Monday, October 27, 2008

ANTARA GULA DAN GARAM


Antara gula dan garam, apakah pilihan kita?... Dalam menjawab persoalan ini, pada perkiraan cermin ramai dari kita pastinya akan memilih gula. Dan tidak sedikit juga yang menjadikan garam sebagai pilihan mereka. Kedua-dua pihak akan berusaha mendatangkan pelbagai alasan dan hujah konkrit bagi mempertahankan pilihan mereka. Pilihan mereka adalah tetap pilihan mereka.

Namun hakikatnya, gula dan garam kedua-duanya itu ada kepentingan tersendiri. Rasa gula tidak sama langsung dengan rasa garam dan begitulah sebaliknya. Jadi persoalan di atas tidak wajar ditanya kerana gula dan garam tetap pilihan kita. Yang sepatutnya "antara gula dan garam, manakah yang akan didahulukan atau manakah yang akan dilebihkan?...".

Tentu sahaja mereka yang ditanya tidak akan menjawab secara sembarangan. Terlebih dahulu melihat kepada keadaan semasa dan perihal diri. Maknanya pemilihan antara gula dan garam adalah tertakluk kepada pindaan. Tiada pilihan yang tetap. Kedua-duanya akan dipilih. Contohnya dalam masakan, jika kari yang dimasak telah terlebih masin, maka pada waktu itu gulalah pilihan kita bukannya garam lagi. Begitu juga jika sebelum itu terlajak meletakkan gula, maka garam pula yang akan dipilih. Kepentingan kedua-duanya itu dalam pemilihan adalah berdasarkan keadaan yang menuntut. Bukan pilihan mutlak. Yang penting kita dahulukan, yang lebih penting lagi perlu kita dahulukan.

Tanpa mengenepikan salah satu dari keduanya, kita boleh katakan antara gula dan garam saling lengkap-melengkapi. Sesuatu masakan secara khusus tidak akan terasa lazatnya jika salah satu dari keduanya itu kita ketepikan atau terlupa meletakkannya. Malah, kemahiran mengadun gula dan garam dalam peringkat akhir sesuatu masakan adalah penentu kepada kelazatan dan kesedapan sesuatu masakan. Tanyalah chef masakan kalau tidak percaya.

Natijahnya, begitulah kehidupan kita hari ini. Bagi kita, apa sahaja yang berada disekeliling kita semuanya dirasa penting. Bahkan jikalau terdaya, kita akan berusaha mencapai dan melakukan kesemuanya. Ingat …JIKALAU TERDAYA. Oleh kerana tidak terdayalah, kita perlu sedar dan berusaha mencapai apa yang benar-benar penting dalam hala tuju kehidupan kita tanpa mengenepikan terus apa yang dirasa penting. Manalah tahu jika ada peluang dan daya nanti.

Pilihan berdasarkan keadaan dan kemampuan bukan bersandarkan perasaan yang mendesak. Kerana tamak dan halobalah, ada segelintir manusia yang cuba merebut kesemuanya. Dipandangan matanya, di sana penting di sini juga penting. Akhirnya yang dikejar yang tak dapat dikendong berciciran. Jangan menjadi seperti anjing yang inginkan tulang kedua, terlepas tulang yang berada di mulutnya.

Alangkah indahnya kehidupan ini jika kita sentiasa bersikap sederhana. Semuanya mudah dirasa dan dicapai. Tanpa kita leka dengan setiap kepentingan yang kita ada dan kita ingin capai.

Thursday, October 9, 2008

DEBAT KEDUA


"Debat kedua peluang bagi Mc Cain". Begitulah antara tajuk utama yang cermin baca dalam ruangan berita luar Negara kelmarin. Sehingga kini, proses berkempen untuk pemilihan bakal presiden as terus mewarnai negara tersebut. Hari ini, bentuk kempen itu diperluaskan. Bukan sekadar gantung poster, melobi di akhbar-akhbar atau berceramah di hadapan penyokong sendiri. Debat menjadi pilihan.

Selain kemahiran mengurus dan mentadbir, wawasan dan cita-cita, sifat individu, gaya percakapan dan penyampaian hujah juga antara faktor yang membantu dalam pemilihan seseorang itu menjadi pemimpin. Itu adalah perihal dunia manusia hari ini. Siapa yang mampu meyakinkan hati orang ramai, itu yang akan dipilih. Siapa yang bernas hujahnya, tepat kata-katanya, itu yang akan menjadi idola dan role model.

Bukan cermin nak bandingkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh mereka dengan negara kita di Malaysia. Cuma kalau ada kesempatan, cuba kengkawan teliti ayat al-quran di bawah ini dan sesuaikan dengan keadaan dan situasi tersebut.

أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن النحل 125

Setiap kita disuruh dengan tiga perkara 1. berhikmah 2. peringatan yang baik 3. berhujjah dengan sebaik-baik cara.

Islam tidak hanya mengkhususkan faktor-faktor itu kepada sesiapa dari kalangan kita yang bakal menjadi pemimpin, tetapi ia menyeliputi semua umat islam. Kerana setiap mereka itu adalah pemimpin bukan bakal pemimpin. Bahkan setiap dari mereka telah dituntut untuk menyeru manusia ke jalan yang benar iaitulah agama islam.

Jikalaulah Barrack Obama boleh memukau pandangan para penyokongnya dan masyarakat amerika dengan gaya pidatonya, lontaran ideanya lalu menarik mereka untuk mengundinya sebagai Presiden Amerika untuk sesi pemilihan akan datang, kenapa para pendakwah islam hari ini tidak meniru bentuk tersebut?. Memukau rakyat dunia untuk menerima islam dan menghayati kebenarannya. Bukankah islam terlebih dahulu mengajar kita kaedah tersebut?.