Friday, March 19, 2010

SYAITAN PUN TAKUT...

“O… takut juga syaitan rupanya dengan manusia”, desis hati.

Itu apa yang aku boleh simpulkan tatkala selesai membaca satu penulisan tazkirah edaran sebuah IPT di sini. Biasa kita dengar, syaitan akan takut kepada manusia yang bertaqwa dan hatinya dekat dengan Allah. Itu edisi biasa. Tapi yang ini sedikit berbeza. Apa yang bezanya ?.... Boleh baca sendiri dan renungkanlah.

Arakian tersebutlah kisah…….

Ada seorang manusia yang bertemu syaitan di waktu subuh. Entah bagaimana awalnya, akhirnya mereka berdua sepakat mengikat tali persahabatan. Ketika waktu subuh berakhir dan orang itu tidak mengerjakan solat, maka syaitan itu pun sambil tersenyum bergumam “orang ini memang boleh menjadi sahabatku”.

Begitu juga ketika waktu zuhur, sahabatnya itu tidak mengerjakan solat. Syaitan tersenyum lebar sambil menyebut “rupanya inilah bakal teman sejatiku di akhirat nanti”. Ketika waktu asar hampir habis dan rakan manusianya itu dilihat masih juga asyik dengan kerjanya tanpa mempedulikan waktu solat, syaitan mula terdiam.

Kemudian ketika datang waktu maghrib, ternyata kawannya itu tidak solat juga. Syaitan nampak mulai gelisah, senyumnya sudah berubah menjadi kecut. Dari wajahnya nampak bahawa ia seolah-olah sedang mengingati sesuatu. Berkeriut wajahnya membentuk seribu kedutan. Dan akhirnya ketika dilihatnya sahabatnya itu tidak juga mengerjakan solat isya’, maka syaitan menjadi panik.

Ia rupanya tidak dapat menahan diri lagi, dihampirinya sahabat manusianya itu sambil berkata dengan penuh ketakutan “wahai sahabat, aku terpaksa memutuskan persahabatan kita !!”.

Dengan kehairanan manusia ini bertanya “kenapa engkau ingkar janji, bukankah baru pagi tadi kita telah berjanji untuk menjadi sahabat ?”.

“Aku takut…”, jawab syaitan dengan suara gementar. “Nenek moyangku saja dulu hanya sekali membangkang perintah-Nya ( sujud kepada Nabi Adam as ) telah dilaknat selama-lamanya, inikan pula engkau yang hari ini saja aku saksikan telah lima kali membangkang untuk bersujud kepada-Nya( sujud kepada pencipta Nabi Adam ), tidak terbayang oleh aku bagaimana besarnya murka Allah kepada kamu”, kata syaitan sambil beredar pergi. Memutuskan persahabatan dengan manusia tadi atas alasan takut.

Habis cerita……

Benar atau tidak, dari mana sumber cerita ini, itu persoalan yang kedua. Yang penting adalah apakah pengajaran yang boleh kita perolehi dari cereka ringkas ini ?...
Fikir dan renungkanlah…….

Saturday, March 6, 2010

MEMADAIKAH DENGAN JERITAN

Hari ini alam gempar dengan jeritan semangat. Mengejut beburung yang sedang terlena. Diselang-seli takbir dan tahmid, jeritan itu bergema menerawang ke angkasa. Sana bertakbir sini bertahmid, menguat semangat mengukuh tekad. Jeritan yang tak kunjung putus, terus sambung-menyambung. Seolah itu gambaran sebuah kesatuan, satu fikrah, satu usaha ke arah satu tujuan. Kononnya, inilah yang akan menggetarkan musuh. Dunia menjadi saksi. Kononnya…..

Hakikatnya,

Barisan yang diatur masih berterabur. Ada yang duduk mencungkil gigi. Tak kurang yang bersembang, bergosip sesama sendiri. Malah ada yang menyalahkan diri lalu bertanya “mengapa aku di sini?”. Kucar-kacir. Satu yang dijeritkan dua yang dizahirkan. Tiada kesepakatan. Pemimpin dan panglima tak didengari kata. “Mengapa perlu dipathi, mereka dan kita sama sahaja”, itu kata mereka.



Jerit dan terus menjerit….

Kerana jeritan itu menutup kecelaruan tadi. Disembunyikan keributan. Mengaburi kelemahan menjadi semacam kekuatan. Kekuatan jeritan.

Yea, dunia menjadi saksi, sambil menggeletek ketawa. Adakah ini akan musuh geruni ?...

“Luruskan……… barisan”, arah si panglima dengan tegas. Yang buat tak tahu ramai. Buat pekak telinga. “Takbir……” jeritnya semula. Allahhu Akbar !!!!! Saling bersahutan menyahut seruan dan takbirnya tadi. Jeritan itu kembali bergema.

Pening kepala….

Di kala musuh 100% bersedia, mereka….. hanya jeritan yang kedengaran bersatu. Paduan suara yang membentuk kekuatan. Kekuatan yang sebetulnya itu adalah kelemahan yang terpamer.

Adakah dengan paduan dan ketinggian suara sahaja sudah memadai membuktikan kekuatan kita ?.Sekurang-kurangnya……. Paling tidak pun kita puas menjerit dan melolong. Tanda masih bersemangat.

Memadaikah….. cukupkah…… atau perlukan lebih dari itu?....