Tuesday, July 14, 2009

KEMENANGAN MILIK KITA

Hati berdetik gembira tatkala melihat keputusan PRK manek urai malam tadi. Mulut melafaz syukur mengembalikan pujian kepada yang selayaknya. Mahu sahaja menjerit girang mengucap kata “wahai warga dunia, lihatlah…. kebenaran pasti akan tersingkap jua kerana ia adalah barang yang dijanji”.

Dengan jumlah majoriti kemenangan yang tipis, pihak di sebelah sana pun dilihat berkokok sama. Mendabik dada mengatakan rakyat sudah tahu menilai siapa yang salah dan siapa yang betul. “Kekalahan ini sebenarnya adalah kemenangan kita”. Itu kata mereka.

Tapi bagi aku, kekalahan mereka semalam adalah antara permulaan bagi kekalahan berturut-turut mereka akan datang. Adakah mereka masih belum sedar?... atau pun buat-buat tak sedar?... atau bersikap menyembunyikan bangkai gajah di bawah daun pisang?... Sedarilah, kebenaran itu akhirnya akan berpihak kepada pihak yang benar. Percayalah…

Sehingga bila hendak membakulsampahkan sesuatu kebenaran?... Sudah terbukti semalam dan dari beberapa siri PRK sebelum ini, tetap tidak berjaya. Dengan longgokan helaian duit, rasanya sudah berulangkali digunakan. Hatta baru ini terpaksa mengkudakan sebuah helicopter sebagai alat pengangkutan, tidak berjaya juga. Rasuah politik dengan lambakan janji-janji manis pambangunan dan kemudahan infrastruktur awam, itu hanya mat piah dan che som di seberang sungai sana sahaja yang percaya. Berapa kerat sangat yang percaya?... Ugutan, fitnah, maki hamun, mereka buat tidak tahu aje. Mereka tahu itu bukan budaya timur. Jadi, apa lagi yang hendak digunakan menutup kebenaran.

Yang kalah, kita yakin mereka akan terus kalah. Tapi, bagaimana pula yang menang?...

Kalau orang bertanya komen aku tentang kemenangan semalam dengan majoriti tipis, aku akan menjawab “yea… bab menang dengan jumlah tipis, itu perlu kepada post mortem semula. Di mana silapnya, apa yang tak kena, mana yang perlu diperbaiki untuk akan datang. Cuma yang lebih perlu diberi perhatian ialah tanggungjawab yang sudah terpikul. Ia bukan terpikul di bahu calon yang menang semata, tapi di bahu kita semua yang menyokongnya. Yea…walaupun sokongan dari hati ke hati. Kerana ia hanya sebagai alat atau perantara, yang dituju semua adalah kebenaran”.

Ingat… kebenaran itu milik kita semua bukan calon yang menang sahaja. Seharusnya kita bertungkus lumus menuju matlamat itu.

No comments: