Friday, December 18, 2009

NATIJAHNYA.... 1 PERUBAHAN

Aku suka berkongsi ilmu atau apa sahaja pengetahuan yang ada, walau sedikit. Kerana dengan perkongsian itu, aku yakin ilmuku akan terus bercambah. Melalui sesi mengajar, bersembang kosong atau bertukar pendapat. Nescaya di sana akan ada perkara baru yang diketahui.
Mereka kata - berkongsi perlukan cara. Bukan sembarangan perkongsian. Takut nanti orang lain bosan menerima. Ingat…. bukan semua perkara boleh dikongsikan, etika dan peringkat hidup perlu diraikan juga.


Aku pentingkan disiplin dan suka berdamping dengan orang yang punya disiplin diri. Itulah juga sebenarnya ciri utama seorang khalifah Allah di muka bumi ini. Kesedaran inilah yang menjadi pedoman.
Mereka kata – orang yang tidak sedar akan membenci dan terus menolak bulat-bulat. Perlukah kita meletakkan diri di tempat kebencian orang ?... Bukankah bertolak-ansur itu penting ?....


Aku perlukan teman. Tak kira usia, tak kira nama. Bersama mereka, hidup ini aku rasakan cukup bahagia. Penuh dengan warna-warni yang menghibur. Ntahla…. siapa teman siapa musuh masih menjadi persoalan.
Mereka kata – bukan semua orang akan berasa senang dengan sikap kita. Tak sedikit yang bosan dan meluat. Siapa tahu….. ? Kekadang kita perlu memilih juga agar warna-warni itu menjadi lebih bermakna.


Aku rasa orang di sekeliling boleh menerima sikap dan cara aku berinteraksi. Mungkin kerana aku sentiasa cuba untuk memahami diri mereka. Memberi satu penghormatan kepada mereka, akhirnya kita nanti dihormati.
Mereka kata – itu engkau rasa…. Mereka rasa ?.. Perlu juga diambil kira. Jangan syok sendiri kerana kita hidup bermasyarakat. Perlukan sikap menerima dan memberi.


Aku lebih suka jika aku ditegur atas ketaksiran yang dilakukan. Bagiku teguran itu satu pemangkin semangat. Tanda mereka sayang dan ingin aku berjaya. Insya Allah, aku akan cuba berlapang dada.
Mereka kata – cakap memang senang. Hakikatnya, engkau selalu cepat melenting. Bukan takut orang nak menegur, cuma mereka hendak engkau sedar sendiri. Biar tahu di mana bumi dipijak.

Natijahnya, 1 perubahan diperlukan. 1 transformasi diri bakal dilaksanakan demi diri sendiri, kehidupan ini yang bakal dilalui serta orang di sekeliling yang memerhati dan mendampingi.

Sunday, November 29, 2009

BERHATI-HATILAH DENGAN DOA ORANG DIZALIMI

Setiap orang berhak mengeluarkan pendapat. Setiap orang boleh bercakap atas apa yang mereka fikirkan. Malah setiap orang mempunyai hak untuk mengulas sesuatu perkara itu mengikut corak pemikiran, ilmu pengetahuan dan cedokan pengalamannya. Kerana setiap orang menikmati hak kebebasan itu.

Namun perlu disedari, daripada semua yang diutarakan itu tidak semuanya betul. Tidak semuanya boleh kita anggukkan sahaja. Kekadang yang dikeluarkan itu hanya sekadar pendapat peribadi. Tidak berlandaskan kepada pengetahuan yang tepat atau situasi yang betul. Maka ia boleh dipertikaikan. Kecualilah jika sesuatu perkara itu diulas oleh seseorang yang mempunyai kelayakan dan kemahiran di dalam perkara itu, maka perkataannya itu harus dipertimbangkan.

Dalam bidang perubatan, sudah pasti kata-kata doktor menjadi pegangan. Dalam kes perundangan, nescaya peguam yang akan menjadi rujukan. Dalam hal pembinaan rumah, idea seorang arkitek akan diberi perhatian. Kenapa di dalam isu agama, para ulama’ tidak diberi keutamaan?... Adakah semua orang boleh bercakap soal agama tanpa merujuk kepada orang yang berkelayakan dan berpengetahuan dalam bidang tersebut?... Kenapa yang jadi sebegini?...

Berkenaan isu doa tuan guru, ada rakan-rakan bertanya minta pendapat. Bagi penulis perkara itu tiada masalah. Malah tuan guru bijak menggunakan haknya pada waktu yang sesuai. Kenapa dan bagaimana?...



Doa bukan sekadar permintaan dan pengharapan. Doa bagi orang mukmin itu adalah senjata. Dan sifat bagi senjata itu adalah memusnahkan. Maka tidak hairanlah ketika tuan guru dalam situasi ingin mempertahankan haknya dan hak rakyatnya, beliau mengatakan akan berdoa. Menggunakan senjata untuk mempertahankan maruah dan hak, adakah itu dikira tidak betul ?... Adakah pihak polis akan menangkap mangsa rompakan selepas membelasah perompak kerana memecah masuk rumahnya?... Inilah keadaan yang sedang berlaku.

Tuan guru baru menyatakan hasrat hati untuk berdoa memusnahkan masa depan. Belum lagi melakukannya. Kenapa beliau diserang seolah-olah sudah buat apa yang dihasratkan tadi?.... Islam tidak akan mengambil kira niat jahat seseorang sehinggalah ia melakukannya (itupun kalaulah hasrat tuan guru itu berunsur jahat). Jadi, kenapa sibuk-sibuk mereka serang sana sini tanpa mempedulikan panduan agama ?.... Adakah mereka memekakkan telinga ketika tuan guru berkata beliau telah berdoa supaya Allah membukakan hati ketua negara dengan memulangkan haknya dan hak rakyatnya ?... Kenapa itu tidak diambil kisah ?...

Kita sekarang jangan terbelenggu dengan fakta yang diputarbelitkan. Perlu kita mengetahui dalam keadaan sekarang siapakah yang zalim dan siapakah yang dizalimi. Zalim bukan sekadar membunuh atau mencederakan orang lain, tetapi menafikan hak sahaja sudah dikira zalim.

Ingat, doa orang yang dizalimi itu tiada penghalang antaranya dengan Sang Pencipta. Berhati-hatilah…….

Sunday, October 25, 2009

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN



Tuan puan saudara dan saudari,

Sewaktu kita mengiringi langkah anak-anak kita keluar menduduki peperiksaan, bisikkanlah semangat dan harapan kita kepadanya. Moga hatinya berkobar-kobar, semangat menyala ingin melakukan yang terbaik buat diri dan ibu bapanya.

Sedarkanlah juga bahawa peperiksaan ini bukan segalanya. Hanya secebis dari ujian kehidupan yang menuntut kesungguhan. Sebagai wasilah yang tersusun bagi memandu hidup ke arah kecemerlangan. Natijah yang diperolehi nanti perlu diterima sejujur hati kerana itulah natijah kepada usaha dan semangat diri. Baik atau buruk, cemerlang atau tidak, itulah kita.

Tuan puan saudara dan saudari,

Jika nanti anak kita pulang dengan khabar kejayaannya, peluklah ia dan ucapkanlah tahniah atas usahanya menempa kejayaan. Kerana ucapan itu cukup diinginkan oleh anak kita. Hanya satu perkataan "tahniah". Terasa dihargai dan diberi perhatian. Biar pun kejayaan itu bukan di tahap cemerlang. Hanya sekadar berjaya. Titisan minyak walaupun setitik mampu menyemarakkan api yang sedang menyala.



Ingatkanlah ia bahawa cabaran masih belum terhenti dengan kejayaan itu. Kelalaian dengan keseronokan sementara akan mengundang padah. Selagi kita hidup, selagi itulah segala macam ujian bertandang. Jadikan kejayaan itu sandaran bagi mengorak jejak mengatur kejayaan-kejayaan lain di masa hadapan.

Sematkan dijiwanya, kejayaan bukan untuk dibangga dan mendabik dada. Tetapi untuk dikongsi bersama mereka yang tak punya.

Tuan puan saudara dan saudari,

Jika anak kita pulang berwajah hampa, seakan berputus asa dengan natijah yang diterima, peluklah ia serta bisikkan padanya bahawa dia masih anak kita dan esok masih ada hari untuk berusaha. Sekurang-kurangnya dia mengetahui ibu bapanya masih setia mendokongnya. Atau seeloknya memberitahu Allah tidak akan mensia-siakan usaha orang yang berusaha. Pasti semangatnya subur kembali. Bersemangat dan tidak berkecil hati dengan nasib dialami.

Pastikan dia tidak merasa rendah diri dengan keputusannya. Takut terbantut nanti pemikirannya. Sedangkan kehidupan ini bukan tertumpu kepada peperiksaan itu sahaja, masih banyak lagi peperiksaan yang perlu dilalui. Malah peperiksaan bukan segalanya, yang penting kita sedari diri, lalu terus berusaha membaikinya. Insya Allah kejayaan itu nanti cukup manis setelah berpenat lelah meredah dan menggapainya.



Tuan puan saudara dan saudari,

Doa kita cukup mereka dambakan, harapan dan sokongan juga mereka impikan. Apatah lagi penghargaan walau sekecil cuma. Jika kita inginkan anak-anak kita buat yang terbaik, pastikan kita terlebih dahulu memperlihatkannya.

Thursday, October 22, 2009

PERINGATAN DAN PERHATIAN

Malam semalam sekali lagi berita menyiarkan tentang kejadian sejadah bersolat dengan formasi solat berjemaah. Jika sehari sebelumnya hanya berlaku di sebuah tempat di Kelantan, yang disiarkan semalam berlaku di 5 buah tempat sekitar Kota Bharu, Rantau Panjang dan Alor Setar Kedah.

Apa yang ingin dibangkitkan di sini ialah jikalau fenomena itu hanyalah sebagai bahan berita pihak media, tidaklah sangat dibimbangkan. Ataupun fenomena itu dikira peringatan daripada Allah swt untuk umat manusia, syukur alhamdulillah kerana kita masih diberi peringatan. Tetapi yang menjadi kegusaran hati bila perkara itu mula diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlalu berpegang dengan perkara karut-marut dan pelbagai tahyul lain. Sudah pasti ini akan mengundang satu lagi bentuk fitnah besar yang perlu kita tangani.

Kemungkinan itu boleh terjadi. Sedangkan Ayah Pin yang "mewakili" kerajaan langit pun boleh ada pengikutnya. Rasul melayu si Kahar boleh membentuk "umatnya" sendiri. Inikan pula fenomena ajaib ini. Melibatkan pula salah satu rukun asas di dalam Islam. Berlaku pula di Tanah Melayu yang mana masih ada lagi saki baki masyarakatnya yang terpengaruh dengan perkara sebegini.

Dalam hal ini, pihak berwajib atau individu tertentu yang rasa bertanggungjawab serta mempunyai kemampuan perlu menyekat hal ini dari berterusan agar fitnah yang sedang tidur itu tidak dikejutkan. Daripada institusi agama, Jabatan Mufti hinggalah kepada para alim ulama, ustaz ustazah dan mereka yang punya pengetahuan agama dalam hal ini. Jangan sampai merebak atau sudah parah, baru tergesa-gesa mencari formula dan penawar. Hakikat sebenar di sebalik fenomena itu atau yang seumpamanya perlu diterang dan dijelaskan sebaik mungkin agar ia tidak disalah faham lalu menyumbang kepada kegelinciran akidah.

Jika tidak, apa kemungkinan akan berlaku ?....

1. Sejadah itu diambil lalu dijadikan bahan sembahan

Perkara ini tidak mustahil berlaku kerana hakikat yang terjadi kini adalah sandarannya. Di Pulau Besar misalannya, kubur "keramat" yang semakin hari menambah pengunjung dan pemujanya. Kononnya untuk bertawassul memohon keberkatan. Hilang sudah ikatan keimanan. Hal ini juga boleh berlaku kepada sejadah tersebut. Diagungkan, dianggap keramat lalu menjadi bahan sembahan atau apa lagi upacara yang bakal menyusul.

2. Tempat itu akan dipercayai mempunyai keramat

Makin teruk lagi jika tempat yang asalnya surau, tempat didirikan solat berjemaah itu dilarang masuk. Atas alasan menjaga keramatnya. Hanya orang terpilih sahaja boleh memasukinya. Lalu menjadi tumpuan pemuja-pemuja dan penyembah khurafat. Memang payah untuk berlaku tetapi tidak mustahil berlaku jika para agamawan tidak bertindak tegas dari sekarang.

Firman Allah swt

"Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah ( menyembah ) kepadaku".

Sindiran Allah swt

Di dalam al-Quran, apabila sesuatu ayat itu menyamakan golongan manusia dengan golongan binatang atau golongan yang tidak punya akal fikiran, nescaya perkara yang akan disebut adalah perkara yang paling tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia atau perkara yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh manusia. Malah perumpamaan Allah swt dengan menggunakan binatang di dalam al-quran menjadikan manusia yang asalnya dari martabat kemuliaan turun serendah-rendahnya ke martabat yang paling hina. Itu perumpamaan manusia dengan binatang. Seperti kita katakan kepada seorang yang tidak langsung menggunakan akalnya " bodoh seperti lembu".

Mungkin ada baiknya kita melihat fenomena sejadah bersolat itu sebagai satu sindiran dari Allah swt. Menyindir kita tentang suatu perkara yang paling sepatutnya kita beri perhatian tetapi kita mengabaikannya. Solat berjemaah. Kepentingan solat itu sendiri sebagai wasilah utama seorang hamba kepada tuannya. Kelangsungannya secara berjemaah mencerminkan keutuhan apa yang kita panggil sebagai umat Islam.

Sabdaan Nabi saw

" Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka nantikan kedatangan hari kiamat".

Tugas kita

Bagi kita yang berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Islam serta terikat sepenuh hati dengan keimanan kepada Allah, masalah itu tidak sepatutnya dikerling sebelah mata. Perlu diberi perhatian akan bagaimana langkah sewajarnya menangani peristiwa itu. Perlu juga diambil peringatan betapa umat islam hari ini kian terpesong dari islam yang sebenarnya. Jika solat yang merupakan tiang agama pun terabai, kurangkanlah bercakap di khalayak umum soal hokum-hakam yang memerlukan lebih pengkajian dan perbahasan. Jika solat berjemaah yang menjadi rukun kekuatan ummah boleh dipandang enteng, apalah ertinya mereka yang mendabik dada mengatakan merekalah pejuang islam.

Ingat, kita kelak akan ditanya apakah tanggungjawab yang telah kita lunaskan sepanjang kita memikulnya.

Sunday, October 18, 2009

DATARAN KEHIDUPAN

Mengiringi siang dan malam bumi
Kini aku selangkah ke hadapan
Menyusuri arca kehidupan
Letih berpeluh membanting tubuh
Impiannya…
Membentuk tekad semangat diri
Berpusat di jiwa sebagai bekalan

Alam menyambut ceria
Tatkala tangisnya memecah suasana
Lahirnya ibarat sandaran penyatu ummah
Barat dan timur memayungi jejak

Antara aku dan kehidupan
Keduanya diikat dengan satu perkongsian
Doa serta harapan mengiringi
Memberi dan menerima menghiasi
Segalanya atas dataran ini
Dataran kehidupan

Malam menebar jaring bahagia
Siang membenih mencambah minda
Langkahan disusuli langkahan
Hanya berhenti bila tiba saat dijanji
Islam akan ku julang
Maruahnya akan ku bela
Selagi hayat dikandung badan
Selagi usia memayungi diri

Biar dataran ini sebagai saksinya
Dataran Kehidupan


( Ya Allah, Muliakanlah diri kami dengan agama Islam dan muliakanlah agama Islam itu dengan diri kami. Sesungguhnya engkau zat Yang Maha Mulia lagi Maha Memuliakan )

Saturday, October 17, 2009

LAWATAN-SATU PENGURUSAN




Alhamdulillah, perkataan itu berulang kali bermain di bibir sebaik kaki melangkah keluar dari perut bas itu. Sebaik kaki menjejak kawasan sekolah. Walaupun badan keletihan, rasa syukur itu tetap dipanjatkan. Syukur kerana program ini berjaya juga hingga ke akhirnya walaupun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian selepas ini.

Jauh perjalanan luas pemandangan bertambah pengalaman. 3 minggu lepas, semacam tak yakin mampu mengurus lawatan ini. Program kecil sahaja, tapi bila ia adalah pengurusan pertama kali, segalanya terasa besar. Dengan tempat yang tidak pernah dilawati, di samping menyedari keselamatan pelajar di bawah tanggungan diri, sedikit kecut melingkari hati. Namun, semuanya itu secara kesimpulan mengajar satu pengertian bahawa Hidup Ini Susah Senangnya Perlu Ditempuhi.

Lawatan ke Cameron Highland 2 hari 1 malam ( pelajar tingkatan 4 ). Di laman ini, ingin cermin melahirkan rasa terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan program lawatan ini dari pemandu bas yang baik hati, 2 orang muallimah yang sudi menemani dan para pelajar banin banat yang memberi kerjasama dengan tidak membuat karenah sepanjang program. Terima kasih kepada kalian semua.

Saidina Umar ra pernah berkata (mafhumnya):

“ Seseorang itu tidak akan sesekali mengenali rakannya (sifat, perangai dan tanggungjawab) sehinggalah mereka pernah bermusafir bersama”.







Thursday, October 1, 2009

HARI PENUH HIBURAN

“ Abang, abang ni dah kerja ke belum ?...” tanya seorang budak kecil kepadaku. Kebetulan budak ini bersama keluarganya sedang beraya di rumah aku.

“Dah…. “ jawabku ringkas sekadar melayan soalannya.

“Tapi, kenapa abang tak pakai kain ?” tanyanya lagi dengan bersungguh-sungguh.

Aku terpinga sebentar. “Apa kena mengena pakai kain dengan kerja” detik hati kecil.

Aku memandangnya dan dia juga memandangku. Menanti jawapan. “Saje…” jawapan penyedap bicara walaupun waktu tu diri masih tertanya-tanya.

Lalu budak itu berlalu masuk ke rumah, mungkin berpuashati dengan jawapan ringkas tadi. Meninggalkan aku dalam keadaan masih berfikir. Apa hubungkaitnya antara kerja dan pakai kain?...

Fikir punya fikir… aku memandang ke dalam rumah, melihat ayah yang sedang rancak bersembang melayani tetamu. Lama aku memandang, “o…. patutla pun” kata aku sendiri spontan.

Persepsi manusia

Setiap manusia sebenarnya membina kehidupan mereka berdasarkan penilaian mereka sendiri. Itu satu fakta yang kekadang kita terlupa. Sama ada penilaian itu berasaskan pendengaran mahu pun penglihatan. Sama ada penilaian itu datang dari kerahan pemikiran atau pengaruh persekitaran. Sama ada penilaian itu betul atau pun sebaliknya. Atas penilaian itulah, binaan kehidupan terbina.

Dengan penilaian yang tepat serta sesuai dengan semasa, seseorang itu mampu mencapai kecemerlangan hidup. Tapi… tidak ramai yang menyedarinya.

Ini kerana wujud sebahagian manusia yang bergantung harap dengan orang lain. Setiap inci kehidupannya hanyalah dengan belas ihsan orang sekitarnya. Tidak mampu membuat keputusan, tidak tahu membentuk arah tuju, malah tidak berdaya melakar hidup dengan cara tersendiri. Semua ini berpunca daripada tidak mahu untuk menilai.

Berfikir secara saksama adalah asas penilaian.

Berbalik kepada kisah tadi. Rupanya di dalam rumah tika itu, semuanya ( orang lelaki ) memakai kain pelekat. Aku seorang yang pakai seluar. Jadi mungkin bagi budak itu ( mengikut penilaiannya ), orang yang sudah bekerja akan memakai kain.

Budak itu tidak boleh dipersalahkan. Kerana sesuai dengan usia dan persekitaran.
Seperti kita juga tidak boleh menyalahkan orang yang berkata “Hari Raya yang disambut di Malaysia lebih baik dinamakan Hari Hiburan Sepanjang Masa”.

Friday, September 18, 2009

Wednesday, September 2, 2009

Sabar....... sabar........

Firman Allah Taala:

“Maka bersabarlah (wahai Muhammad) dengan bentuk kesabaran yang sebaik-baiknya”
Al-maa’rij : 5



Sabar adalah benteng kukuh yang tidak dapat dikepung tentera, tidak dapat dimasuki musuh dan sabar adalah benteng kuat yang tidak dapat ditembusi panah. Sabar adalah mujahadah melawan rasa putus asa, kegagalan dan musibah.

Sabar adalah genggaman atas bara, menutupi kelukaan, menyembunyikan musibah dan mengawal hawa nafsu. Sabar adalah bekalan yang tidak habis, pertolongan yang tidak kering dan sahabat yang tidak pernah jemu.

Hadapilah segala urusan dan musibah dengan senyuman.

Adakalanya terjadi kesabaran akan tetapi ia tidak indah kerana tuannya tidak menyembunyikan perkataan, tidak merahsiakan keluhan dan tidak meninggalkan celaan.

Kesabaran yang tidak indah adalah menanggung bersama rintihan, ketabahan bersama kepura-puraan, penerimaan tanpa keteguhan hati.

Akan tetapi kesabaran yang baik ialah menanggung musibah dengan diam, menerima musibah dengan tenang dan menyambutnya dengan keredhaan.

Sabar daripada iman ibarat kepala daripada tubuh. Maka sesiapa yang tidak punya kepala tidak adalah tubuh baginya dan sesiapa yang tidak bersabar maka tiadalah iman baginya.

Maksiat tidak dapat dilawan melainkan dengan kesabaran agar ia tidak melemahkan diri dan hati lalu terjadi maksiat itu. Maka dengan sabar, maksiat tidak menemui jalan masuk ke hati. Keburukan tabiat tidak mendapat petunjuk, bahkan maksiat itu kembali ke tempat di mana ia datang lalu syaitannya yang derhaka tewas dan iblisnya yang keras kepala terusir.

Musibah tidak akan dapat dihadapi melainkan dengan sabar untuk meringankan tekanannya. Apabila tiada kesabaran maka musibah itu menjadi dua dan diri akan bergoncang. Apabila terhasil kesabaran, pahala diperolehi dan dada menjadi lapang. Pada tika itu, kerugian bertukar keuntungan, kekalahan menjadi kemenangan dan kesedihan menjadi kegembiraan.

Firman Allah Taala kepada NabiNYA sebagai pedoman :

“ Maka bersabarlah Engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan rasul-rasul yang terdahulu”.
Al-ahqaf : 35

-Petikan dari buku Taman – Taman Yang Indah ( Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni )

Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN.... CINTAKU

Alhamdulillah, ramadhan tiba disambut hati penuh kegirangan. Peluang ini diberikanNya kepada kita buat kali yang seterusnya. Menandakan kita masih lagi di dalam rahmat dan kenikmatanNya.

Bagi yang merinduinya, kini kita sudah bertemu sesudah setahun berpisah. Untuk melampiaskan kerinduan, pastinya kita mula memikirkan cara terbaik untuk bersama dengan yang dirindu ini. Tapi bagi yang tiada kaitan, ia sekadar hari-hari yang berlalu pergi.

Sebagaimana seseorang yang sedang kemaruk rindu, berapa banyak idea yang diperah untuk menzahirkan kerinduannya buat teristimewa, buku-buku berkaitan percintaan berapa kali dikhatamnya, itu belum termasuk lagi cara bergaya, cara berpakaian dan penampilan serta cara berkomunikasi. Dengan satu tujuan, menunjukkan betapa rasa rindunya terhadap insan tersebut.

Tapi percaya atau tidak bahawa semua itu tidak akan berjaya, hanya akan mensia-siakan masa, meletihkan tubuh badan, mengharap sesuatu yang tidak kesampaian jika dia tidak terlebih dahulu memahami bagaimana menghayati erti cinta kepada manusia.

Memahami dengan sebenarnya prinsip dan falsafah hubungan kemanusiaan akan banyak membantu dia. Itupun kalau dia betul-betul memahami dan ingin mengkaji duduk sebenar perkara itu. Tapi… tidak ramai yang akan mengkaji dan memahaminya kerana berasa itu perkara enteng.

Saja sebut pasal ini kerana ramai daripada kita menyatakan kegembiraan dengan kehadiran ramadhan. Sekadar dari mulut, namun tak ramai yang mampu malah ada juga yang tidak tahu cara terbaik untuk menzahirkannya. Di sini tak timbul masalah ingin menunjuk atau sebagainya.

Yang penting selepas kita memahami prinsip ramadhan itu, dengan sendirinya kita akan cuba memahami bentuk tingkah laku bagaimana yang diperlukan sepanjang ramadhan lalu kita akan cuba mempraktikkannya sebagai tanda cinta dan rindu terhadap bulan mulia itu.

“Kalaulah mereka tahu bahawa ramadhan itu adalah kembali kepada fitrah semulajadi manusia…..”

Wednesday, August 19, 2009

Monday, August 17, 2009

ISLAM MEREKA

Aku sudah lama menunggu. Menanti seseorang untuk berkata begitu. “Islam adalah Islam”. Itu prinsip yang rasanya tok guru pegang tatkala berkata “Islam umno tidak akan membawa ahlinya ke mana-mana”.

Itu bukan serangan peribadi. Silap besar kalau mereka fikirkan sebegitu. Bukan juga meraih simpati bagi pilihanraya kecil permatang pasir. Itu adalah hakikat dan itu juga adalah kebenaran. Apatah lagi ia keluar dari mulut seorang yang bergelar tok guru. Bukan bangsa Melayu sahaja yang memanggilnya “tok guru”, turut serta bangsa India dan Cina. Membuktikan ilmunya dan dirinya dihormati dan disegani.

Perkataan ini memang aku tunggu. Jelas lagi sarahah. Tiada kesamaran. Yang tidak faham, mungkin sengaja membutakan pendengarannya. Memang mereka macam tu. Buta, pekak dan tuli terhadap kebenaran.

Mengikut sejarah Malaysia, mereka ini akan cepat faham dan terus melenting bila ada kes yang menyentuh tembolok mereka. Tapi kalau setakat mengocak air muka atau menjatuhkan maruah diri mereka, kes itu mereka akan tolak tepi. Buat tak layan walau pedih telinga. Seolah tiada apa yang berlaku.

Sekurang-kurangnya mereka tidak sampai ke peringkat orang yang faham, mengaku faham, lalu berhujah melawan kebenaran. Ibarat benang basah yang ingin ditegakkan. Kail panjang sejengkal, lautan hendak diduga. Mana masuk akal. Hanya mereka yang akan mengangguk mengatakan boleh. Siapa….. orang umno. Kononnya Islam mereka adalah Islam tulen.

Siapa mereka yang hendak melawan, berhujah mencari alasan kuno yang terbantut di dalam akal fikiran mereka ?..... pemimpin tertinggi umno?... ketua pemuda, puteri umno?..... Aku bosan melihat sikap mereka yang penuh kemunafikan.

Islam itu rahmat, Islam itu kasih sayang. Adakah kerana ini mereka menghulurkan bantuan di saat pilihanraya hampir tiba kononnya ingin menunjukkan keperihatinan mereka, rasa kasih mereka terhadap masyarakat miskin?...

Umat Islam berpegang dengan janji. Berapa banyak sesi “janji yang ditabur belum dikota” telah dilakukan mereka dan direkod di dalam sejarah kehidupan rakyat Malaysia?... Hanya orang buta sejarah sahaja yang akan terus menyokong.

Islam itu islam. Perintah adalah perintah, larangan adalah larangan. Itupun mereka belum faham sepenuhnya walau sijil PHd di genggaman. Takkanlah aku boleh pejamkan mata tatkala rasuah bermain di depan mata, judi dijadikan sumber ekonomi Negara, halal dan haram menjadi permainan dan dolak-dalih mereka. Islamkah mereka ?.... ya, Islam dengan cara mereka.

Wahai orang umno, terimalah hakikat. Kebenaran itu adalah kebenaran.
Perkataan tuan guru bukan satu hukuman yang tersesa-gesa. Tetapi telah melalui tempoh panjang yang akhirnya wajar untuk diungkapkan. Mungkin cara lembut dah tak boleh. Peluang telah lama diberi untuk bertaubat. Mungkin peluang ada, cuma tidak diambil sepenuhnya.

Ingat…. Ucapan itu bukan kerana dengki atau bermusuh. Tapi kerana Islam itu rahmat. Inginkan kesejahteraan dunia akhirat dinikmati oleh semua. Cuma perlukan kesedaran.

Wednesday, August 5, 2009

AKU ADALAH AKU

Aku bukanlah seorang pelajar yang cemerlang akademik. Tidur, bermain, tak faham apatah lagi untuk memberi faham kepada orang lain. Itu antara tabiat aku yang aku tahu.

Melanggar disiplin adalah antara hobi aku. Guru marah, benci, menyampah, itu semua aku tolak tepi. Yang penting aku suka. Dimarahi, didenda, alah bisa tegal biasa.



Ramai rakan-rakan yang menjauhkan diri, peduli apa. Aku pun ada kengkawan sendiri. Punya hobi yang satu. Mungkin tak cerdik, tiada disipin, tak tahu berkawan menjadi puncanya.

Sekolah seakan tempat paksaan. Itu fikir aku. Dunia aku adalah pagi pergi sekolah, petang pulang ke rumah. Belajar, nak faham, itu jauh sama sekali. Hanya mengumpul member di sana menjadi rakan sembang.

Di sebalik pagar sekolah, dunia luar sentiasa melambai godaannya. Menggamit hati untuk join sekaki. Ponteng sekolah….. takpe, yang penting jangan sampai di buang sekolah. Nanti payah….

Kalau jadi kes, ibu bapa berleter panjang. Habis semua perkataan terkeluar. Aku setia mendengar. Telingaku sudah lali menerimanya. Ibarat air yang dituang ke daun keladi.



Tapi… itu semua cerita dulu. Menjadi sejarah. Mencipta diari kehidupan. Lembaran pengalaman yang terkadang mencuit hati. Membuat aku tersenyum bila ia diingati semula.

Hari ini, aku adalah aku. Jauh berbeza dari yang dulu. Walau tidak sehebat mana, aku masih berbangga kerana aku adalah aku. Aku yakin peluang membaiki diri masih terbuka luas untuk diredahi. Hanya menanti langkah penjejaknya.

Merasa rendah diri, tidak sekali-kali. Hendak berbangga diri, aku tahu latar belakangku. Siapa aku dan apa kelayakan aku. Yang penting kini aku lebih mengerti bahawa tugasku kelak lebih menambah erti. Itupun jika aku terus menyedari.

Wednesday, July 29, 2009

SESUNGGUHNYA.....




Sebenarnya hati ini cinta kepadaMU
Sebenarnya diri ini rindu kepadaMU

Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya
Walau ku kutip semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya
Walau ku siram dengan air hujan dari tujuh langitmu
Namun cinta takkan hadir
Namun rindu tak akan berbunga

Ku cuba menghulurkan sebuah hadiah kepadaMU
Tapi mungkin kerana isinya tidak sempurna tiada seri
Ku cuba menyiramnya agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya tidak sesegar telaga kauthar

Jika tidak mengharap rahmatMU
Jika tidak menagih simpati
Pada MU ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasihMu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduMU kepadaku
Moga ku tahu syukurku adalah milikmu

Sunday, July 26, 2009

MARWA... KERANA JATI DIRI MUSLIMAH

Innalillahiwainnailaihi raji'un.. moga ruh muslimah mulia ini diangkat Allah bersama golongan muttaqin.

Hakikat dunia yang fana jika artis yang meninggal ataupun sakit, maka seluruh dunia membuat liputan seakan-akan merekalah dewa. Akan tetapi sedikit cuma kisah kesyahidan insan-insan yang mempertahankan aqidah dan maruah agama disebarluaskan untuk membangkitkan semangat dan memberikan perangsang kepada ummah.


Siapakah Marwa al-Sharbini ??

Tidak banyak liputan TV tentang Marwa Al-Sharbini, seorang ibu yang punya seorang anak, sedang mengandung tiga bulan, mati akibat ditikam 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim. Tidak ramai pula di kalangan orang Islam sendiri tahu tentang tragedi kejam ini. Yang mereka lebih tahu ialah kematian Raja Pop. Itupun kerana media terutama TV melampau-lampau liputannya. Berhari-hari bahkan berminggu masih belum reda isunya.

Ribuan penduduk Mesir menghantar jenazah Marwa ke tempat pengkebumiannya. Beliau tidak sepopular artis tersohor MJ, tetapi pastinya beliau tersohor di kalangan penduduk langit kerana mempertahankan harga diri, maruah dan agamanya melalui tudungnya, yang dengannya ia syahid. Marwa ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman sebelum memberikan keterangan atas kesnya.

Ia mengadu tentang seorang pemuda Jerman bernama Alex W yang kerap memanggilnya “teroris” hanya disebabkan beliau berjilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwa dan berusaha melepas jilbab Muslimah berasal dari Mesir itu. Di saat berada di mahkamah itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwa berkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, terkena tembakan pihak berkuasa yang berdalih tidak sengaja menembak suami Marwa yang kini dalam keadaan kritikal di hospital di Dresden.

Dalam sejarah Islam, seorang wanita Islam cuba dicabul kehormatan dan maruah dirinya oleh seorang Yahudi. Lantas pemuda Islam tangkas membantu hingga menyebabkan pergaduhan antara Yahudi dan orang Islam. Di zaman Khalifah Mu’tasim, seorang wanita meminta tolong dengan berkata: ‘Waa Mu’tasimah!’. Mu’tasim yang berada begitu jauh darinya, apabila mendapat berita tersebut terus menghantar bantuan untuknya.

Hari Jilbab Antarabangsa

Umat Islam kini, apa yang dibuatnya? Media dunia umat Islam sendiri hanya pentingkan berita pengkebumian Michael Jackson sendiri. Tiada liputan besar-besaran untuk Marwa melainkan media Islam khususnya di internet.

Untuk mengingati peristiwa ini, Hari Jilbab Antarabangsa dicadangkan bagi mengenang Marwa as-Sharbini. Usul itu dilontarkan oleh Ketua Perhimpunan Mempertahankan Hijab, Abeer Pharaon melalui Islamonline. Abeer mengatakan, Marwa Al-Sharbini adalah seorang syahid bagi perjuangan muslimah yang mempertahankan jilbabnya. “Ia menjadi korban Islamofobia, yang masih dialami ramai orang Islam di Eropah. Kematian Marwa layak untuk diperingati dan dijadikan sebagai Hari Hijab Sedunia,” kata Abeer.

Seruan Abeer disambut oleh beberapa orang tokoh Muslim. Di antaranya Rawa Al-Abed dari Persekutuan Persatuan Islam di Eropah. “Kami mendukung cadangan ini. Kami juga menyeru agar diwar-warkan kempen seperti ini untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak muslimah di Eropah, termasuk hak mengenakan jilbab,” kata Al-Abed.

Profesor Bidang Teologi Dan Falsafah dari Universiti Al-Azhar, Amina Nusser juga memberikan dokongannya atas cadangan Hari Jilbab Antarabangsa yang boleh dijadikan momentum untuk memberi tindakbalas sikap anti-jilbab di Barat. “Hari peringatan itu akan menjadi kesempatan bagi kita untuk mengingatkan Barat agar bersikap adil terhadap para muslimah dan kesempatan untuk menunjukkan kepada Barat bahawa Islam menghormati hak beragama,” tegas Nusser.

Nusser menegaskan bahawa hak seorang muslimah untuk berpakaian sesuai dengan ajaran agamanya, tidak berbeza dengan hak penganut agama lain. Ia mengingatkan, kaum perempuan penganut Kristian Ortodoks juga mengenakan tudung sebelum masuk ke gereja.

Sokongan untuk mengadakan Hari Jilbab Antarabangsa itu juga datang dari Persatuan Muslim Denmark. Ketuanya Mohammed Al-Bazzawi berkata “Hari Jilbab untuk mengingatkan masyarakat Barat bahawa hak muslimah untuk mengenakan jilbab sama dengan hak perempuan non-Muslim yang boleh mengenakan busana apa saja. Mereka di Barat yang berbicara soal hak perempuan, selayaknya menyedari bahawa mereka juga tidak boleh mengabaikan hak seorang perempuan untuk mengenakan jilbab,” ujarnya.

Gerakan Islam di rantau Asia juga wajar mengambil inisiatif menganjurkan Hari Jilbab Antarabangsa tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam. Dewan Muslimat PAS dan NGO berkaitan boleh mengambil peranan ini.

Akhbar Jerman kurang ajar, Perlekeh Marwa as Sharbini

Surat khabar Jerman, Die Welt versi online memuatkan komentar-komentar pembacanya yang berisi penghinaan dan pernyataan anti-Arab dan anti-Muslim.

Komentar-komentar itu adalah reaksi pembaca atas artikel berjudul “Islamisten fordern Vergeltung für Mord im Gericht” yang diterbitkan berkaitan kes Marwa Al-Sharbini itu.

Salah satu pemberi komen misalnya menyarankan agar pembunuh Marwa diberi tanda jasa “Federal Cross of Merit”. Pemberi komen lainnya menyebut Marwa “toilet” dan masih banyak lagi komentar-komentar lainnya yang isinya jelas membela pembunuh Marwa dan melecehkan Marwa. Pihak Die Welt pula anehnya, enggan menolak untuk menghapuskan komentar-komentar yang provokatif itu seiring dengan sikap media massa Jerman lain untuk tidak menulis berita tentang insiden yang menimpa Marwa.

Media Jerman menganggap kes pembunuhan Marwa yang berlatar belakang Islamofobia itu bukan kes yang serius. Sikap media Jerman mungkin akan berbeza jika yang dibunuh adalah seorang non-Muslim Jerman dan pelakunya seorang Muslim.

Hal ini menunjukkan baha wa benarnya firman ALLAH s.w.t, dalam surah Al-Anfal :-

" والذين كفروا بعضهم أولياء بعض , الاّ تفعلوه تكن فتنة في الأرض و فساد كبير "

mafhumnya :- "Dan orang-orang jafir, sebahagian mereka melindungi sebahagian yang lain. Jika kamu tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan ALLAH (saling melindungi), nescaya akan terjadi kekacauan di bumi dan kerosakan yang besar" -al-Anfal, ayat 73-

Sahabat-sahabat..

Bagaimana perasaan kalian?? Begitu hina dan teruk seorang muslimah diperlakukan?? Islam dipandang dengan pandangan yang negatif ?.

Mungkin Marwa ada jawapan yang pasti bila menghadap ALLAH nanti.dan dia juga punyai bukti mempertahankan Aqidahnya. Bagaimana dengan kita yang kita gelarkan diri kita pejuang?. Fikir-fikirkan.

copy paste dari jundatullah.blogspot.com

Thursday, July 23, 2009

REJAB DAN PERANG TABUK




Rejab baru sahaja meninggalkan kita. Dan kini bulan syaaban menjelma. Terasa pantas masa berlalu seakan baru semalam bulan rejab mengunjungi. Bulan yang di mana Rasulullah saw sentiasa memohon keberkatan di dalam doanya yang berbunyi ;

“Ya Allah, berkatilah kami di dalam bulan rejab dan bulan syaaban, dan sampaikanlah kami (panjangkanlah umur kami) hingga tiba bulan ramadhan”.

Alhamdulillah, kita baru sahaja melalui bulan keberkatan (rejab) dan diberi peluang lagi untuk terus berada di dalam bulan keberkatan (syaaban)untuk menyambung amal dalam usaha meraih keredhaan Allah serta merebut tempat di syurgaNYA kelak.

Sepanjang bulan rejab yang lalu, rata-rata kita memperkatakan tentang peristiwa isra’ mikraj. Di masjid-masjid banyak ceramah yang dianjurkan bagi mengenang peristiwa yang cukup mulia itu. Dari kalangan pensyarah, ustaz-ustaz mahupun pegawai majlis yang dijemput mengupas dan memperincikan perkara itu. Kisah isra’ mikraj itu sendiri, bagaimana ia berlaku, siapa yang terlibat, bentuk perjalanan, peristiwa sepanjang perjalanan, semuanya itu dihuraikan dengan panjang lebar.

Ada juga yang mengambil dari sudut pengajaran dan apa yang boleh dijadikan peringatan daripada peristiwa itu. Tidak kurang yang menyebut tentang masalah salah faham yang timbul di kalangan umat terhadap peristiwa itu lalu menghurai kekusutan fahaman berdasarkan dalil rajih.

Tapi tidak ramai yang memperkatakan tentang satu lagi peristiwa yang berlaku pada bulan rejab dan tidak kurang pentingnya kepada umat islam mengetahuinya. Iaitulah perang tabuk. Perang menentang tentera Rom. Salah satu daripada dua kuasa besar yang menguasai pemerintahan dunia tika itu. Rom dan Parsi.



Ia berlaku pada tahun kesembilan hijrah. Saat itu islam sudah semakin kukuh di bumi hijaz. Ia telah dapat diterima oleh masyarakat sebagai cara hidup. Bukan sahaja bumi hijaz, kawasan sekitarnya juga dicerahi dengan cahaya ketauhidan itu.

Malah kerana ini juga, peperangan tabuk berlaku. Kuasa Rom melihat islam mampu mengancam kekuasaan mereka. Mampu menghalang kuasa jajahan mereka. Mampu membantutkan cita-cita mereka dalam menebar kuasa ke atas bumi arab.

Peperangan yang berlaku tanpa ada pertempuran. Dicatit sejarah sebagai peperangan yang tidak menemukan dua musuh bertempur berhadapan. Akhirnya peristiwa ini telah mengangkat Islam di mata rakyat dunia waktu itu. Kerana kebenaran yang dibawa, pendukungnya tidak gentar melangkah.

Untuk tahun depan, mungkin boleh dicadangkan agar peristiwa bersejarah ini turut dihurai dan dikisahkan kepada umum seperti kisah Isra’ Mikraj kerana ia juga satu kepentingan dalam perkembangan Islam. Detik kejatuhan kuasa besar dunia dengan kebangkitan Islam dan umatnya.

Tuesday, July 14, 2009

KEMENANGAN MILIK KITA

Hati berdetik gembira tatkala melihat keputusan PRK manek urai malam tadi. Mulut melafaz syukur mengembalikan pujian kepada yang selayaknya. Mahu sahaja menjerit girang mengucap kata “wahai warga dunia, lihatlah…. kebenaran pasti akan tersingkap jua kerana ia adalah barang yang dijanji”.

Dengan jumlah majoriti kemenangan yang tipis, pihak di sebelah sana pun dilihat berkokok sama. Mendabik dada mengatakan rakyat sudah tahu menilai siapa yang salah dan siapa yang betul. “Kekalahan ini sebenarnya adalah kemenangan kita”. Itu kata mereka.

Tapi bagi aku, kekalahan mereka semalam adalah antara permulaan bagi kekalahan berturut-turut mereka akan datang. Adakah mereka masih belum sedar?... atau pun buat-buat tak sedar?... atau bersikap menyembunyikan bangkai gajah di bawah daun pisang?... Sedarilah, kebenaran itu akhirnya akan berpihak kepada pihak yang benar. Percayalah…

Sehingga bila hendak membakulsampahkan sesuatu kebenaran?... Sudah terbukti semalam dan dari beberapa siri PRK sebelum ini, tetap tidak berjaya. Dengan longgokan helaian duit, rasanya sudah berulangkali digunakan. Hatta baru ini terpaksa mengkudakan sebuah helicopter sebagai alat pengangkutan, tidak berjaya juga. Rasuah politik dengan lambakan janji-janji manis pambangunan dan kemudahan infrastruktur awam, itu hanya mat piah dan che som di seberang sungai sana sahaja yang percaya. Berapa kerat sangat yang percaya?... Ugutan, fitnah, maki hamun, mereka buat tidak tahu aje. Mereka tahu itu bukan budaya timur. Jadi, apa lagi yang hendak digunakan menutup kebenaran.

Yang kalah, kita yakin mereka akan terus kalah. Tapi, bagaimana pula yang menang?...

Kalau orang bertanya komen aku tentang kemenangan semalam dengan majoriti tipis, aku akan menjawab “yea… bab menang dengan jumlah tipis, itu perlu kepada post mortem semula. Di mana silapnya, apa yang tak kena, mana yang perlu diperbaiki untuk akan datang. Cuma yang lebih perlu diberi perhatian ialah tanggungjawab yang sudah terpikul. Ia bukan terpikul di bahu calon yang menang semata, tapi di bahu kita semua yang menyokongnya. Yea…walaupun sokongan dari hati ke hati. Kerana ia hanya sebagai alat atau perantara, yang dituju semua adalah kebenaran”.

Ingat… kebenaran itu milik kita semua bukan calon yang menang sahaja. Seharusnya kita bertungkus lumus menuju matlamat itu.

Wednesday, July 8, 2009

KEMPEN JUGA SATU TANGGUNGJAWAB

Semalam aku menyapa beberapa orang pelajar banat yang sedang asyik menyiapkan poster. Mungkin untuk dijadikan bahan kempen bagi pemilihan pimpinan pelajar yang sedang rancak kini. Senarai nama yang perlu diundi dan sifat-sifat yang melayakkan mereka diundi sebagai pimpinan turut ditulis bersama. Ditampal dan dilekat di sekitar bangunan sekolah.

Aku berkata “oh… antum rupanya yang buat benda ni”.
Muka mereka bertukar cuak. Mungkin rasa bersalah yang walaupun sebenarnya mereka tidak bersalah.

Air muka mereka bertukar tenang tatkala aku menyambung kata memihak kepada perbuatan mereka. “ oklah tu, kira menyumbang jasa untuk kebaikan, dan calon-calon yang antum kempen pun berkelayakan.



“Cuma ana ingin bertanya, betul ke mereka ni mempunyai ciri-ciri yang antum tulis tu dan apa jawapan antum jika mereka ini setelah dipilih sebagai pemimpin nanti tidak menunjukkan sikap tersebut?”. “Isyh… tak taulah muallim” jawab mereka.

“Mana boleh kata tak tau, antum perlu bertanggungjawab dengan tindakan (kempen) antum” respon kepada jawapan mereka. “Bila antum kata mereka ok, layak untuk memimpin, antum kena pastikan mereka ok dan terus ok. Bukan takat jual nama mereka untuk dipilih kemudian tinggal mereka dengan tanggungjawab mereka. Itu kira macam lepas batuk di tangga” pandangan aku.

“Bila kita sudah berkempen untuk mencalon mereka, kita sebenarnya secara tidak langsung sudah memberikan wala’ kepada mereka sebagai orang yang bakal dipimpin. Di samping kita memastikan bahawa mereka kekal dengan ciri-ciri yang kita laungkan melalui ketaatan kita dan teguran kita terhadap mereka jika tersilap” terangku lagi.

Mereka layak dan terus kekal layak sebagai pemimpin.

Sedarilah sabdaan nabi saw :

" apabila diserahkan sesuatu urusan itu kepada mereka yang bukan ahlinya ( tiada kelayakan ) maka tunggulah hari kiamat "

Monday, June 29, 2009

PILIHANRAYA SEKOLAH

Di sekolah, minggu ini bermula proses pemilihan barisan kepimpinan pelajar yang baru bagi sesi 2009/2010. Lebih kurang macam pilihanrayalah cuma meriahnya hanyalah setakat di tahap pelajar. Lagipun mereka masih terikat dengan proses P&P yang berjalan sepanjang hari. Nampak sedikit kelam-kabut pun ada. Tetapi masih terkawal dengan pemantauan dari pihak terlibat.

Pemilihan masih di peringkat awal. Belum ada nama-nama popular yang dicadangkan. Mungkin sikit hari lagi.

Bila berbicara soal meriah atau tidak, kita bertanya dari sudut mana erti meriah itu ditafsir?... Berdasarkan apakah ia dikira meriah atau tidak ?....
Bagi cermin sendiri, yang dikatakan meriah itu bila semua mereka mempunyai kesedaran dalam memilih dan mencadangkan nama bagi mengisi kekosongan kepimpinan. Sekadar memilih atau melaung itu dan ini tanpa pemahaman yang baik, rasanya tiada guna. Namun bila ia dibuat atas dasar kedesaran berdasarkan konsep organisasi, konsep kelayakan, konsep kepimpinan dan konsep kebertanggungjawaban, maka akan terbitlah kemeriahan itu walaupun ia diadakan dalam suasana yang sederhana.

Setakat hari ini, cermin melihat kesedaran itu sudah mula bertiup di kalangan pelajar khususnya pelajar menengah atas. Yang perlu difikirkan bagaimana kesedaran itu mampu merebakkan virusnya ke dalam jiwa adik-adik mereka di menengah rendah. Itu perlu difikir bersama jika inginkan kemeriahan dan natijah yang terbaik.

Walau apa pun, cermin doakan yang terbaik buat mereka kerana "KEPIMPINAN ITU SUATU KEMAHIRAN".

Thursday, June 25, 2009

JALAN BERLUBANG



Dalam perjalanan ke sekolah pagi semalam, terserempak lagi dengan kes kemalangan jalanraya. Habis hancur remuk bahagian belakang kereta proton saga tu. Seolah-olah macam tiada bonet pun kereta itu. Yang melanggarnya dari arah belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda. Setakat risik-risik cerita, tiada kematian yang dikhabarkan. Alhamdulillah…..

Mengikut andaian cermin, mungkin pacuan empat roda itu memecut laju. Lalu melanggar bahagian belakang kereta proton tersebut yang tetiba brek mengejut. Jalan pula menuruni bukit. Itu sekadar andaian. Kemungkinan itu boleh terjadi melihatkan kepada kedudukan kereta dan keadaannya. Tak terniat la pula untuk berhenti bertanya “bagaimana?..... apa cerita?.....” kerana mengejar masa.

