Thursday, October 1, 2009

HARI PENUH HIBURAN

“ Abang, abang ni dah kerja ke belum ?...” tanya seorang budak kecil kepadaku. Kebetulan budak ini bersama keluarganya sedang beraya di rumah aku.

“Dah…. “ jawabku ringkas sekadar melayan soalannya.

“Tapi, kenapa abang tak pakai kain ?” tanyanya lagi dengan bersungguh-sungguh.

Aku terpinga sebentar. “Apa kena mengena pakai kain dengan kerja” detik hati kecil.

Aku memandangnya dan dia juga memandangku. Menanti jawapan. “Saje…” jawapan penyedap bicara walaupun waktu tu diri masih tertanya-tanya.

Lalu budak itu berlalu masuk ke rumah, mungkin berpuashati dengan jawapan ringkas tadi. Meninggalkan aku dalam keadaan masih berfikir. Apa hubungkaitnya antara kerja dan pakai kain?...

Fikir punya fikir… aku memandang ke dalam rumah, melihat ayah yang sedang rancak bersembang melayani tetamu. Lama aku memandang, “o…. patutla pun” kata aku sendiri spontan.

Persepsi manusia

Setiap manusia sebenarnya membina kehidupan mereka berdasarkan penilaian mereka sendiri. Itu satu fakta yang kekadang kita terlupa. Sama ada penilaian itu berasaskan pendengaran mahu pun penglihatan. Sama ada penilaian itu datang dari kerahan pemikiran atau pengaruh persekitaran. Sama ada penilaian itu betul atau pun sebaliknya. Atas penilaian itulah, binaan kehidupan terbina.

Dengan penilaian yang tepat serta sesuai dengan semasa, seseorang itu mampu mencapai kecemerlangan hidup. Tapi… tidak ramai yang menyedarinya.

Ini kerana wujud sebahagian manusia yang bergantung harap dengan orang lain. Setiap inci kehidupannya hanyalah dengan belas ihsan orang sekitarnya. Tidak mampu membuat keputusan, tidak tahu membentuk arah tuju, malah tidak berdaya melakar hidup dengan cara tersendiri. Semua ini berpunca daripada tidak mahu untuk menilai.

Berfikir secara saksama adalah asas penilaian.

Berbalik kepada kisah tadi. Rupanya di dalam rumah tika itu, semuanya ( orang lelaki ) memakai kain pelekat. Aku seorang yang pakai seluar. Jadi mungkin bagi budak itu ( mengikut penilaiannya ), orang yang sudah bekerja akan memakai kain.

Budak itu tidak boleh dipersalahkan. Kerana sesuai dengan usia dan persekitaran.
Seperti kita juga tidak boleh menyalahkan orang yang berkata “Hari Raya yang disambut di Malaysia lebih baik dinamakan Hari Hiburan Sepanjang Masa”.

No comments: