Thursday, January 7, 2010

SEJARAH BAHAN RUJUKAN



"Satu perkara yang perlu kita persetujui bersama ialah tiada satu pun kelompok manusia yang sampai ke tahap apa yang kita sebut sebagai ketamadunan tanpa adanya undang-undang dan peraturan", aku memulakan bicara.




"Sebutlah tamadun apa pun yang pernah wujud di dunia ini, tamadun Rom, Yunani, Mesopotamia, China, India hatta tamadun umat Islam sendiri pun mempunyai elemen perundangan dan dianggap penting dalam menjamin kelangsungan kegemilangan tamadun tersebut", sambungku lagi.

Inilah ayat pertama yang aku gunakan sewaktu diberi peluang berucap mengisi slot disiplin sekolah. Kupasan aku tidak panjang dan meleret. Rasanya mampu difahami oleh pelajar. Mungkinlah, pelajar menengah rendah khususnya tingkatan 1 & 2 kurang memahami kerana silibus pelajaran mereka belum sampai ke bab itu.

Apa yang penting aku cuba sampaikan ialah peri pentingnya elemen perundangan di dalam kehidupan manusia. Tidak kiralah di peringkat kehidupan mana sekalipun & apa nama pun. Menjamin kelangsungan serta kegemilangan perjalanan hidup sesuatu masyarakat dan memberikan keadilan kepada yang selayaknmya.

KENAPA SEJARAH ?..

Ada pelajar yang rapat denganku bertanya "kenapa dikaitkan dengan subjek sejarah, kenapa tidak dengan ayat al-quran atau hadis nabi saw ?".

Aku tak kisah ditanya begitu dan mereka tidak salah bertanya. Yea, melihat kepada sandaran pengajianku, aku adalah keluaran pengajian syariah islamiah. Aku andaikan kemungkinan mereka berasa janggal bila orang syariah bercakap sesuatu yang bukan di dalam bidangnya. Dan begitu juga bila sebaliknya. Kemungkinan…… andaian semata.



Ilmu Allah itu luas. Bagiku tiada sekatan kepada mana-mana insane untuk bercakap mengenainya dengan syarat ia betul memahaminya dan tidak hipokrit ketika menyampaikannya.

Malah, jika dirujuk kepada orang yang berkemahiran di dalam bidang itu pun mereka akan bersetuju dengan kita. Itu nanti akan menunjukkan kita faham seperti yang mereka faham, cuma kita mempunyai peluang untuk bercakap tika itu.

Kenapa sejarah ?... Ada satu pepatah arab yang berbunyi :

"Barangsiapa yang menghafal sejarah, maka akal pemikirannya telah bertambah"

BELAJAR DARI SEJARAH

Sejarah merupakan subjek teras yang perlu dipelajari. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, subjek sejarah cukup dititikberatkan. Apatah lagi bila sesuatu bab itu menyentuh soal patriotik atau soal perjuangan bangsa.

Namun terdapat perbezaan di sini antara mereka yang belajar sejarah dan mereka yang belajar dari sejarah. Perbezaan ini juga sebenarnya memberi kesan kepada apa yang kita sebutkan tadi "pemikirannya telah bertambah".
Dunia sentiasa berpusing. Begitu juga kehidupan manusia. Adakalanya kita di bawah dan adakalanya kita mencapai puncak. Mulia, hina, kaya, miskin, dihormati, dicerca, semuanya itu menjadi pusingan kehidupan. Itu telah terbukti dengan gambaran tamadun manusia yang terdahulu.

Bagi manusia yang menyedari bahawa mereka hanyalah penyambung rantaian kelangsungan kehidupan manusia di muka bumi, perkara di atas akan menjadi perhatiannya. Bagaimana berlaku, kenapa, apa puncanya, bentuk mengatasinya dan apa sahaja yang berkaitan, menjadi bahan fikirannya. Kerana dia tahu perkara yang telah dihadapi oleh umta terdahulu, dia juga bakal hadapinya.

Inilah mereka yang belajar dari sejarah. Bukan sekadar belajar sejarah untuk peperiksaan atau kerana terpaksa, tapi belajar dan memahaminya semampu mungkin lalu mengambil langkah yang terbaik dalam mengharungi kehidupan ini. Bukan hanya sebagai bahan pembelajaran tetapi menjadikan sejarah sebagai bahan rujukan.

No comments: