Monday, March 24, 2008

SEKITAR SAMBUTAN MAULIDUR RASUL




Sambutan maulidur rasul di salah sebuah masjid di sini
diiringi bersama kumpulan nasyid untuk bacaan burdah

Buku burdah yang dibaca


Majlis sambutan maulidur rasul
di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Syria


Alunan selawat dari salah sebuah badan anak negeri

Ingatlah!....kita ini adalah sebahagian umatnya yang bertuah

Sunday, March 16, 2008

RIANG HATI GEMBIRA JIWA



Minggu ini minggu kedua semester kedua pengajian bermula. Langkahan kaki ke bilik kuliah pagi ini ditemani hati yang riang. Gembira dan terasa puas. Apa yang dihajati telah pun terlaksana. Moga itu menjadi pemacu dalam membentuk keizzahan diri lalu memikul tanggungjawab yang bakal digalas bila pulang ke Malaysia kelak.
Apa yang dihajati?.....
Ingin hati melihat kebangkitan rakyat dalam PRU lalu. Ingin juga diri menyaksi kematangan orang Malaysia dalam membina dan membentuk hala tuju Negara. Hati juga terasa untuk terus memerhati kesudahan pergolakan pihak pembangkang membina kerjasama dalam membentuk kerajaan campuran khususnya apa yang berlaku di Darul Ridzuan.
Alhamdulillah….. semuanya berakhir dengan natijah di luar dugaan. Kini, kita ketepikan dahulu isu pembatalan dakwat, isu pengundi hantu, salah faham yang berlaku, ketidakpuashatian terhadap keputusan sultan, provokasi pihak lawan dan selainnya. Yang penting kita perkukuhkan jalinan yang berjaya dibina ini. Bila antibody kita kuat, sebarang penyakit dengan mudahnya mampu kita lawan.
Menyatukan tiga orang ( PAS, PKR, DAP ) yang berlainan prinsip tidaklah semudah memisahkannya. Itu kita perlu sedari. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana pihak keempat, kita bertiga menyerah kalah.
Dunia sedang menyaksi adakah kata dan janji yang ditabur akan dikota. Rakyat Malaysia juga sedang menanti adakah undi dan sokongan yang disalur dibalas dengan selayaknya. Moga impian mereka tidak disia-siakan.
Habis……..

pintu masuk ke pasar hamidiyyah


Suatu petang sedang masing-masing melayan perasaan, banggugar datang bertanya,

Bang : engkau nak tukar blog engkau menjadi blog politik ke?.....
Cermin : eh!!!.... takdelah. Masih blog peribadi. Tiada kaitan dengan sesiapa.
Bang : bulan ni tulisan engkau semacam aje. Bau-bau bacang.
Cermin : baru nak belajar menulis. Itupun hanya memindah khabar dan berkongsi berita. Nak mengundi, tak kesampaian. Nak berkempen, kat sini.... engkau tahu ajelah.
Bang : oo…..ingatkan dah tukar pendirian. Heh…heh….heh….

Tuesday, March 4, 2008

JEMARIKU


Semalam jemari ini membilang-bilang hari. Yea, tinggal lagi 4 hari. Hari ini jemari ini membilang lagi hari yang berbaki. 3 hari sahaja lagi.

Sejak 2 minggu lepas itulah kerja jari jemari ini, mengira hari-hari yang tinggal untuk diadakan pilihanraya. Terasa gatal tangan ini untuk menanda pangkah. Melunas tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia dalam PRU kali ini. Tapi apakan daya, berpuluh sungai, bukit bukau dan jarak memisahkan diri dari tanahair. Itu cerita jemari tangan.

Hati pula kekadang dihinggapi rasa cemburu. Cemburu melihat mereka yang lain berpeluang menyertai PRU 12. Bertambah lagi cemburu bila mendengar rakan-rakan yang sebaya di tanahair sudah pun disahkan sebagai pengundi dan diberi hak untuk memilih mana-mana parti politik yang berkenan di hati.

Di sini, hanya mampu mendengar dan melihat. Sesekali mendoakan agar kejayaan itu menjadi milik mereka yang selayaknya. Itulah bezanya. Semoga itu juga dikira sebagai satu sumbangan.

Bagi mereka yang akan menunaikan hak sebagai seorang rakyat Malaysia sabtu ini, tiada tip dapat diberi. Malaysia memiliki rukunegara cuma belum dilaksanakan secara sempurna. Diri cukup berharap pilihan anda kali ini dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang bukan sahaja menghormati Rukunegara (perkara asas), malah merealitikannya di semua peringkat di Malaysia. Bukan hanya tinggal sebagai tulisan di atas kertas.

Bagi yang terlupa, cermin ada sertakannya di bawah buat renungan dan panduan.

RUKUNEGARA

Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan Dan Kesusilaan


p/s : Terpaksa tunggu empat tahun lagilah nampaknya, itupun kalau direzekikan hidup hingga ke hari itu. Perjuangan tetap perjuangan walau di mana berada ( ayat pemujuk hati ).