Sunday, October 25, 2009

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN



Tuan puan saudara dan saudari,

Sewaktu kita mengiringi langkah anak-anak kita keluar menduduki peperiksaan, bisikkanlah semangat dan harapan kita kepadanya. Moga hatinya berkobar-kobar, semangat menyala ingin melakukan yang terbaik buat diri dan ibu bapanya.

Sedarkanlah juga bahawa peperiksaan ini bukan segalanya. Hanya secebis dari ujian kehidupan yang menuntut kesungguhan. Sebagai wasilah yang tersusun bagi memandu hidup ke arah kecemerlangan. Natijah yang diperolehi nanti perlu diterima sejujur hati kerana itulah natijah kepada usaha dan semangat diri. Baik atau buruk, cemerlang atau tidak, itulah kita.

Tuan puan saudara dan saudari,

Jika nanti anak kita pulang dengan khabar kejayaannya, peluklah ia dan ucapkanlah tahniah atas usahanya menempa kejayaan. Kerana ucapan itu cukup diinginkan oleh anak kita. Hanya satu perkataan "tahniah". Terasa dihargai dan diberi perhatian. Biar pun kejayaan itu bukan di tahap cemerlang. Hanya sekadar berjaya. Titisan minyak walaupun setitik mampu menyemarakkan api yang sedang menyala.



Ingatkanlah ia bahawa cabaran masih belum terhenti dengan kejayaan itu. Kelalaian dengan keseronokan sementara akan mengundang padah. Selagi kita hidup, selagi itulah segala macam ujian bertandang. Jadikan kejayaan itu sandaran bagi mengorak jejak mengatur kejayaan-kejayaan lain di masa hadapan.

Sematkan dijiwanya, kejayaan bukan untuk dibangga dan mendabik dada. Tetapi untuk dikongsi bersama mereka yang tak punya.

Tuan puan saudara dan saudari,

Jika anak kita pulang berwajah hampa, seakan berputus asa dengan natijah yang diterima, peluklah ia serta bisikkan padanya bahawa dia masih anak kita dan esok masih ada hari untuk berusaha. Sekurang-kurangnya dia mengetahui ibu bapanya masih setia mendokongnya. Atau seeloknya memberitahu Allah tidak akan mensia-siakan usaha orang yang berusaha. Pasti semangatnya subur kembali. Bersemangat dan tidak berkecil hati dengan nasib dialami.

Pastikan dia tidak merasa rendah diri dengan keputusannya. Takut terbantut nanti pemikirannya. Sedangkan kehidupan ini bukan tertumpu kepada peperiksaan itu sahaja, masih banyak lagi peperiksaan yang perlu dilalui. Malah peperiksaan bukan segalanya, yang penting kita sedari diri, lalu terus berusaha membaikinya. Insya Allah kejayaan itu nanti cukup manis setelah berpenat lelah meredah dan menggapainya.



Tuan puan saudara dan saudari,

Doa kita cukup mereka dambakan, harapan dan sokongan juga mereka impikan. Apatah lagi penghargaan walau sekecil cuma. Jika kita inginkan anak-anak kita buat yang terbaik, pastikan kita terlebih dahulu memperlihatkannya.

1 comment:

Bunga Rampai said...

Sematkan dijiwanya, kejayaan bukan untuk dibangga dan mendabik dada. Tetapi untuk dikongsi bersama mereka yang tak punya.

Terima kasih kata-kata itu. Satu peringatan.

Salam :)