Monday, February 2, 2009

KEINDAHAN BERSAMAMU

Memang, itu adalah program yang sedikit pelik. Tujuan atau objektif yang telah digariskan biasa sahaja, cuma pengisian dan slot yang diketengahkan selama perjalanan program 2 hari 1 malam tersebut di luar jangkaan. Walaupun sebelum ini kerap juga ikut dan buat program motivasi untuk remaja, tetapi apa yang disusun untuk kami terasa kesannya.
Dengan objektif lebih kepada membentuk penegasan sebagai hamba Allah, umat nabi Muhammad saw, pendidik ummah, rakan sekerja, anak, individu yang terlibat secara langsung dengan masyarakat, program ini telah disertai oleh semua tenaga pengajar Sri Al-Amin Bangi. Menengah mahupun rendah.
Antara slot menarik adalah slot detik kematian. Daripada slot itulah terhasilnya sijil kematian ini. Awalnya setiap kami disuruh menyenaraikan 20 jawatan penting yang sedang disandang kini. Kemudian diminta memilih 12 daripadanya yang perlu sangat diberi perhatian pada tika itu. Maka terhasillah kertas kecil dengan tajuk "jawatanku".
Reben diberikan kemudiannya dengan panjang incinya mengikut kiraan umur nabi Muhammad saw. Lalu dipotong panjang umur kita yang telah berlalu dan hanya diberi pegang baki reben yang melambangkan umur yang berbaki. Untuk kita renungi apakah yang telah kita penuhi dalam tempoh kehidupan yang berlalu dan apakah dengan umur yang berbaki itu kita mampu melaksanakan segala jawatan yang dipertanggungjawabkan kepada kita?...
Selesai itu terus diberi sekeping kertas berbentuk hati bersama sekerat kecil arang. Dengan sejujur hatinya mewarnai "hati" itu dengan titik-titik hitam arang ibarat kita mewarnai hati kita tiap hari dengan dosa-dosa kecil yang akhirnya menggelapkan hati sendiri. Insaf rasanya saat menitikkan titik hitam itu atas hati kita. Mula mengenang kehidupan lalu yang dilalui sia-sia.
Tidak cukup dengan itu, setiap kami diberikan sepotong kecil lilin. Dinyalakan api di sumbunya dan diletakkan di telapak tangan. Bagi kita merasai betapa panasnya nyalaan api sekecil itu. Baru sekecil itu, apatah lagi jikalau sifat api neraka yang marak menyala.
Memang program Keindahan Bersamamu itu membawa satu keindahan hati.
(minggu depan akan berkongsi pula slot berbentuk simulasi kematian)

3 comments:

Bunga Rampai said...

Salam,

Terima kasih berkongsi pengalaman. Membaca entri ini pun hati saya dah kecut.

Terima kasih sekali lagi. Saya belajar perkara baru hari ini. Wassalam.

CerminDiri said...

salam kehidupan,

bungarampai,

kita saling berkongsi pengalaman.

Zalisa Maz @ ZN Isa said...

Sekali sekala berbicara soal mati. Hmm...