Sunday, October 25, 2009

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN



Tuan puan saudara dan saudari,

Sewaktu kita mengiringi langkah anak-anak kita keluar menduduki peperiksaan, bisikkanlah semangat dan harapan kita kepadanya. Moga hatinya berkobar-kobar, semangat menyala ingin melakukan yang terbaik buat diri dan ibu bapanya.

Sedarkanlah juga bahawa peperiksaan ini bukan segalanya. Hanya secebis dari ujian kehidupan yang menuntut kesungguhan. Sebagai wasilah yang tersusun bagi memandu hidup ke arah kecemerlangan. Natijah yang diperolehi nanti perlu diterima sejujur hati kerana itulah natijah kepada usaha dan semangat diri. Baik atau buruk, cemerlang atau tidak, itulah kita.

Tuan puan saudara dan saudari,

Jika nanti anak kita pulang dengan khabar kejayaannya, peluklah ia dan ucapkanlah tahniah atas usahanya menempa kejayaan. Kerana ucapan itu cukup diinginkan oleh anak kita. Hanya satu perkataan "tahniah". Terasa dihargai dan diberi perhatian. Biar pun kejayaan itu bukan di tahap cemerlang. Hanya sekadar berjaya. Titisan minyak walaupun setitik mampu menyemarakkan api yang sedang menyala.



Ingatkanlah ia bahawa cabaran masih belum terhenti dengan kejayaan itu. Kelalaian dengan keseronokan sementara akan mengundang padah. Selagi kita hidup, selagi itulah segala macam ujian bertandang. Jadikan kejayaan itu sandaran bagi mengorak jejak mengatur kejayaan-kejayaan lain di masa hadapan.

Sematkan dijiwanya, kejayaan bukan untuk dibangga dan mendabik dada. Tetapi untuk dikongsi bersama mereka yang tak punya.

Tuan puan saudara dan saudari,

Jika anak kita pulang berwajah hampa, seakan berputus asa dengan natijah yang diterima, peluklah ia serta bisikkan padanya bahawa dia masih anak kita dan esok masih ada hari untuk berusaha. Sekurang-kurangnya dia mengetahui ibu bapanya masih setia mendokongnya. Atau seeloknya memberitahu Allah tidak akan mensia-siakan usaha orang yang berusaha. Pasti semangatnya subur kembali. Bersemangat dan tidak berkecil hati dengan nasib dialami.

Pastikan dia tidak merasa rendah diri dengan keputusannya. Takut terbantut nanti pemikirannya. Sedangkan kehidupan ini bukan tertumpu kepada peperiksaan itu sahaja, masih banyak lagi peperiksaan yang perlu dilalui. Malah peperiksaan bukan segalanya, yang penting kita sedari diri, lalu terus berusaha membaikinya. Insya Allah kejayaan itu nanti cukup manis setelah berpenat lelah meredah dan menggapainya.



Tuan puan saudara dan saudari,

Doa kita cukup mereka dambakan, harapan dan sokongan juga mereka impikan. Apatah lagi penghargaan walau sekecil cuma. Jika kita inginkan anak-anak kita buat yang terbaik, pastikan kita terlebih dahulu memperlihatkannya.

Thursday, October 22, 2009

PERINGATAN DAN PERHATIAN

Malam semalam sekali lagi berita menyiarkan tentang kejadian sejadah bersolat dengan formasi solat berjemaah. Jika sehari sebelumnya hanya berlaku di sebuah tempat di Kelantan, yang disiarkan semalam berlaku di 5 buah tempat sekitar Kota Bharu, Rantau Panjang dan Alor Setar Kedah.

Apa yang ingin dibangkitkan di sini ialah jikalau fenomena itu hanyalah sebagai bahan berita pihak media, tidaklah sangat dibimbangkan. Ataupun fenomena itu dikira peringatan daripada Allah swt untuk umat manusia, syukur alhamdulillah kerana kita masih diberi peringatan. Tetapi yang menjadi kegusaran hati bila perkara itu mula diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlalu berpegang dengan perkara karut-marut dan pelbagai tahyul lain. Sudah pasti ini akan mengundang satu lagi bentuk fitnah besar yang perlu kita tangani.

Kemungkinan itu boleh terjadi. Sedangkan Ayah Pin yang "mewakili" kerajaan langit pun boleh ada pengikutnya. Rasul melayu si Kahar boleh membentuk "umatnya" sendiri. Inikan pula fenomena ajaib ini. Melibatkan pula salah satu rukun asas di dalam Islam. Berlaku pula di Tanah Melayu yang mana masih ada lagi saki baki masyarakatnya yang terpengaruh dengan perkara sebegini.

Dalam hal ini, pihak berwajib atau individu tertentu yang rasa bertanggungjawab serta mempunyai kemampuan perlu menyekat hal ini dari berterusan agar fitnah yang sedang tidur itu tidak dikejutkan. Daripada institusi agama, Jabatan Mufti hinggalah kepada para alim ulama, ustaz ustazah dan mereka yang punya pengetahuan agama dalam hal ini. Jangan sampai merebak atau sudah parah, baru tergesa-gesa mencari formula dan penawar. Hakikat sebenar di sebalik fenomena itu atau yang seumpamanya perlu diterang dan dijelaskan sebaik mungkin agar ia tidak disalah faham lalu menyumbang kepada kegelinciran akidah.

Jika tidak, apa kemungkinan akan berlaku ?....

1. Sejadah itu diambil lalu dijadikan bahan sembahan

Perkara ini tidak mustahil berlaku kerana hakikat yang terjadi kini adalah sandarannya. Di Pulau Besar misalannya, kubur "keramat" yang semakin hari menambah pengunjung dan pemujanya. Kononnya untuk bertawassul memohon keberkatan. Hilang sudah ikatan keimanan. Hal ini juga boleh berlaku kepada sejadah tersebut. Diagungkan, dianggap keramat lalu menjadi bahan sembahan atau apa lagi upacara yang bakal menyusul.

2. Tempat itu akan dipercayai mempunyai keramat

Makin teruk lagi jika tempat yang asalnya surau, tempat didirikan solat berjemaah itu dilarang masuk. Atas alasan menjaga keramatnya. Hanya orang terpilih sahaja boleh memasukinya. Lalu menjadi tumpuan pemuja-pemuja dan penyembah khurafat. Memang payah untuk berlaku tetapi tidak mustahil berlaku jika para agamawan tidak bertindak tegas dari sekarang.

Firman Allah swt

"Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah ( menyembah ) kepadaku".

Sindiran Allah swt

Di dalam al-Quran, apabila sesuatu ayat itu menyamakan golongan manusia dengan golongan binatang atau golongan yang tidak punya akal fikiran, nescaya perkara yang akan disebut adalah perkara yang paling tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia atau perkara yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh manusia. Malah perumpamaan Allah swt dengan menggunakan binatang di dalam al-quran menjadikan manusia yang asalnya dari martabat kemuliaan turun serendah-rendahnya ke martabat yang paling hina. Itu perumpamaan manusia dengan binatang. Seperti kita katakan kepada seorang yang tidak langsung menggunakan akalnya " bodoh seperti lembu".

Mungkin ada baiknya kita melihat fenomena sejadah bersolat itu sebagai satu sindiran dari Allah swt. Menyindir kita tentang suatu perkara yang paling sepatutnya kita beri perhatian tetapi kita mengabaikannya. Solat berjemaah. Kepentingan solat itu sendiri sebagai wasilah utama seorang hamba kepada tuannya. Kelangsungannya secara berjemaah mencerminkan keutuhan apa yang kita panggil sebagai umat Islam.

Sabdaan Nabi saw

" Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka nantikan kedatangan hari kiamat".

Tugas kita

Bagi kita yang berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Islam serta terikat sepenuh hati dengan keimanan kepada Allah, masalah itu tidak sepatutnya dikerling sebelah mata. Perlu diberi perhatian akan bagaimana langkah sewajarnya menangani peristiwa itu. Perlu juga diambil peringatan betapa umat islam hari ini kian terpesong dari islam yang sebenarnya. Jika solat yang merupakan tiang agama pun terabai, kurangkanlah bercakap di khalayak umum soal hokum-hakam yang memerlukan lebih pengkajian dan perbahasan. Jika solat berjemaah yang menjadi rukun kekuatan ummah boleh dipandang enteng, apalah ertinya mereka yang mendabik dada mengatakan merekalah pejuang islam.

Ingat, kita kelak akan ditanya apakah tanggungjawab yang telah kita lunaskan sepanjang kita memikulnya.

Sunday, October 18, 2009

DATARAN KEHIDUPAN

Mengiringi siang dan malam bumi
Kini aku selangkah ke hadapan
Menyusuri arca kehidupan
Letih berpeluh membanting tubuh
Impiannya…
Membentuk tekad semangat diri
Berpusat di jiwa sebagai bekalan

Alam menyambut ceria
Tatkala tangisnya memecah suasana
Lahirnya ibarat sandaran penyatu ummah
Barat dan timur memayungi jejak

Antara aku dan kehidupan
Keduanya diikat dengan satu perkongsian
Doa serta harapan mengiringi
Memberi dan menerima menghiasi
Segalanya atas dataran ini
Dataran kehidupan

Malam menebar jaring bahagia
Siang membenih mencambah minda
Langkahan disusuli langkahan
Hanya berhenti bila tiba saat dijanji
Islam akan ku julang
Maruahnya akan ku bela
Selagi hayat dikandung badan
Selagi usia memayungi diri

Biar dataran ini sebagai saksinya
Dataran Kehidupan


( Ya Allah, Muliakanlah diri kami dengan agama Islam dan muliakanlah agama Islam itu dengan diri kami. Sesungguhnya engkau zat Yang Maha Mulia lagi Maha Memuliakan )

Saturday, October 17, 2009

LAWATAN-SATU PENGURUSAN




Alhamdulillah, perkataan itu berulang kali bermain di bibir sebaik kaki melangkah keluar dari perut bas itu. Sebaik kaki menjejak kawasan sekolah. Walaupun badan keletihan, rasa syukur itu tetap dipanjatkan. Syukur kerana program ini berjaya juga hingga ke akhirnya walaupun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian selepas ini.

Jauh perjalanan luas pemandangan bertambah pengalaman. 3 minggu lepas, semacam tak yakin mampu mengurus lawatan ini. Program kecil sahaja, tapi bila ia adalah pengurusan pertama kali, segalanya terasa besar. Dengan tempat yang tidak pernah dilawati, di samping menyedari keselamatan pelajar di bawah tanggungan diri, sedikit kecut melingkari hati. Namun, semuanya itu secara kesimpulan mengajar satu pengertian bahawa Hidup Ini Susah Senangnya Perlu Ditempuhi.

Lawatan ke Cameron Highland 2 hari 1 malam ( pelajar tingkatan 4 ). Di laman ini, ingin cermin melahirkan rasa terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan program lawatan ini dari pemandu bas yang baik hati, 2 orang muallimah yang sudi menemani dan para pelajar banin banat yang memberi kerjasama dengan tidak membuat karenah sepanjang program. Terima kasih kepada kalian semua.

Saidina Umar ra pernah berkata (mafhumnya):

“ Seseorang itu tidak akan sesekali mengenali rakannya (sifat, perangai dan tanggungjawab) sehinggalah mereka pernah bermusafir bersama”.







Thursday, October 1, 2009

HARI PENUH HIBURAN

“ Abang, abang ni dah kerja ke belum ?...” tanya seorang budak kecil kepadaku. Kebetulan budak ini bersama keluarganya sedang beraya di rumah aku.

“Dah…. “ jawabku ringkas sekadar melayan soalannya.

“Tapi, kenapa abang tak pakai kain ?” tanyanya lagi dengan bersungguh-sungguh.

Aku terpinga sebentar. “Apa kena mengena pakai kain dengan kerja” detik hati kecil.

Aku memandangnya dan dia juga memandangku. Menanti jawapan. “Saje…” jawapan penyedap bicara walaupun waktu tu diri masih tertanya-tanya.

Lalu budak itu berlalu masuk ke rumah, mungkin berpuashati dengan jawapan ringkas tadi. Meninggalkan aku dalam keadaan masih berfikir. Apa hubungkaitnya antara kerja dan pakai kain?...

Fikir punya fikir… aku memandang ke dalam rumah, melihat ayah yang sedang rancak bersembang melayani tetamu. Lama aku memandang, “o…. patutla pun” kata aku sendiri spontan.

Persepsi manusia

Setiap manusia sebenarnya membina kehidupan mereka berdasarkan penilaian mereka sendiri. Itu satu fakta yang kekadang kita terlupa. Sama ada penilaian itu berasaskan pendengaran mahu pun penglihatan. Sama ada penilaian itu datang dari kerahan pemikiran atau pengaruh persekitaran. Sama ada penilaian itu betul atau pun sebaliknya. Atas penilaian itulah, binaan kehidupan terbina.

Dengan penilaian yang tepat serta sesuai dengan semasa, seseorang itu mampu mencapai kecemerlangan hidup. Tapi… tidak ramai yang menyedarinya.

Ini kerana wujud sebahagian manusia yang bergantung harap dengan orang lain. Setiap inci kehidupannya hanyalah dengan belas ihsan orang sekitarnya. Tidak mampu membuat keputusan, tidak tahu membentuk arah tuju, malah tidak berdaya melakar hidup dengan cara tersendiri. Semua ini berpunca daripada tidak mahu untuk menilai.

Berfikir secara saksama adalah asas penilaian.

Berbalik kepada kisah tadi. Rupanya di dalam rumah tika itu, semuanya ( orang lelaki ) memakai kain pelekat. Aku seorang yang pakai seluar. Jadi mungkin bagi budak itu ( mengikut penilaiannya ), orang yang sudah bekerja akan memakai kain.

Budak itu tidak boleh dipersalahkan. Kerana sesuai dengan usia dan persekitaran.
Seperti kita juga tidak boleh menyalahkan orang yang berkata “Hari Raya yang disambut di Malaysia lebih baik dinamakan Hari Hiburan Sepanjang Masa”.