Itupun hati sedikit seram sejuk. Nasib baik tak berlaku depan mata, kalau tak fobia jugak la nak menggunakan jalanraya pagi tu. (telefon pengetua minta cutila jawapannya……). Itu satu hal. Sambil meneruskan perjalanan pagi tu, diri bertanya sendirian. “Lepas ni kemalangan jenis apa pula yang akan dilihat. Lebih teruk lagikah atau sebaliknya?....”

Bukan meminta, cuma mempersoalkan. Seolah-olah jaminan keselamatan bagi pengguna jalanraya semacam tiada. Tadi kes kereta langgar kereta. Camne pula kalau kes kereta langgar motor ke…… tu yang dok risau ni. Malah sejak mendai pengguna jalanraya ni, boleh kata purata sebulan sekali pasti akan terlihat kes kemalangan. Paling teruk setakat ni kes bila motor dihimpit sebuah lori besar di lebuhraya lalu mengakibatkan kematian si penunggang motor tersebut. Ngerinya…… (dahla cermin hanya penunggang sang kapcai).

Siapa yang patut dituding jari?...... bukan menyalahkan, cuma mempersoalkan.Bagi cermin, setakat yang ada dalam kepala lani ada beberapa faktor yang menyumbang (kes kemalangan )……



1. Sikap pemandu
Paling sakit hati bila ada rakan jalanan kita ( penunggang @ pemandu) yang berlagak seolah-olah dialah juara jalanan atau orang panggil sekarang mat rempit. Supp ke sana, supp ke sini. Semua celah dia nak menyelit. Tak taula cikgu mana yang ajar dia.
Habis semua peraturan jalan dia rempuh. Dari lampu isyarat hingga ke garisan kuning. Selagi itu namanya peraturan jalan, dia akan buat tidak kisah. Dahla macam tu, dia tak kisah aje. Semacam tiada rasa bersalah. Lebih hebat lagi bila dia rasa bangga dengan kebolehannya melanggar peraturan jalanraya.
Jika yang buat itu penunggang motor, penunggang lain dan pemandu kereta lain akan memaki. Kalau yang buat itu pemandu kereta, penunggang pula akan memaki hamun. Saling salah menyalahkan.
Selalunya bila melihat pemanduan yang laju, cermin akan berkata dengan nada positif "isteri dia nak bersalin kot”..”ke dia nak ke tandas rasanya”. Tapi kalau dengan nada negatif “ nak mati, matilah sorang-sorang. Dok ajak orang lain apasal…”.

2. Kerosakan kenderaan
Tetiba aje enjin mati atau brek tak berfungsi atau tayar kekurangan angin akibat pancit dan sebagainya. Fenomena ini berlaku. Lalu dengan kawalan yang kurang cekap mengakibatkan kemalangan. Samada ia diakibatkan oleh pemandu sendiri yang tidak memeriksa terlebih dahulu kenderaanya sebelum digunakan atau melibatkan faktor alam semulajadi. Yang pasti, kebanyakan kes berpunca dari fenomena ini. Sudah secermat mungkin dibawanya kenderaan itu lagak seorang pemandu yang berhemah, tetapi kerana punca yang tak dijangka terbabit juga dengan kemalangan. Pemeriksaan itu perlu, kemahiran juga diperlukan.


3. Jalanraya berlubang
Siapa kata tiada kes kemalangan yang berpunca dari jalan yang rosak, berlubang dan tidak rata?... rasanya kebanyakkan pengguna jalanraya akan bersetuju dengan faktor ini. Akibat mengelak dari lubang di hadapan atau lecak di tengah jalan, hilang kawalan lalu termasuk ke lorong orang, akhirnya mengakibatkan kemalangan.

Siapa susah?... kami juga yang terima padahnya. Tanggungjawab siapa?.... sendiri makan sendirilah yang rasa kenyangnya.

Akhirnya, renung-renung dan fikir-fikirlah.

Wednesday, June 17, 2009

RENUNGILAH...


" Jenayah kita yang terbesar ialah bahawa kita tidak m
unafik atas apa yang kita yakini di dalam islam. Kita bersungguh-sungguh berusaha untuk mengatur semua urusan masyarakat kita sehingga kita mahu membawa mereka ke arah ajaran-ajaran islam yang lurus. Apabila kita mengakui bahawa islam adalah agama kita, dengan sendirinya akan membimbing kita masuk ke dalam seluruh pandangan hidup kita moral, perlakuan, keyakinan atau ideologi, etika dan pendidikan. Semua pengaruh rasuah mesti dihapuskan dari kehidupan individu dan seluruh Negara kita. Kita tidak mahu adanya kompromi terhadap masalah-masalah prinsip. Kita diharuskan melaksanakan setiap sesuatu yang telah kita nyatakan. Sepastinya hal sebegini tidak menyenangkan mereka yang ingin menipu atas nama islam. Padahal seluruh dasar politiknya amat bertentangan dengan tuntutan-tuntutan islam di dalam seluruh aspek kehidupan dan berterusan mereka berpura-pura atas nama islam sehingga Negara ini akan tetap berada pada mereka melalui tipu helah mereka.

Jenayah kita seterusnya ialah bahawa kita sedang berikhtiar untuk melahirkan manusia berperibadi kuat dan juga boleh dipercayai. Kita menerima orang masuk ke golongan kita setelah orang itu terlebih dahulu sudah diteliti dan siapa pun yang bergabung di dalam jamiat melakukan hal sedemikian. Ia dipertimbangkan dengan matang terlebih dahulu dan apabila ini selesai ia akan hanya mengikuti jalan islam yang lurus itu sahaja. Ia tidak akan dibiarkan menyatakan keyakinannya sekadar pernyataan lisan sahaja, tetapi ia harus melakukan perkara yang sesuai dengan apa yang pernah dinyatakannya sehingga menimbulkan perubahan sikap dan tingkah laku. Penindasan dan penganiayaan yang dilakukan ke atas mereka tidak akan mengubah sedikit pun keyakinan mereka. Secara terbuka mereka akan menyatakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Kepada mereka, penjara adalah tempat yang tidak perlu ditakuti. Kepada mereka ia hanya dianggap sebagai tempat latihan membina moral dan kerohanian".

( Maududi )

Monday, May 4, 2009

BELAJARLAH SEBELUM TERLAMBAT

belajar itu sebahagian kehidupan. mengajar pula adalah proses kehidupan. antara keduanya sebenarnya tiada beza. kedua-duanya memang sudah termaktub di dalam perjalanan hidup manusia. cuma siapakah yang benar-benar mengerti kepentingan keduanya itu dalam kehidupannya.

ramai dari kita yang belajar atau terlibat secara langsung dalam dunia pembelajaran. di peringkat rendah, peringkat menengah atau pun peringkat pengajian tinggi. soal dia dipaksa oleh keluarga atau terpaksa itu adalah persoalan kedua. yang penting dia belajar. tapi tidak ramai yang benar-benar menyediakan dirinya untuk diajar. tidak ramai. hanya segelintir.

bagaimana menyediakan diri untuk diajar?....
tidak payah, cukup dengan beberapa perkataan iaitulah bersedia menerima apa yang tiada di dalam dirinya lalu memahaminya seolah-oleh akan menyampaikannya. itu sahaja. ini tidak menyentuh soal formal atau tidak corak pembelajaran kerana sudah dikatakan tadi belajar itu sebahagian kehidupan. selagi kita hidup kita akan terus belajar.

malangnya kita sekarang menganggap belajar hanya di sekolah, perlu kepada guru mengajar, tertumpu kepada sesuatu subjek, lalu secara langsung kita telah mengecilkan skop pembelajaran itu sendiri. tanpa kita sedari apa yang sedang kita lakukan ini juga sebenarnya dalam proses pembelajaran. di sekolah, di rumah, di pandangan orang, dalam keadaan bersendirian, atau di mana sahaja selagi kita hidup kita terikat dengan proses pembelajaran.

natijahnya ramai dari kita yang tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di sekeliling hidupnya kerana ia telah beranggapan itu bukan satu pembelajaran. pemahaman sebegini cukup merbahaya kepada kita tidak kira yang tua atau muda.

bagaimana negara akan mampu melahirkan generasi pencetus kegemilangan jika dalam bab ini sahaja mereka tidak mampu memahami dengan sebaiknya?. ini bukan melibatkan persoalan politik atau perniagaan. ini adalah persoalan asas kepada pengertian pembelajaran itu sendiri. macam yang dikatakan tadi, memang ramai dari kita yang terlibat dengan dunia pembelajaran. tetapi apabila kurang pemahaman tentang erti pembelajaran, akan terbinalah pelajar-pelajar yang belum bersedia menyediakan dirinya untuk diajar.

Sunday, April 19, 2009

BERSETUJULAH DENGAN DIA

Seperti yang tersiar semalam saat majlis ramah mesra bersama penduduk Pekan, telah berucaplah Perdana Menteri kita YAB Dato Seri Haji Mohd Najib dengan katanya

" rakyat kita hari ini telah semakin bijak disebabkan dasar-dasar yang telah kita ( kerajaan BN ) tetapkan "

Anda rasanya telah mendengar kata-kata ini kerana ia telah diulang siar beberapa kali di televisyen dan anda juga memahaminya. Adakah anda bersetuju dengan kenyataan ini ?...
Hakikatnya, saya termasuk salah seorang rakyat Malaysia yang cukup bersetuju dan terharu dengan kenyataan pemimpin saya ini di atas jasa baik yang telah ditaburkan.

Jangan cepat melatah dan jangan juga cepat menghukum. mari sebelum itu kita hayati bersama apa yang dimaksudkan kebijakkan itu.

1. Bahasa Melayu
Semakin ia dipinggirkan oleh kerajaan, semakin kita sedar akan kepentingannya. Tanpa tekanan itu (dasar-dasar tersebut), rasanya tak ramai akan sedar kedudukan sebuah bahasa ibunda kepada bangsanya. Hari ini ramai yang mula memperjuangkannya semula tanpa meletakkan tanggungjawab itu seperti sebelum ini semata-mata ke atas pundak ahli bahasa.

2. Konsep Pengasingan Kuasa
Bagi pelajar-pelajar aliran undang-undang, ia bukan satu benda yang asing. Namun bagi rakyat Malaysia yang lain seperti kami, kami baru tahu rupanya Malaysia antara negara yang mengamalkan konsep ini. ( kuasa legislatif, kuasa eksekutif, kuasa kehakiman). Jikalau tanpa dasar mereka (kerajaan BN) yang sekarang ini bermain-main dengan konsep pengasingan tersebut seperti di Perak, nescaya kami akan terus buta huruf tentangnya.

3. Ketuanan Melayu
Selama ini hanya terdengar slogan perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira kaum sehingga telinga lali mendengarnya tetapi perhatian tidak diberi. Tapi dengan laungan-laungan ketuanan melayu yang kedengaran kini (dasar-dasar tersebut), barulah kami mampu bezakan antara dua, mana satu yang paling utama.

4. Kepentingan Kertas Undi
Peratus mereka yang keluar mengundi semakin meningkat. Protes di jalanan akan ditangkap. Peluang di media perjelas kebenaran terus dipinggir. Jadi kita semakin sedar akan kepentingan kertas undi. Jika tidak ada penangkapan atau peminggiran (dasar-dasar itu), kita akan terus bersikap harap-mengharap dalam mengundi. Hari ini kita semkain bijak.

5. One Malaysia
Dengan slogan baru yang dianggap mereka pembersih imej diri itu, kita semakin yakin siapakah di kalangan kita sebenarnya yang bermain dengan isu perkauman. Jadi, kita akan terus merangka dan merancang agar tidak terjebak dalam isu tersebut kerana keyakina tadi. Apakah yang mendorong kita?.... Tak lain tak bukan tentulah dasar-dasar tersebut.

6. Kebenaran Islam
Sebuah agama yang menyebar kasih sayang di kalangan umat manusia. Dulu diragui dan ditakuti, kini diyakini dan dihayati hatta di kalangan orang bukan muslim. Faktor pembantu tentulah dari dasar-dasar mereka yang selama ini menganggap agama Islam itu bahan permainan bagi mencapai matlamat.

KITA SEMAKIN SEDAR

Dari apa yang saya senaraikan, tentu kengkawan akan berkata " betul jugak". Semua itu berlaku tanpa kita sedari. Tanpa dasar-dasar mereka, kita akan terus seperti katak di bawah tempurung. jahil tentang situasi negara sendiri. Kini kita semkain bijak. Jadi, bersetujulah dengan perkataan pemimpin kita itu.

Saturday, April 4, 2009

SEORANG PENDERHAKA


Bukan aku ingin derhaka. Tidak terniat langsung untuk menjadi penderhaka. Kerna aku tahu derhaka itu seburuk-buruk perangai. Derhaka itu perkara dikeji. Manusia akan lari dari kita jika kita seorang penderhaka. Dituduh sebagai penderhaka sahaja sudah mengundang kebencian dan kemarahan orang, ini pula bila benar-benar menjadi seorang penderhaka.

Derhaka membawa maksud tidak mentaati perintah. Penderhaka adalah seorang yang tidak mendengar perintah pemimpinnya dan ia menunjukkan sikap melawan. Itu derhaka. Yea…. aku bukan seorang penderhaka. Tidak mahu menjadi kebencian manusia. Bukan sahaja keluarga sisihkan, sanak saudara dan masyarakat sekeliling juga akan memulau.

Memang aku tidak mahu menjadi seorang penderhaka tapi hari ini aku terdesak. Didesak dengan suasana.

Siapa yang ingin bersifat negatif ?.... sudah pasti tiada. Minta sangat dijauhkan. Pantang malaikat empat puluh empat. Itu kata orang tua. Memang nak jauh sangat dari perkara macam ni. Siapa mahu…….

Hari ini…… aku ulang, hari ini…… ramai sudah yang memperlihatkan kederhakaannya. Hari ini juga aku bersama mereka. Menjadi seorang penderhaka yang ingkar arahan ketua. Diri tidak mahu tapi hati mendesak. Diri tidak mahu tapi keadaan memaksa.

Kerana aku tahu pemimpinku hari ini perlu diderhakai. Perlu dilawan perintahnya. Bukan sekadar suka-suka. Tak terpengaruh langsung dengan sikap orang lain. Ini pendirian aku. Walau tubuh mengiyakannya dek kuasa yang tiada, hati tetap menderhakai.

Siapa pemimpinku?........ ia seorang yang patut diderhakai. Siapa pemimpinku ?....... ia telah menimbulkan perasaan benci dalam diri. Siapa pemimpinku ?.................. ia menjadi bahan kebencian bagi mereka yang berpendirian seperti aku.

Bukan suka-suka dan sekadar berseronok. Ada sebabnya. Ada pointnya. Keadaan semasa telah membuktikannya. Ia telah mewujudkan satu fenomena baru dalam pemikiran manusia walaupun hakikatnya telah lama diperkenalkan.

" tiada sebarang ketaatan terhadap makhluk di dalam melakukan kemaksiatan terhadap sang pencipta "

Sunday, March 15, 2009

SIAPA SANGKA...

Tugasku semakin sukar.

Itulah yang dirasai diri dan mungkin kebanyakkan mereka yang baru juga merasainya. Ia bukan mudah. Bukan semudah memetik jari atau sekadar meluah idea. Ia lebih kepada perlaksanaan. Memang.... status sebagai seorang pendidik memerlukan lebih dari satu pengorbanan. Perasaan yang amat berlainan sejak mula memasuki bidang ini.


Bukan sekadar mengajar, peranannya tidak terhenti di dalam kelas semata, malah bukan juga di dalam kawasan pagar sekolah, tanggungjawab mereka - golongan pendidik- melepasi had yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia. Itupun jika ini betul-betul difahami mereka. Ini kerana tanggungjawab yang terpikul di pundak itu cukup berpengaruh dan memberi kesan terhadap pembangunan sumber manusia dan pembangunan negara.

Sengaja cermin berkongsi perkara ini bagi meluah rasa. Kekadang masyarakat kita tidak mengerti dan fahami lalu menyalahkan bulat-bulat para pendidik jika anak mereka tidak berjaya. Para pendidik itu memerlukan sokongan semua. Ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Kita sentiasa mengharap semata-mata dari mereka sedang mereka ini juga manusia juga. Seperti seorang pelajar yang memerlukan pedoman, dorongan dan sokongan walaupun mereka sudah bertaraf profesional.

Ini kerana mereka adalah pendidik, mereka juga pendamping, sahabat, tempat berkongsi masalah, rakan meluah rasa hati. Seolah-olah watak yang bakal terbentuk dari diri seorang murid itu sebenarnya telah terpamer dalam jiwa para pendidik. Yang penting mereka mahukan sokongan semua.