu begitu sahaja. Sia-sia…… Seorang khalifahkan perlu memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang ada ?.



Mereka menegur ;

Kamu ni memang tak tahu menulis dengan tulisan jawi ke?... (soalan tapi lebih kepada teguran – aku faham). Kamu dahla pelajar syariah. Sepatutnya kamulah yang bertanggungjawab mengangkat tulisan tersebut. Nak harapkan mereka lain, sudah tentu tidak. Kerana bidang mereka tak memerlukan tulisan tersebut. Kalau bukan kamu, siapa lagi…..

3 perkara yang dinasihati ini sehingga kini masih diingati. Insya Allah akan terus diingati. Ibarat sebuah hadiah berharga (hadiah kehidupan).

Pembina generasi ulama’, itulah mereka. Tidak jemu menasihati, tidak bosan membimbing, tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Harapan serta cita-cita yang tinggi menggunung. Mahu melihat Islam kembali didaulatkan.

Seribu penghargaan buat mereka. Tanpa mereka, siapalah aku…..

Berkata Dr. Yusuf Qardhawi :

“Pendidikan yang mencetak manusia menjadi cerdas dan cerdik pemikirannya tetapi tidak mampu membuatkan air matanya mengalir dan hatinya khusyuk lagi tawadhuk adalah pendidikan yang tidak berjaya”.

Monday, May 3, 2010

TULISLAH......

Jemariku pantas mencoret sesuatu. Bergerak dari kanan ke kiri. Habis satu helaian, pindah ke helaian kertas berikutnya. Dari satu huruf, disusun menjadi satu perkataan lalu diolah bertukar menjadi satu ayat yang menarik dibaca. Himpunan ayat tadi aku susun menjadi sebuah tulisan yang difahami isi dan kandungannya. Mungkin difahami…..

Menulis memang mudah. Kerna dari kecil kita diberi peluang menulis. Di buku, di dinding rumah, atas meja kelas, ruang bilik air. Tulis apa sahaja walaupun tak faham, yang penting ada huruf atau pun nombor. Aktiviti yang mencorak perkembangan hidup si kecil.



Tapi…. menulis sesuatu yang mampu difahami cukup rumit. Apatah lagi jika ingin mempengaruhi pembaca melalui penulisan. Ingin menyampai sesuatu fikrah tentang sesuatu perkara. Berbentuk ulasan mahupun kritikan. Sokongan atau bangkangan. Tidak semudah disangka. Hanya mereka yang menguasai seni penulisan sahaja mampu melakukannya. Banyak aspek yang perlu diambil kira.

Teringat dulu-dulu kata seorang kawan “nak tengok seseorang itu hebat, tengok pada dua perkara : dia mampu mengolah ayat dan dia mampu mengukir kata (iaitu menguasai teknik penulisan dan seni percakapan). Kerana bukan semua yang pandai bercakap, pandai menulis. Begitulah sebaliknya.

Alhamdulillah…… Alhamdulillah…….

Banyak hasil tulisan kini yang kurang kualitinya. Ini penulis kata, bukan aku yang kata. Sekadar mempersembahkan tulisan yang hambar, tiada unsur pengajaran dan amat jauh dari sumber maklumat. Lebih teruk jika tulisan itu hanya bertujuan menghentam sana-sini, orang itu salah orang ini salah, bila ditanya siapa yang betul, dia pun tak tahu. Dia puas hati…..

Dia lupa bahawa penulisan ini ada tatacaranya tersendiri. Bukan boleh semberono menulis. Ada etika yang perlu dipatuhi. Banyak nama baik penulis lain yang perlu dihormati. Jangan kerana sikap segelintir, majoriti kita tak minat menulis. Kata mereka, hindar diri dari syubhat. Menjawablah nanti…….

Monday, April 26, 2010

MEREKA TERUS MEMUJUK



Pelajar itu mengeluh :

Kenapa kami tiap hari perlu pergi ke sekolah yea ?... Kalau tak mahu pergi nanti kena marah, tak pun kena berleter sepanjang hari. Tak boleh ke belajar aje kat rumah ?... kan senang. Tak payah bersusah-payah ulang-alik naik bas. Entah-entah pakcik bas tu pun dah boring tengok muka kami.

Guru memujuk :

Betuk juga, mengapalah mak kamu sibuk-sibuk pergi ke pasar beli ikan dan sayuran untuk lauk makanan malam nanti. Bukankah memenatkan diri sahaja ?... Masak dan makan ajelah apa yang ada dalam peti ais rumah tu. Taklah mengadu letih. Kita juga nanti nak kena urut kaki dia.

Masih mengeluh :

Pergi sekolah pun bukan ada ape. Dok belajar benda yang sama je sepanjang tahun. Dari dulu 123….. abc…… tak ubah-ubah. Camne tak boring ?... Berkedut anak telinga ni mendengar. Ubahla sikit, barulah kami bersemangat nak datang sekolah.

Masih memujuk :

Minum air lagi hari ni. Tiap-tiap hari air. Naik loya tekak ni telan air. Tak boleh ke air ni kita tukar ke benda lain pulak ke ?.. Yang penting hilangkan haus. Tukar dengan cuka ke, tak pun minyak tanah, cat pun boleh tahan jugak. Haus…… haus…..

Mereka bertanya :

Aku tengok kita aje yang sibuk-sibuk belajar. Lepas 1 pelajaran, masuk ke pelajaran lain pula. Dahla belajar dari pagi. Boleh pecah kepala kalau camni sepanjang tahun. Belajar kat kelas, pastu buat latihan, kerja rumah lagi, tak siap kena marah. Kata kita yang malas. Guru-guru goyang kaki. Mengajar 2-3 minit, rehat punyalah lama. Cuba kita tukar tempat, kan adil.

Cuba menjawab :

Isyh… isyh…isyh….. anak-anak aku ni. Makan tidur aje kerja mereka. Makan, tidur, main lepas tu tidur semula. Mudahnya hidup mereka. Tak pernah tahu punya payahnya kami bekerja kat luar sana untuk sara mereka. Nasib baiklah mereka masih kecil, kalau tak nak juga aku marahkan mereka.



Mula memberontak :

Ni satu lagi, disiplin…… disiplin……. disiplin. Kena pakai baju seragam, berkasut, rambut kena cukup inci, panjang sikit kena potong, banyak bendalah sangat yang nak kena ikut. Melawan sikit kena marah, tak pun kena denda, lebih teruk bila nama masuk dalam buku rekod. Ingat kami ni ape ?....

Guru terus memujuk :

Ala….. benda kecil je tu. Takpe….. takpe….. Nanti kita sama-sama jumpa PIBGN (Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional), minta mereka buat satu memorandum kepada PM tuntut Negara Malaysia bubarkan semua perlembagaan Negara. Betul kan ?..... Menyusahkan kita sahaja. Tak hargai langsung hak kebebasan manusia.

Monday, April 12, 2010

ANDAI KITA MARAH.....

"Abang, kenapa ya bila abang bercakap tulang kat tekak abang tu bergerak sekali (biji halkum)?" entah soalan yang ke berapa budak ni tanya untuk petang ini sahaja.

"Betul ke nak tahu ?".... tanya aku. Dia mengangguk dengan bersungguh-sungguh. Alamak…. Apa jawapan yang aku nak reka yea.

Spontan aku menjawab, " benda ni (biji halkum) marahkan adik sebab Tanya banyak sangat. Tu yang dok bergerak je". Nasib baik datang idea nak jawab, lega…..




"O…. maknanya dia sayang kat adiklah yea?", tanya dia lagi.

"Kenapa pula adik kata camtu ?", balas aku tertanya-tanya.

"Yeala, mak pesan kalau marah itu tandanya sayang…" jawab dia selamba. Hah…. Sedikit terkejut. Aku semakin teruja dengan reaksi budak ini.

"Kalau tak marah, tandanya tak sayanglah yea ?", aku pula yang banyak tanya. Saja memprovok. Lalu dia mengangguk buat kesekelian kali dan beredar pergi.

Dalam dia aku bertanya sendiri "adakah dengan marah sahaja bukti kita sayangkan sesuatu ?".


KEMARAHAN UMMAT

Kerana marah, saat watak Nabi Yang Mulia dijadikan karikatur oleh 'seorang manusia bertuah' dari Eropah (Denmark), umat Islam hampir di serata dunia bertindak menyertai siri demontrasi aman yang dianjurkan. Meluahkan kemarahan. Kerana marah juga, mereka dan kita mendesak agar karikatur tersebut ditarik semula dan pelukisnya dikecam serta dituntut memohon maaf secara terbuka. Kerana marah, pelukis itu juga hampir dibunuh, malah sebelum itu dincam dengan beberapa ancaman. Kerana marah…..



Tapi, adakah semua yang menyatakan kemarahan itu benar-benar menyayangi diri Rasulullah saw ?.

Barang yang kita sayangi, pasti akan disimpan dan dijagai sepenuh perhatian, sebaik mungkin. Bukannya bersepah merata tempat yang kemudiannya bila barang tersebut dicuri, mulalah kita melenting marah lalu berteriak mengatakan itulah barang kesayangan.

Jadi, adakah marah tika itu tanda sayang ?..


APCO WORLDWIDE

Nama sebuah syarikat yang kini dibahaskan oleh para pemimpin kita. Orang kampung hanya menanti maklumat selebihnya. Yang pasti, keterlibatannya dalam sistem pentadbiran Negara khususnya dari skop pertahanan Negara mengundang kemarahan rakyat celik maklumat. Hampir ke tahap memualkan, mereka kata.mana tidaknya, bila mereka tahu bahawa Negara bakal dan hampir tergadai. Tanah tumpah darahku….. tanda cintai Negara.

Semangat patriotik !!!!



Pemimpin kita, bukan sedikit yang marah. Sidang parlimen menjadi saksi api kemarahan mereka. Marah….. yea mereka marah. Marah kepada peribadi yang telah membongkar 'Rahsia Keamanan' ini. Marah bila ruyung yang sepatutnya ditatang telah dipecahkan. Habis semuanya diketahui umum.

Kerana marah, peribadi tersebut disyorkan diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Bakal menerima nasib yang tak sepatutnya dia terima. Kerana mereka marah…. Itupun marah juga.

FIKIR-FIKIR, RENUNG-RENUNG

Friday, March 19, 2010

SYAITAN PUN TAKUT...

“O… takut juga syaitan rupanya dengan manusia”, desis hati.

Itu apa yang aku boleh simpulkan tatkala selesai membaca satu penulisan tazkirah edaran sebuah IPT di sini. Biasa kita dengar, syaitan akan takut kepada manusia yang bertaqwa dan hatinya dekat dengan Allah. Itu edisi biasa. Tapi yang ini sedikit berbeza. Apa yang bezanya ?.... Boleh baca sendiri dan renungkanlah.

Arakian tersebutlah kisah…….

Ada seorang manusia yang bertemu syaitan di waktu subuh. Entah bagaimana awalnya, akhirnya mereka berdua sepakat mengikat tali persahabatan. Ketika waktu subuh berakhir dan orang itu tidak mengerjakan solat, maka syaitan itu pun sambil tersenyum bergumam “orang ini memang boleh menjadi sahabatku”.

Begitu juga ketika waktu zuhur, sahabatnya itu tidak mengerjakan solat. Syaitan tersenyum lebar sambil menyebut “rupanya inilah bakal teman sejatiku di akhirat nanti”. Ketika waktu asar hampir habis dan rakan manusianya itu dilihat masih juga asyik dengan kerjanya tanpa mempedulikan waktu solat, syaitan mula terdiam.

Kemudian ketika datang waktu maghrib, ternyata kawannya itu tidak solat juga. Syaitan nampak mulai gelisah, senyumnya sudah berubah menjadi kecut. Dari wajahnya nampak bahawa ia seolah-olah sedang mengingati sesuatu. Berkeriut wajahnya membentuk seribu kedutan. Dan akhirnya ketika dilihatnya sahabatnya itu tidak juga mengerjakan solat isya’, maka syaitan menjadi panik.

Ia rupanya tidak dapat menahan diri lagi, dihampirinya sahabat manusianya itu sambil berkata dengan penuh ketakutan “wahai sahabat, aku terpaksa memutuskan persahabatan kita !!”.

Dengan kehairanan manusia ini bertanya “kenapa engkau ingkar janji, bukankah baru pagi tadi kita telah berjanji untuk menjadi sahabat ?”.

“Aku takut…”, jawab syaitan dengan suara gementar. “Nenek moyangku saja dulu hanya sekali membangkang perintah-Nya ( sujud kepada Nabi Adam as ) telah dilaknat selama-lamanya, inikan pula engkau yang hari ini saja aku saksikan telah lima kali membangkang untuk bersujud kepada-Nya( sujud kepada pencipta Nabi Adam ), tidak terbayang oleh aku bagaimana besarnya murka Allah kepada kamu”, kata syaitan sambil beredar pergi. Memutuskan persahabatan dengan manusia tadi atas alasan takut.

Habis cerita……

Benar atau tidak, dari mana sumber cerita ini, itu persoalan yang kedua. Yang penting adalah apakah pengajaran yang boleh kita perolehi dari cereka ringkas ini ?...
Fikir dan renungkanlah…….

Saturday, March 6, 2010

MEMADAIKAH DENGAN JERITAN

Hari ini alam gempar dengan jeritan semangat. Mengejut beburung yang sedang terlena. Diselang-seli takbir dan tahmid, jeritan itu bergema menerawang ke angkasa. Sana bertakbir sini bertahmid, menguat semangat mengukuh tekad. Jeritan yang tak kunjung putus, terus sambung-menyambung. Seolah itu gambaran sebuah kesatuan, satu fikrah, satu usaha ke arah satu tujuan. Kononnya, inilah yang akan menggetarkan musuh. Dunia menjadi saksi. Kononnya…..

Hakikatnya,

Barisan yang diatur masih berterabur. Ada yang duduk mencungkil gigi. Tak kurang yang bersembang, bergosip sesama sendiri. Malah ada yang menyalahkan diri lalu bertanya “mengapa aku di sini?”. Kucar-kacir. Satu yang dijeritkan dua yang dizahirkan. Tiada kesepakatan. Pemimpin dan panglima tak didengari kata. “Mengapa perlu dipathi, mereka dan kita sama sahaja”, itu kata mereka.



Jerit dan terus menjerit….

Kerana jeritan itu menutup kecelaruan tadi. Disembunyikan keributan. Mengaburi kelemahan menjadi semacam kekuatan. Kekuatan jeritan.

Yea, dunia menjadi saksi, sambil menggeletek ketawa. Adakah ini akan musuh geruni ?...

“Luruskan……… barisan”, arah si panglima dengan tegas. Yang buat tak tahu ramai. Buat pekak telinga. “Takbir……” jeritnya semula. Allahhu Akbar !!!!! Saling bersahutan menyahut seruan dan takbirnya tadi. Jeritan itu kembali bergema.

Pening kepala….

Di kala musuh 100% bersedia, mereka….. hanya jeritan yang kedengaran bersatu. Paduan suara yang membentuk kekuatan. Kekuatan yang sebetulnya itu adalah kelemahan yang terpamer.

Adakah dengan paduan dan ketinggian suara sahaja sudah memadai membuktikan kekuatan kita ?.Sekurang-kurangnya……. Paling tidak pun kita puas menjerit dan melolong. Tanda masih bersemangat.

Memadaikah….. cukupkah…… atau perlukan lebih dari itu?....

Monday, February 22, 2010

MANFAAT ITU MANFAAT

Dalam kesibukan kerja semingggu ini, semalam dapat juga aku mencuri sedikit masa pergi menziarahi Muhammad -anak murid- yang ditimpa musibah jalanraya. Walaupun telah dimaklumkan sejak seminggu lalu, baru semalam berpeluang. Alhamdulillah….

“Ana redha dengan apa yang terjadi, mungkin ini sebagai kafarah kepada dosa-dosa ana”, katanya.

Satu ayat ini cukup melegakan hati. Mungkin inilah anak kunci jawapan kepada persoalan yang timbul di hati aku sepanjang berbual dengannya, “mengapa dia nampak relaks aje yea, tak mengeluh apatah lagi untuk menyalahkan takdir diri”.

Yang pasti ayat itu bukanlah ayat sia-sia yang keluar dari mulut sekadar pelengkap perbualan. Atau sebagai bahan kosmetik bagi menambah rancak perbualan. Atau sebagai alat memohon simpati bagi mengalihkan perhatian kami yang menziarahinya.

Aku pasti ayat itu keluar dari hati yang betul-betul memahami ertinya, dari diri yang telah diadun dan dibentuk dengan sifat-sifat muslim sejati.

Sedikit gembira terbit di hati.

“Takkanlah Muhammad akan cakap macam itu”.

Bagi mereka yang mengenalinya, tentu pertanyaan ini akan terkeluar saat ini. Siapa yang tidak kenal Muhammad ?... Di kalangan rakan-rakannya, pelajar-pelajar junior dan guru-gurunya. Dengan perangainya dan apa yang telah ia lakukan sebelum ini, seolah-olah ayat itu mustahil untuk diucapkannya.

Percayalah. Sebenarnya aku telah belajar sesuatu yang berharga dari ayat yang diucapkannya itu khususnya bagi jiwa seorang pendidik.

Pokok mangga misalannya, sekurang-kurangnya 4-5 tahun kita perlu menunggu dari mula kita menanam benihnya hinggalah kita memetik buahnya. GEMBIRA dan gembira saat kita memetik buahnya bila dikenang usaha dan jerih-perih kita menjaga dan menyiramnya. Sebaliknya kita akan cukup KECEWA jika pokok itu tidak berbuah.

Cuma…. bukankah kita boleh BERPUAS HATI ketika bayangan pokok itu menjadi tempat teduhan dari terik mentari ?. Atau kehijauan daunnya mencantikkan lagi pemandangan halaman rumah ?.

-manfaat itu walau sekecil cuma tetap ia bernama manfaat, maka hargailah……

Saturday, February 13, 2010

REHAT MINDA

Rehat minda bukan bermakna menghentikan akal fikiran kita daripada berfikir. Tapi mengalihkannya sebentar dari isu atau topik yang dibincangkan agar tidak letih dan kusam. Mencari tenaga dan idea baru. Terimalah.... (bukan muziknya tetapi liriknya, hayatilah....)


Kita cuma insan hidup di akhir zaman
Menghabiskan sisa peninggalan ilmu
Sebelum diri dimamah oleh usia
Pernah kau fikir amalanmu

Islam itu indah bukan hanya di mata
Dan juga di hati kita semua
Dekatkan dirimu cintakan Allah
Tanda bersyukur kepadanya

Hindar segala benci biar ia pergi
Pasti ada hikmah di sebaliknya
Masa kan berlalu walau kau tersungkur
Jangan cepat mengalah dengan dugaannya

Chorus
LAUNGKANLAH KALIMAH ITU KIBARKAN SEPENUH SUCI
LAUNGKAN ALLAH YANG ESA MOGA KITA KAN DI SISINYA

Di dalam dunia penuh pancaroba
Berhati-hati takut tersalah langkah
Imanmu dicabar bukannya kau lalai
Harungi dengan bijak pandai

Di satu hari dirimu diuji
Usahlah kau lupa atau kabur mata
Miskin dan kaya sama sahaja
Yang penting kita semua SEAGAMA

Ulang chorus

: oleh RABBANI

Thursday, January 28, 2010

PERLUKAH BERPUTUS ASA (2)



Bukankah biasanya pemimpin akan mengalami waktu putus asa ?.

Satu jawapan aku : Bukan sahaja pemimpin, ada yang dari kalangan nabi dan rasul pun pernah melalui dan merasainya.

Andaikata anda didatangi seseorang yang mengakui bahawa dia tidak pernah berputus asa dan tidak kenal apa itu erti putus asa malah sentiasa bersemangat dengan cita-cita, agak-agak apa tanggapan anda terhadap dia ?...

Dia adalah robot ciptaan berkulitkan manusia, dia memang sejenis manusia yang dicabut perasaannya atau dia sengaja menunjuk dan berpura-pura dengan kata-kata. Mana yang kita akan pilih ?.

Tidak salah kalau kita katakan putus asa itu adalah sebahagian warna-warni yang menyenangkan, itupun jika difikir positif. Secebis daripada kehidupan. Seolah-olah perasaan itu mengalir di aliran darah tubuh badan kita.

Manusia yang sempurna fitrahnya akan mengalami detik ini. Sebut sahaja apa jantinanya, setinggi mana pangkat jawatannya, semulia mana kelahiran dan kehidupannya hatta mereka yang semulia para nabi dan rasul pun akan dihambat rasa itu.

Ini tandanya mereka adalah manusia yang sempurna fitrah kejadian.

Kita soroti seketika sirah Nabi Muhammad saw tika baginda keluar dari kota Mekah pergi ke Thaif bersama Zaid bin Harithah dengan tujuan ingin mendapatkan pertolongan dari kabilah Thaqif bagi membantunya menyebar dakwah Islam yang dibawa. Apa yang terjadi ?...

Baginda telah berjumpa dengan 3 orang pemimpin kabilah tersebut lalu salah seorang daripada mereka berkata “ Demi Allah, kami sesekali tidak akan bercakap dengan kamu, jika kamu utusan Allah nescaya kamulah orang yang paling berbahaya dan perlu dihalau, dan jika kamu berdusta dengan dakwaan kamu itulah sebab yang paling patut untuk kami tidak bercakap dengan kamu”.

Dihambat putus asa dengan ucapan itu, Nabi saw bersabda “ Terpulanglah kepada kamu untuk lakukan apa yang telah lakukan, cuma sembunyikanlah kedatangan aku ini dari pemimpin Quraisy”.

Itu cerita manusia agung lagi dimuliakan Allah swt. Bagaimana pula dengan kita ?... Belum lagi kisah nabi Yunus bin Matta seperti yang disebut di dalam surah al-Qalam ayat 48-50.

Daripada apa yang kita fahami, jelaslah persoalan yang perlu dirungkaikan bukanlah persoalan adakah ada di kalangan manusia mereka yang tidak berputus asa, tetapi persoalan yang sesuai bagaimana untuk kita menghadapi waktu itu.

Membesarkan hati menguatkan tekad dan terus membulat tujuan.



Yang paling perlu tidak dilupakan ialah penggantungan diri kita dengan pemilik alam ini. Bagaimana ?... Zat yang mencipta perasaan putus asa itu. Sudah pasti kepadaNYA juga tempat kita kembalikan musibah ini.

Jika nabi Muhammad saw mengadu kelemahan diri dan memohon kekuatan diri kepada NYA dalam menghadapi ujian ini, nabi Yunus dengan zikirnya yang masyhur “la ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin”, kita pula takat mana ?.. Contoh sudah ada depan mata, terpulang kepada kita menilai dan mengatur yang terbaik. Lalu menganggap kelemahan itu sebenarnya satu peluang tersirat.

Seeloknya aku tukar tajuk. Perlukah berputus asa kepada perlukah kita beristiqamah dengan perasaan putus asa ?...

Friday, January 15, 2010

PERLUKAH BERPUTUS ASA

“Ana dah give up la dengan jawatan ni” keluh seorang pelajar petang tadi. Aku ambil perhatian lalu berpaling melihat air mukanya. Ternyata gaya yang dipenuhi tekanan dipamerkan. Terdetik terus di hati “kalaulah diikutkan rasa, nescaya aku dah lama berputus asa”. “Tapi, kenapa aku boleh bertahan?…..”. Inilah persoalan yang ingin ku terjemahkan agar mampu dicontohi pelajar itu. Mungkin juga oleh mereka lain yang sensitive perhatiannya.

Lalu aku berusaha mencari jawapan persoalan itu.

“Mengapa aku boleh terus bertahan walau putus asa menyerang kiri dan kanan ?..”

Aku tidak berminat bercerita tentang apa itu putus asa kerana kita semua memahaminya dan pernah mengalaminya. Perasaan itu terkadang lebih menggambarkan daripada perkataan. Tak terucap oleh mulut.

Tapi apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap kita menghadapinya, memikirkan apa puncanya lalu bertindak mengatasinya agar penyakit itu tidak terus menjadi tembok antara kita dan kejayaan. Langkah itu perlu agar kita tidak tertipu lalu terawang-awangan di dalam perangkap khayalan yang kita bina sendiri.

Aku membelek diari hidupku, lalu menyimpulkan punca penyakit itu ke dalam beberapa perkara.

Matlamat yang bercabang – bila itu kita nak dan ini juga kita nak kejar, maka akan jadilah yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Hanya keletihan yang bakal kita perolehi.

Tiada sistematik kerja – bukankah lebih baik jika kita buat satu demi satu. Boleh dilaksanakan banyak sekaligus, tapi perlulah dinilai kemampuan diri. Malah mana satu yang lebih penting pun perlu diraikan juga. Tiada pertindihan kerja, teratur dan mengikut aturan kerja yang kita tetapkan sendiri, itu lebih menyenangkan.

Kawalan emosi dan perasaan – ini penting kerana ia melibatkan tingkah laku kita malah kekadang memberi kesan terhadap keputusan yang telah kita azamkan. Perlu diingatkan bahawa elemen manusia itu bukan dari jasmani sahaja, malah melibatkan emosi, rohani dan intelektual. Fikirkanlah….. mana satu yang lebih kerap kita beri tumpuan ?...

Sokongan yang tidak padu – sama ada dari keluarga, kengkawan atau guru-guru. Fitrah manusia tidak boleh hidup berseorangan. Perlukan pendamping. Bukan bermakna manusia itu tidak boleh berpijak dengan kaki sendiri, cuma orang di sekeliling itu sebagai faktor penerus untuk dia terus berdiri.

Kurang pergantungan kepada Allah swt - punca ini cukup perlu diberi perhatian khususnya bagi kita orang islam yang mempercayai bahawa Allahlah pemilik tunggal alam ini. Jika komputer kita mengalami kerosakan kita boleh memberi kepercayaan kepada tauke kedai komputer untuk membaikinya, mengapa di waktu kita menghadapi masalah dalam kehidupan kita tidak kembali kepada zat yang mencipta alam ini ?... Itulah kekhilafan kita yang kurang disedari.

Bukankah ada sabdaan nabi saw yang bermaksud :

“ Peliharalah Allah nescaya kamu akan mendapatiNya di hadapan kamu, ingatilah Allah di waktu senang nescaya kamu akan diingati di waktu susah, ketahuilah sesungguhnya kejayaan itu bersama kesabaran, kegembiraan itu bersama kesulitan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan”.

Thursday, January 7, 2010

SEJARAH BAHAN RUJUKAN



"Satu perkara yang perlu kita persetujui bersama ialah tiada satu pun kelompok manusia yang sampai ke tahap apa yang kita sebut sebagai ketamadunan tanpa adanya undang-undang dan peraturan", aku memulakan bicara.




"Sebutlah tamadun apa pun yang pernah wujud di dunia ini, tamadun Rom, Yunani, Mesopotamia, China, India hatta tamadun umat Islam sendiri pun mempunyai elemen perundangan dan dianggap penting dalam menjamin kelangsungan kegemilangan tamadun tersebut", sambungku lagi.

Inilah ayat pertama yang aku gunakan sewaktu diberi peluang berucap mengisi slot disiplin sekolah. Kupasan aku tidak panjang dan meleret. Rasanya mampu difahami oleh pelajar. Mungkinlah, pelajar menengah rendah khususnya tingkatan 1 & 2 kurang memahami kerana silibus pelajaran mereka belum sampai ke bab itu.

Apa yang penting aku cuba sampaikan ialah peri pentingnya elemen perundangan di dalam kehidupan manusia. Tidak kiralah di peringkat kehidupan mana sekalipun & apa nama pun. Menjamin kelangsungan serta kegemilangan perjalanan hidup sesuatu masyarakat dan memberikan keadilan kepada yang selayaknmya.

KENAPA SEJARAH ?..

Ada pelajar yang rapat denganku bertanya "kenapa dikaitkan dengan subjek sejarah, kenapa tidak dengan ayat al-quran atau hadis nabi saw ?".

Aku tak kisah ditanya begitu dan mereka tidak salah bertanya. Yea, melihat kepada sandaran pengajianku, aku adalah keluaran pengajian syariah islamiah. Aku andaikan kemungkinan mereka berasa janggal bila orang syariah bercakap sesuatu yang bukan di dalam bidangnya. Dan begitu juga bila sebaliknya. Kemungkinan…… andaian semata.



Ilmu Allah itu luas. Bagiku tiada sekatan kepada mana-mana insane untuk bercakap mengenainya dengan syarat ia betul memahaminya dan tidak hipokrit ketika menyampaikannya.

Malah, jika dirujuk kepada orang yang berkemahiran di dalam bidang itu pun mereka akan bersetuju dengan kita. Itu nanti akan menunjukkan kita faham seperti yang mereka faham, cuma kita mempunyai peluang untuk bercakap tika itu.

Kenapa sejarah ?... Ada satu pepatah arab yang berbunyi :

"Barangsiapa yang menghafal sejarah, maka akal pemikirannya telah bertambah"

BELAJAR DARI SEJARAH

Sejarah merupakan subjek teras yang perlu dipelajari. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, subjek sejarah cukup dititikberatkan. Apatah lagi bila sesuatu bab itu menyentuh soal patriotik atau soal perjuangan bangsa.

Namun terdapat perbezaan di sini antara mereka yang belajar sejarah dan mereka yang belajar dari sejarah. Perbezaan ini juga sebenarnya memberi kesan kepada apa yang kita sebutkan tadi "pemikirannya telah bertambah".
Dunia sentiasa berpusing. Begitu juga kehidupan manusia. Adakalanya kita di bawah dan adakalanya kita mencapai puncak. Mulia, hina, kaya, miskin, dihormati, dicerca, semuanya itu menjadi pusingan kehidupan. Itu telah terbukti dengan gambaran tamadun manusia yang terdahulu.

Bagi manusia yang menyedari bahawa mereka hanyalah penyambung rantaian kelangsungan kehidupan manusia di muka bumi, perkara di atas akan menjadi perhatiannya. Bagaimana berlaku, kenapa, apa puncanya, bentuk mengatasinya dan apa sahaja yang berkaitan, menjadi bahan fikirannya. Kerana dia tahu perkara yang telah dihadapi oleh umta terdahulu, dia juga bakal hadapinya.

Inilah mereka yang belajar dari sejarah. Bukan sekadar belajar sejarah untuk peperiksaan atau kerana terpaksa, tapi belajar dan memahaminya semampu mungkin lalu mengambil langkah yang terbaik dalam mengharungi kehidupan ini. Bukan hanya sebagai bahan pembelajaran tetapi menjadikan sejarah sebagai bahan rujukan.