Thursday, July 23, 2009

REJAB DAN PERANG TABUK




Rejab baru sahaja meninggalkan kita. Dan kini bulan syaaban menjelma. Terasa pantas masa berlalu seakan baru semalam bulan rejab mengunjungi. Bulan yang di mana Rasulullah saw sentiasa memohon keberkatan di dalam doanya yang berbunyi ;

“Ya Allah, berkatilah kami di dalam bulan rejab dan bulan syaaban, dan sampaikanlah kami (panjangkanlah umur kami) hingga tiba bulan ramadhan”.

Alhamdulillah, kita baru sahaja melalui bulan keberkatan (rejab) dan diberi peluang lagi untuk terus berada di dalam bulan keberkatan (syaaban)untuk menyambung amal dalam usaha meraih keredhaan Allah serta merebut tempat di syurgaNYA kelak.

Sepanjang bulan rejab yang lalu, rata-rata kita memperkatakan tentang peristiwa isra’ mikraj. Di masjid-masjid banyak ceramah yang dianjurkan bagi mengenang peristiwa yang cukup mulia itu. Dari kalangan pensyarah, ustaz-ustaz mahupun pegawai majlis yang dijemput mengupas dan memperincikan perkara itu. Kisah isra’ mikraj itu sendiri, bagaimana ia berlaku, siapa yang terlibat, bentuk perjalanan, peristiwa sepanjang perjalanan, semuanya itu dihuraikan dengan panjang lebar.

Ada juga yang mengambil dari sudut pengajaran dan apa yang boleh dijadikan peringatan daripada peristiwa itu. Tidak kurang yang menyebut tentang masalah salah faham yang timbul di kalangan umat terhadap peristiwa itu lalu menghurai kekusutan fahaman berdasarkan dalil rajih.

Tapi tidak ramai yang memperkatakan tentang satu lagi peristiwa yang berlaku pada bulan rejab dan tidak kurang pentingnya kepada umat islam mengetahuinya. Iaitulah perang tabuk. Perang menentang tentera Rom. Salah satu daripada dua kuasa besar yang menguasai pemerintahan dunia tika itu. Rom dan Parsi.



Ia berlaku pada tahun kesembilan hijrah. Saat itu islam sudah semakin kukuh di bumi hijaz. Ia telah dapat diterima oleh masyarakat sebagai cara hidup. Bukan sahaja bumi hijaz, kawasan sekitarnya juga dicerahi dengan cahaya ketauhidan itu.

Malah kerana ini juga, peperangan tabuk berlaku. Kuasa Rom melihat islam mampu mengancam kekuasaan mereka. Mampu menghalang kuasa jajahan mereka. Mampu membantutkan cita-cita mereka dalam menebar kuasa ke atas bumi arab.

Peperangan yang berlaku tanpa ada pertempuran. Dicatit sejarah sebagai peperangan yang tidak menemukan dua musuh bertempur berhadapan. Akhirnya peristiwa ini telah mengangkat Islam di mata rakyat dunia waktu itu. Kerana kebenaran yang dibawa, pendukungnya tidak gentar melangkah.

Untuk tahun depan, mungkin boleh dicadangkan agar peristiwa bersejarah ini turut dihurai dan dikisahkan kepada umum seperti kisah Isra’ Mikraj kerana ia juga satu kepentingan dalam perkembangan Islam. Detik kejatuhan kuasa besar dunia dengan kebangkitan Islam dan umatnya.

2 comments:

Faridrashidi.Com said...

Salam,

Apa khabar tuan rumah?

Terima kasih atas infonya.. semoga dipermudahkan. Dan jemputlah ke blog saya boleh bertukar pendapat dan link. Insya'Allah.

Bunga Rampai said...

Salam,

Lama jugalah tak berkunjung ke sini kerana saya sering jadi biskut itu yang sekejap ada sekejap tak ada :)) 'Pabila membaca salam kehidupan anda di blog saya, seperti biasa jiwa terus bergetar, Subhanallah, begitu kuat kesannya!

Terima kasih berkongsi ilmu :)