Thursday, October 22, 2009

PERINGATAN DAN PERHATIAN

Malam semalam sekali lagi berita menyiarkan tentang kejadian sejadah bersolat dengan formasi solat berjemaah. Jika sehari sebelumnya hanya berlaku di sebuah tempat di Kelantan, yang disiarkan semalam berlaku di 5 buah tempat sekitar Kota Bharu, Rantau Panjang dan Alor Setar Kedah.

Apa yang ingin dibangkitkan di sini ialah jikalau fenomena itu hanyalah sebagai bahan berita pihak media, tidaklah sangat dibimbangkan. Ataupun fenomena itu dikira peringatan daripada Allah swt untuk umat manusia, syukur alhamdulillah kerana kita masih diberi peringatan. Tetapi yang menjadi kegusaran hati bila perkara itu mula diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlalu berpegang dengan perkara karut-marut dan pelbagai tahyul lain. Sudah pasti ini akan mengundang satu lagi bentuk fitnah besar yang perlu kita tangani.

Kemungkinan itu boleh terjadi. Sedangkan Ayah Pin yang "mewakili" kerajaan langit pun boleh ada pengikutnya. Rasul melayu si Kahar boleh membentuk "umatnya" sendiri. Inikan pula fenomena ajaib ini. Melibatkan pula salah satu rukun asas di dalam Islam. Berlaku pula di Tanah Melayu yang mana masih ada lagi saki baki masyarakatnya yang terpengaruh dengan perkara sebegini.

Dalam hal ini, pihak berwajib atau individu tertentu yang rasa bertanggungjawab serta mempunyai kemampuan perlu menyekat hal ini dari berterusan agar fitnah yang sedang tidur itu tidak dikejutkan. Daripada institusi agama, Jabatan Mufti hinggalah kepada para alim ulama, ustaz ustazah dan mereka yang punya pengetahuan agama dalam hal ini. Jangan sampai merebak atau sudah parah, baru tergesa-gesa mencari formula dan penawar. Hakikat sebenar di sebalik fenomena itu atau yang seumpamanya perlu diterang dan dijelaskan sebaik mungkin agar ia tidak disalah faham lalu menyumbang kepada kegelinciran akidah.

Jika tidak, apa kemungkinan akan berlaku ?....

1. Sejadah itu diambil lalu dijadikan bahan sembahan

Perkara ini tidak mustahil berlaku kerana hakikat yang terjadi kini adalah sandarannya. Di Pulau Besar misalannya, kubur "keramat" yang semakin hari menambah pengunjung dan pemujanya. Kononnya untuk bertawassul memohon keberkatan. Hilang sudah ikatan keimanan. Hal ini juga boleh berlaku kepada sejadah tersebut. Diagungkan, dianggap keramat lalu menjadi bahan sembahan atau apa lagi upacara yang bakal menyusul.

2. Tempat itu akan dipercayai mempunyai keramat

Makin teruk lagi jika tempat yang asalnya surau, tempat didirikan solat berjemaah itu dilarang masuk. Atas alasan menjaga keramatnya. Hanya orang terpilih sahaja boleh memasukinya. Lalu menjadi tumpuan pemuja-pemuja dan penyembah khurafat. Memang payah untuk berlaku tetapi tidak mustahil berlaku jika para agamawan tidak bertindak tegas dari sekarang.

Firman Allah swt

"Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah ( menyembah ) kepadaku".

Sindiran Allah swt

Di dalam al-Quran, apabila sesuatu ayat itu menyamakan golongan manusia dengan golongan binatang atau golongan yang tidak punya akal fikiran, nescaya perkara yang akan disebut adalah perkara yang paling tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia atau perkara yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh manusia. Malah perumpamaan Allah swt dengan menggunakan binatang di dalam al-quran menjadikan manusia yang asalnya dari martabat kemuliaan turun serendah-rendahnya ke martabat yang paling hina. Itu perumpamaan manusia dengan binatang. Seperti kita katakan kepada seorang yang tidak langsung menggunakan akalnya " bodoh seperti lembu".

Mungkin ada baiknya kita melihat fenomena sejadah bersolat itu sebagai satu sindiran dari Allah swt. Menyindir kita tentang suatu perkara yang paling sepatutnya kita beri perhatian tetapi kita mengabaikannya. Solat berjemaah. Kepentingan solat itu sendiri sebagai wasilah utama seorang hamba kepada tuannya. Kelangsungannya secara berjemaah mencerminkan keutuhan apa yang kita panggil sebagai umat Islam.

Sabdaan Nabi saw

" Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka nantikan kedatangan hari kiamat".

Tugas kita

Bagi kita yang berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Islam serta terikat sepenuh hati dengan keimanan kepada Allah, masalah itu tidak sepatutnya dikerling sebelah mata. Perlu diberi perhatian akan bagaimana langkah sewajarnya menangani peristiwa itu. Perlu juga diambil peringatan betapa umat islam hari ini kian terpesong dari islam yang sebenarnya. Jika solat yang merupakan tiang agama pun terabai, kurangkanlah bercakap di khalayak umum soal hokum-hakam yang memerlukan lebih pengkajian dan perbahasan. Jika solat berjemaah yang menjadi rukun kekuatan ummah boleh dipandang enteng, apalah ertinya mereka yang mendabik dada mengatakan merekalah pejuang islam.

Ingat, kita kelak akan ditanya apakah tanggungjawab yang telah kita lunaskan sepanjang kita memikulnya.

No comments: