Tuesday, December 23, 2008

RAMPASAN vs PENJAJAHAN


Teluk Eden sekali lagi menjadi perbualan masyarakat dunia apabila rampasan kapal dagang yang melalui laluan di teluk tersebut terus berlaku. Yang terbaru kes yang berlaku jumaat lepas. Ini memaksa negara-negara dunia lain menghantar armada tentera masing-masing bagi menjamin keselamatan dan mengekang kegiatan "lanun" yang bermaharajalela di laluan tersebut. Dari Kesatuan Eropah (EU), Rusia, Amerika Syarikat, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hinggalah Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).


Usaha pembasmian kegiatan itu semakin ditingkatkan dari masa ke semasa. Antara usahanya apabila Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi kuasa kepada negara-negara yang memerangi kegiatan lanun berdekatan pantai Somalia untuk melancarkan serangan darat dan udara ke atas kubu lanun mendapat persetujuan sebulat suara 15 ahli majlis tersebut.


Secara zahirnya memang ia cukup munasabah berdasarkan perkembangan peristiwa yang berlaku. Tetapi apa yang tersirat di balik itu perlukan penilaian kita semula. Prof Madya Sr Dr. Azmi Hassan dalam tulisannya "Usaha Barat Kekang Pejuang Islam Somalia" menyingkap rahsia di belakang tabir konflik itu. Tulisnya….


" Tetapi ada pihak juga sangsi terhadap tujuan sebenar resolusi PBB tersebut. Ada juga kalangan yang mempersoalkan mengapa AS begitu bersungguh-sungguh menghantar Setiausaha Negara, Condoleezza Rice untuk memujuk ahli Majlis Keselamatan yang lain bersama-sama dengan Washington menyokong meluluskan resolusi tersebut.
Kesangsian mempersoalkan motif sebenar Washington yang turut disokong oleh Moscow dan London ada kebenarannya kerana penglibatan AS dalam politik dalaman Somalia bukan sesuatu yang membanggakan. Malah Indonesia sebagai salah sebuah negara yang menduduki kerusi Majlis Keselamatan telah berkeras membantah draf asal resolusi kerana dikatakan mencabuli kedaulatan Somalia. Mengambil kira bantahan tersebut, resolusi terpaksa diubah yang mana penggunaan ruang darat dan udara hanya boleh dilakukan dengan kebenaran kerajaan sementara Somalia.
Tetapi keberkesanan kerajaan Somalia dipersoalkan kerana mereka hanya menguasai sebahagian kecil bandar Mogadishu. Selebihnya dikuasai oleh puak pejuang berhaluan Islam yang terdiri dari dua kumpulan besar iaitu Al Shabab dan Islamic Courts Union”.


Kita mungkin tidak pernah terfikir terjadinya perkara sebegini di sebalik resolusi yang dipersetujui itu. Terangnya lagi….

" Ramai yang berpendapat Washington, Moscow dan London sebenarnya mahu menggunakan resolusi PBB sebagai batu loncatan untuk menyekat kemaraan kedua-dua kumpuan pejuang Islam tersebut dari mengawal sepenuhnya Somalia. Pada ketika ini pejuang Al Shabab dan Islamic Courts Union sudah menghampiri Mogadishu dan besar kemungkinan akan menawan bandar tersebut.
Kerajaan sementara Somalia masih dapat bertahan sehingga ke hari ini disebabkan sokongan tentera pengaman Kesatuan Afrika (AU) terutama sekali tentera dari Habsyah yang berjumlah 3000 orang. Kerajaan Habsyah dikatakan telah mengambil keputusan untuk mengundurkan tentera mereka dari Somalia pada Januari ini dan keputusan tersebut sudah tentu akan turut diikuti oleh pasukan pengaman AU yang lain ".


Natijah yang bakal menyusul nanti sudah pasti diluar dugaan kita.

" Buat masa ini sebahagian besar rakyat Somalia menyokong perjuangan kumpulan Islam seperti Al Shabab dan Islamic Courts Union tetapi agenda beberapa negara seperti AS, Rusia dan Britain yang menggunakan Majlis Keselamatan PBB sudah pasti akan membantutkan impian rakyat Somalia untuk mengecapi keamanan ”.
Utusan 20 disember 2008.


Marilah kita bertanya apa bezanya antara rampasan kapal oleh "kumpulan lanun Somalia" yang mendapat tentangan hebat masyarakat dunia dengan perancangan jahat Negara dunia pertama dan kedua bagi menguasai tanah air orang lain dengan persetujuan PBB?...

Cukuplah ini sebagai bukti terhadap apa yang dipanggil sebagi rampasan yang berlaku di Teluk Eden sana.

1 comment:

Mak Su said...

kat mana mana ada robocop