Monday, August 27, 2007

RASA HATI
Sejak dua minggu kebelakangan ini, terasa cukup malas untuk menulis di pondok biru ini. Tangan semacam kaku dan kekok untuk menari di atas papan keyboard yang sememangnya telah tersedia menanti . Rasa canggung itu juga membawa kesan kepada jiwa yang sememangnya meminati dunia penulisan. Sebelum ini, perasaan sebegini tidak pernah langsung menjelma. Kalaupun ada, mungkin hanya sehari dua. Tetapi sekarang hampir 2 minggu ia berterusan.
Puas juga mencari di mana sebabnya. Kalaulah kata tiada topic untuk ditulis, mustahil. Banyak perkara yang berlaku disekeliling dan banyak juga tajuk dan peristiwa yang boleh diterjemahkan dalam bentuk tulisan untuk dikongsi. Bebanan tanggungjawab, tak juga. Boleh kata sekarang jadual harian telah pun tersusun. Hanya perlu berjalan dan berlari atas susunan tersebut sahaja.
Buntu kepala mencari jawapan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja menjerit melepaskan buku di hati. Agar perasaan berbelit di jiwa ini akan turut tercampak keluar lalu terlerai. Biar perjalanan diri kembali melangkah di atas roda kehidupan yang diimpi. Mengatur semaian benih dengan penuh saksama.
Hingga ke hari ini, rasa itu masih tetap ada. Terfikir juga bilakah ia akan berakhir.

Monday, August 13, 2007


CERITA DAHULU KALA

Dulu, sewaktu darjah tiga cikgu suruh setiap murid beri satu perkataan untuk buat sebaris ayat.
Contoh:

Saya……

Saya akan…….

Saya akan pergi………

Saya akan pergi ke sekolah……….

(begitulah seterusnya)

Naik darjah enam pula, cikgu suruh setiap orang buat satu karangan tidak melebihi 100 patah perkataan. Yang penting mengikut tajuk yang diberi.
Contoh tajuk:
Kampungku damai, rumahku syurgaku, aku seorang pelajar.

Hasilnya kini selepas beberapa peringkat pengajian yang dilaluinya, murid tersebut sudah pun boleh mengarang apa jua tajuk yang dia ingini dan dalam bentuk berbagai. Komentar, cadangan, ulasan, kertas kerja dan apa sahaja……..

Bersama pengalaman lepas, seharusnya pulalah menjadi tugas dia kini untuk menjadikan anak murid, anak sendiri, anak saudara, anak angkat dan segala macam anak yang berada di sekelilingnya melangkah berdikit-dikit menuju ke tempat yang dia berada kini sekurang-kurangnya. Mahir dalam bidang yang ingin diceburi, bukan hanya sekadar impian malah dibuktikan dengan kenyataan.

Itu baru salah satu bidang yang didatangkan, bagaimana pula dengan bidang-bidang yang lain?....... Bolehlah pakat-pakat kita kiaskannya. Pasti ada persamaan pada natijahnya.

Jadi, pastinya ada benarlah kata-kata Uncle Ben Parker kepada Peter yang berbunyi:
“The Great Power Come With Great Responsibility”

Saturday, August 4, 2007

BEZA ANTARA DUA

Hampir sebulan di Malaysia, kini cermin telah kembali semula ke Syria meneruskan sisa perjuangan hidup yang masih berbaki di sini. Rindu yang menggamit hati terasa terubat saat kaki menjejakkan kaki di bumi anbiya’ ini. Walaupun bahang panas menebar ke seluruh tubuh dan sedikit rimas, namun inilah duniaku. Negara yang telah kuanggap sebagai tanahair sendiri. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Memang, jikalau dibandingkan cuaca di Malaysia cukup berbeza. Dengan hujan yang turun setiap hari melembabkan suasana. Diiring pula angin yang bertiup sepoi menyejukkan tubuh.
Namun bagi diri yang sedang mencari makna kehidupan, kedua suasana tersebut tiada bezanya. Malah bagi mereka yang benar-benar memahami apa itu kehidupan akan menghargai setiap apa yang belaku dan berusaha menyesuaikan dirinya dalam apa jua keadaan yang ia hadapi. Dan itulah juga impian yang cuba cermin semaikan dalam diri.
Sebulan bekerja dengan media tv arab tersebut sedikit memberi kesan kepada diri. Terasa malas membungkam diri untuk menyambung kembali rutin hidup yang terhenti sejak sebulan itu. Ntahlah apa nak jadi……..Natijahnya kini bertimbun kerja yang terbelangkalai. Jadual hidup pula agak berserabut. Habis semua lintang pukang. Tak menentu jadinya.
Mungkin perlu ambil masa juga rasanya untuk mengatur kembali semuanya. Mudah-mudahan berjaya.