Monday, October 27, 2008

ANTARA GULA DAN GARAM


Antara gula dan garam, apakah pilihan kita?... Dalam menjawab persoalan ini, pada perkiraan cermin ramai dari kita pastinya akan memilih gula. Dan tidak sedikit juga yang menjadikan garam sebagai pilihan mereka. Kedua-dua pihak akan berusaha mendatangkan pelbagai alasan dan hujah konkrit bagi mempertahankan pilihan mereka. Pilihan mereka adalah tetap pilihan mereka.

Namun hakikatnya, gula dan garam kedua-duanya itu ada kepentingan tersendiri. Rasa gula tidak sama langsung dengan rasa garam dan begitulah sebaliknya. Jadi persoalan di atas tidak wajar ditanya kerana gula dan garam tetap pilihan kita. Yang sepatutnya "antara gula dan garam, manakah yang akan didahulukan atau manakah yang akan dilebihkan?...".

Tentu sahaja mereka yang ditanya tidak akan menjawab secara sembarangan. Terlebih dahulu melihat kepada keadaan semasa dan perihal diri. Maknanya pemilihan antara gula dan garam adalah tertakluk kepada pindaan. Tiada pilihan yang tetap. Kedua-duanya akan dipilih. Contohnya dalam masakan, jika kari yang dimasak telah terlebih masin, maka pada waktu itu gulalah pilihan kita bukannya garam lagi. Begitu juga jika sebelum itu terlajak meletakkan gula, maka garam pula yang akan dipilih. Kepentingan kedua-duanya itu dalam pemilihan adalah berdasarkan keadaan yang menuntut. Bukan pilihan mutlak. Yang penting kita dahulukan, yang lebih penting lagi perlu kita dahulukan.

Tanpa mengenepikan salah satu dari keduanya, kita boleh katakan antara gula dan garam saling lengkap-melengkapi. Sesuatu masakan secara khusus tidak akan terasa lazatnya jika salah satu dari keduanya itu kita ketepikan atau terlupa meletakkannya. Malah, kemahiran mengadun gula dan garam dalam peringkat akhir sesuatu masakan adalah penentu kepada kelazatan dan kesedapan sesuatu masakan. Tanyalah chef masakan kalau tidak percaya.

Natijahnya, begitulah kehidupan kita hari ini. Bagi kita, apa sahaja yang berada disekeliling kita semuanya dirasa penting. Bahkan jikalau terdaya, kita akan berusaha mencapai dan melakukan kesemuanya. Ingat …JIKALAU TERDAYA. Oleh kerana tidak terdayalah, kita perlu sedar dan berusaha mencapai apa yang benar-benar penting dalam hala tuju kehidupan kita tanpa mengenepikan terus apa yang dirasa penting. Manalah tahu jika ada peluang dan daya nanti.

Pilihan berdasarkan keadaan dan kemampuan bukan bersandarkan perasaan yang mendesak. Kerana tamak dan halobalah, ada segelintir manusia yang cuba merebut kesemuanya. Dipandangan matanya, di sana penting di sini juga penting. Akhirnya yang dikejar yang tak dapat dikendong berciciran. Jangan menjadi seperti anjing yang inginkan tulang kedua, terlepas tulang yang berada di mulutnya.

Alangkah indahnya kehidupan ini jika kita sentiasa bersikap sederhana. Semuanya mudah dirasa dan dicapai. Tanpa kita leka dengan setiap kepentingan yang kita ada dan kita ingin capai.

8 comments:

BaYu SenJa said...

garam dengan gula?
huhu, dua dua tu bahaya untuk kesihatan..
bayu jaga kesihatan, hehe.

p/s: kira-kira kita akan bayu selesaikan bila kembali ke Syria nanti.. tunggu nooo?

Unknown said...

Hmm... yg mana satu ya. Garamlah. Tanpa garam mknan tak sedap langsung :D

Mak Su said...

bersederhana dlm segala hal :)

CikguZue said...

salam,
kalau takde gula dan garam, taruh kicap pun ok juga...heheh...
maknanye, jika tidak dapat apa yg dihajati, secara dharuri, hajiyat atau sekadar tahsinat...seharusnye kita guna apa jua yg telah diberi oleh-Nya...qanaah dan bersyukur dgn apa yg ada.

arsaili said...

salam..kalau tak de gula dan garam..kena lagi gi kedai beli..kang tak berasap dapur..ahaks

teddi said...

hai salam singah..
ala kalau xde guna boleh pulak hidup

Mardihah said...

kena imbang...tiada garam tak sedap lauk pauknya.tiada gula, tak manis kopinya atau apa sahaja..

pilih yang serasi di jiwa..

Raikan Cinta!

Bunga Rampai said...

Salam,

Alhamdulillah, terima kasih entri yang menarik ini.

Untuk yang darah tinggi dan kencing manis - garam dan gula adalah pantang. Apapilihan mereka? ;)