Thursday, January 28, 2010

PERLUKAH BERPUTUS ASA (2)



Bukankah biasanya pemimpin akan mengalami waktu putus asa ?.

Satu jawapan aku : Bukan sahaja pemimpin, ada yang dari kalangan nabi dan rasul pun pernah melalui dan merasainya.

Andaikata anda didatangi seseorang yang mengakui bahawa dia tidak pernah berputus asa dan tidak kenal apa itu erti putus asa malah sentiasa bersemangat dengan cita-cita, agak-agak apa tanggapan anda terhadap dia ?...

Dia adalah robot ciptaan berkulitkan manusia, dia memang sejenis manusia yang dicabut perasaannya atau dia sengaja menunjuk dan berpura-pura dengan kata-kata. Mana yang kita akan pilih ?.

Tidak salah kalau kita katakan putus asa itu adalah sebahagian warna-warni yang menyenangkan, itupun jika difikir positif. Secebis daripada kehidupan. Seolah-olah perasaan itu mengalir di aliran darah tubuh badan kita.

Manusia yang sempurna fitrahnya akan mengalami detik ini. Sebut sahaja apa jantinanya, setinggi mana pangkat jawatannya, semulia mana kelahiran dan kehidupannya hatta mereka yang semulia para nabi dan rasul pun akan dihambat rasa itu.

Ini tandanya mereka adalah manusia yang sempurna fitrah kejadian.

Kita soroti seketika sirah Nabi Muhammad saw tika baginda keluar dari kota Mekah pergi ke Thaif bersama Zaid bin Harithah dengan tujuan ingin mendapatkan pertolongan dari kabilah Thaqif bagi membantunya menyebar dakwah Islam yang dibawa. Apa yang terjadi ?...

Baginda telah berjumpa dengan 3 orang pemimpin kabilah tersebut lalu salah seorang daripada mereka berkata “ Demi Allah, kami sesekali tidak akan bercakap dengan kamu, jika kamu utusan Allah nescaya kamulah orang yang paling berbahaya dan perlu dihalau, dan jika kamu berdusta dengan dakwaan kamu itulah sebab yang paling patut untuk kami tidak bercakap dengan kamu”.

Dihambat putus asa dengan ucapan itu, Nabi saw bersabda “ Terpulanglah kepada kamu untuk lakukan apa yang telah lakukan, cuma sembunyikanlah kedatangan aku ini dari pemimpin Quraisy”.

Itu cerita manusia agung lagi dimuliakan Allah swt. Bagaimana pula dengan kita ?... Belum lagi kisah nabi Yunus bin Matta seperti yang disebut di dalam surah al-Qalam ayat 48-50.

Daripada apa yang kita fahami, jelaslah persoalan yang perlu dirungkaikan bukanlah persoalan adakah ada di kalangan manusia mereka yang tidak berputus asa, tetapi persoalan yang sesuai bagaimana untuk kita menghadapi waktu itu.

Membesarkan hati menguatkan tekad dan terus membulat tujuan.



Yang paling perlu tidak dilupakan ialah penggantungan diri kita dengan pemilik alam ini. Bagaimana ?... Zat yang mencipta perasaan putus asa itu. Sudah pasti kepadaNYA juga tempat kita kembalikan musibah ini.

Jika nabi Muhammad saw mengadu kelemahan diri dan memohon kekuatan diri kepada NYA dalam menghadapi ujian ini, nabi Yunus dengan zikirnya yang masyhur “la ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin”, kita pula takat mana ?.. Contoh sudah ada depan mata, terpulang kepada kita menilai dan mengatur yang terbaik. Lalu menganggap kelemahan itu sebenarnya satu peluang tersirat.

Seeloknya aku tukar tajuk. Perlukah berputus asa kepada perlukah kita beristiqamah dengan perasaan putus asa ?...

No comments: