Thursday, May 19, 2011

APA KHABAR DIRIKU ?.....

Selaut pujian serta kesyukuran diucapkan buat tuhan pencipta alam. Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan izinNYA, pengembaraan dunia mampu diteruskan lagi menuju ke titik akhir yang kekal abadi.

Dengan udaranya aku bernafas…..

Berbekalkan nikmat iman yang tersemat di jiwa dan nikmat Islam yang digenggam teguh, pengembaraan ini kian jauh ke tengah. Dari hulu yang sudah tak kelihatan menuju ke hilir yang belum jua kelihatan. Namun, pengembaraan tetap diteruskan kerana iman dan Islam ada sebagai panduan.

Apa khabar imanku ?...

Bertambah tebalkah iman di jiwa saat bertambahnya pengalaman kehidupan dan pengetahuan di fikiran atau semakin nipiskah ia tika dihambat ujian-ujian Ilahi berbentuk kemungkaran dan kemaksiatan ?...  Aku inginkan iman setebal iman sahabat kekasihMU Abu Bakar As-Siddiq, aku berharap mewarisi ketegasan Umar Al-Khattab mempertahan prinsip syariah yang dibawa.

Celakalah aku jika membiarkan kehidupanku hari ini lebih teruk berbanding semalam sedang semalam itu adalah pengajaran yang perlu dihayati. Pengajaran yang terbentuk melalui norma kehidupan yang dilalui, bercambah bersama nikmat pancaindera yang diaugerahi.

Apa khabar Islamku ?.....

Adat kekadang mengocak prinsip syariat yang mendasari amal perbuatan. Syariat yang didamba, tapi adat yang mengambil tempat. Benarkah Al-Quran telah menjadi pegangan dan As-Sunnah telah menjadi ikutan atau sekadar ikutan adat yang didakwa benar lalu dijadikan sumber dalam tingkahlaku.

Alangkah ruginya diri tatkala masih lagi tertipu dengan permainan duniawi lalu membenih persamaan antara semalam dan hari ini. Tiada beza, tiada peningkatan. Sedang umurku semakin berkurangan, amal ibadahku tiada juga bertambah. Sedang udaraMU semakin banyak ku hirup, kepercayaan padaMU sekadar ikut-ikutan dan di takuk lama.

Ruginya…….. zaman terus beredar tapi aku mmenjadi patung, terpacak hanya memerhati.

Duhai diri,

Pancainderamu bakal menjadi saksi, maka bersiap siagalah. ImanMU bakal diuji, maka hiasilah dengan panduan sebaiknya. Amal hidupmu pasti akan diadili, adakah engkau masih belum mengerti ?.....

Dunia semakin tua……

 أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا أمنا وهم لا يفتنون


Sunday, May 8, 2011

AMBILLAH MASA.......


Ambillah masa bagi bekerja, 
itulah nilai bagi kejayaan.

Ambillah masa bagi berfikir,
itulah sumber kuasa. 

Ambillah masa bagi membaca, 
itulah asas pada kebijaksaanaan.

Ambillah masa bagi berdoa,
itulan jalan menuju ke syurga. 

Friday, April 29, 2011

DARI TAHU KEPADA FAHAM (1)


Saat Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan kenaikan peratus kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, ramai dari kita tersenyum gembira. Tidak kurang yang menghembus nafas kelegaan tanda berpuas hati dengan sistem pendidikan di Malaysia. Ada yang mula mendabik dada mengatakan “itulah pelajar yang dulu aku ajar”. Ada juga yang mengusap perut sambil bergumam, “tidak rugi perut ini mengandungkan anak itu”. Melompat kegembiraan menjadi hiasan suasana pentas alam waktu itu. 

Meraikan kecemerlangan. Merayakan kejayaan.

Inilah kita. Realiti rakyat Malaysia.

Aku tidak mengatakan kita tidak boleh berjaya. Apatah lagi untuk mengatakan tidak boleh bagi kita meraikan kejayaan. Kerana aku bukanlah dari golongan orang menafikan fitrah kejadian seorang manusia yang inginkan kejayaan dalam segala urusannya.

Cuma, terasa ingin mengajak semua merenung semula hakikat kejayaan tersebut. Apakah erti sebenar sebuah kejayaan?..  Tanyalah diri, pasti akan ketemu jawapan sejujur hati.

Ramai dari kita hari ini yang mana kejayaannya dibina atas tapak pengetahuan. Hanya sekadar tahu. Satu tapak kejayaan yang bersifat rapuh. Tidak cukup ampuh kerana ‘tahu’ hanyalah aras asas bagi sesebuah ilmu.
Pengetahuan tentang kepentingan menjaga kebersihan tidaklah menjadikan seseorang itu akan betul-betul menjaga dan menitikberatkan kebersihan. Pengetahuan mengenai keadilan hukum Islam tidak memungkinkan seseorang itu memperjuangkan hukum tersebut dan melaksanakannya jika ia mempunyai kuasa. Dan masyarakat yang tahu tentang bahayanya penzinaan, kekadang pengetahuan itu tidak mampu menyekat dan mengekang nafsu mereka untuk terjebak dalam situasi itu.

Kerana ‘tahu’ adalah asas yang cukup rapuh bagi sesuatu kejayaan.

Jadi, apakah resepi lain yang boleh diadun sama mengukuh asas kejayaan ?.

Daripada tidak tahu kepada tahu. ‘Tahu’ adalah proses pertama dalam aktiviti akal. Tetapi dengan tahu, masih belum memadai kerana proses itu perlu diteruskan untuk sampai ke tahap yang sepatutnya dimiliki oleh akal. Tahap-tahap yang seterusnya itu akan boleh diterokai sekiranya akal telah sampai ke tahap ‘faham’.

TAHU kepada FAHAM.

Maka tidak hairanlah apabila ramai anak didik kita yang belajar dari awal pagi hingga ke lewat petang, namun apabila ditanya apakah kamu faham apa yang kamu belajar ?, ramainya akan jawab “isyh…. banyaklah yang tak faham”.

Ingat, tahu adalah natijah penerimaan. Tetapi faham adalah natijah daripada proses yang panjang. Bukan sekadar menerima maklumat atau apa sahaja ilmu yang diberi, malah berusaha menilai, membandingkan maklumat itu dengan maklumat terdahulu, lalu mengeluarkan hasil maklumat yang diperolehi berdasarkan penilaian dan kefahaman yang dimilki dalam suatu bentuk pemahaman yang melebihi tahap ‘tahu’.

Betullah kata orang, tahu tidak semestinya menandakan seseorang itu faham. Tetapi bila mereka faham, pasti mereka terlebih dahulu mengetahui. 

Kenapa pula perlu kepada faham ?... Adakah tidak cukup dengan hanya tahu ?...

Sunday, April 24, 2011

AKU KEMBALI.....

Kembali selepas lama menyepi. Kembali menyertai kumpulan penulis di alam maya. Kembali dengan 'title' budak baru belajar. 

Meninggalkan dunia blogger pada tahun lepas adalah keputusan sendiri. Tiada pihak yang mencampuri. bukan kerana tiada idea untuk diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan @ tiada isu yang boleh disentuh, cuma hilang rasanya mood menulis. Entahlah, kenapa tetiba hilang mood tersebut. walaupun dulu cuba sibukkan diri dengan penulisan. 

Jika difikirkan perkara apa yang ingin disentuh dalam penulisan, banyak sangat isu yang boleh diketengahkan. Dari hal peribadi hinggalah ke isu antarabangsa. Dari permasalahan agama hinggalah masalah perkauman yang wujud. Semua itu memerlukan kumpulan penulis untuk mengulas dan mengetengahkan kepada massa. 

Yang lepas menjadi sejarah, kini adalah realiti dan masa hadapan adalah cabaran.

Semoga penulisan yang bakal ditulis nanti akan menyentuh skop perbincangan yang lebih luas, terperinci sifatnya, lebih menyentuh persoalan massa dan yang terpenting membawa manfaat kepada para pembaca. 

Aku kembali.....
dengan catatan hidup yang baru
dengan idea dan buah fikiran yang memerlukan bimbingan
dengan penulisan yang bervariasi.

AKU KEMBALI.....