Saturday, December 20, 2008

MUSAFIR KASIH



Syabab itu bermakna pemuda. Syabab itu seorang pemuda yang membina diari kehidupannya tersendiri. Ia bukanlah pemuda yang bergantung dan bersandar kepada kemegahan keluarga tetapi dia merupakan seorang yang berpijak di bumi sendiri dengan kurniaan kedua kakinya yang diberi. Ada benarnya pepatah arab berbunyi “bukanlah pemuda itu apabila ia berkata itulah bapaku, tetapi yang dikatakan pemuda itu apabila ia berkata inilah diriku”.

Inilah apa yang dapat disimpulkan tatkala selesai membaca novel bertajuk SYABAB karangan Fatimah Syarha Mohd Noordin.

Syabab yang digambarkan sebagai budak hingusan yang tidak dipeduli keluarga, dibuli oleh kanak-kanak kampung yang nakal, disisih oleh masyarakat kampung. Hanya Nur Mumtazah jirannya juga merupakan seorang mahasiswi di universiti tempatan menjadi peneman. Ditatangnya bagai adik sendiri yang akhirnya setelah berganti masa dan zaman, ditakdirkan menjadi suami keduanya selepas kematian Ustaz Mursyid suami pertamanya. Itulah sebahagian plot cerita yang digambarkan.

Plot cerita yang digarap dengan bahasa mudah mampu difahami kebanyakkannya. Gabungan kehidupan masyarakat desa dan suasana perkampungan di Malaysia yang mendamaikan dengan suasana masyarakat arab Syria melatari cerita yang ditulis. Ditambah dengan gambaran suasana kerancakan pengajian pelajar di bumi anbiya’ itu dengan syabab sebagai watak utamanya cukup menarik perhatian. Kekadang diselit dengan realiti kehidupan harian masyarakat arab. Membuka ruang lingkup pemikiran pembaca melepasi benua dan sempadan negara.

Watak yang diketengahkan oleh Ustaz Mursyid dan Imtiyaz juga menghidupkan perlataran cerita dan mampu dijadikan contoh. Bagaimana peranan yang dimainkan mereka (pemuda) dalam membina peribadi remaja kampung seterusnya membentuk masyarakat kampung yang selari dengan kehendak syariat dengan pendekatan yang tidak menjemukan.

Cinta... menghiasi kehidupan Syabab. Dengan takdir dan kehendak ilahi, ia menerimanya dengan rasa rendah hati. Konsep cinta yang dipaparkan berteraskan hukum Islam. Mana mampu dinafikannya, tetapi perlu diselarikan agar ia tidak bercanggah.

Dari seorang budak tersisih, Syabab membina jatidiri membentuk identiti diri menempuh kitaran kehidupan berbekalkan semangat dan sokongan yang diberi. Akhirnya peribadi itu dicontohi masyarakat kampung dan dijadikan role model. Bagaimanakah corak hidupnya?.... Dengan jalan apakah ia mampu berjaya ?..... SYABAB Musafir Kasih jawapannya.

2 comments:

Anonymous said...

saya lebih suka baca cerita ini berbanding tautan hati yg ditulis beliau. sebab mudah dan tak terlampau sarat sangat isinya. :)

CerminDiri said...

salam kehidupan,

memang begitu simple gaya penulisannya.