Sunday, May 18, 2008

PEPERIKSAAN

Jika anda berkesempatan bertandang ke Syria dalam minggu ini atau minggu-minggu akan datang dalam bulan mei dan bulan jun, nescaya anda akan dapat merasakan kerancakan dan kesibukan pelajar-pelajar Malaysia di sini dalam menuntut ilmu. Lalu anda akan sifatkan mereka ini dengan sifat-sifat terpuji seperti rajin, bersungguh, tidak lupa tanggungjawab, harapan Negara, pandai bahagi masa dan sebagainya.

Ke mana sahaja mereka pergi, di tangan pasti ada sebuah kitab atau lebih. Itu tandanya mereka rajin membaca bila ada masa terluang dan di mana sahaja. Seolah kitab itu adalah teman mereka. Kalau tiada kitab pun, pasti anda akan menjumpai nota ringkasan dalam poket baju atau seluar mereka.

Siang membaca, tengahari mengulangkaji bersama rakan, malam menghafal. Itulah nanti yang anda dapat rumuskan. Aktiviti ini bukan sahaja dilakukan oleh pelajar wanita (mahasiswi), malah turut dilakukan oleh pelajar lelaki (mahasiswa) sesama mereka. Umumnya kesemua mereka yang bernama pelajar di sini dan datang untuk menuntut ilmu akan anda lihat sebegitu. Lebih-lebih lagi jika anda pergi ke masjid-masjid yang dibuka selain pada waktu solat (masjid Abu Nur misalannya), di sana anda akan temui kelompok-kelompok kecil pelajar Malaysia yang sedang mengulangkaji pelajaran. Tidak kurang yang duduk membaca dan menghafal seorang diri.

Untuk menguatkan lagi kata-kata ini, jika anda berjumpa pelajar Malaysia yang sedang berjalan tanyalah mereka ke mana mahu pergi. Kebanyakannya akan menjawab "pergi rumah kawan baca buku" @ "ada study group". Dari situ tanggapan anda akan membenarkan kata-kata ini.

Sikap mereka ini sewajarnya dipuji dan dijadikan teladan. Semua ini demi memajukan diri sendiri. Mereka tahu kedatangan mereka ke sini untuk belajar, mereka sedar di pundak mereka terpikul harapan ibubapa dan tanggungjawab Negara "pemuda harapan Negara dan bangsa", malah mereka juga tidak lupa bahawa mereka sekarang dalam Musim Peperiksaan.

2 comments:

Ainin Naufal said...

chaiyok! Usaha tangga kejayaan. :)

Mak Su said...

heh heh heh, semoga berjaya (harap tabiat sebegitu berpanjangan biarpun diluar musim pereksa)